| Sasar Jualan Produk Bio-Asli RM15juta (Harian Metro-Bisnes, 2 November 2009) |
|
|
|
|
Desaku Trading, pengeluar produk Bio-Asli yang menggunakan kandungan utama berasas minyak kelapa dara mensasar mencapai jualan melebihi RM15 juta menjelang akhir tahun ini. Pengarah Urusannya, Ishak Basiran, berkata keyakinan itu berdasarkan sambutan orang ramai terhadap rangkaian 25 produk Bio-Asli yang diperbuat daripada kelapa dara sama ada dengan menjadi ahli atau pengguna. Katanya, ketika ini ahli Bio-Asli berjumlah melebihi 100,000 orang dengan cawangan yang menyeluruh di seluruh negara. “Selain produk istimewa, antara kejayaan syarikat ialah keunikan program promosi dan penjualan produk minyak kelapa dara secara online dan khidmat pesanan ringkas (SMS) serta pelan pemasaran yang menarik. “Usaha kami memanfaatkan sepenuhnya alam siber dan telekomunikasi melonjakkan nama Bio-Asli hingga dikenali ramai dalam tempoh tiga tahun. Justeru, kami bertekad menjadikan produk Bio-Asli sebagai jenama produk herba pilihan nombor satu menjelang akhir 2010,” katanya di Shah Alam, semalam. Menurutnya, ketika ini, syarikat menawarkan empat pelan pemasaran iaitu pelan 1, 2, berlian dan internasional dan infiniti yang memberi peluang kepada ahli atau sesiapa yang berminat menambah pendapatan sampingan. Katanya, ahli baru yang mendaftar tidak dikenakan bayaran sebaliknya diberi empat web rujukan yang membolehkan mereka mengakses dunia Internet bagi memasarkan produk kelapa dara asli. “Kami akan memperkenalkan satu lagi pelan pemasaran yang dipanggil pelan prabayar yang dijadualkan dilancarkan Januari ini,” katanya. |






