Khamis, 18/07/2019

PUNB Mohon Peruntukan Tambahan Bantu Usahawan (Berita Harian-Ekonomi, 28 Januari 2008)

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) mensasar membeli 50 premis perniagaan yang akan disewakan kepada usahawan runcit Bumiputera menggunakan dana RM25 juta yang diperuntukkan kerajaan bagi tujuan berkenaan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata lokasi yang akan diberikan keutamaan ialah di kawasan pinggir bandar atau bandar yang berpotensi di seluruh negara meliputi bangunan yang sudah siap dan yang akan dibangunkan.

Beliau berkata, bagi memastikan lebih ramai usahawan runcit Bumiputera mendapat manfaat daripada program yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu, PUNB akan memohon peruntukan tambahan.

"Dengan purata harga setiap unit premis kira-kira RM500,000, peruntukan RM25 juta itu mungkin membolehkan kami membeli 50 unit.

"Kami akan memohon peruntukan tambahan bagi membolehkan membeli lebih banyak premis bagi memanfaatkan usahawan dari segi mendapat kadar sewaan yang berpatutan dan lebih rendah daripada kadar pasaran.

"Ini sejajar dengan matlamat kami memastikan kira-kira 20 peratus daripada usahawan yang terbabit dalam Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan (Prosper) tidak bergantung kepada premis milik persendirian dalam tempoh RMK-9 yang akan tamat pada 2010," katanya ketika ditemui, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, PUNB mensasarkan untuk membeli 150 unit premis perniagaan dalam tempoh RMK-9.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, baru-baru ini mengumumkan peruntukan awal RM25 juta kepada PUNB untuk membeli premis perniagaan untuk disewakan kepada usahawan Prosper, bagi memastikan usahawan dalam skim itu berniaga di premis yang disewa pada kadar berpatutan dan tidak menghadapi masalah kerap berpindah kerana kadar sewa yang sering dinaikkan pemilik premis.

Mohd Nasir menjelaskan, program pembelian premis itu untuk melengkapkan program yang dilaksanakan TPPT Sdn Bhd, iaitu tabung pemulihan perumahan terbengkalai, anak syarikat Bank Negara Malaysia.

Beliau berkata, sejak Prosper dimulakan pada Ogos 2000, TPPT menyediakan 107 unit premis perniagaan kepada usahawan Prosper.

Dalam tempoh berkenaan hingga 15 Januari lalu, katanya, PUNB meluluskan 1,491 perniagaan di bawah skim Prosper, yang mana 1,050 beroperasi.

Tahun ini PUNB dijangkakan menyalurkan pembiayaan RM164 juta untuk mewujudkan lebih 500 usahawan baru menerusi skim yang ditawarkannya dalam Prosper.

Mohd Nasir berkata, walaupun PUNB akan menyediakan premis perniagaan kepada usahawan Prosper, ini tidak bermakna usahawan akan bergantung sepenuhnya kepada agensi itu untuk mencari tapak perniagaan.

Sebaliknya, beliau berkata, usahawan digalakkan mencari lokasi yang sesuai dengan keperluan dan konsep perniagaan masing-masing.

Mengenai program PUNB tahun ini, Mohd Nasir berkata, agensi itu akan meneruskan program jaringan usahawan di seluruh negara, dengan satu program di peringkat nasional yang akan diadakan di Kuala Lumpur, dan enam lagi akan dilaksanakan di peringkat wilayah.

"Seperti program yang telah dianjurkan sebelum ini, program yang dilaksanakan banyak memberi manfaat kepada sesama usahawan, dan juga agensi kerajaan dan institusi kewangan yang turut dijemput menghadiri program berkenaan," katanya.