Laman Utama Emel Kami Peta Laman

Bisnes Automotif Masih Relevan (Sinar Harian-Bisnes, 20 Jun 2008) PDF Cetak E-mel

bisnes_sinar200608.gif

Walaupun kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan baru-baru ini membebankan masyarakat sebagai pengguna, namun penyertaan mereka khususnya golongan Bumiputera untuk menjadi usahawan dalam bidang automotif masih relevan.

Pengurus Besar Bahagian Pelaburan, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Dzulkifli Fadzilah berkata, senario itu hanya memberi kesan kepada permintaan terhadap petrol serta memperlihatkan peralihan pemilik kenderaan untuk menggunakan pengangkutan awam.

“Bagaimanapun, setiap kenderaan memerlukan penyelenggaraan dan baik pulih bagi memelihara tahap prestasi supaya bertahan lebih lama dan memberikan kesan pada pemanduan yang lebih lancar.

“Justeru, kenaikan harga minyak tidak menjejaskan perniagaan yang membabitkan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembuatan komponen kenderaan,” katanya.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, PUNB menjangkakan untuk mengeluarkan kira-kira RM150 juta pinjaman pada tahun ini dan RM60 juta daripadanya merupakan peruntukan bagi pinjaman runcit.

Beliau yang ditemui Sinar Harian memberitahu, pihaknya memperuntukkan pembiayaan kewangan sejumlah RM6.1 bilion pada tahun ini kepada usahawan Skim Prosper Runcit dalam bidang automotif.

Sehingga Mei lalu, PUNB mengeluarkan pinjaman kepada 105 syarikat daripada penyertaan 120 pemohon untuk menjadi usahawan dalam bidang itu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 98 syarikat sudah mula beroperasi di beberapa lokasi strategik seluruh negara dan lebih 90 peratus berjaya menunjukkan prestasi perniagaan yang membanggakan.

“Perkembangan positif menyebabkan PUNB mensasarkan sekurang-kurangnya sebanyak 25 pusat penyelenggaraan kereta bakal dijalankan usahawan baru menjelang akhir tahun ini,” katanya.

PUNB sentiasa membuat penilaian pada setiap tahun bagi mengenal pasti usahawan Skim Prosper Runcit yang berpotensi dan bidang automotif masih menjadi sektor pilihan di kalangan pemohon.

Perniagaan automotif merangkumi beberapa kategori seperti perusahaan bengkel kereta, tayar dan aksesori serta jual beli kereta.

Ketika ditanya mengenai perkembangan sektor automotif, Dzulkifli berkata, perusahaan penyelenggaraan kenderaan bukan perniagaan jual beli, tetapi merupakan perkhidmatan yang memberi nilai tambah kepada pemilik kereta.

“Bagaimanapun, penyertaan daripada masyarakat Bumiputera masih kurang meskipun permintaan daripada pengguna atau pemilik kenderaan semakin meningkat.

“Tidak dinafikan ramai mekanik Bumiputera mempunyai kepakaran dan berpengalaman, tetapi sebahagian besar daripada mereka lebih cenderung bekerja di bawah pengurusan bukan Bumiputera,” katanya.

Keadaan itu disebabkan sikap kurang yakin dan tidak mempunyai pengetahuan lengkap untuk menjalankan perniagaan automotif atau membuka bengkel kereta secara persendirian.

Masalah ketiadaan modal tidak akan wujud kerana PUNB menyediakan peruntukan pembiayaan kewangan kepada mereka yang mahu menyertai Skim Prosper Runcit dalam bidang automotif.

Melalui Skim Prosper itu, peluang untuk mengembangkan perniagaan dalam bidang automotif terbuka luas di samping diberikan latihan serta bimbingan bagi memperkukuhkan operasi dan perkhidmatan.

Sejajar dengan matlamat untuk menggalakkan penyertaan masyarakat Bumiputera dalam bidang keusahawanan automotif, PUNB akan menganjurkan ‘PUNB Auto Forum 2008’ pada 23 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Dzulkifli berkata, kebanyakan usahawan automotif hari ini lebih menumpukan pada operasi perniagaan tanpa mempunyai pengetahuan lengkap dalam operasi manual, operasi bengkel dan perkhidmatan pelanggan.

Jelasnya, persepsi terhadap pusat penyelenggaraan kereta harus diubah dengan melaksanakan sistem pengurusan yang terancang bagi memudahkan operasi, perkhidmatan dan urus niaga seharian.

“Usahawan seharusnya melupakan soal kenaikan harga minyak atau mengutamakan strategi untuk menawarkan harga yang lebih murah kepada pelanggan.

“Sebaliknya, mereka perlu memastikan pengurusan perniagaan yang lebih tersusun serta mewujudkan pendekatan baru untuk menarik perhatian pelanggan melalui perkhidmatan selain tawaran harga.

Bertemakan ‘Jaringan Kunci Kejayaan’,setiap peserta forum akan diberikan manual ‘Panduan Konsep Perniagaan dan Pengurusan Operasi Pusat Service Kenderaan’ secara percuma.

Dalam pada itu, Sinar Harian turut mendapatkan penjelasan Setiausaha Agung Persatuan Pemilik Kenderaan Bermotor Malaysia (MOVA), Mohamed Mustafa Latif berhubung potensi perniagaan automotif selepas kenaikan harga minyak.

Katanya, perniagaan automotif masih memberikan pulangan yang lumayan berdasarkan bilangan kenderaan yang masih banyak di jalan raya termasuk pengeluaran kereta bagi memenuhi keperluan pada masa ini.

Ia sekali gus memperlihatkan industri automotif di negara ini masih berkembang walaupun masyarakat mula beralih kepada kereta berkuasa kuda (cc) rendah yang lebih jimat.

“Penyelenggaraan dan baik pulih itu bertujuan untuk memelihara kestabilan prestasi kereta dan sekali gus berupaya menjamin keselamatan pemandu.

“Mahu tidak mahu, masyarakat sebagai pemilik kenderaan perlu menerima kenyataan bahawa penyelenggaraan kenderaan merupakan keperluan meskipun harga minyak naik,” katanya.

 

 

 

 

 

 
ENGLISHBAHASA

Hubungi Kami
callus.php?lang=ms
Cari Kami
findus/?lang=ms
Emel Kami
emailus.php?lang=ms
KEMUDAHAN
PERKHIDMATAN
LANGKAH SETERUSNYA
PROGRAM KHAS

 
Tingkat 10, Blok 1B Plaza Sentral Jalan Stesen Sentral 5, KL Sentral 50470 Kuala Lumpur
Tel: 03-2785 1515 Faks: 03-2780 2100
Pejabat Wilayah PUNB