Laman Utama Emel Kami Peta Laman

Biomil Susu Biokimia Jenama Tempatan (Berita Harian-Ekonomi, 17 Ogos 2009) PDF Cetak E-mel

Sehingga kini pasaran susu di Malaysia masih dikuasai pengeluar antarabangsa seperti dari Belanda, Denmark, Ukraine, New Zealand dan Australia.

Malaysia sebaliknya hanya menjadi negara pengimport meskipun susu sinonim di kalangan masyarakat negara ini sebagai makanan gantian yang disajikan dalam pelbagai bentuk seperti susu tepung, susu segar, susu pasteur, UHT dan sebagainya.

Meskipun Malaysia menyediakan pasaran yang luas bagi minuman berkhasiat itu, namun bilangan syarikat tempatan terutama Bumiputera yang terbabit dalam pengeluaran susu boleh dibilang dengan jari.

Menyedari potensi besar itu dan ingin melakukan sesuatu yang berbeza, pada 2006, sebuah syarikat milik penuh Bumiputera mengorak langkah untuk memulakan pengeluaran susu tepung biokimia pertama untuk kanak-kanak yang sedang membesar seawal usia setahun dan ke atas.

Dalam tempoh singkat, syarikat berkenaan, Biotral Sdn Bhd sudah mula meninjau pasaran seberang laut bermula dengan China dan Bangladesh, setelah berjaya mencipta nama di pasaran tempatan dalam segmen pasarannya
yang khusus dan tersendiri.

Pengarah Urusan Biotral, Ishak Husin, berkata cabaran terbesar pada peringkat awal memulakan perniagaan itu adalah untuk meyakinkan pengguna mengenai kebaikan susu jenama Biomil, keluaran syarikat itu.

Beliau berkata, memandangkan pasaran tempatan sudah lama dipenuhi dengan susu daripada pelbagai jenama yang sudah terkenal, kemasukan jenama baru agak sukar diterima.

"Pada peringkat awal, saya terpaksa bekerja keras untuk mempromosikan susu yang dirumus sendiri ini sebab pengguna sudah biasa dengan jenama seperti Nestle, Dutch Lady dan Dumex.

"Saya menjual jenama baru, jadi sukar untuk meyakinkan orang ramai.Malah ada yang menolak sekalipun hanya untuk mencuba rasa susu ini, ada juga yang takut nak minum," kat anya ket ika ditemui pejabatnya di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

Kesukaran lain, katanya adalah seperti masalah dengan pengedar dan kekurangan modal untuk mengiklan walaupun beliau yakin kuasa pengiklanan boleh meningkatkan jualan.

"Namun berbekalkan semangat dan bantuan banyak pihak termasuk pelbagai agensi kerajaan, perniagaan dapat diteruskan," katanya.

Meskipun perniagaannya hari ini sudah mampu meraih pendapatan purata kira-kira RM300,000 sebulan, Ishak sebenarnya bermula dengan modal hanya RM20,000 yang diperoleh menerusi pinjaman peribadi daripada Bank Rakyat.

"Jumlah ini sebenarnya sedikit untuk perniagaan susu ini. Dengan modal itulah saya membeli bahan mentah bagi menghasilkan susu untuk ditinkan.

"Walaupun bermodalkan RM20,000 tetapi saya dibantu oleh banyak pihak seperti PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Bhd) , Smidec, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan serta sebuah syarikat
korporat yang membantu saya mengetin produk ini dengan kos lebih murah," katanya.

"Kian Joo Can Factory Bhd misalnya yang membentangkan permaidani merah untuk membantu saya mengetin produk ini pada kos lebih murah," katanya.

Beliau berkata, walaupun Kian Joo adalah sebuah syarikat besar yang disenaraikan di bursa saham, kesungguhannya untuk membantu syarikat kecil yang kekurangan modal harus dipuji.

Meskipun bukan mempunyai latar belakang dalam bidang teknologi makanan, Ishak tidak pernah menjadikan itu sebagai halangan untuk menceburi bidang perniagaan berkenaan.

Sebaliknya, pengalaman bekerja dalam bidang pentadbiran dan pengurusan kewangan korporat, sedikit-sebanyak membantu dalam pengurusan perniagaannya hari ini.

Ishak bertuah kerana ideanya untuk mengeluarkan susu formula itu mendapat bantuan pakar akademik dalam sains pemakanan dan juga pakar homeopati.

"Idea ini datang hasil daripada misi jualan saya bagi produk untuk ibu hamil yang mengandungi bahan khusus yang dapat membantu memudahkan kelahiran dan meningkatkan kecerdasan dan bayi yang dilahirkan.

"Dari situ, saya terfikir kenapa tidak bahan yang terbukti baik untuk bayi yang bakal dilahirkan itu diteruskan untuk diberikan kepada kanak-kanak yang sedang membesar untuk mendapat khasiat berterusan.

"Inilah yang membawa kepada penghasilan susu formula jenama Biomil," katanya.

Ishak berkata, susu tepung biokimia Biomil diperkaya dengan fosfat (garam tisu biokimia) seperti kalsium dan magnesium begitu sesuai untuk pemeliharaan kesihatan, emosi dan perkembangan minda.

Jelasnya lagi, fosfat itu juga begitu sesuai untuk pemeliharaan kesihatan, emosi dan perkembangan minda.

Beliau berkata, kajian mendapati pengambilan susu di kalangan kanak-kanak seawal usia mereka satu tahun memberikan mereka perkembangan yang amat memberangsangkan.

"Kanak-kanak berkenaan jarang menghidap demam, selsema, batuk dan ruam, memiliki rambut, tulang serta gigi yang kuat, perkembangan fizikal, emosi dan mental yang konsisten, cerdas dan cergas, membantu penghadaman dan
pencernaan serta mengurangkan ragam tangis," katanya.

Daripada cerita mulut ke mulut mengenai khasiat susu berkenaan, Ishak berkata, susu Biomil kini semakin mendapat tempat di kalangan pengguna.

"Cabaran saya sekarang adalah untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi kerana di sesetengah tempat ada kalanya produk cepat habis. Jadi kita kena pastikan sentiasa ada bekalan," katanya.

Sehingga kini, katanya, kajian pasaran dan maklum balas diterima daripada kalangan ibu adalah begitu luar biasa.

"Ini membuktikan bahawa susu tepung biokimia ini telah diterima masyarakat di negara kita.

"Kini kami menyusun agenda yang lebih besar dengan harapan untuk memecah pasaran global," katanya.

FAKTA

Biotral Sdn Bhd
* Sebuah syarikat milik 100 peratus Bumiputera yang diperbadankan pada 6 Jun 2005.
* Penubuhan syarikat ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab makanan halal.
* Biotral Sdn Bhd pada dasarnya terbabit secara langsung dalam aktiviti formulasi susu tepung dan memasarkan produk susu tepung halal ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
* Syarikat ini juga menjanjikan pengeluaran produknya dihasilkan menggunakan ramuan yang berkualiti tinggi dengan proses pengeluarannya dilakukan melalui amalan kebersihan yang tinggi.
* Produk ini mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta memenuhi tahap kelayakan HACCP dan ISO 9001:2000.

 

 

 

 

 

 
ENGLISHBAHASA

Hubungi Kami
callus.php?lang=ms
Cari Kami
findus/?lang=ms
Emel Kami
emailus.php?lang=ms
KEMUDAHAN
PERKHIDMATAN
LANGKAH SETERUSNYA
PROGRAM KHAS

 
Tingkat 10, Blok 1B Plaza Sentral Jalan Stesen Sentral 5, KL Sentral 50470 Kuala Lumpur
Tel: 03-2785 1515 Faks: 03-2780 2100
Pejabat Wilayah PUNB