|
Beliau mempunyai idea perniagaan hebat, lain daripada yang lain dan boleh dikembangkan menjadi bisnes berdaya maju. Namun itu bukan jaminan bank akan memberikan pinjaman bagi menjayakan idea perniagaannya.
Tambahan pula idea itu adalah satu bentuk perniagaan baru dan belum terbukti kejayaannya di negara ini.
Disebabkan itu, perniagaan yang cuba dibangunkan Dr Hyzan Mohd Yusof terperam begitu saja, hampir sembilan tahun lamanya. Modal awal itu amat kritikal memandangkan perniagaan yang bakal diceburinya memerlukan modal jutaan ringgit bagi membeli peralatan serta pensijilan piawaian yang tinggi kosnya.
Itulah dilema yang dihadapi Ketua Eksekutif OSA Technology Sdn Bhd itu, sebelum ideanya untuk mengeluarkan rangkaian lengkap produk osteosynthesis bagi aplikasi perubatan khusus untuk bidang ortopedik atau pembedahan sistem tulang dapat direalisasikan pada 2007, seterusnya menjadi syarikat tempatan pertama mengeluarkan produk itu. Osteosynthesis adalah prosedur pembedahan bagi menstabil dan menyambungkan tulang yang patah menggunakan peralatan osteosynthesis seperti plat logam, pin, batang besi dan skru. Dilema dihadapi Dr Hyzan pada awal pembabitannya dalam bidang perniagaan itu semuanya berpunca kerana pihak bank tidak begitu memahami perniagaan dan potensi pulangan daripada perniagaan osteosynthesis yang akan dijalankannya bersama seorang lagi rakannya, Khishamuddin Mat Wajit (Ketua Pegawai Operasi OSA Technology). "Pada mulanya kami hanya ada idea saja, tidak ada modal dan tidak ada orang yang percaya. Semuanya bermula dari kosong, daripada pelan perniagaan, pembentangan kertas kerja hinggalah kepada mencari teknologi menghasilkan plat logam. "Malangnya, apabila kami membuat pembentangan dengan bank institusi yang sepatutnya menolong, kami tidak mendapat sokongan," katanya. Masalah mendapatkan pinjaman katanya, juga disebabkan institusi kewangan tempatan yang keberatan mengeluarkan pembiayaan kepada perniagaan yang mereka anggap sebagai luar biasa dan sukar difahami. "Mereka lebih suka memberikan pinjaman kepada perniagaan yang sudah nampak dan biasa," katanya. Lebih mengecewakan, Dr Hyzan berkata, memandangkan idea perniagaan yang cuba diketengahkan itu adalah baru, tidak seperti perniagaan tradisi yang biasa, malah masih dalam bentuk konsep, bank kurang serius untuk membuat penilaian ke atas permohonan pinjamannya.
Namun semua halangan itu tidak menjadi titik noktah kepada perjuangannya merealisasikan idea mengeluarkan produk osteosynthesis yang banyak digunakan di hospital di negara ini bagi merawat pesakit yang mengalami keretakan atau tulang patah disebabkan kemalangan jalan raya, diserang, jatuh bangunan dan sebagainya.
Sebagai pakar ortopedik yang mempunyai banyak pengalaman melakukan prosedur pembedahan osteosynthesis, Dr Hyzan yang juga lulusan dalam bidang perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana pengkhususan dalam pembedahan ortopedik dari universiti di Alabama, Amerika Syarikat, tetap yakin dengan prospek perniagaan yang bakal diceburi.
"Sebelum ada syarikat tempatan seperti OSA Technology, hospital kita terpaksa mengimport produk osteosynthesis ini pada kos mahal dari negara seperti Switzerland, United Kingdom dan Jerman dan kini beralih ke India dan Pakistan.
"Jadi, bila kita boleh hasilkan implan ini di dalam negara pada kos lebih rendah tetapi dengan mutu yang setanding, saya yakin perniagaan ini mempunyai prospek baik," kata Dr Hyzan.
Beliau juga berkata, hasil lawatannya ke luar negara untuk melihat sendiri teknologi bagi mengeluarkan peralatan bagi pembedahan ortopedik itu, beliau yakin Malaysia juga mampu mengeluarkan sendiri peralatan sedemikian.
"Selain itu, daripada pengalaman merawat pesakit saya sendiri, saya dapati kos implan ini tinggi dan terlalu mahal untuk pesakit ini dirawat.
Jadi saya fikir kita boleh hasilkan implan ini pada kos lebih murah dan dari situlah timbul idea untuk menubuhkan syarikat ini pada 2004," katanya yang mula berkhidmat dalam bidang perubatan sejak 1989 dan menjadi doktor pakar pada 1995.
Namun katanya, syarikat itu tidak akan dapat mengeluarkan produk sulungnya selagi modal bagi membeli teknologi pengeluaran tidak diperoleh. Setelah percubaan mendapatkan pembiayaan bank gagal, Dr Hyzan terus mencuba mendapatkan pembiayaan daripada pelbagai sumber lain yang membawanya bertemu dengan pegawai Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).
OSA Technology mula bernafas selepas menerima RM2.89 juta geran penyelidikan dan pembangunan daripada MTDC tiga tahun lalu dan tambahan RM1.8 juta pinjaman mudah daripada PUNB berserta dengan pembelian 200,000 saham syarikat itu oleh PUNB menjadikan pembiayaan keseluruhan daripada PUNB berjumlah kira-kira RM2 juta.
Pembiayaan modal daripada kedua-dua institusi kerajaan itulah yang membawa kepada syarikat itu memulakan operasinya di Pusat Teknologi Pintar II di UKM, Bangi pada Jun 2007.
Namun menurut Dr Hyzan, sebelum layak menerima geran daripada MTDC, OSA Technology terpaksa melalui proses penilaian yang ketat dan dipantau dengan rapat oleh MTDC. Ia merangkumi penilaian teliti terhadap kertas cadangan OSA Technology termasuk penilaian tek nikal yang dilakukan MTDC bersama pakar dari universiti tempatan.
Selain itu, MTDC katanya, juga ingin melihat keputusan kaji selidik pemasaran yang mana kaji selidik itu perlu dilakukan secara profesional oleh sebuah firma penyelidikan pemasaran persendirian sebelum memberikan geran penyelidikan.
"Buat permulaan, ini adalah sesuatu yang sukar bagi kami. Kos menjalankan kaji selidik ini saja sudah mencecah RM100,000. Bagaimanapun atas keyakinan yang tinggi terhadap daya maju projek ini, kami terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membayar kos menjalankan penyelidikan ini untuk layak memohon geran MTDC," katanya.
Mengenai perancangan masa depan syarikat itu, Dr Hyzan berkata, syarikat merancang mempelbagaikan produk implan ortopedik ke luarannya selain meluaskan lagi pasaran.
"Dalam membesarkan syarikat ini, saya mengambil inspirasi daripada sebuah syarikat dari Amerika Syarikat (AS), Arthrax yang mana 20 tahun lalu jualan pertamanya di AS adalah AS$200,000 setahun tetapi kini jualannya mencecah AS$200 juta setahun.
"Selain itu, saya juga mengambil inspirasi daripada sebuah lagi syarikat dalam bidang ortopedik iaitu dari Taiwan yang kini sudah berjaya menguasai 70 pasaran tempatan di negara itu.
"Mereka mempunyai kelebihan itu kerana ia sebuah syarikat tempatan. Jadi jika mereka boleh melakukannya, kami juga boleh," katanya.
Dr Hyzan berkata, tahun lalu OSA Technology yang kini digerakkan hanya oleh 17 kakitangan meraih jualan RM480,000 dan ia dijangka bertambah menerusi beberapa kontrak pembekalan baru daripada hospital kerajaan dan swasta di negara ini. Beliau berkata, ketika ini ada 50 hospital kerajaan dan 40 hospital swasta yang melakukan pembedahan ortopedik di negara ini.
"Secara purata pula, hospital besar kerajaan melakukan kira-kira 20 hingga 30 kes pembedahan ortopedik ini sehari dan antara lima hingga 10 kes di hospital swasta," katanya.
Antara hospital kerajaan yang mendapatkan bekalan produk osteosynthesis dari syarikat itu adalah Hospital Kajang, HUKM, Hospital Melaka, Hospital Kuantan dan Seremban selain sebuah hospital swasta iaitu Pusat Perubatan Darul Ehsan, Shah Alam.
Produk keluaran syarikat itu juga dieksport ke negara di Asia Tenggara dan Asia Barat.
|