Laman Utama Emel Kami Peta Laman

Produk Coklat Ryverra Dapat Sambutan (Berita Harian - Ekonomi, 18 julai 2011) PDF Cetak E-mel

Manisan strawberi coklat kegemaran penyanyi terkemuka negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin tanpa disangka-sangka memberi cetusan idea kepada tiga anak muda ini mencipta resipi coklat yang kini sudah menembusi pasaran antarabangsa.

Siti Nurhaliza menyatakan kegemarannya menikmati strawberi segar yang dicelup coklat ketika wawancara majlis perkahwinan beliau dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada 2006.

Pengakuan itu secara tidak langsung memberi idea kepada Muzairee Daud, Mohd Radzi Othman dan Shahril Omar masing-masing 29 tahun untuk cuba mengkomersilkan strawberi coklat yang akhirnya mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar coklat.

Walaupun daripada latar belakang pendidikan berbeza, namun misi mereka adalah sama iaitu mengusahakan perniagaan berasaskan coklat kerana melihat potensi pasaran itu yang semakin berkembang.

Mereka juga mengikuti kursus dan mendapatkan bimbingan daripada Lembaga Koko Malaysia bagi memperluaskan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang itu.

Mereka menubuhkan GMR Food & Beverages pada 2006 yang memfokus kepada peruncitan coklat buatan tangan mereka dengan membuka kios pertama Strawchoz di Tesco Ampang, dan kemudian pada 2008 Ryverra Chocolate & Confectionery Sdn Bhd yang tertumpu kepada pengilangan.

Bagi berkongsi keenakan rahsia coklat serta kepakaran dan rahsia pembuatan coklat sebenar, Ryverra juga menubuhkan Akademi RICH untuk memberi pendedahan mengenai pembuatan coklat kepada masyarakat.

Hasilnya, mereka kini berjaya membangunkan tiga jenama coklat iaitu Ryverra (premium), Estana dan Qidoz yang menggunakan sepenuhnya bahan koko Malaysia.

Ia bukan saja dijual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), butik coklat dan pasar raya besar di seluruh negara tetapi juga menerima permintaan kukuh bagi pasaran China dan Singapura.

"Kami tidak pernah terfikir untuk menjalankan perniagaan coklat, tetapi melihat kepada sambutan memberangsangkan bagi strawberi coklat ketika itu memberi idea kepada kami untuk menghasilkan resipi coklat terbaik daripada bahan koko Malaysia.

"Namun bukan mudah sebenarnya, kami terpaksa mengikuti kursus asas buatan coklat dan seterusnya mencipta resipi coklat kami sendiri yang menepati cita rasa pelanggan. Kami berpakat mengumpul modal kira-kira RM40,000 bagi memulakan perniagaan dan kami meminjamnya daripada rakanrakan yang lain," kata Muzairee selaku Pengarah Urusan syarikat itu yang ditemui Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau dan Shahril yang berkelulusan Sarjana Muda Syariah dan Pengurusan dari Universiti Malaya (UM) pernah menjalankan perniagaan penternakan kupang di Melaka, tetapi tidak berjaya, manakala Radzi sebelum ini sebagai perunding perniagaan di sebuah syarikat swasta.

Justeru, tiga sahabat baik itu berpakat untuk menjalankan perniagaan dan bidang pembuatan coklat menjadi pilihan mereka.

Dalam usaha menjadi pengeluar coklat global, syarikat turut meninjau rakan kongsi dan pengimport bagi produknya khususnya dari Brunei, Indonesia, Kemboja, Thailand dan Asia Barat sama ada menerusi perniagaan pengeluaran peralatan asli (OEM) dan pembukaan kios Strawchoz.

Mereka boleh disifatkan sebagai anak muda yang berinovasi dan berwawasan tinggi, kerana tidak pernah jemu mencipta resipi coklat baru dalam usaha menjadikan jenama coklat mereka setanding Cadbury dalam tempoh 10 akan datang.

Setakat ini, lebih 200 produk coklat telah dihasilkan dan dijual menerusi kios Strawchoz, manakala sebanyak 35 produk yang mempunyai pelabelan dan pembungkusan standard di lokasi terpilih di seluruh negara.

"Daripada kami bertiga, kini kami mempunyai kira-kira 20 kakitangan termasuk di bahagian pemprosesan coklat. Setakat ini, kami telah melabur lebih RM300,000 bagi pembelian jentera termasuk mendapatkan bantuan pinjaman daripada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).

"Kini kami merancang memperluaskan kilang pengeluaran kami di Pandan Indah, dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran coklat kami. Ketika ini, kami mengeluarkan kira-kira 3.5 tan coklat sebulan," katanya.

Selain coklat, Ryverra turut mengeluarkan produk minuman berasaskan koko dan syarikat juga akan mula mengeksport ke India, Bangladesh dan Nepal sebelum akhir tahun ini.

Ryverra juga mempunyai kontrak pembekalan coklat dengan San Francisco Coffee Malaysia dan Choc Station di KLIA.

Beliau berkata, syarikat juga merancang meningkatkan sumbangan eksportnya kepada jualan kepada 20 peratus dalam tempoh tiga tahun lagi daripada 10 peratus ketika ini, menerusi pengembangan agresif di pasaran yang belum diterokainya.

Ryverra juga memperkukuhkan kedudukannya dalam bidang peruncitan coklat menerusi tiga cawangan Strawchoz iaitu di Tesco Ampang, AEON Mahkota Cheras dan AEON Cheras Selatan. Mereka juga akan membuka cawangan keempat di Nu Sentral tahun depan.

"Dalam perniagaan, kami tidak menafikan sering juga berlakunya perselisihan pendapat bagaimanapun kami perlu menyelesaikannya ia secara baik dan rasional. Ini kerana kami bermula daripada bawah, dan soal paling penting bukan siapa yang mengeluarkan modal banyak.

"Apa yang lebih penting ialah bagaimana untuk kami pastikan perniagaan ini terus berjaya menerusi pengurusan bersama," katanya Ryverra juga telah dipilih sebagai Timbalan Presiden Persatuan Usahawan Coklat Buatan Tangan Malaysia dan Mentor kepada Program Siswazah Perantis PUNB.

PROFIL

Nama: Muzairee Daud

Jawatan: Pengarah Urusan Ryverra Chocolate & Confectionery Sdn Bhd & GMR Food & Beverages

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Pengurusan, Universiti Malaya

PROFIL

Nama: Shahril Omar

Jawatan: Pengarah Operasi

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Pengurusan, Universiti Malaya

Nama: Mohd Radzi Othman

Jawatan: Pengarah Pembangunan Produk

Pendidikan: Diploma Sains Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor

 

 

 

 

 

 
ENGLISHBAHASA

Hubungi Kami
callus.php?lang=ms
Cari Kami
findus/?lang=ms
Emel Kami
emailus.php?lang=ms
KEMUDAHAN
PERKHIDMATAN
LANGKAH SETERUSNYA
PROGRAM KHAS

 
Tingkat 10, Blok 1B Plaza Sentral Jalan Stesen Sentral 5, KL Sentral 50470 Kuala Lumpur
Tel: 03-2785 1515 Faks: 03-2780 2100
Pejabat Wilayah PUNB