|
Celcom, PUNB Latih Usahawan (Harian Metro-Bisnes, 11 Februari 2009) |
|
|
|
|
Celcom (M) Berhad mengadakan kerjasama dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi memberi peluang kepada 500 pengedar Celcom di kalangan Bumiputera di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak menjalankan perniagaan telekomunikasi bersama Celcom.
Menerusi program terbabit, PUNB menawarkan pinjaman RM100,000 hingga RM5 juta manakala Celcom akan menyediakan latihan dan sokongan kepada pengedar yang layak.
Naib Presiden Celcom Wilayah Utara, Saiful Bahrin Abd Ghaffar, berkata sejak dimulakan pada Jun tahun lalu, seramai 13 pengedar layak mendapat pinjaman daripada PUNB dan setakat ini RM12 juta diluluskan.
“Syarat untuk memulakan perniagaan kedai telekomunikasi Celcom adalah ketat dan kami memilih pengedar yang betul-betul layak saja. Mereka mestilah aktif serta memiliki komitmen yang tinggi dalam perniagaan.
“Selain itu, mereka juga diwajibkan menjalani latihan yang kami sediakan serta memiliki dana sendiri sekurang-kurangnya RM30,000,” katanya selepas merasmikan pembukaan kedai telekomunikasi Celcom, AZ Sinar di Jitra, Kedah, baru-baru ini.
Menurutnya, kerjasama dengan PUNB ini membantu mewujudkan usahawan Bumiputera yang berdaya saing serta komited dalam meningkat da mengembangkan industri telekomunikasi.
Sementara itu, AZ Sinar adalah kedai telekomunikasi Celcom pertama di Kedah menerusi kerjasama terbabit.
Pengurusnya, Che Omar Mustaffa, berkata dia mendapat suntikan modal RM195,000 daripada PUNB bagi memulakan kedai telekomunikasi berkenaan.
“Saya menjadikan kedai itu sebagai pusat sehenti yang menawarkan perkhidmatan bayaran bil dan pendaftaran talian selain menjual produk Celcom,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, mulai tahun ini Celcom turut mengadakan kerjasama dengan PUNB bagi memberi peluang kepada graduan yang berminat menjadi usahawan.
Saiful Bahrin berkata, pelajar lepasan diploma dan ijazah dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang belum mempunyai pekerjaan diberi peluang memulakan perniagaan dalam bidang telekomunikasi dengan bantuan dana RM50,000.
|