| 'Jadi Jurulatih Tidak Semestinya Kena Jadi Pemain'... (Utusan Malaysia, 14 Mei 2011) |
|
|
|
|
Selepas menghabiskan separuh daripada tempoh perkhidmatannya selama 20 tahun di Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), Datuk Nasir Ahmad akhirnya memilih untuk tidak menyambung kontraknya. Kontraknya berakhir pada 31 Mei ini. Ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini, Nasir kelihatan santai sekali, sedang meneliti kotak-kotak yang disediakannya untuk mengisi barang-barang peribadi. Dalam pertemuan itu, beliau menyatakan kepuasannya kerana berjaya memulihkan dan menstabilkan entiti yang bermasalah sebelum itu. UTUSAN: Kenapa Datuk memutuskan untuk tidak menyambung kontrak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB)? NASIR: Keputusan itu adalah pilihan saya sendiri kerana 10 tahun berkhidmat sebagai CEO PUNB adalah satu tempoh yang lama dan sudah tiba masanya untuk berehat serta meluangkan masa untuk diri sendiri dan keluarga. Apakah perancangan Datuk selepas ini? Saya belum mempunyai sebarang perancangan dalam masa terdekat ini. Saya ada menerima tawaran dari dua buah universiti untuk menjadi pensyarah tetapi masih belum memikirkan tawaran itu kerana ingin berehat sekurang-kurang tiga bulan kemudian mungkin akan difikirkan atau berbincang selepas itu. Sekiranya memilih untuk bekerja saya ingin bekerja separuh masa sahaja. Mungkinkah Datuk terjun dalam dunia perniagaan? Saya tidak berminat menjadi usahawan perniagaan biarpun mempunyai pengalaman sebagai pengurus syarikat profesional. Sama seperti anda menjadi jurulatih tidak semestinya anda telah bermain untuk negara akan menjadi jurulatih yang baik. Anda boleh terlibat dalam perniagaan tidak semestinya menjadi usahawan, terdapat banyak cara untuk menyertai perniagaan. Apakah kenangan manis etika berkhidmat dengan PUNB? Perkara yang paling manis tidak dapat dilupakan adalah hubungan dengan kakitangan PUNB terutama ketika bekerja atau semasa hari keluarga. Penerimaan kakitangan adalah sangat penting supaya tidak akan menimbulkan masalah dalam perjalanan syarikat. Sepanjang 10 tahun di PUNB apakah perubahan yang berjaya dilaksanakan? Saya menerajui PUNB ketika ia berada dalam keadaan terumbang-ambing perkara yang paling penting telah berjaya dilaksanakan adalah mengubah budaya kerja menjadi lebih berkesan, cekap serta kos lebih rendah. Ini kerana budaya kerja penting dalam menyesuaikan matlamat organisasi dengan keperluan. Selain itu, saya berpuas hati dapat melaksanakan berasaskan syariah dengan bantuan penasihat syariah kami serta menstabilkan syarikat terutama dari segi kewangan supaya dapat mengekalkan integriti supaya reputasi PUNB terus kekal baik. |






