Khamis, 18/07/2019

Hamudi Berkorban Demi Syarikat (Harian Metro, 4 September 2011)

Melihat sikapnya yang gemar bergurau serta berpenampilan sederhana, mungkin ada yang tidak menyangka beliau sebenarnya pengarah syarikat rangkaian produk dipasarkan di pasar raya ternama seperti Tesco dan Mydin.

Pengarah Urusan Syarikat Elhajj, Muhammad Hamudi Abdul Khalid yang berperanan dalam membangunkan rangkaian produk penjagaan diri khusus untuk jemaah haji, mempunyai tarikan sendiri dalam memperlihatkan karismanya sebagai ahli perniagaan.

Meskipun mempunyai karakter mudah didekati serta murah dengan senyuman, tidak bermaksud beliau kurang serius perihal syarikat.

Malah, beliau penuh komited menanam impian menjadikan produknya sebagai perintis kepada produk penjagaan kulit halal sedia ada dalam pasaran.

Menurut lelaki berusia 40 tahun ini, kejayaan dikecapi bukan datang bergolek tetapi berkat kesabaran beliau dan kakitangan yang setia bersama dalam memajukan produk halal berkenaan.

Katanya, beliau umpama layang-layang putus tali satu ketika dulu apabila mengambil keputusan berhenti daripada kerjanya sebagai pengurus kawalan mutu sebuah kilang.

"Sebaik menamatkan pengajian di luar negara, saya ditawarkan jawatan pengurus kawalan mutu di sebuah kilang. Meskipun pendapatan ditawarkan lumayan, saya tidak pernah gembira dengan apa saya lakukan ketika itu.

"Seawal pagi saya terpaksa keluar untuk sampai awal ke tempat kerja dan pulang hanya ketika malam menjelma. Waktu itu, saya rasa hidup kosong dan bosan melalui rutin sedemikian setiap hari. Saya terus mengambil keputusan berhenti dan mencari kerja baru," katanya.

Menurut Hamudi, beliau menganggur seketika dan mencuba pelbagai jenis pekerjaan sebelum memutuskan untuk menceburi bidang perniagaan.

Pada 2003, abangnya yang juga doktor menyarankan beliau mengusahakan produk untuk kegunaan jemaah haji kerana ketika itu tiada produk seumpamanya di pasaran.

Beliau menjalankan kajian mengenai produk luar negara yang berada di pasaran dan menyesuaikan produk dihasilkan syarikatnya bagi kegunaan jemaah ketika berihram di samping melindungi kulit daripada cuaca panas di Tanah Suci Makkah.

"Tidak dinafikan cabaran mencari bahan sesuai untuk kulit dan kegunaan jemaah pergi berihram perlu saya selidik dengan teliti.

"Mujur ada bantuan daripada pakar tertentu seperti pihak hub-halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi menentukan bahan itu suci untuk kegunaan orang berihram serta beribadah," katanya sambil mendakwa produknya bebas lemak haiwan, bahan pewangi dan alkohol.

"Halal bukan setakat bahan digunakan, malah modal disuntik untuk setiap produk mestilah daripada sumber halal.

"Sukar bagi saya membuat pinjaman sewenang-wenangnya kerana perlu memastikan pinjaman itu bebas daripada faedah (riba) dan menurut sistem kewangan Islam.

"Mujur keluarga dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sudi memberi pinjaman tanpa mengenakan faedah kepada saya," katanya.

Lantaran membantu menyuntik lebih banyak modal bagi tujuan kajian memperkembangkan produk Elhajj, beliau rela bergaji rendah manakala pekerjanya menikmati gaji pasaran.

Selama tiga tahun, beliau rela berkorban memperoleh pendapatan rendah demi memastikan syarikat dapat menghasilkan lebih banyak produk untuk kegunaan jemaah haji.

Menyingkap kenangan manis sepanjang bergelar Pengarah Elhajj, Hamudi menyifatkan 2006 sebagai tahun terbaik untuknya.

Meskipun ketika itu usia perniagaan baru tiga tahun dalam pasaran, syarikatnya dipilih untuk menerima kunjungan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin bagi produk barangan halal di Malaysia.

Beliau berkata, tahun kedua menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas), beliau tidak sangka mendapat penghormatan daripada pihak penganjur.

"Saya bersyukur kerana di sebalik produk halal untuk kemudahan jemaah haji, kami dipilih sebagai syarikat yang menerima kunjungan khas Yang di-Pertuan Agong.

"Waktu itu tiada kata-kata boleh digunakan untuk mengungkap kegembiraan saya kerana keberkatan menjalankan perniagaan ini membolehkan saya bertemu pemerintah tertinggi negara.

"Malah, kenangan ketika susah dulu bertukar menjadi pengalaman manis yang tidak dapat saya ungkapkan. Mungkin inilah yang dikatakan sebagai 'kepuasan' oleh mereka yang gigih berusaha," katanya.

Anak jati Pulau Pinang ini tetap berbangga menjadi pengasas kepada produk penjagaan kulit bagi jemaah haji yang menunaikan ibadat berkenaan di kota Makkah.

Produknya bukan saja dipakai oleh jemaah Malaysia tetapi turut dieksport untuk pasaran luar negara seperti Afrika Selatan, Indonesia, Brunei, Singapura, Britain dan Maldives.

Bukti dirinya begitu komited dengan produknya, beliau tidak kekok bertemu pelanggan setiap kali berpeluang menyertai ekspo perniagaan seperti Mihas.

Katanya, dengan bertemu jemaah haji atau pelanggan, beliau dapat mengetahui kemahuan pelanggannya dari semasa ke semasa.

Ikhlas, bersih, suci diutamakan

BERMULA dengan bertentang mata, perasaan itu mula menular ke hati. Itu gambaran pengarah muda ini sewaktu kali pertama bertemu suri hatinya di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2006.

Tidak sangka terselit kisah indah di sebalik pengalaman getirnya membangunkan produk jenama El-Hajj yang ketika itu baru tiga tahun menjengah pasaran tempatan.

Hamudi berkesempatan menceritakan secara ringkas pengalaman sewaktu mengenali isterinya, Zuhaine Zulkarnain, 34, lima tahun lalu.

Beliau tidak menyangka pertemuan sewaktu syarikatnya dan isterinya terpilih untuk dikunjungi pemimpin tertinggi negara ketika itu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin dalam pameran berkenaan menjadi bibit awal jodoh pertemuan mereka.

Pada awalnya hubungan dibina atas tiket persahabatan dan selepas puas mengenali hati budinya selama dua tahun, beliau melamarnya.

"Saya berasa 2006 tahun bermakna kerana waktu itu syarikat saya dipilih bagi dilawati oleh Yang di-Pertuan Agung.

"Dalam masa sama, saya berkenalan dengan bakal isteri. Tidak sangka, bermula dengan perbualan, kami menjadi sahabat dan dia akhirnya menjadi pasangan hidup saya," katanya.

Menurut Hamudi, mungkin ini berkat kesabaran dia dalam membangunkan usaha mewujudkan produk khusus untuk kegunaan jemaah haji.

"Saya menitipkan keikhlasan, kebersihan dan kesucian menjadi asas terpenting dalam setiap penghasilan produk jenama ini.

"Jika tiga aspek ini tidak diabaikan rezeki saya bukan saja murah, malah saya berasa berpuas hati berkhidmat untuk mereka beribadah ke tanah suci.

"Disebabkan itu saya meletakkan slogan 'tenangkan jiwa dalam ibadah' dalam setiap produk untuk mengingatkan bahawa ia bersih dan suci daripada segenap segi.

"Pihak saya juga berharap jemaah yang menunaikan ibadat, terutama ihram, dapat beribadah dengan tenang," katanya serius.

Dalam usaha mempromosi kesihatan dan kepentingan penjagaan kulit, pihaknya mengambil inisiatif menyertai program sahabat haji yang kini masuk tahun kelima sebagai tanda sokongan pihaknya selaku syarikat korporat yang menaja kit keperluan untuk petugas haji.

Menurutnya, tahun ini beliau dijangka bekerjasama dengan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) untuk menaja kit produk penjagaan kulit bagi kegunaan bakal jemaah haji.

Profil

NAMA: Muhammad Hamudi Abdul Khalid

UMUR: 40 tahun

ASAL: Pulau Pinang

KELULUSAN: Diploma kejuruteraan tekstil daripada Institut Teknologi Mara (kini UiTM)

ISTERI: Zuhaine Zulkarnain

ANAK: Eddina dan Hafiy Iddin