Laman Utama Emel Kami Peta Laman

RM246j Pinjaman PUNB Tambah Usahawan Kecil (Berita Harian-Ekonomi, 22 Februari 2010) PDF Cetak E-mel

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menjangkakan menyalurkan pinjaman sebanyak RM246 juta tahun ini bagi menyokong sektor perniagaan kecil di negara ini, meningkat hampir sekali ganda berbanding hanya RM143.3 juta yang disalurkan tahun lalu.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata selain meneruskan pembiayaan kepada usahawan terbabit dalam industri konvensional seperti pembuatan dan peruncitan, PUNB akan menumpukan kepada usaha menambah bilangan usahawan dalam bidang perkhidmatan dan menjana usahawan baru dari kalangan graduan.

PUNB juga, katanya akan menambah pemilikan aset menerusi pembelian premis perniagaan di lokasi strategik untuk disewakan kepada pengusaha berpotensi pada kadar berpatutan.

“Tahun ini PUNB membuat sasaran lebih tinggi berbanding tahun lalu kerana prestasi ekonomi negara yang semakin pulih.

“Malah, dalam situasi ekonomi yang perlahan tahun lalu, jumlah pembiayaan yang kami keluarkan tidak jauh tersasar.

“Sebagai contoh, tahun lalu kami menyasarkan membeli 46 kedai, tetapi hingga akhir tahun kami mencatatkan 44 unit, manakala bilangan pemborong yang dibiayai adalah 42 orang dengan nilai pembiayaan RM57.1 juta, berbanding 51 yang disasarkan,” katanya ketika ditemui, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tahun ini, katanya PUNB menyasarkan meluluskan 262 pembiayaan kepada sektor runcit berjumlah RM57.3 juta, manakala pemborongan pula 48 usahawan dengan pembiayaan RM69.6 juta.

Pembiayaan kepada sektor pembuatan pula disasarkan kepada 22 usahawan berjumlah RM35.5 juta, manakala pembiayaan siswazah kepada lebih 200 usahawan dengan nilai pembiayaan sebanyak RM10 juta.

PUNB juga, katanya mensasarkan membeli 21 buah aset atau premis perniagaan dengan peruntukan RM22 juta dengan anggaran nilai setiap aset RM1 juta.

Untuk tujuan itu, selain mencari sendiri premis di lokasi menarik menerusi kerja sama dengan pemaju hartanah, PUNB mengalu-alukan cadangan daripada individu untuk menjual premis masing-masing.

Mengenai pinjaman tidak berbayar, Mohd Nasir berkata, walaupun kadarnya naik kira-kira tujuh peratus tahun lalu, berbanding 2008, namun angkanya masih tidak membimbangkan dan masih boleh diuruskan oleh pihaknya.

Jelas beliau, PUNB sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan peminjam yang berdepan dengan masalah sama ada untuk menstruktur atau menjadualkan semula pinjaman masing-masing.

“Tahun lalu, kami turut mengambil langkah proaktif terhadap peminjam yang gagal membuat bayaran balik pada tempoh yang ditetapkan dengan menawarkan rebat.

“Menerusi pendekatan ini, peminjam diberi rebat atau ‘rehat’ selama dua bulan untuk tidak perlu membuat bayaran pinjaman dalam satu-satu tempoh tertentu, sebagai contoh rehat dua bulan selepas bayaran tepat masa dalam tempoh enam bulan,” katanya.

 

 

 

 

 

 
ENGLISHBAHASA

Hubungi Kami
callus.php?lang=ms
Cari Kami
findus/?lang=ms
Emel Kami
emailus.php?lang=ms
KEMUDAHAN
PERKHIDMATAN
LANGKAH SETERUSNYA
PROGRAM KHAS

 
Tingkat 10, Blok 1B Plaza Sentral Jalan Stesen Sentral 5, KL Sentral 50470 Kuala Lumpur
Tel: 03-2785 1515 Faks: 03-2780 2100
Pejabat Wilayah PUNB