Home Email Us Site Map

RM100j Biaya Perniagaan Golongan Pendapatan Rendah (Utusan Malaysia, 18 Mei 2008) PDF Print E-mail

Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM100 juta bagi mewujudkan skim pembiayaan perniagaan untuk golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika mengumumkan penubuhan skim tersebut berkata, ia antara strategi kerajaan untuk membasmi masalah kemiskinan bandar di seluruh negara.

Menurut beliau, peruntukan awal itu akan disalurkan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang sedang memperhalusi mekanisme dan tatacara skim tersebut dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya mulai Jun ini.

"Peruntukan ini bertujuan memberi pinjaman perniagaan mudah kepada golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar dengan matlamat mengurangkan masalah kemiskinan tegar di kawasan tersebut.

"AIM sedang meneliti mekanisme pelaksanaan skim tersebut dan jumlah (RM100 juta) ini adalah permulaan dan bila terbukti (berjaya), kita akan tambah peruntukan mengikut keperluan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata demikian selepas menghadiri Seminar dan Pameran Keusahawanan anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Dua, Jasmin Mohamed.

Nor Mohamed berkata, AIM dijangka membuka cawangan pertama bagi pelaksanaan skim berkenaan di Sentul, Kuala Lumpur menjelang Jun ini dan lebih banyak cawangan akan dibuka secara berperingkat di seluruh negara.

Skim tersebut katanya, akan menawarkan pinjaman permulaan maksimum sebanyak RM3,000 kepada individu berpendapatan bulanan RM2,000 ke bawah dan peminjam yang menunjukkan pencapaian positif boleh membuat pinjaman baru bagi mengembangkan perusahaan mereka.

"Pinjaman khas ini tidak tertumpu kepada golongan bumiputera sahaja tetapi ditawarkan kepada semua kaum dan ia akan dilaksanakan ke seluruh negara secara berperingkat-peringkat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pinjaman perniagaan bagi penduduk di kawasan luar bandar pula akan terus diperhebatkan melalui skim-skim sedia ada yang dikendalikan agensi-agensi kerajaan serta institusi kewangan.

 

 

 

 

 

 
ENGLISHBAHASA


 
10th Floor, Block 1B Plaza Sentral Jalan Stesen Sentral 5, KL Sentral 50470 Kuala Lumpur
Tel: 03-2785 1515 Fax: 03-2780 2100
PUNB Regional Offices