Legasi Dodol Warisan Keluarga

“Jika Bukan Kita yang Meneruskan Legasi Keluarga, Siapa Lagi?”

“Itulah kata-kata yang menjadi semangat utama di sebalik kejayaan seorang usahawan yang kini menerajui perniagaan dodol warisan keluarganya.”

“Segalanya bermula secara tidak rasmi. Saya hanya membantu secara sambilan kerana ketika itu masih menetap di Negeri Sembilan. Tugas saya hanyalah di belakang tabir – menguruskan gaji pekerja dan membantu dari segi pentadbiran. Namun, pada 2018, segalanya berubah apabila ibu saya, Puan Ramiah, meminta saya untuk terlibat sepenuhnya dalam perniagaan keluarga bersama abang saya,” jelas Puan Siti Noramay ketika memulakan bicara.

Dari Terpaksa Menjadi Cinta

Pada mulanya, beliau mengakui seolah-olah dipaksa untuk terlibat dalam bidang perniagaan. Namun, semakin lama beliau bergiat secara serius, timbul kesedaran bahawa jika bukan dirinya yang meneruskan perniagaan ini, siapa lagi? Dari situlah hadir semangat untuk membawa legasi keluarga ini ke tahap yang lebih tinggi.

Bagi Puan Siti Noramay, kejayaan dalam bidang keusahawanan banyak bergantung kepada disiplin. Disiplin yang kuat mampu membentuk organisasi yang tersusun serta mencipta budaya kerja yang positif. Seorang usahawan juga perlu cekap menyelesaikan masalah, berani membuat keputusan pantas, dan tidak mudah berputus asa walaupun berdepan pelbagai ujian. Kegagalan sekali tidak bermakna gagal selamanya.

Selain itu, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang diceburi amat penting. Tidak cukup dengan semangat sahaja – seseorang usahawan perlu sentiasa belajar dan memperbaiki diri.

Cabaran dan Keunikan Produk

Antara cabaran terbesar dalam menjalankan perniagaan ialah isu modal dan ketidaktentuan struktur harga pasaran. Hal ini lebih mencabar dalam industri makanan tradisional seperti dodol, khususnya di Melaka – negeri yang memang sinonim dengan makanan warisan tersebut.

“Apa yang membezakan kami daripada pengusaha dodol lain ialah rasa dan kualiti. Kami amat menitikberatkan penggunaan bahan-bahan berkualiti serta proses pembuatan yang teliti. Walaupun harga kami sedikit tinggi, kami percaya pelanggan masa kini lebih bijak menilai – mereka mencari nilai dan rasa yang berbaloi,” ujar beliau.

Meluaskan Sayap ke Pasaran Antarabangsa

Kini, SB Ramlah Food Enterprise sedang merancang untuk membawa jenama ini ke pasaran antarabangsa. Sebelum ini, produk mereka telah menembusi pasaran luar negara melalui ejen OEM yang menggunakan jenama ejen tersebut.

“Impian kami kini adalah untuk membawa jenama SB Ramlah Food Enterprise sendiri ke peringkat global, agar dikenali sebagai jenama dodol berkualiti dari Malaysia,” tutur Noramay lagi.

Harapan dan Nasihat kepada Generasi Muda

Harapan Noramay ialah agar perniagaan ini terus berkembang dan kekal sebagai legasi keluarga hingga ke generasi seterusnya. Beliau juga berharap SB Ramlah Food Enterprise dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya kepada penduduk kampung dan suri rumah, agar mereka dapat menambah pendapatan keluarga.

“Kepada para belia dan bakal usahawan, jangan takut untuk mencuba. Keusahawanan bukan jalan mudah – akan ada jatuh dan bangun. Namun, setiap kegagalan adalah pelajaran, dan setiap cubaan ialah langkah menuju kejayaan. Jadikan cabaran sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi,” akhiri Noramay dengan penuh semangat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Read Policy

Kami Menghargai Maklum Balas Anda!

    Soalan 1

    Pengalaman Keseluruhan:

    Bagaimanakah anda menilai pengalaman keseluruhan anda di portal rasmi kami?

    Soalan 2

    Pencarian Maklumat:

    Adakah mudah untuk mencari maklumat yang anda cari?

    Soalan 3

    Bahagian Bantuan:

    Bahagian mana pada portal rasmi kami yang paling membantu anda?

    Soalan 4

    Jangkaan Laman Sesawang:

    Adakah portal rasmi kami memenuhi jangkaan anda?

    Soalan 5

    Kebarangkalian untuk Kembali:

    Adakah anda akan kembali ke portal rasmi kami pada masa hadapan?