Khamis, 25/04/2019

Skim Tambah Pemborong Bumiputera (Harian Metro-Bisnes, 15 Februari 2006)

Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan mewujudkan 15 pemborong Bumiputera dalam sektor peruncitan, binaan atau produk asas tani tahun ini, dalam usaha mengalakkan pembabitan masyarakat Bumiputera dalam industri pemborong negara.

Bakal pemborong juga boleh mendapatkan pinjaman antara RM250,000 hingga RM5 juta, selain dibenarkan mendapatkan pegangan bukan Bumiputera sebanyak 30 peratus dalam syarikat yang ditubuhkan.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata pihaknya mendapat peruntukan RM40 juta daripada Kementerian Kewangan untuk menjalankan program berkenaan.

“Sejak prapelancaran bulan lalu, maklum balas yang diterima amat menggalakkan, malah kami sudah meluluskan satu permohonan daripada beberapa kertas cadangan yang diterima.

“Skim baru ini akan memberi peluang kepada bumiputera untuk berkecimpung dalam bidang pemborongan memandangkan sedikit saja Bumiputera yang terlibat dalam bidang ini berbanding dengan peruncitan.

“Kami menjangkakan tahun ini, sebanyak 15 pemborong dapat dilahirkan sama ada dari sektor peruncitan, binaan atau produk asas tani dan kami mengalu-alukan bakal usahawan yang berminat menyertai program itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran program Jaringan Usahawan Nasional PUNB 2006 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.

Perasmian disempurnakan Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd Abu Bakar Mohd Noor. Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah PUNB, Datuk Burhanudin Ahmad Tajudin.

Menurutnya, program itu diperkenalkan memandangkan masih kurang golongan Bumiputera terbabit dalam sektor itu, tambahan pula ia berpotensi untuk terus berkembang.

Sementara itu, Mohd Abu Bakar, berkata tahun ini, PUNB mendapat peruntukan dalam bentuk pinjaman sebanyak RM125 juta untuk disalurkan kepada bakal usahawan.

Daripada jumlah itu, RM30 juta untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), RM50 juta untuk program Prosper dan RM5 juta untuk program usahawan siswazah.

Sehingga kini, katanya, PUNB sudah berupaya membangunkan 98 syarikat Bumiputera dalam sektor PKS dengan mewujudkan 360 usahawan membabitkan pelaburan RM350 juta.

Selain itu, Prosper juga sudah melahirkan 2,000 usahawan dalam 902 projek perniagaan runcit dengan kos sebanyak RM238 juta, dan dari jumlah itu, nilai pelaburan PUNB adalah RM114 juta.

Namun, beliau berkata, terdapat juga perniagaan yang gagal akibat daripada beberapa faktor termasuk krisis ekonomi yang melanda pada 1997, syarikat yang terlalu bergantung kepada kontrak atau tender kerajaan saja, tidak mempunyai pengetahuan penuh mengenai perniagaan yang dimiliki dan tidak sabar serta ingin berjaya dalam tempoh singkat.

“Jika dilihat, peratusan gagal agak tinggi dalam PKS iaitu 60 peratus disebabkan krisis ekonomi, memandangkan ketika itu kebanyakan syarikat baru ditubuhkan dalam tempoh setahun dan masih belum kukuh.

“Namun, kegagalan usahawan Prosper pula agak kurang iaitu secara antara 10 hingga 12 peratus saja,” katanya.

Beliau berkata, PUNB akan terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dan mencari bentuk pembiayaan lebih inovatif bagi mempermudah serta memberi peluang kepada usahawan Bumiputera menceburi bidang terbabit, malah sentiasa mengenal pasti skim baru berkaitan sektor peruncitan dan peluang pembiayaan untuk pelaburan dalam bidang peruncitan lebih berpotensi dan berdaya saing.

Pada majlis itu juga, Mohd Abu Bakar turut mengumumkan penerima anugerah kejayaan cemerlang PUNB kepada dua pemilik syarikat PKS iaitu Zaid Abdullah dari Progressive Impact Corporation dan Mazlan Muhammad dari MM VitaoilsSdn Bhd.

Selain itu, turut menerima anugerah ialah empat perniagaan Prosper iaitu Badrul Hisham Bujang @ Abdul Rahman dari Transby Component Sdn Bhd; Roslee Yaacob dari Wawasan Tenggara Sdn Bhd, Syed Muhamad Syed Nazir dari Nadi Mindas Sdn Bhd