Laman Utama Emel Kami Peta Laman

Semakin Mendapat Perhatian (Utusan Malaysia - Ekonomi, 4 Februari 2011) PDF Cetak E-mel
Kesungguhan dan minat yang tinggi merupakan kunci kepada penubuhan Wanaf Logistics (M) Sdn. Bhd. (Wanaf Logistics) antara syarikat logistik bumiputera semakin mendapat perhatian industri.

Pengarah Urusannya, Wan Ahmad Fazlisyah Wan Mohamad berkata, tanpa kedua-dua elemen tersebut ia sukar untuk menembusi pasaran logistik yang pada kebiasaannya dipelopori oleh bukan bumiputera.


''Pengalaman saya selama 12 tahun dalam industri ini telah membuka mata dan minda untuk menubuhkan syarikat logistik sendiri, dimulakan dengan Air Freight di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kemudian ke Pulau Pinang dan di Pelabuhan Klang.


''Bermula dari bawah, saya belajar mengenai selok-belok perniagaan ini dan bagaimana menguruskan pelanggan serta barangan di pelabuhan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.


Wanaf Logistics merupakan syarikat logistik yang menyediakan perkhidmatan transhipment (barangan yang datang ke Malaysia kemudian dilakukan penambahan nilai sebelum dieksport semula), gudang dan penghantaran menggunakan trak.


Ia juga merupakan satu-satunya usahawan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) yang menjalankan perniagaan logistik.


Fazlisyah berkata, pelbagai rintangan telah dilalui termasuk masalah dengan rakan kongsi sebelum ini serta ditipu pelanggan, namun beliau tidak melatah dan terus cekal untuk menubuhkan Wanaf Logistics.


''Wanaf Logistics secara rasminya telah ditubuhkan pada Ogos 2008 dengan kakitangan seramai tiga orang serta modal menggunakan dana dalaman.


''Bermula dengan kerja-kerja transhipment pelanggan dari Singapura, manakala aktiviti gudang diserahkan penggendali di pelabuhan sehingga pada Mac tahun berikutnya, kami berhasrat untuk melakukan semua kerja tersebut sendiri.


''Wanaf Logistics menyedari untuk memulakannya semua sendiri, kami memerlukan dana yang banyak apabila diperkenalkan kepada PUNB dan yang lainya adalah sejarah,'' jelasnya.


Setakat ini, pelanggan terbesar bagi segmen gudang adalah untuk anak syarikat multinasional berkaitan automotif syarikat industri makanan terkenal tempatan untuk segmen trak.


Fazlisyah berkata, Wanaf Logistics mempunyai lima trak milik sendiri dan lima lagi disewa, perancangan mereka seterusnya adalah untuk menambah lagi trak sekurang-kurangnya menjadikan 20 buah pada tahun ini.


''Pada tahun ini juga, Wanaf Logistics akan mengembangkan perniagaan dengan membina kawasan atau lapangan serta ruang pejabat berhampiran Pelabuhan Klang dengan nilai pelaburan mungkin mencecah sehingga RM5 juta.


''Lapangan tersebut juga akan dilengkapi dengan gudang berlesen awam serta kawasan untuk menempatkan trak-trak syarikat,'' katanya.


Sementara itu, ketika diajukan soalan apakah kelebihan memilih syarikat logistik kecil, Fazlisyah berkata, syarikat kecil lebih dekat dengan pelanggan.


''Di Wanaf Logistics hubungan kami dengan pelanggan adalah lebih rapat memandangkan segala permasalahan pelanggan dapat terus di uruskan dengan lebih cepat,'' tambahnya.


Ketika ditanya mengenai industri logistik secara keseluruhannya, beliau berkata, ia sedang meningkat naik selepas krisis ekonomi yang berlaku baru-baru ini, terutama selepas sambutan Tahun Baru Cina.


Bergerak ke hadapan, Wanaf Logistics akan memberi penumpuan kepada pengangkutan serta gudang dengan sasaran untuk mempunyai lebih banyak trak, lapangan lengkap dengan gudang dan sebagainya.


Beliau juga berharap untuk menembusi pasaran logistik bagi industri minyak dan gas serta barangan pengguna.


 

 

 

 

 

 
ENGLISHBAHASA

Hubungi Kami
callus.php?lang=ms
Cari Kami
findus/?lang=ms
Emel Kami
emailus.php?lang=ms
KEMUDAHAN
PERKHIDMATAN
LANGKAH SETERUSNYA
PROGRAM KHAS

 
Tingkat 10, Blok 1B Plaza Sentral Jalan Stesen Sentral 5, KL Sentral 50470 Kuala Lumpur
Tel: 03-2785 1515 Faks: 03-2780 2100
Pejabat Wilayah PUNB