| PUNB Lahir Lebih 3,700 Usahawan Bumiputera (Harian Metro-Bisnes, 11 Ogos 2008) |
|
|
|
|
Sehingga kini, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) sudah berjaya melahirkan lebih 3,700 usahawan Bumiputera di seluruh negara membabitkan 1,620 jenis perniagaan terutama dalam bidang peruncitan. Kejayaan itu dicapai menerusi pengenalan Program Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) yang dilancarkan sejak lapan tahun lalu. Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd Abu Bakar Mohd Noor, berkata program berkenaan penting bagi mencapai misi untuk mewujudkan golongan peruncit Bumiputera kelas menengah setanding dengan peruncit bukan Bumiputera. Malah katanya, sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini saja, PUNB sudah mengusahakan 43 program keusahawanan termasuk program jaringan satelit mengikut kawasan iaitu utara, selatan dan terbaru di pantai timur pada pertengahan Julai lalu. “Selain skim Prosper, kami juga berjaya mewujudkan 59 perniagaan di bawah Skim Pemborong Prosper dan 320 siswazah menerusi Skim Prosper Siswazah. “Kami juga akan terus membantu usahawan di sektor pembuatan dan perkhidmatan kejuruteraan menerusi skim PKS di mana seramai 351 usahawan membabitkan 128 syarikat sudah diberi bantuan,” katanya pada majlis pelancaran Program Jaringan Usahawan PUNB Peringkat Nasional 2008 di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Majlis itu disempurnakan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. |






