|
Perluas Program Pembacaan (Kosmo!, 27 Jun 2011) |
|
|
|
|
Kuala Lumpur - Genius Aulad Learning Consultancy Sdn. Bhd. (Genius Aulad Consultancy) pengendali rangkaian pusat perkembangan kanak-kanak berasaskan pengajaran Islam yang dikenali sebagai Genius Aulad, bercadang untuk mengembangkan program pembacaannya di seluruh negara pada tahun ini.
Pengarah Eksekutifnya, Zaliza Alias berkata, program pembacaan itu bertujuan untuk menggalakkan sifat suka membaca di kalangan kanak-kanak meskipun berusia seawal tiga tahun.
Menurutnya, kumpulan sasar program berkenaan ialah pusat-pusat pendidikan pra-sekolah, taska dan tuisyen.
"Program pembacaan Genius Aulad dibangunkan dengan kerjasama Mega Base Consultancy yang berpangkalan di United Kingdom.
"Ia merupakan program pembacaan berstruktur yang menggunakan 12 buah buku yang menerapkan nilai-nilai Islam dan ia dilaksanakan di dalam bahasa Inggeris," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Zaliza menjelaskan, program ini boleh digunakan di dalam kelab-kelab membaca di sekolah dan pihaknya bersedia untuk membantu menyediakan kit dan latihan pembelajaran kepada pihak yang berminat.
"Matlamat kami ialah untuk membangunkan program pembacaan khususnya di kalangan kanak-kanak di seluruh negara dan kami bercita-cita besar untuk mengembangkan perniagaan ini hingga ke peringkat global menjelang tiga tahun akan datang," ujarnya.
Tambah beliau, untuk mencapai sasaran berkenaan, syarikat akan sentiasa mengambil langkah untuk memperkayakan lagi kandungan program pembacaannya agar isi dan kualiti kandungannya terus menarik perhatian kanak-kanak serta relevan dengan peredaran masa.
|