| PUNB Sedia RM60j Bantu Usahawan (Berita Harian-Ekonomi, 24 Jun 2008) |
|
|
|
|
Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memperuntukkan dana berjumlah RM60 juta tahun ini bagi membantu usahawan menerusi skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper). Ketua Eksekutifnya, Datuk Nasir Ahmad, berkata setakat ini hampir RM30 juta disalurkan daripada dana berkenaan kepada 100 permohonan yang diluluskan merangkumi pelbagai bidang perniagaan. Katanya, tahun ini PUNB mensasarkan membantu 325 perniagaan menerusi skim Prosper Runcit, 30 perniagaan (Pemborong Prosper), 150 usahawan (Prosper Siswazah) dan 14 syarikat menerusi skim perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Beliau berkata, tahun lalu 475 perniagaan memperoleh pembiayaan menerusi empat skim pembiayaan keusahawanan PUNB itu. "Walaupun sasaran jumlah kelulusan penting dalam perancangan PUNB, yang lebih penting ialah memastikan usahawan dibangunkan dan diberi bantuan mampu berjaya serta bertahan di pasaran," katanya selepas perasmian Forum Auto PUNB 2008 di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd Abu Bakar Mohd Noor. Skim Prosper yang dilancarkan pada 2000, bertujuan meningkatkan pembabitan ahli perniagaan Bumiputera dalam bidang perniagaan runcit dalam negara. Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Mohd Abu Bakar berkata, Forum Auto PUNB 2008 bertujuan berkongsi pengalaman serta idea bagi meningkatkan kecenderungan dan kemahiran pengusaha Bumiputera dalam industri berkenaan. Beliau berkata, setakat ini, PUNB meluluskan 118 projek dalam bidang automotif membabitkan 302 usahawan Bumiputera dengan nilai projek berjumlah RM17.9 juta. |






