| PUNB Sasar Agih RM60 juta Dana Tahun Ini (Utusan Malaysia-Ekonomi, 24 Jun 2008) |
|
|
|
|
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Nasir Ahmad berkata, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sejumlah RM30 juta daripada dana tersebut telah diagihkan kepada para pemohon yang berjaya. "Dalam tempoh itu, sejumlah 325 permohonan diterima oleh PUNB dan 110 daripada permohonan yang berjaya adalah daripada sektor automotif. "Pada hari ini kita telah menerima 130 permohonan baru dan ia dijangka terus bertambah," katanya. Beliau menyatakan demikian pada satu sidang akhbar selepas majlis perasmian PUNB Auto Forum 2008 dan pelancaran manual Panduan Konsep Perniagaan dan Pengurusan Operasi Pusat Servis Kenderaan di sini hari ini. Mohd. Nasir berkata, dana tersebut adalah sebahagian daripada usaha PUNB untuk membantu usahawan bumiputera yang akan meneroka bidang automotif. "Bilangan usahawan bumiputera yang terlibat dalam bidang tersebut semakin bertambah tetapi ia masih belum cukup untuk mendominasi bidang itu," ujarnya. Beliau menambah, peluang perniagaan dalam sektor automotif adalah sangat tinggi tetapi tidak ramai usahawan bumiputera yang ingin menceburi bidang itu. "Kebanyakan mereka memiliki kemahiran berkaitan bidang automotif terutamanya dari segi menyelenggara kenderaan dan memiliki pengalaman luas tetapi tidak berani menceburi bidang tersebut kerana takut gagal," katanya. Dalam pada itu, beliau berkata, aspek kualiti perkhidmatan pelanggan harus ditekankan dalam usaha untuk memajukan perniagaan dalam bidang automotif. "Setiap usahawan harus mematuhi prosedur piawaian kerja (SOP) sebagai langkah untuk mengelakkan sebarang kesilapan kerana dalam bidang penjagaan kenderaan kadar kesilapan sifar adalah satu kemestian untuk memastikan kepuasan pelanggan," ujarnya. Beliau berkata, penerbitan manual Panduan Konsep Perniagaan dan Pengurusan Operasi Pusat Servis Kenderaan merupakan bahan rujukan kepada pengusaha bengkel bumiputera yang ingin memulakan atau menguruskan operasi bengkel dengan cekap dan teratur. "Manual tersebut adalah sebagai panduan sahaja dan mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada manual tersebut untuk maju dalam bidang perniagaan," ujarnya. |






