| RM15 Bilion Diperuntuk Bantu Usahawan (Berita Harian-Nasional, 8 Februari 2010) |
|
|
|
|
Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM15 bilion melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi membantu usahawan bertaraf tinggi memajukan perniagaan. Katanya, inisiatif berkenaan mampu meningkatkan pelaburan dengan sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan, sekali gus menyumbang kepada pendapatan negara. "Kerajaan akan memberi bantuan dari segi kewangan dan sokongan lain yang dirasakan bersesuaian bagi meningkatkan produktiviti mereka, mulai tahun ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan Hari Kerjaya dan Keusahawanan Parlimen Tasek Gelugor di Dewan Sungai Dua di sini, semalam. Mengulas lanjut, Nor Mohamed berkata, bantuan berkenaan akan disalurkan melalui beberapa agensi kerajaan terpilih seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), MARA dan Wilayah Ekonomu Koridor Utara (NCER). "Kebanyakan usahawan terutama Bumiputera mempunyai kemahiran dan sering mendapat projek termasuk dari luar negara, tetapi mereka tidak cukup modal. "Jika mahu meminjam dari bank pula syarat dikenakan terlalu ketat sehingga menyebabkan produktiviti mereka tersekat," katanya. Sehubungan itu katanya, insentif berkenaan dijamin dapat membantu usahawan bertaraf tinggi meneruskan perniagaan tanpa perlu risau kekangan kewangan. Terdahulu, Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, berkata Hari Kerjaya dan Keusahawanan dijadikan platform kepada penduduk Tasek Gelugor mencari peluang kerajaan. Pada majlis itu, Nor Mohamed turut melancarkan laman web beliau iaitu www.normohamed.my bagi memudahkannya berinteraksi dan berkongsi maklumat dengan orang ramai. |






