Pengarang: mastura

Anda berminat untuk memulakan perniagaan sendiri tetapi tidak mempunyai modal yang besar? Atau anda masih tercari-cari perniagaan yang sesuai untuk menjana pendapatan sampingan tanpa memerlukan modal permulaan yang banyak? Jangan risau! Di bawah, kami senaraikan beberapa jenis perniagaan modal rendah berasaskan perkhidmatan yang popular pada masa kini.

Ramai yang menceburi perniagaan ini kerana modus operandinya mudah dan fleksibel. Namun harus diingat! Ia memerlukan kemahiran tertentu berdasarkan jenis perkhidmatan yang ditawarkan. Untungnya jika menceburkan diri dalam perniagaan ini, modal yang diperlukan tidak terlalu tinggi berbanding bidang lain terutama jika melibatkan pembelian stok barangan atau penyewaan pejabat. Dalam erti kata lain, ia boleh dijayakan dengan modal minimum dan mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja dengan usaha yang gigih.

Pembersihan Rumah/Pejabat

Umum sedar akan kewujudan perkhidmatan pembersihan rumah dan pejabat sejak era 90an. Apatah lagi dengan kemajuan teknologi hari ini, semakin banyak syarikat baru muncul menawarkan perkhidmatan sedemikian secara dalam talian.

Perkembangan ini menunjukkan perkhidmatan sebegini mempunyai permintaan yang tinggi. Laman sesawang seperti Maideasy, MaidACall, Tidy N Shines dan ServisHero adalah antara nama yang tidak asing lagi dalam industri ini (Bagi pengguna Internet, sekurang-kurangnya!).

Seperti perniagaan perkhidmatan yang lain, kadar bayaran bagi perkhidmatan pembersihan tertakluk pada jenis tugasan dan tempoh perkhidmatan.

Apa jua bidang diceburi haruslah mempunyai kemahiran khusus bagi memastikan hasil kerja memuaskan hati pelanggan. Perkara paling penting adalah mencari dan membina kepercayaan pelanggan. Ia bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan, tetapi jika halangan itu dapat diatasi dan anda cekap dalam melakukan kerja pembersihan, pengesyoran pelanggan kepada bakal pelanggan lain pasti akan banyak membantu perniagaan anda.

 Penjagaan Bayi/Kanak-kanak

Perkhidmatan ini sangat sesuai dijalankan oleh golongan wanita terutamanya suri rumah yang ingin menambah pendapatan isi rumah keluarga atau mereka yang bercadang untuk beralih kerjaya bekerja di rumah.

Hasil pendapatan daripada perkhidmatan ini bergantung pada bilangan bayi dan kanak-kanak yang dijaga. Dengan purata pendapatan antara RM 400 hingga RM 600 untuk seorang kanak-kanak, jumlah pendapatan anda boleh melebihi RM 2,000 sebulan.

Khidmat penjagaan bayi dan kanak-kanak dapat dijalankan dari rumah. Kebiasaannya perkhidmatan ini dijalankan dari jam 7 pagi hingga 7 malam dan caj lebih masa akan dikenakan (Sekitar RM 10 hingga RM 50 sejam) sekiranya pelanggan melebihi tempoh yang ditetapkan.

Selain itu, anda juga boleh menawarkan perkhidmatan jagaan harian atau transit untuk mereka yang mempunyai anak-anak bersekolah, sama ada pada sebelah pagi atau petang. Seperti perkhidmatan pembersihan rumah juga, terdapat beberapa syarikat dalam talian yang menyediakan perkhidmatan ini seperti Malaysia Babysitter dan MyBabysitter, yang boleh digunakan sebagai platform lonjakan bagi menempatkan jenama anda sebelum menubuhkan syarikat sendiri.

Penyediaan Makanan

Sentiasa mendapat pujian untuk masakan anda? Jika ya, anda mungkin boleh menceburi bidang penyediaan makanan atau katering.

Jika dilihat di laman sosial, semakin ramai yang memberanikan diri untuk memulakan perniagaan dalam bidang ini. Perkhidmatan seperti ini sangat diperlukan terutama bagi mereka yang bujang dan tidak mempunyai masa atau malas untuk memasak. Malah, ada juga yang turut menawarkan menu sihat bagi yang mementingkan penjagaan dan kesihatan diri.

Apakah strategi pemasaran paling berkesan untuk mempromosikan perkhidmatan anda? Sudah tentulah media sosial! Facebook, Instagram dan Twitter adalah medium terpantas, murah dan cepat bagi mereka yang ingin memperkenalkan perkhidmatan disediakan. Selain itu, anda juga boleh menggunakan pelbagai platform dalam talian dan aplikasi telefon yang menyediakan khidmat kempen pemasaran dan penghantaran makanan seperti Foodpanda dan Grab seandainya anda tidak sempat untuk menguruskannya sendiri. Umum mengetahui bisnes makanan sentiasa ada permintaan dan menguntungkan. Anda berminat?

Fotografi dan Videografi

Berbekalkan sebuah kamera, sebuah komputer dan bakat, anda boleh menceburi bidang fotografi dan videografi. Bermula sekitar 2010, semakin ramai individu yang menawarkan perkhidmatan ini sama ada sepenuh masa mahupun sambilan kerana kini, kedua-dua peralatan asas tersebut mampu untuk dimiliki.

Sebagai permulaan, anda boleh mengiklankan perkhidmatan ini di laman sosial peribadi sebagai promosi pengenalan. Anda juga boleh menggunakan platform ini untuk mendapatkan klien yang memerlukan khidmat sedemikian. Setelah perkhidmatan semakin dikenali, anda boleh membina laman sesawang syarikat sendiri untuk mengukuhkan jenama perniagaan anda. Malah, anda juga boleh bekerjasama dengan syarikat lain yang telah lama bertapak dalam industri bagi melebarkan jaringan perniagaan.

Bagaimana pula dengan pulangan bagi bidang ini? Berdasarkan harga pasaran semasa, harga untuk perkhidmatan fotografi sahaja bermula daripada RM 550 untuk pakej asas seperti majlis pertunangan, akikah mahupun sambutan hari lahir (termasuk album gambar, DVD gambar majlis, dan poster berbingkai) hingga RM 2,800 bagi pakej lengkap perkahwinan (beberapa jenis album gambar, DVD, poster berbingkai dan sesi fotografi luar).

Untuk videografi pula, harganya bermula daripada RM 1,300 hingga RM 7,000 untuk pakej lengkap bagi sebuah majlis (termasuk rakaman acara oleh seorang atau lebih jurugambar video dan DVD).

Ejen Drop-ship

Pasti sudah ramai pengguna Internet di luar sana pernah membeli barangan melalui ejen-ejen drop-ship bukan? Pernah tertanya, layakkah anda untuk menjadi seorang ejen drop-ship? Jangan risau. Anda sememangnya layak! Ejen drop-ship secara asasnya ialah orang tengah antara pemborong atau pengeluar produk dengan pengguna atau pembeli.

Bagaimana untuk menjalankan bisnes sebegini? Jawapannya mudah sahaja. Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah mendaftar sebagai ejen drop-ship produk diinginkan. Kemudian, anda hanya perlu mencari prospek atau pembeli yang mahukan sesuatu produk tetapi tidak dapat membelinya sendiri (mungkin kerana produk tersebut sukar untuk didapati). Seterusnya, anda perlu memaklumkan kepada pemborong atau pengeluar produk tentang butiran penting pembeli seperti nama, alamat pengeposan dan barangan yang ditempah bagi memudahkan urusan jual beli.

Sebagai ejen drop-ship, anda tidak perlu menyimpan stok barangan. Peranan anda dalam sistem perniagaan ini berbeza dengan stokis atau peniaga biasa yang perlu melaburkan wang untuk membeli dan menyimpan stok barangan secara pukal.

Akan tetapi, terdapat juga ejen drop-ship yang membeli terus produk daripada pemborong secara pukal pada harga yang rendah dan memasarkan produk itu dengan mengambil sedikit untung daripada harga kos. Semuanya bergantung kepada individu itu sendiri.

Dengan kadar keuntungan yang agak tinggi serta komitmen yang rendah, ramai yang memulakan perniagaan ini dan kini sudah memiliki bisnes besar. Bak kata pepatah, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Transkripsi Audio

Anda mampu menaip tanpa melihat papan kekunci? Rakan-rakan anda terpegun dengan kelajuan anda menaip? Apa kata anda cuba kerjaya ini. Sebagai langkah permulaan, anda boleh sertai syarikat seperti I-Yuno, Scribe dan Elite Translations Asia untuk menimba pengalaman asas sebagai pentranskripsi audio bebas dengan hanya berbekalkan sebuah set komputer asas dan capaian Internet sahaja.

Namun, sekiranya ingin terus bekerja sendiri, bolehlah mengiklankan perkhidmatan transkripsi audio anda di laman sesawang antarabangsa seperti Freelancer, Upwork dan Guru (perkhidmatan dibayar dalam dolar Amerika) atau di laman sesawang tempatan seperti Freelancing.com, Freelancing.my dan Mudah.my bagi prospek tempatan.

Namun begitu, kadar ini boleh meningkat sehingga RM 6 seminit, bergantung kepada kepantasan khidmat anda. Jika anda menjalankan perusahaan ini secara sepenuh masa, tidak mustahil untuk anda menerima lebih RM 2,000 sebulan! Anda mampu?

Kesimpulan

Selain perusahaan yang disenaraikan di atas, perniagaan berasaskan perkhidmatan lain seperti pemanduan kenderaan perkongsian, khidmat penghantaran barang, pemasukan data dan blogger (anda boleh sertai Nuffnang- sebuah komuniti blog pengiklanan terkemuka dunia) turut berpotensi untuk dilakukan secara sepenuh masa atau sambilan sahaja. Jadi, tunggu apa lagi? Jom mulakan bisnes anda sendiri hari ini.

YBhg Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengerusi PUNB dan Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB hadir ke Majlis Perasmian Minggu Amanah Saham Malaysia (MSAM) di Bertam, Pulau Pinang, pada Ahad, 1 Oktober 2023.

YBhg Tan Sri Acryl dan Encik Izwan meluangkan masa melawat ke reruai pameran PUNB yang terletak di khemah pameran B sejurus selesai majlis perasmian.

Hadir sama, Encik Fauzi Zakaria, Pengurus Besar Bahagian Operasi PUNB.

Majlis perasmian MSAM disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.

Jom pakat mai jumpa #TeamExhibitionPUNB untuk dapatkan konsultasi berkaitan Pembiayaan Perniagaan PUNB dan sertai pelbagai aktiviti menarik di reruai pameran PUNB.

Lekaih hangpa, mai la pakat buat ramai kat MSAM2023!

Kuasa viral, atau keupayaan sesuatu untuk tersebar dengan cepat dan mendapat perhatian meluas melalui perkongsian dalam talian, boleh memberi kesan positif dan negatif kepada perniagaan. Jom, ketahui kedua-dua aspek ini:

ASPEK KUASA VIRAL YANG BAIK DALAM PERNIAGAAN

  • Peningkatan kesedaran jenama
    Apabila sesuatu menjadi viral, ia boleh menjana sejumlah besar perhatian dan pendedahan untuk perniagaan. Ini boleh membawa kepada peningkatan kesedaran jenama apabila lebih ramai orang mengenali syarikat dan produk atau perkhidmatannya.
  • Jangkauan diperluaskan
    Kandungan viral boleh menjangkau sasaran yang luas, termasuk individu yang mungkin tidak pernah terdedah kepada perniagaan sebelum ini. Ia berpotensi untuk menarik pelanggan baharu dan mengembangkan pangkalan pelanggan.
  • Usaha pemasaran yang dipertingkatkan
    Kandungan viral boleh berfungsi sebagai alat pemasaran yang kuat. Ia berkesan apabila mesej mengenai produk, perkhidmatan, atau kempen dapat disebarkan.
  • Promosi kos efektif
    Menjadi viral sering berlaku melalui perkongsian dan penglibatan, yang bermaksud ia dapat memberikan pendedahan yang ketara tanpa memerlukan pelaburan besar dalam usaha pengiklanan atau pemasaran.

ASPEK NEGATIF KUASA VIRAL DALAM PERNIAGAAN

  • Kekurangan kawalan
    Apabila sesuatu menjadi viral, ia akan berlaku dengan cepat iaitu di luar kawalan perniagaan. Mesej atau kandungan mungkin diputarbelitkan, disalah tafsir atau digunakan dengan cara yang tidak sejajar dengan nilai atau niat jenama.
  • Viral negatif
    Tidak semua kandungan viral adalah positif. Ulasan negatif, skandal, atau krisis perhubungan awam juga boleh menjadi viral, merosakkan reputasi perniagaan dan berpotensi membawa kepada kesan jangka panjang.
  • Perhatian jangka pendek
    Sifat kandungan viral selalunya sementara. Walaupun ia boleh menjana lonjakan perhatian, ia boleh berlalu dengan cepat, dan perniagaan perlu mempunyai strategi pemasaran dan penjenamaan yang berterusan untuk memanfaatkan rangsangan sementara.
  • Kesukaran lain
    Bergantung semata-mata pada potensi menjadi viral mungkin bukan strategi perniagaan yang mampan, kerana sebahagian besarnya bergantung kepada faktor luaran dan pilihan penonton.

Secara ringkasnya, kuasa viral boleh memberi kelebihan kepada perniagaan jika digunakan dengan bijak. Walau bagaimanapun, perniagaan harus berusaha untuk terus memberi tumpuan kepada membina kehadiran jenama yang kuat melalui pemasaran yang berterusan dan memberikan nilai kepada pelanggan dengan memahami keperluan mereka.

Sesi Teh Tarik telah diadakan antara 20 #RakanUsahawanPUNB Seremban, Negeri Sembilan bersama Pegawai PUNB dari Ibu pejabat dan Pejabat Wilayah Tengah di premis perniagaan #RakanUsahawanPUNB, Restoran MK Cafe, Senawang pada 26 September 2023.

Sesi sembang santai ini bertujuan untuk mendapatkan perkembangan terkini Rakan Usahawan, maklum balas mengenai perkhidmatan PUNB, berkongsi idea, dan berbincang mengenai trend terkini dalam perniagaan.

Bumiputera Retailers Organization (BRO) mengadakan kunjungan hormat ke atas YBhg Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengerusi PUNB di Ibu Pejabat PUNB di Plaza Sentral, Kuala Lumpur, pada Isnin, 25 September 2023.

Kunjungan yang diketuai oleh Presiden BRO, YBhg Datuk Wira Ameer Ali Mydin, bertujuan untuk berkenalan dengan pengerusi baharu PUNB dan menerangkan mengenai fungsi BRO dalam membantu membangunkan ekosistem keusahawanan bumiputera.

Hadir sama, Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB; Encik Azman Abdullah, Pengurus Besar Bahagian Kewangan & Transformasi; Encik Fauzi Zakaria, Pengurus Besar Bahagian Operasi, Puan Norilhami Sawai, Ketua Unit Pembangunan Perniagaan Strategik dan Encik Khidzir Ahmad, Ketua Unit Pembangunan Perniagaan Antarabangsa.

Hari kedua Program CSR PUNB CelcomDigi, ‘Let’s Give Back’ bermula di Sekolah Kebangaan (SK) Bukit Mat Daling, Ulu Tembeling dengan PUNB menyampaikan sumbangan wang sebanyak RM2,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan peralatan memanah, manakala CelcomDigi menyumbangkan komputer riba serta simcard percuma untuk sekolah tersebut dan SK Gusai.

Aktiviti diteruskan di SK Kuala Sat, Ulu Tembeling dengan penyampaian sumbangan wang sebanyak RM2,000 kepada PIBG, peralatan memanah dan komputer riba kepada sekolah tersebut. Pasukan CSR PUNB dan CelcomDigi kemudian singgah di Masjid Kampung Kuala Sat untuk jamuan tengah hari bersama penduduk kampung dan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada individu yang memerlukan.

Kemudian, pasukan CSR PUNB dan CelcomDigi meneruskan perjalanan menaiki bot ke Kampung Orang Asli Kucing dan Kampung Orang Asli Bengoi di Ulu Tembeling untuk menyampaikan sumbangan bakul makanan, lampu solar LED dan pakaian.

Program ini diketuai oleh Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB. Hadir sama, Encik Azman Abdullah, Pengurus Besar Bahagian Kewangan dan Transformasi; Puan Samsuhaili Samsudin, Ketua Jabatan Pengalaman Pekerja; Cik Norasyikin Mansor, Ketua Undang-Undang dan 20 warga kerja PUNB.

CelcomDigi diwakili oleh Encik Mohd Fadzly Kamaruzaman, Pegawai Perhubungan Kerajaan, Tanggungjawab Korporat dan Perhubungan Kerajaan.

Memulakan perniagaan di usia lanjut adalah langkah yang menarik dan bermakna, walaupun mungkin melibatkan beberapa cabaran tambahan. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan jika anda berfikir untuk memulakan perniagaan pada usia yang lebih tua:

Pengalaman dan Kecekapan: Kelebihan memulakan perniagaan pada usia lanjut adalah anda mungkin mempunyai pengalaman yang luas dalam industri atau bidang tertentu. Kecekapan ini boleh membantu anda membuat keputusan bijak dan mengelakkan kesilapan yang biasa dialami oleh usahawan baharu.

Pengetahuan Industri: Pengetahuan mendalam mengenai industri atau bidang yang ingin anda ceburi adalah aset yang besar. Ia membolehkan anda mengenal pasti peluang dan trend serta membuat pelan perniagaan yang lebih berkesan.

Rangkaian Sosial dan Profesional: Jaringan yang telah anda bina sepanjang hidup boleh membantu anda mendapatkan sokongan, pelanggan atau rakan kongsi yang penting untuk perniagaan anda.

Pengurusan Kewangan: Pada peringkat ini anda mungkin mempunyai kestabilan kewangan yang lebih besar berbanding usahawan muda. Ini dapat membantu anda menghadapi cabaran kewangan di awal perniagaan.

Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira:

Tenaga Fizikal dan Mental: Memulakan sesuatu perniagaan mengambil masa dan usaha yang signifikan. Pastikan anda sihat secara fizikal dan mental untuk mengendalikan tuntutan perniagaan.

Komitmen Waktu: Memulakan perniagaan memerlukan komitmen waktu yang besar. Pastikan anda bersedia melabur masa yang diperlukan untuk membangunkan perniagaan.

Pelan Perniagaan yang Bersepadu: Penting untuk mempunyai pelan perniagaan yang bersepadu yang merangkumi strategi pemasaran, operasi, kewangan dan pertumbuhan.

Kecekapan dan Automasi: Penggunaan teknologi dan perisian yang sesuai boleh membantu mempercepatkan dan mengautomasikan banyak aspek operasi. Justeru, anda perlu cepat belajar mengadaptasi diri dengan teknologi semasa untuk perniagaan.

Sama ada usia lanjut atau muda, memulakan perniagaan memerlukan perancangan dan persediaan yang baik. Jangan ragu untuk merangka dan mengambil langkah-langkah mengikut keupayaan untuk mencapai matlamat perniagaan yang realistik.

Sedikit panduan untuk memulakan perniagaan anda:

Untuk mendaftarkan perniagaan di Malaysia, anda perlu mengikuti beberapa langkah yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk pendaftaran perniagaan. Berikut adalah langkah-langkah untuk mendaftarkan perniagaan di Malaysia:

  • Langkah 1: Pilih Jenis Perniagaan

Sebelum mendaftar perniagaan, anda perlu memutuskan jenis perniagaan yang ingin anda jalankan, seperti milikan tunggal, perkongsian, sendirian berhad atau perniagaan lain yang sesuai dengan keperluan anda.

  • Langkah 2: Pemeriksaan Nama Perniagaan

Sebelum mendaftarkan perniagaan, anda perlu membuat pemeriksaan nama perniagaan di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau melalui kaunter SSM. Pastikan nama perniagaan yang anda pilih masih tersedia.

  • Langkah 3: Daftar Nama Perniagaan

Jika nama perniagaan masih tersedia, anda perlu mendaftarkan nama perniagaan tersebut dengan mengisi borang pendaftaran yang sesuai. Borang ini boleh didapati di portal atau kaunter SSM.

  • Langkah 4: Serah Borang Pendaftaran

Serahkan borang pendaftaran yang lengkap beserta dokumen yang diperlukan ke SSM. Dokumen-dokumen yang mungkin diperlukan termasuk salinan pengenalan diri pemilik perniagaan, alamat perniagaan, dan maklumat berkaitan dengan pemilik perniagaan.

Bagi syarikat pula, adalah lebih mudah untuk mendapatkan perkhidmatan profesional seperti setiausaha syarikat atau perunding perniagaan untuk tujuan pendaftaran syarikat.

  • Langkah 5: Bayar Yuran Pendaftaran

Bayar yuran pendaftaran mengikut jenis perniagaan yang anda pilih. Yuran ini akan berbeza-beza bergantung kepada struktur perniagaan (contohnya: milikan tunggal, perkongsian atau sendirian berhad).

  • Langkah 6: Dapatkan Sijil Pendaftaran

Setelah pendaftaran disahkan dan yuran dibayar, anda akan menerima sijil pendaftaran perniagaan anda. Ini adalah dokumen yang menunjukkan bahawa perniagaan anda adalah sah dan berdaftar.

  • Langkah 7: Lakukan Pendaftaran Cukai

Selepas mendapatkan sijil pendaftaran, anda perlu mendaftarkan perniagaan anda dengan Jabatan Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) untuk tujuan cukai perniagaan.

  • Langkah 8: Mendapatkan Lesen atau Keizinan Tambahan

Sesetengah jenis perniagaan mungkin memerlukan lesen khas atau keizinan tambahan daripada pihak berkuasa tempatan atau agensi lain seperti lesen perniagaan makanan atau lesen perniagaan perkhidmatan kesihatan. Pastikan untuk memenuhi semua keperluan ini mengikut kesesuaian.

  • Langkah 9: Patuhi Peraturan dan Undang-Undang

Pastikan untuk mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan perniagaan anda, termasuk undang-undang buruh, cukai, dan undang-undang sekitar.

  • Langkah 10: Pantau dan Kemaskini Maklumat Perniagaan

Selalu pantau dan kemas kini maklumat perniagaan anda dengan SSM jika terdapat perubahan dalam maklumat perniagaan, seperti alamat perniagaan atau pemilik perniagaan.

Mendaftarkan perniagaan di Malaysia adalah proses relatif yang mudah jika anda mengikuti langkah-langkah di atas dengan teliti. Jika anda merasa ragu atau memerlukan bantuan, anda boleh mendapatkan nasihat dari agensi-agensi keusahawanan seperti PUNB untuk maklumat lanjut.

Seramai 8 #RakanUsahawanPUNB sekitar Kuantan menghadiri Program Pengukuhan Mikro Madani SME Corp dan Sesi Jaringan Bersama Usahawan Pahang pada Jumaat, 22 September 2023.

Program yang dianjurkan oleh SME Corp ini bertujuan memperkenalkan kemudahan yang ditawarkan oleh mereka seperti Geran Perniagaan Mikro (GPM) dan Pembiayaan Perniagaan Mikro (MBF).

Selain itu, program ini dapat meluaskan jaringan kerjasama dengan usahawan yang hadir.

Pejabat PUNB Wilayah Sarawak telah mengadakan Sesi Teh Tarik bersama 6 #RakanUsahawanPUNB di premis perniagaan #RakanUsahawanPUNB, Canai Anjang di Kuching pada 22 September 2023.

Sesi sembang santai ini bertujuan untuk mendapatkan perkembangan terkini rakan usahawan, maklum balas mengenai perkhidmatan PUNB, berkongsi idea dan berbincang mengenai trend terkini dalam perniagaan.

PUNB dan CelcomDigi buat julung kalinya berganding bahu menjayakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), ‘Let’s Give Back’ di Kuala Tahan dan Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang pada 20 dan 21 September 2023. Aktiviti pada hari pertama bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tahan dengan PUNB menyampaikan sumbangan wang berjumlah RM2,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan peralatan memanah kepada sekolah tersebut dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerantut, manakala CelcomDigi menyumbangkan dua komputer riba dan kad sim percuma kepada warga sekolah serta ibu bapa murid.

Program diteruskan dengan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada 40 penduduk yang kurang berkemampuan di Kampung Pagi, Ulu Tembeling.

Pasukan CSR kemudian, meneruskan perjalanan menaiki bot selama kira-kira 45 minit ke Kampung Orang Asli Keniam di Ulu Tembeling untuk menyantuni masyarakat Orang Asli dengan menyampaikan sumbangan lampu solar LED, 35 bakul makanan dan pakaian. Aktiviti CSR hari pertama diakhiri dengan penyerahan 21 bakul makanan, pakaian dan lampu solar LED kepada penduduk Kampung Orang Asli Sungai Yong, Kuala Tahan.

Program ini diketuai oleh Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB. Hadir sama, Encik Azman Abdullah, Pengurus Besar Bahagian Kewangan dan Transformasi; Puan Samsuhaili Samsudin, Ketua Jabatan Pengalaman Pekerja; Cik Norasyikin Mansor, Ketua Undang-Undang dan 20 warga kerja PUNB. CelcomDigi diwakili oleh Encik Mohd Fadzly Kamaruzaman, Pegawai Perhubungan Kerajaan, Tanggungjawab Korporat dan Perhubungan Kerajaan.

Read Policy

Kami Menghargai Maklum Balas Anda!

    Soalan 1

    Pengalaman Keseluruhan:

    Bagaimanakah anda menilai pengalaman keseluruhan anda di portal rasmi kami?

    Soalan 2

    Pencarian Maklumat:

    Adakah mudah untuk mencari maklumat yang anda cari?

    Soalan 3

    Bahagian Bantuan:

    Bahagian mana pada portal rasmi kami yang paling membantu anda?

    Soalan 4

    Jangkaan Laman Sesawang:

    Adakah portal rasmi kami memenuhi jangkaan anda?

    Soalan 5

    Kebarangkalian untuk Kembali:

    Adakah anda akan kembali ke portal rasmi kami pada masa hadapan?