|
PUNB Salur RM920.5j (Harian Metro-Bisnes, 29 September 2008) |
|
|
|
|
Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), agensi yang bertanggungjawab membangunkan usahawan Bumiputera bidang peruncitan, sehingga kini menyalurkan RM920.5 juta kepada usahawan di bawah semua skim pembiayaan yang ditawarkan sehingga kini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nasir Ahmad, berkata daripada jumlah itu, pembiayaan skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (PROSPER) adalah yang paling banyak disalurkan iaitu RM428 juta, membabitkan 1,657 perniagaan.
Katanya, daripada jumlah diluluskan itu, 1,405 memulakan operasi manakala 231 daripadanya didapati rugi dan terpaksa menutup operasi.
‘Pembiayaan lain yang turut disalurkan PUNB selain Prosper ialah skim pemborongan iaitu RM119 juta diikuti skim Siswazah Prosper RM13.5 juta serta skim Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) RM360 juta.
‘Pada tahun ini, PUNB mensasarkan untuk meluluskan 325 perniagaan runcit Prosper dan sehingga Ogos lalu sebanyak 174 perniagaan diluluskan,’ katanya dalam satu pertemuan dengan Harian Metro di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengenai skim lain yang berada di bawah PUNB, beliau berkata, selain Prosper yang khusus untuk perniagaan runcit, PUNB turut menawarkan skim pemborongan, skim siswazah dan skim Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Katanya, PUNB mensasarkan untuk melahirkan 30 perniagaan borong Prosper tahun ini dan sehingga Ogos lalu, sudah meluluskan 23 perniagaan borong.
Katanya, sejak diwujudkan dua setengah tahun lalu, PUNB meluluskan 62 perniagaan borong dan daripada jumlah itu, 53 memulakan operasi mereka dan sehingga kini, tiada perniagaan didapati rugi dan ditutup.
Bagi skim siswazah pula, katanya, PUNB mensasarkan untuk melahirkan 150 perniagaan yang mana sehingga Ogos lalu 87 perniagaan diluluskan.
‘Sejak diwujudkan tiga tahun lalu, kami meluluskan 340 perniagaan siswazah yang mana 292 daripadanya dibuka. Bagaimanapun, 17 daripada perniagaan yang beroperasi itu rugi dan menamatkan operasi mereka.
‘Skim tertua dalam PUNB ialah skim Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang diwujudkan 17 tahun lalu yang mana ssehingga kini disalurkan kepada 128 syarikat,’ katanya.
|