| UniRazak, PUNB Perkukuh Kerjasama (Utusan Malaysia, 21 Januari 2010) |
|
|
|
|
Dalam usaha menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi terbaik negara, Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) mengorak langkah dengan mengadakan kerjasama dengan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB). Kerjasama yang direalisasikan menerusi satu memorandum persefahaman (MoU) itu akan memantapkan lagi bidang penyelidikan dan pembangunan, aktiviti perundingan, akses kepada data dan kemudahan, melahirkan usahawan muda serta penyertaan siswazah dalam Skim Siswazah Prosper PUNB. UniRazak diwakili Presiden dan Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Md. Zabid Abdul Rashid manakala Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Mohd. Nasir Ahmad mewakili organisasi pimpinannya. Pengarah (Projek Khas - Hubungan Institusi) UniRazak, Ailinton Isahak dan Pengurus Besar Divisyen Pelaburan PUNB, Dzulkifli Fadzilah menjadi saksi majlis menandatangani MoU itu. Zabid berkata, PUNB dan UniRazak berkongsi visi yang sama iaitu untuk membangun dan mengukuhkan usahawan untuk manfaat komuniti dan negara. "Untuk Malaysia yang lebih makmur, adalah penting bagi usahawan mempunyai akses kepada ilmu pengetahuan dan sumber kewangan untuk mengembangkan perniagaan mereka. "Kami sangat gembira dapat bekerjasama dengan PUNB untuk menyokong usahawan negara dan kita berharap usahawan itu nanti bukan sahaja mengejar keuntungan tetapi juga mempunyai kesedaran untuk membantu komuniti," katanya ketika berucap pada majlis itu. Sementara itu, Mohd. Nasir pula berkata, menerusi Program Siswazah, siswazah akan berpeluang untuk mendapat pendedahan lebih awal bagi menjadi usahawan berjaya dan juga mengenali selok-belok dan 'tipu helah' dalam perniagaan. "Ia akan memberi peluang kepada mereka untuk membiasakan diri tentang bagaimana usahawan berfikir dan bekerja," katanya. Antara bidang kerjasama menerusi MoU itu termasuk pembangunan bersama untuk program latihan yang baru dan bengkel membangunkan kakitangan dan penyelidikan terhadap bidang yang bermanfaat bagi pembangunan usahawan bumiputera. Kedua-dua institusi juga akan berkongsi kepakaran dalam bidang pemasaran, trend dalam industri dan juga maklumat serta menyediakan khidmat perunding dan nasihat demi kebaikan dan kemajuan usahawan bumiputera. |






