| CIT Bekal Rim Bagi MPV Proton (Berita Harian-Ekonomi, 18 Ogos 2008) |
|
|
|
|
Clear Insight Technology Sdn Bhd (CIT), pengeluar rim kenderaan milik Bumiputera, akan membekalkan rim untuk MPV terbaru Proton yang dijangka berada di pasaran tempatan tahun depan. Pengarah Urusannya, Siti Mariam Abdullah, berkata pihaknya menerima surat daripada Proton Holdings Bhd bulan lalu yang meminta CIT meneruskan kerja mereka bentuk rim bagi kenderaan berkenaan. Sebagai permulaan rim berkenaan adalah untuk dibekalkan bagi MPV terbaru Proton yang dijangka memasuki pasaran tempatan, tahun depan. Surat Hasrat (LOI) dijangka diterima bulan ini," katanya sambil menambah CIT juga membekalkan rim untuk model Proton Saga, menerusi vendor Tier Satu Proton. Beliau berkata demikian dalam satu temu bual di Petaling Jaya, baru-baru ini. Laporan sebelum ini yang menyebut sumber sebagai berkata MPV baru Proton itu nanti akan menerapkan reka bentuk sporty serba moden dengan fender depan daripada bahan komposit bagi mengurangkan berat. Sumber itu berkata, berdasarkan ujian awal menggunakan enjin Campro CPS dengan nisbah gear yang berbeza, enjin berkenaan mampu mencapai tahap ekonomik setanding MPV Jepun dengan kapasiti 1.6L, selain menyediakan ruang kabin lebih luas. Siti Mariam menambah, syarikat itu yang memulakan operasi pada 2005, sudah melabur lebih RM10 juta menyediakan mesin serta kemudahan kilang bagi pengeluaran rim di Kedah. Katanya, sebahagian besar daripada rim yang dikeluarkan dibekalkan kepada Kumpulan Naza bagi model Citra, Sorento, Sutera dan Bestari 206. Beliau berkata, CIT dalam proses menambah barisan pengeluaran kilangnya di Sg Petani yang ketika ini berupaya menghasilkan 26,000 unit rim sebulan. Tahun lalu, CIT membekalkan enam kontena rim ke Jerman bagi dipasangkan pada kenderaan Brabus dan Audi khusus untuk pasaran Eropah,” katanya. Dalam perkembangan lain, Siti Mariam berkata syarikat itu dalam peringkat akhir mengemukakan kertas kerja kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) bagi membolehkan program francais pusat servis kenderaan di bawah jenamanya dilaksanakan. CIT, katanya, sudah berbincang dengan Petronas, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan sebuah syarikat pengeluar tayar bagi memastikan pusat servis berkenaan benar-benar boleh dimanfaatkan usahawan serta pelanggannya. "Pusat servis yang membabitkan kos sekitar RM150,000 ini, berkonsepkan pusat sehenti untuk pengguna menukar tayar serta mendapatkan rim berkualiti serta dijual pada harga menarik," katanya. |






