| Latih 670 Siswazah (Harian Metro, 7 Ogos 2009) |
|
|
|
|
Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), sehingga kini meluluskan 670 permohonan bagi Program Siswazah Perantis PUNB di bawah kendaliannya. Langkah itu selari dengan sasaran kerajaan melalui Teras Pertama Pakej Rangsangan Ekonomi diumumkan pada Mac lalu untuk melatih sehingga 2,000 perantis menjelang 2010. Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata sejajar dengan itu, program berkenaan yang bermula sejak Mei lalu, menerima 533 siswazah manakala 399 perantis memulakan latihan sangkut di bawah kendalian lebih daripada 150 syarikat. Beliau berkata, program berkenaan bertujuan mengurangkan pengangguran dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada siswazah. "Melalui program ini, siswazah Bumiputera berpeluang mempelajari kaedah mengurus perniagaan dengan menjalani tempoh perantisan enam atau 12 bulan bergantung kepada bidang perniagaan yang diceburi. "Sepanjang tempoh perantisan, perantis akan dibayar elaun sara diri mencecah RM1,000 sebulan mulai bulan keempat dan apabila tamat tempoh perantisan, PUNB berharap perantis berpeluang memulakan perniagaan sendiri dengan pembiayaan skim Prosper Siswazah," katanya ketika sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan PUNB, di Kuala Lumpur, semalam. PUNB diwakili Mohd Nasir dan UniKL diwakili Presiden atau Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Datuk Dr Abdul Hakim Juri. MoU berkenaan adalah bagi memperkenalkan program keusahawanan di UniKL iaitu 'International School of Entrepreneur' (ISE) dan ia antara usaha meningkatkan penyertaan dan pembangunan usahawan muda Bumiputera dalam perniagaan strategik terutama dalam sektor pembuatan, peruncitan dan pengedaran. Sementara itu, Mohd Nasir berkata, sejak Jun lalu, pihaknya membangunkan 1,583 perniagaan di bawah skim Prosper Runcit dengan pembiayaan RM259 juta sejak diperkenalkan pada 2000. Beliau berkata, skim prosper Siswazah pula yang diwujudkan pada 2005 melahirkan 348 usahawan siswazah dengan pelaburan RM13.3 juta. Katanya, Skim pemborong PROSPER sehingga kini pula melahirkan 73 perniagaan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM132 juta manakala skim PKS pula sebanyak RM405.4 juta disalurkan kepada 144 syarikat merangkumi pembuatan dan perkhidmatan. |






