|
Sejak 2000, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) meluluskan hampir RM39 juta pembiayaan kepada usahawan Bumiputera untuk perniagaan seperti pusat servis, bengkel baik pulih kenderaan, kedai aksesori, kedai menjual kereta, stesen minyak dan pengedar gas.
Sebanyak 220 projek perniagaan dalam sektor berkaitan automotif telah diluluskan dan kini diusahakan oleh 417 usahawan Bumiputera di seluruh negara.
Jumlah ini jelas menunjukkan PUNB amat serius memajukan usahawan Bumiputera dalam sektor automotif agar setanding dengan usahawan bukan Bumiputera. Selain itu, PUNB juga mewujudkan Lembaga Penasihat Automotif Prosper yang terdiri daripada pakar baik pulih kereta tempatan dan luar, wakil pengilang kereta tempatan, syarikat tayar berjenama, alat ganti dan pelatih kemahiran pengurusan sektor automotif.
Lembaga penasihat ini banyak membantu, menasihati dan memberi peluang perniagaan baru kepada usahawan Bumiputera. Mereka juga terbabit dalam menerbitkan Manual Panduan Konsep Perniagaan dan Pengurusan Operasi Pusat Servis Kenderaan PUNB khusus untuk pengusaha bengkel kereta dan turut menjayakan PUNB Auto Forum 2008 pada 23 Jun lalu yang ternyata memberi banyak manfaat kepada mereka yang menghadirinya. PUNB turut mendapat pandangan dan nasihat Lembaga Penasihat Automotif ini dalam membuat penilaian rancangan perniagaan yang diterima daripada bakal usahawan.
Di PUNB, kami mempunyai prosedur dan syarat tertentu untuk meluluskan permohonan pembiayaan memandangkan pemohon tidak perlu memberikan cagaran atau penjamin. Setiap permohonan dinilai dengan penuh teliti dan integriti berdasarkan potensi perniagaan yang dicadangkan serta ciri keusahawanan yang ada pada usahawan itu seperti kejujuran, berfikiran positif, berkemahiran, berdaya tahan dan berdisiplin tinggi.
Pemohon yang tidak memenuhi syarat kelayakan tidak akan diluluskan. Permohonan yang diluluskan pula perlu memenuhi syarat berkaitan penyediaan dokumen tertentu untuk menyempurnakan proses pembiayaan.
Semua syarat yang ditetapkan bukanlah untuk memperlekeh usahawan ataupun sengaja mahu merendahkan usaha mereka, tetapi bertujuan memastikan bantuan PUNB diberi kepada usahawan Bumiputera yang layak.
Maklumat yang disiarkan ini adalah sebagai merujuk tulisan NAG dari Lembah Jaya, Selangor yang tersiar di dalam ruangan ini, Isnin lalu. Apa pun, PUNB mengucapkan terima kasih di atas sikap prihatin NAG terhadap usaha PUNB membangun usahawan Bumiputera di negara ini. Untuk pengetahuan NAG, bidang automotif adalah satu daripada bidang perniagaan yang diberi keutamaan oleh PUNB sejak Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) diperkenalkan kerajaan pada Ogos 2000.
Menyedari potensi dan peluang lumayan dalam sektor ini yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan Bumiputera, PUNB mengambil inisiatif menubuhkan satu unit khas dinamakan Unit Projek Khas (Automotif) untuk memperkasakan pembabitan Bumiputera dalam pelbagai perniagaan berdaya maju berkaitan industri ini ke tahap yang lebih tinggi. Sebahagian pegawai di unit ini terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang automotif dan pernah berkhidmat di syarikat pembuatan kereta terkenal. Pegawai kami yang berurusan dengan bakal usahawan adalah terlatih dan ditugaskan khusus untuk sektor tertentu.
Mereka akan menjalani 'latihan dalam kerja' di kedai atau bengkel terpilih untuk didedahkan kepada realiti dunia perniagaan seperti pengurusan dan khidmat pelanggan di samping menimba pengetahuan dan pengalaman dalam selok belok perniagaan itu. NASHITA AZIZ, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat PUNB.
|