|
Sering kali kita mendengar keluhan kisah kehilangan barangan berharga bahkan nyawa insan tersayang apabila berlakunya kes samun serta rompakan di kawasan yang dianggap paling selamat khususnya rumah. Jika sedekad lalu sistem keselamatan adalah sesuatu yang amat terhad dan tidak digunakan secara meluas, ia kini dianggap keperluan dalam masyarakat yang sentiasa dibelenggu keresahan berdepan pelbagai risiko.
Bertitik tolak daripada kesedaran inilah yang memberi ruang kepada lebih ramai usahawan tempatan mengasaskan syarikat yang menawarkan perkhidmatan sistem keselamatan.
Bagi Kamal Ali idea menubuhkan syarikat berasaskan sistem keselamatan, Beskom Resources Sdn Bhd timbul kerana menyedari wujudnya kelemahan dalam sistem keselamatan sedia ada ketika itu.
"Ketika berkhidmat sebagai pegawai di salah sebuah syarikat yang mempunyai lebih 70 pekerja, saya mendapati tiada satu sistem pun yang efektif dalam memantau aktiviti mereka.
"Sistem keselamatan ketika itu terlalu bergantung kepada tenaga manusia (pegawai keselamatan) semata-mata, di situ timbul idea untuk mengasaskan sebuah syarikat yang menawarkan rangkaian dan jaringan bersepadu sistem keselamatan yang merangkumi pemantauan CCTV, akses sistem untuk pintu masuk dan sistem penggera," katanya.
Menceritakan detik awal operasi Beskom pada 1999, Kamal berkata, syarikat itu beroperasi dengan menyediakan khidmat pemasangan alatan pemantauan dan keselamatan yang diperoleh daripada pengedar tempatan serta luar negara.
Katanya, pada peringkat awal operasi, kesukaran memperoleh pelanggan menjadi cabaran utama berikutan tahap kesedaran masyarakat pada kawalan keselamatan ketika itu terlalu rendah.
"Prospek keselamatan pada 10 tahun lalu dipandang ringan berikutan majoriti masyarakat menganggap keselamatan bukan isu utama yang perlu dititik beratkan lebih-lebih lagi selepas krisis ekonomi 1997 yang banyak mempengaruhi perbelanjaan pengguna.
"Namun selepas berlakunya tragedi membabitkan nyawa dan harta, masyarakat baru membuka mata terhadap sistem keselamatan seperti kata pepatah `sudah terhantuk baru terngadah'," katanya.
Beliau berkata, bagi mengatasi masalah itu, syarikat bertungkus-lumus `memerah' tenaga meluaskan pasaran dengan menimbulkan kesedaran terhadap kepentingan sistem keselamatan serta meneroka cabang baru yang berpotensi untuk dikembangkan.
Bagi memastikan produk syarikat itu diterima baik, pelbagai penambah baik serta tambah nilai diperkenalkan termasuk usaha menyesuaikan operasi sistem keselamatan mengikut kehendak masyarakat tempatan, katanya.
"Justeru, kami menambah satu lagi sistem baru dalam bahagian perniagaan kami iaitu sistem bersepadu atau sistem integrasi yang menjuruskan kepada pembangunan kepakaran dalam kejuruteraan komputer.
"Menerusinya, kami memperoleh prospek pemasaran yang lebih luas dan pada akhir 2002 kami mula meneroka segmen OEM iaitu menghasilkan produk jenama sendiri yang dihasilkan dengan gabungan teknologi daripada syarikat di Korea," katanya.
Seterusnya, Beskom ditawarkan peluang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi daripada luar negara dalam membangunkan perisian membabitkan sistem keselamatan sebelum ditawarkan projek berstatus MSC.
Menerusi projek MSC itu, Beskom diminta untuk membangunkan produk di bawah sistem rangkaian keselamatan (ISMS) yang merintis kepada sistem keselamatan pintar bertujuan mengurangkan kebergantungan pada tenaga manusia.
Kamal berkata, menerusi sistem itu, perisian yang dibangunkan berupaya mengesan sebarang perubahan luar daripada keadaan biasa sebagai contoh sistem yang mampu mengesan lebihan kapasiti dalam sesuatu bilik serta merakamkan pergerakan yang meragukan.
Syarikat yang didaftarkan di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) itu menerima status syarikat MSC oleh MDEC pada 2006 bersama status syarikat perintis oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Mengenai potensi pasaran industri sistem keselamatan, Kamal berkata, syarikat yakin permintaan terhadap sistem keselamatan akan terus meningkat dan menjanjikan peluang yang luas untuk diperkembangkan.
Katanya, di Malaysia, prospek pasaran dalam industri ini masih belum disentuh sepenuhnya dan boleh dikategorikan sebagai industri pra-matang. "Justeru, antara cabaran yang dihadapi syarikat adalah untuk mencari tenaga kerja mahir dalam sistem keselamatan bagi menepati spesifikasi kerja khususnya dalam menawarkan khidmat nasihat, penilaian serta garis panduan kepakaran dalam bidang ini.
"Kami melihat potensi yang luas untuk melatih pekerja dengan kemahiran yang diperlukan termasuk mengadakan latihan dan usahasama latihan industri bersama pihak universiti tempatan," katanya.
Beliau menambah, Beskom kini beroperasi dengan tenaga kerja seramai 17 orang termasuk jurutera berbanding hanya lima pekerja di awal operasinya pada 1999.
|