| Syarat Bayar Pinjaman Diloggar (Berita Harian-Ekonomi, 6 jun 2008) |
|
|
|
|
Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) akan memberikan kelonggaran kepada peminjamnya membuat pelarasan dalam pembayaran balik pinjaman mereka bagi mengurangkan beban kenaikan kos operasi perniagaan berikutan kenaikan harga petrol dan diesel. Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata kenaikan harga petrol dan diesel masing-masing sebanyak 78 sen seliter dan RM1 seliter dan struktur baru tarif elektrik bulan depan dijangka menjejaskan margin keuntungan perniagaan. Justeru, katanya, PUNB akan memberikan kelonggaran kepada peminjam untuk membuat pelarasan dalam pembayaran balik pinjaman untuk memastikan mereka mampu membayar balik semua pinjaman yang diberikan. “Sebagai agensi keusahawanan, apa yang membimbangkan kami ialah kegagalan usahawan membayar balik pinjaman mereka kerana margin keuntungan peniaga akan terjejas berikutan kenaikan harga petrol dan diesel itu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Sesi pertama bertajuk ‘Cabaran bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana dalam Abad ke-21’ pada Konvensyen PKS Asia Timur di Kuala Lumpur, semalam. Konvensyen itu dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan. Mohd Nasir berkata, secara keseluruhan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) pinjaman yang disalurkan PUNB ketika ini ialah sebanyak 20 peratus. “Bagaimanapun, kadar NPL bagi perniagaan pemborongan kurang daripada lima peratus,” katanya. Beliau menegaskan, berikutan kenaikan harga petrol dan diesel, komuniti usahawan perlu mencari penyelesaian yang kreatif bagi memastikan mereka terus berdaya saing dalam pasaran. |






