| PUNB Sasar Salurkan Pinjaman RM164.3juta (Berita Harian-Ekonomi, 16 Februari 2009) |
|
|
|
|
Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) mensasarkan menyalurkan pinjaman berjumlah RM164.3 juta tahun ini kepada kira-kira 450 usahawan Bumiputera menerusi empat skim keusahawan yang dikendalikannya. Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata masing-masing RM60 juta disasar disalurkan di bawah Skim Prosper Runcit; RM67 juta di bawah Pemborong Prosper; RM30.3 juta menerusi Perusahaan Kecil dan Sederhana manakala RM7 juta lagi di bawah Prosper Siswazah. Katanya, tahun lalu PUNB menyalurkan pinjaman berjumlah RM153.5 juta kepada 461 usahawan yang membabitkan 396 perniagaan. "Kami akan melaksanakan pelbagai pendekatan bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam perniagaan khususnya bidang peruncitan. Tiada perubahan besar dalam skop skim Prosper Runcit dan Pemborong untuk 2009. "Bagaimanapun, Skim Prosper Siswazah akan diperluaskan meliputi pemberian pinjaman kepada pemegang sijil kemahiran dari institusi latihan yang diiktiraf kerajaan," katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Beliau berkata, langkah memperluaskan Skim Prosper Siswazah akan memberi peluang kepada golongan yang mempunyai sijil kemahiran tertentu seperti dalam bidang elektrik, penghawa dingin dan automotif memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan mengamalkan kemahiran yang diperoleh. Mohd Nasir berkata, PUNB juga akan memulakan pembelian premis perniagaan di kawasan berpotensi tahun ini untuk disewakan kepada usahawan Bumiputera yang layak. Beliau menjelaskan, langkah itu dijadualkan bermula tahun lalu apabila PUNB menyalurkan dana berjumlah RM25 juta kepada usahawan Prosper tetapi ditangguhkan kerana sebab tertentu. "PUNB akan memulakan kegiatan membeli premis perniagaan tahun ini dan mencari premis sesuai di lokasi strategik di bandar besar serta kawasan baru pembangunan yang berpotensi tinggi," katanya. Sementara itu, Mohd Nasir berkata, sepanjang tahun lalu, sekitar 35 peratus usahawan skim Prosper runcit dikenal pasti mengalami kerugian termasuk menutup operasi, diikuti Prosper Siswazah (20 peratus) dan skim Pemborong Prosper (lapan peratus). Katanya, kajian dalaman mendapati 65 peratus perniagaan bermasalah berpunca daripada sikap usahawan sendiri dan masalah berkaitan perniagaan kira-kira 35 peratus. "Pakej keusahawanan PUNB merangkumi khidmat nasihat dan pemantauan terhadap perniagaan usahawan. Syarikat yang bermasalah akan diberi pemantauan rapi serta nasihat berkaitan pengurusan perniagaan. "Malah, PUNB juga membantu dari segi meluaskan jaringan perniagaan di kalangan usahawan supaya dapat meningkatkan daya maju perniagaan dan mengurangkan risiko kegagalan," katanya ketika ini 20 syarikat di bawah skim PKS menembusi pasaran antarabangsa. Mengenai pinjaman tidak berbayar (NPL), skim Prosper Runcit mencatatkan kadar agak tinggi iaitu 30 peratus manakala Prosper Siswazah dan skim PKS, masing-masing 20 peratus. "Skim Pemborong Prosper mencatatkan kadar NPL yang paling baik iaitu lapan peratus. "PUNB memandang berat masalah pembayaran balik pinjaman dan sentiasa memberi peluang kepada usahawan bermasalah untuk berbincang mencari penyelesaian terbaik membayar balik," katanya. |






