|
Bif Dagang Tinjau Pasaran Australia (Beritra Harian-Ekonomi, 6 Oktober 2008) |
|
|
|
|
Bif Dagang Sdn Bhd yang sedang meninjau peluang untuk mengembangkan operasi perniagaan daging ke luar negara melihat Australia sebagai antara pasaran strategiknya.
Syarikat berkenaan yang terbabit dalam industri ternakan dan pemprosesan daging, berhasrat untuk menjalin perkongsian strategik dengan rakan niaga Australia bagi mengusahakan pusat pemprosesan daging di negara itu.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Bif Dagang, Fakhrul Anuar Md Yamim, berkata Australia mampu menjadi hab eksport keluaran Bif Dagang ke pasaran antarabangsa.
"Kami sedang meneroka peluang dan masih pada peringkat permulaan. Kami bercadang mula menembusi pasaran luar negara mulai tahun depan," katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bif Dagang dulunya dikenali sebagai BASK Group (M) Sdn Bhd mula diperbadankan pada 1996 dan ditukar nama pada Oktober 2005.
Ia kini mempunyai ladang ternakan di Machang, Kelantan yang mampu mengendalikan 500 lembu pada satu-satu masa.
Fakhrul Anuar berkata, pengembangan ke luar negara akan membuka lebih banyak peluang kepada syarikat untuk mempelbagai operasinya dalam perniagaan berasaskan daging lembu, sekali gus menembusi pasaran Halal global.
Berbanding sekarang ia lebih bertumpu dalam membekalkan daging di kawasan Lembah Klang.
Selain terbabit dalam ternakan dan pemprosesan daging di Kundang, Selangor, Bif Dagang juga mengendalikan restoran BifSentral di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Syarikat itu juga memasarkan daging yang diproses menggunakan jenama musier di meatshop yang juga ditempatkan dalam restoran berkenaan.
"Syarikat merancang menambah empat lagi meatshop di lokasi strategik seperti Shah Alam dan Damansara menjelang tahun depan," kata Fakhrul Anuar sambil menambah permintaan terhadap produk daging adalah sangat besar.
|