Khamis, 25/04/2019

Peminat Kuala Muda Boleh Cuba Gelanggang Baru (Harian Metro, 28 September 2005)

Sungai Petani kini memiliki sebuah pusat permainan futsal tertutup apabila tiga gelanggang baru dikendalikan syarikat Gemilang Futsal dibuka untuk peminat di Kawasan Perusahaan Miel, Sungai Lalang dekat bandar itu. Beroperasi dalam bangunan kilang dengan kos hampir RM240,000 hasil bantuan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, gelanggang yang dilengkapi dengan peralatan terkini permainan itu dibuka mulai jam 9 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari. Pengarah Gemilang Futsal, Mohd Azzerai Ahmad, berkata pusat itu dilengkapi kemudahan kafetaria mengenakan bayaran RM50 bagi ahli dan RM60 bukan ahli selama satu jam bagi waktu siang manakala malamnya pula, RM70 (ahli) dan RM80 (bukan ahli). Katanya, pusat futsal tertutup yang pertama dibuka di kawasan perindustrian itu yang menyediakan kemudahan tempat letak dan sedang mengusahakan promosi sepanjang tahun bagi menarik lebih ramai peminat menyertai sukan berkenaan. Katanya, pihaknya juga bersedia menjadi gelanggang untuk kejohanan peringkat sekolah, antara jabatan kerajaan, swasta dan juga pertandingan bertaraf negeri. "Gelanggang kami bertuah kerana dipilih salah satu venue Kejohanan Aman Futsal 2005 anjuran kerajaan negeri yang dijadualkan bulan depan selain di Jitra dan Alor Star," katanya semalam. Katanya, pihaknya juga bercadang menubuhkan persatuan futsal daerah Kuala Muda yang bakal memberi peluang kepada ahli untuk mengenali dan mencintai permainan yang semakin popular di utara itu dengan lebih baik. Sehubungan itu, peminat yang ingin menggunakan kemudahan gelanggang itu boleh menghubungi Mohd Azzerai menerusi talian 012-2543591 dan 017-4019194, Mohd Sharul Ahmad (019-5654724) atau Nurain Ahmad (012-5206092). Mereka juga boleh berkunjung ke gelanggang itu di Lot A, 143, Jalan 3, Kawasan Perusahaan Miel, Sungai Lalang bertentangan Pusat Servis dan Alat Ganti Perodua