Laman Utama Emel Kami Peta Laman

Salur RM173.8juta (Harian Metro - Bisnes, 8 Februari 2011) PDF Cetak E-mel
Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) terus komited membangunkan usahawan Bumiputera apabila bercadang menyalurkan peruntukan pinjaman sebanyak RM173.8 juta dalam usaha meningkatkan daya saing peserta khususnya dalam sektor peruncitan dan pemborongan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata, PUNB juga akan melaksanakan program taklimat dan latihan keusahawanan secara agresif di seluruh negara.

Katanya, pinjaman itu akan disalurkan menerusi empat skim yang ditawarkan PUNB iaitu Skim Prosper Runcit, Skim Pemborong Prosper, Skim Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Skim Prosper Siswazah.

"Jika dilihat pembabitan usahawan Bumiputera dalam semua peringkat rantaian bekalan masih kecil dan disebabkan itu PUNB yakin mereka perlu diberi peluang berniaga sama ada di peringkat pembuatan, pemborongan, pengedaran atau peruncitan melalui pinjaman yang disediakan.

"Malah, PUNB akan terus memberi tumpuan kepada empat skim pinjaman sedia ada bagi memastikan peluang penyertaan Bumiputera dalam perniagaan diperluaskan dalam setiap peringkat bagi menjana ekonomi mantap," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, sehingga September tahun lalu PUNB sudah mengagihkan pinjaman berjumlah RM443.4 juta bagi Skim PKS, Skim Pemborong Prosper (RM204.3 juta), Skim Prosper Runcit (RM345.9 juta) dan Skim Prosper Siswazah (RM18.1 juta).

Mohd Nasir berkata, pihaknya juga menyasarkan untuk mengagihkan pinjaman berjumlah RM76.5 juta kepada 40 syarikat menerusi Skim Pemborong Prosper, RM62.8 juta untuk Skim Prosper Runcit (280 perniagaan), RM25 juta kepada 20 syarikat dalam Skim PKS dan sebanyak RM9 juta untuk dimanfaatkan oleh 200 siswazah.

Beliau berkata, PUNB turut menyasarkan untuk melatih seramai 500 graduan muda menerusi Program Siswazah Perantis tahun ini yang ditawarkan khusus kepada siswazah yang serius mahu menjalankan perniagaan.

Katanya, program latihan itu yang dilanjutkan sehingga akhir tahun ini menempatkan siswazah terpilih di 380 syarikat naungan PUNB dan juga syarikat lain.

Setakat ini latihan itu sudah menarik lebih 2,000 penyertaan sejak diperkenalkan pada Mei 2009.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata PUNB juga bercadang membeli 38 premis terdiri daripada kilang kecil dan kedai yang bernilai kira-kira RM40 juta tahun ini.

"Setakat ini PUNB sudah membeli 57 premis perniagaan dengan lebih separuh daripadanya sudah disewakan kepada usahawan manakala sebahagian daripada premis yang dibeli itu masih dalam pembinaan," katanya.
 

 

 

 

 

 
ENGLISHBAHASA

Hubungi Kami
callus.php?lang=ms
Cari Kami
findus/?lang=ms
Emel Kami
emailus.php?lang=ms
KEMUDAHAN
PERKHIDMATAN
LANGKAH SETERUSNYA
PROGRAM KHAS

 
Tingkat 10, Blok 1B Plaza Sentral Jalan Stesen Sentral 5, KL Sentral 50470 Kuala Lumpur
Tel: 03-2785 1515 Faks: 03-2780 2100
Pejabat Wilayah PUNB