Laman Utama Lembaga Pengarah

Encik Azwan Nazri bin Baharuddin

Azwan

Azwan Nazri Baharuddin dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PUNB berkuatkuasa 24 September 2018.

Azwan memiliki kelulusan pendidikan peringkat Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari University of Leicester, United Kingdom. Memiliki latar belakang dalam bidang ekonomi serta minat yang mendalam dalam teknologi selama lebih 20 tahun, pelbagai projek-projek IT yang telah dilaksana dan diuruskan di seluruh dunia selain memberi khidmat penyelesaian perniagaan kepada pelanggan di samping meningkatkan jualan.

Azwan pernah berkhidmat di United Kingdom selama hampir 4 tahun dalam industri perbankan sebelum berpindah semula ke Malaysia dan menyertai firma perakaunan, Ernst & Young selama lebih 10 tahun sebagai Partner, ASEAN Advisory Business Development, Head of Markets Malaysia dan Partner, Asia Pacific Advisory Business Development Leader dalam merangka inisiatif strategik untuk mengembangkan perniagaan di rantau ini.

Beliau juga merupakan Java J2EE Programmer Bertauliah dan bergiat aktif mengikuti perkembangan inovasi terbaharu selain sering berkongsi maklumat di beberapa platform media sosial.

Kini Azwan memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Malaysia di Accenture.

Encik Nurjesmi bin Mohd Nashir

Nurjesmi

Nurjesmi Mohd Nashir dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PUNB berkuatkuasa 24 September 2018.

Nurjesmi telah menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kewangan dari Syracuse University, New York dan seterusnya memulakan kerjaya dalam industri broker sebagai Penganalisis Ekuiti di Maybank Securities dan Arab Malaysian Securities dari tahun 1994 sehingga 1996 sebelum beralih kepada industri perbankan. Pada 1996, beliau telah menyertai Citibank Berhad (Bahagian SME) dan kemudiannya beralih ke beberapa portfolio berlainan di segmen Perbankan Korporat sebelum dilantik sebagai Ketua Sektor Awam (portfolio GLC), jawatan yang telah disandang sehingga 2013 di institusi bank yang sama.

Nurjesmi mempunyai pengalaman melebihi 20 tahun dalam industri perbankan dan pasaran modal di dua buah bank antarabangsa, dan kini beliau menyandang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif, Ketua Global Corporate Bank di J.P. Morgan Chase Bank Berhad.

Encik Zarir bin Mohd Salleh

Zarir

Zarir Mohd Salleh dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PUNB berkuatkuasa 24 September 2018.

Zarir memiliki kelayakan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Perakaunan) dari La Trobe University, Melbourne, Australia. Beliau memulakan kerjayanya pada tahun 1997 bersama BDO Binder Public Accountants dan PricewaterhouseCoopers, sebuah firma perakaunan antarabangsa.

Sebagai Akauntan Bertauliah bersama Chartered Accountants Australia dan New Zealand serta pengalamannya selama lebih 20 tahun dalam bidang kewangan yang melibatkan laporan kewangan, pengurusan hubungan pelanggan, pengurusan projek, penstrukturan semula hutang, perbankan korporat, transaksi serta pelaburan. Beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Kewangan Korporat CIMB Investment Bank Berhad (dahulunya dikenali sebagai Commerce International Merchant Bankers Berhad) pada 2002, Jabatan Perbankan Pelaburan CIMB pada 2004 dan Jabatan Perbankan Global HSBC Bank Malaysia Berhad pada 2011.

Kini, beliau merupakan Pengarah Perbankan Korporat Global di MUFG Bank (Malaysia) Berhad (dahulunya dikenali sebagai Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) Berhad).

Datuk Dr. Sabirin bin Ja'afar

Sabirin

Datuk Dr. Sabirin Ja'afar telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PUNB berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pada 1987 Dr Sabirin memulakan kerjaya sebagai Majistret Kuala Kubu Bharu, Rawang dan Kajang dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Malaysia. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Penolong Kanan Pendaftar, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum dilantik sebagai Ketua di Bahagian Penyelidikan Mahkamah Persekutuan Malaysia dan kemudian dilantik Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur merangkap Pegawai Khas kepada Ketua Hakim Negara, YAA Tun Dato' Seri Mohamed Dzaiddin Haji Abdullah.

Beliau kemudiannya memegang beberapa jawatan penting dalam frateniti perundangan antaranya, sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur, Peguam Kanan Persekutuan (Bahagian Antarabangsa & Rundingan) di Jabatan Peguam Negara, Penasihat Undang-undang Kementerian Pertahanan Malaysia, Pengarah Undang-undang dan Penyiasatan, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Dr. Sabirin melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dalam Undang-undang Maritim di University of Wales, United Kingdom pada September 1996 dan kemudian menyambung pengajian ke peringkat Ph.D dalam bidang yang sama di Greenwich Maritime Institute, University of Greenwich, United Kingdom pada 2002 atas tajaan Kerajaan British melalui program Chevening Scholarship. Setelah lulus beliau menyambung perkhidmatan Kerajaan dan jawatan terakhir beliau ialah Pengurus Undang-Undang dan Pengurusan Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand (Malaysia-Thailand Joint Authority) iaitu syarikat milik dua negara bagi penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas di Teluk Siam.

Beliau bersara secara pilihan pada 2011 untuk menyertai dunia akademik sebagai Profesor Undang-Undang Perniagaan & Etika di International Business School (IBS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari sehingga 2014 sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Malaya untuk tempoh 2 tahun oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Selepas tamat kontrak, beliau menyertai firma Messrs. Abdul Raman Saad & Associates sebagai rakan kongsi mengkhusus dalam bidang korporat dan kewangan berpusat di Johor Bahru sebelum berpindah semula ke Kuala Lumpur dan membuka perniagaannya sendiri.

Dr. Sabirin bergiat aktif dalam bidang penulisan buku dan artikel selain sering dijemput memberi syarahan berkaitan undang-undang maritim.

Kini, beliau merupakan Pengerusi Inmanism Pay Sdn Bhd, Pengarah bagi DSJ Treasure Food Products Sdn. Bhd., Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka dan bergerak aktif dalam NGO tempatan dan badan maritim antarabangsa seperti Seafarers Rights International berpusat di London. Beliau dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebagai Pengerusi Lembaga Pencegahan Keganasan Kementerian Dalam Negeri mulai Oktober 2018 selama tempoh 3 tahun.

Dr Sabirin diterima masuk sebagai Peguambela & Peguamcara, Mahkamah Tinggi Malaya pada 1996.

Datuk Mohammad bin Ismail

Mohammad

Datuk Mohammad bin Ismail dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PUNB berkuatkuasa 12 November 2019.

Datuk Mohammad memulakan kerjayanya sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Kewangan, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) pada 1986 selepas tamat pengajian dari Fakulti Ekonomi & Pentadbiran, Universiti Malaya pada 1985. Selepas 15 tahun berkhidmat di Bahagian Kewangan, MOF, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Pengurusan Pinjaman Kerajaan Persekutuan, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) atau kini dikenali sebagai Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari, MOF pada Jun 2001. Beliau kemudiannya sekali lagi dinaikkan pangkat pada 2013 sebagai Pegawai Kewangan Negeri Perlis.

Selepas 3 tahun berkhidmat di bawah Kerajaan Negeri Perlis, beliau telah dipanggil semula untuk kembali berkhidmat bersama Kerajaan Persekutuan pada 2016 sebagai Setiausaha Bahagian Kanan Pengurusan di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sehingga Mac 2019. Kini, Datuk Mohammad memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan dan Pembangunan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta menjadi Ahli Lembaga Pengarah bagi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).

Pengalaman luas beliau selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam telah melayakkan Datuk Mohammad untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah di beberapa buah syarikat dan agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 2008 sehingga 2010, Lembaga Pelabuhan Klang dari 2000 sehingga 2012, Forest Plantation Sdn Bhd dari 2010 sehingga 2013, Universiti Malaysia Kelantan dari 2012 sehingga 2013 dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) serta Putra Palace Sdn Bhd dari 2013 sehingga 2016. Selain itu, beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Pengerusi di beberapa buah syarikat milik Kerajaan Negeri Perlis seperti Perlis Communication Sdn Bhd, Bakau Jaya Sdn Bhd dan Rumpun Teras Sdn Bhd pada 2013 sehingga 2016.

Datuk Hj Johan bin Abd Aziz

Johan

YB Datuk Hj Johan bin Abd Aziz telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PUNB berkuatkuasa 10 Mac 2021.

YB Datuk Hj Johan merupakan bekas Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri bagi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2016 hingga 2018. Beliau pernah dilantik sebagai Jawatankuasa Perancang Bandar, Kejuruteraan & Infrastruktur dan Perlesenan, Ahli Majlis Perbandaran Kajang pada 2002 hingga 2007, Ahli Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 2013 hingga 2018, Ahli Lembaga Pengarah MARA Corporation Sdn Bhd pada 2017 hingga 2018, Jawatankuasa Penasihat Lembaga Hakim Pelawat dan Pemegang Amanah Yayasan Koreksional Jabatan Penjara Malaysia pada 2013 hingga 2018.

Anak jati kelahiran Kampung Daching, Negeri Sembilan ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada SEGi Kolej, Kuala Lumpur.

Pengalaman beliau dalam bidang keusahawanan telah melayakkannya untuk menyandang jawatan sebagai Pengerusi Compact Vision Sdn Bhd, Pengarah Urusan Shemaz Johan Enterprise Sdn Bhd dan Pengarah Intelek Kekal (M) Sdn Bhd (anak syarikat Kumpulan Syarikat Tersenarai Awam Metro Kajang). Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Konsortium Bumiputera Pelupusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Selangor (PERKASA) pada 1999 hingga 2008 untuk membimbing usahawan-usahawan kontraktor sisa pepejal di Selangor.

Beliau turut dilantik sebagai Ahli Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang dipertanggungjawab mengawasi portfolio utama di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 2013 hingga 2018 serta mengendalikan Sesi Libat Urus bersama pelajar ke 4 buah negara di India, Australia, United Kingdom dan Rusia bagi melawat anak-anak tajaan MARA di luar bandar.

Kini, beliau merupakan Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Kajang.

Puan Sharifah Wahaida Lailatul Syed Hassan Sagaff

Wahaida

Sharifah Wahaida Lailatul Syed Hassan Sagaff dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PUNB berkuatkuasa 10 Mac 2021.

Sharifah Wahaida memulakan kerjayanya sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Perancangan dan Penilaian di Kementerian Pembangunan Usahawan pada 1996 hingga 2002 sebelum memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah di Seksyen Tenaga dan Ketua Penolong Pengarah di Seksyen Bantuan Luar di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada 2004 hingga 2005.

Pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini kemudiannya berkhidmat di bawah Kementerian Penerangan sebelum berpindah ke Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) sebagai Timbalan Pengarah di Seksyen Kewangan dan Pentadbiran. Sharifah juga pernah berkhidmat di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai Timbalan Setiausaha Bahagian, Cawangan Latihan dan Kompetensi, Bahagian Sumber Manusia sebelum menyertai Kementerian Kewangan pada 2014 dengan memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Seksyen Dasar, Sektor Dasar Pelaburan di Bahagian Pelaburan Strategik. Kini, Sharifah merupakan Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Pengurusan dan Pemantauan Pelaburan di bahagian yang sama.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah menerima penghargaan sebagai Ahli Mangku Negara (AMN) pada 2015 selain pernah mewakili Kementerian Kewangan sebagai Jawatankuasa Pelaburan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) pada 2018, Jawatankuasa Kumpulan Wang Industri Elektrik (JKWIE), Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor dan Ahli Lembaga Pengarah Forest Plantation Development Sdn Bhd.

Sharifah juga merupakan Ahli Seumur Hidup Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) selain pernah dilantik sebagai Jawatankuasa Siasatan Khas Susulan Laporan Ketua Audit Negara tahun 2017.