Popular

Nurita Harith – Rakan Usahawan PUNB

Dunia fesyen adalah suatu yang subjektif. Bidang ini menuntut daya dan tahap kreativiti yang tinggi pada seseorang individu kerana gaya fesyen sentiasa berubah mengikut trend serta masa. Hari ini, kita boleh melihat pelbagai fesyen direka bentuk dan dicipta mengikut kehendak dan kesesuaian si pembeli.

Orang ramai mudah tertarik kepada fesyen kerana setiap trend reka bentuk yang dicipta mampu memberi ’nafas baharu’ kepada si pemakai.

Buat si penggemar fesyen, Nurita Harith bukan lagi nama asing dalam dunia fesyen. Setiap rekaan yang ditampilkan mempunyai gaya dan identiti tersendiri. Cukup terkenal dengan rekaan yang ringkas, Nurita yang merupakan anak didik Bill Keith ini berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan pereka-pereka fesyen lain.

Salah satu koleksi busana Nurita Harith.
Salah satu koleksi busana Nurita Harith.

Minat diasah sejak di bangku sekolah

Minatnya terhadap bidang lukisan ketika di bangku sekolah telah membawa dirinya menerokai bidang fesyen dengan lebih mendalam. Ternyata segala usahanya membuahkan hasil apabila setiap koleksi yang dihasilkan mendapat sambutan hangat daripada peminat fesyen.

“Saya memulakan kerjaya dengan menjayakan tempahan-tempahan eksklusif daripada pelanggan termasuklah tempahan untuk busana pengantin. Kini, saya menyasarkan pasaran yang lebih besar bagi memperkenalkan jenama dengan mengeluarkan pakaian yang sedia dipakai untuk musim perayaan Aidilfitri.

“Sasaran pelanggan saya untuk koleksi istimewa tersebut adalah golongan berpendapatan sederhana,” katanya.

Berkongsi tentang perancangan masa depan, Nurita yang merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus daripada universiti United Kingdom, merancang untuk membuka perniagaan ke lokasi baharu yang lebih besar dan selesa. Difahamkan, perancangan tersebut muncul setelah jenama Nurita Harith menerima sambutan yang positif daripada para pelanggan.

“Setelah menerima pembiayaan daripada PUNB pada 2012, perniagaan saya semakin berkembang dan ia merupakan batu loncatan untuk membawa syarikat saya ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Pembiayaan tersebut telah digunakan untuk mengubah suai premis dan penambahan stok serta memenuhi keperluan modal pusingan,” jelasnya lagi.

Seiring dengan teknologi masa kini, koleksi jenama Nurita Harith juga telah dipasarkan di dalam talian menerusi kedai dalam talian untuk pakaian wanita, kasut dan aksesori yang terkenal, seperti FashionValet dan Zalora. Beliau juga menggunakan platform media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk memperkenal, memasar dan mempromosikan rekaan serta koleksi baharunya.

Pelanggan rambang mata memilih rekaan pilihan di butik Nurita Harith.

Rangkul anugerah berprestij

Nurita Harith kini beroperasi di Bangsar Baru, Kuala Lumpur sejak tahun 2008. Beliau membuka kedai pop-up pertamanya di Isetan pada tahun 2007 dan telah berjaya meletakkan dirinya antara 40 Pereka Fesyen Terbaik untuk Majalah Prestige dan telah dinobatkan sebagai Pereka Fesyen tahun 2016 untuk Majalah Eh!. Koleksi beliau juga telah dicalonkan untuk koleksi pengantin terbaik bagi Anugerah Busana Pengantin Antarabangsa ELLE.

Nurita kini bangga dengan usaha dan perit jerih membangunkan jenamanya sehingga ke peringkat antarabangsa. Rekaannya yang ringkas dan versatil serta menggunakan fabrik polos telah mencuri hati peminat fesyen dan mewarnai dunia fesyen masa kini.

Punya minat yang mendalam dalam bidang fesyen, namun malu tonjolkan bakat? Ruginya kalau tak ikut jejak langkah Nurita Harith ni!

Ana Muslim Sdn Bhd – Rakan Usahawan PUNB

Bagi ibu bapa, mendidik dan melayan anak-anak yang sedang membesar adalah suatu cabaran yang hebat. Mana tidaknya, banyak keletah dan kerenah si anak yang buat ibu bapa pening kepala jadinya sehingga ada kalanya kesabaran menipis apabila berdepan dengan mereka.

Apa kata anda perkenalkan bahan bacaan Siri Akhlak Ana Muslim kepada mereka? Siri bacaan yang ringkas dan mudah difahami ini dikatakan dapat membantu ibu bapa membimbing dan menangani cabaran dalam mengasuh anak-anak.

Bantu Komunikasi Dengan Si Kecil

Menurut Pengasas Ana Muslim, Othman Mohamed dan isteri, Saadah Taib, siri bacaan Ana Muslim ini boleh membantu komunikasi antara ibu bapa dengan si manja melalui penggunaan ‘bahasa kasih’ yang digunakan oleh watak Mama, Anas dan Anis dalam siri ini. Malah, buku ini juga turut memuatkan doa-doa harian di bahagian ‘Mari Kita Baca’.

“Ibu bapa boleh mengadakan sesi soal jawab di slot perbincangan pada halaman ‘Tahukah Adik-Adik?’. Anak-anak juga boleh menguatkan kosa kata mereka dalam 3 bahasa yang berbeza di halaman terakhir buku ini melalui segmen ‘Kamus Cilik’,” katanya.

Sedikit latar belakang tentang ‘kelahiran’ Ana Muslim, bacaan islamik ini mula diterbitkan sebaik sahaja Othman dan Saadah menamatkan pengajian di Amerika Syarikat dengan sasaran pembaca adalah kanak-kanak berumur antara 9 hingga 13 tahun.

Majalah ini telah diperkenalkan kepada umum pada 1998 dengan slogan ‘Membentuk Peribadi Mulia’ namun ia telah diterbitkan semula pada 2003 oleh Blue-T Communications Sdn Bhd, sebuah syarikat penerbitan yang dimajukan oleh pasangan ini. Sambutan baik yang diterima telah mencetuskan idea bagi menerbitkan 2 buah lagi majalah iaitu Majalah Sayang Muslim dan Adik Muslim.

Menjelang 2008, Blue-T Communications telah menubuhkan Ana Muslim Distributors Sdn Bhd bagi menambah produk-produk baharu Ana Muslim. Penambahan ini telah menjadikan jenama Ana Muslim semakin dikenali dan diminati. Menyedari kepentingan pengukuhan jenama, Blue-T Communications akhirnya mengambil keputusan untuk bergerak atas nama Ana Muslim dan akhirnya menukarkan nama Ana Muslim Distributors Sdn Bhd kepada Ana Muslim Sdn Bhd. Kesemua tugas penerbitan dan pemasaran diuruskan di bawah syarikat ini.

PUNB Yang Pertama ‘Hulur Tangan’

Pada 2012, PUNB telah menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada Ana Muslim Sdn Bhd sebagai sokongan dan dorongan bagi usaha dan kejayaan mereka mengembangkan perniagaan sehingga hari ini. Pembiayaan ini amat membantu syarikat terutama dari segi kawalan selia unjuran kewangan dan merancang produk serta pasaran baharu.

“Dalam usaha meningkatkan daya saing, kami perlu bertindak dengan lebih proaktif dan bersinergi. Kami perlu mengambil langkah yang lebih berani dan kreatif dalam mempromosi dan memasarkan produk,” jelasnya lagi. Kini, produk dan barangan Ana Muslim boleh didapati di lebih 300 buah kedai buku di seluruh Negara. Antaranya termasuklah MPH, Popular, Times, Borders, Tesco, Aeon, 7-Eleven, Mynews.com dan Mesra PETRONAS. Malah, produk keluaran syarikat ini juga telah dipasarkan di negara-negara jiran termasuklah Singapura, Brunei dan Indonesia.

Othman bersama tenaga kerja Ana Muslim Sdn Bhd

Ana Muslim Melakar Kejayaan

Dalam usaha menjadi sebuah syarikat gergasi dunia penerbitan di peringkat global, aspek kualiti sesebuah produk tidak pernah diketepikan. Bahkan, Ana Muslim terus unggul dan sentiasa berada di barisan hadapan. Ini dapat dibuktikan apabila anugerah demi anugerah diterima sebagai pengiktirafan terhadap produk yang dikeluarkan.

Antara pengiktirafan yang diterima adalah Anugerah Buku Negara: Anugerah Novel Kanak-Kanak Terbaik menerusi Novel Ana Solehah (2012), Anugerah Sastera Perdana (2012) menerusi Novel Lukisan Lisa Untuk Ibu hasil penulisan Que Lyana Shuhaimi dan Anugerah Buku Negara: Anugerah Novel Remaja Terbaik (2013) menerusi Siri Anna Aisya. Ana Muslim juga terus melakar kejayaan apabila komik Sweet Ana Solehah 13 telah dinobatkan sebagai pemenang Komik Terbaik 2019, Anugerah Buku Negara.

Antara anugerah yang diterima oleh Ana Muslim Sdn Bhd

Bermula sebagai sebuah syarikat kecil milik Bumiputera, Ana Muslim terus berusaha berdiri sama gah dengan syarikat penerbitan gergasi yang lain. Berbekalkan tekad dan azam yang tinggi serta berpaksikan visi dan misi yang nyata, Ana Muslim terus menjadi syarikat usahawan Bumiputera Melayu Muslim yang menerajui penjenamaan produk kanak-kanak Muslim terbaik di persada dunia.

Semoga Siri Akhlak Anak Muslim ini mampu mencorak peribadi mulia seorang anak muslim.

Mari sama-sama mendalami kisah usahawan PUNB, Othman Basiron, pengusaha syarikat Utama Tyre & Exhaust Enterprise usahawan yang menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan tayar dan peralatan kenderaan.

Keratan Akhbar daripada Harian Metro – Jumaat, 1 Disember 2017

Mari sama-sama mendalami kisah usahawan PUNB, Noryati Japri, usahawan wanita yang menceburi bidang dimonopoli oleh kaum lelaki dalam membekalkan barangan dan menyediakan perkhidmatan pembinaan bangunan.

Keratan Akhbar daripada Harian Metro – Selasa, 28 November 2017

Idea Niaga

Persekitaran ergonomik di tempat kerja memberi kesan jangka masa panjang yang baik kepada kesihatan pekerja dan produktiviti sesebuah syarikat secara amnya.

Ergonomik merupakan kajian tentang hubungan antara pekerja dengan persekitaran tempat kerja. Secara mudahnya, ergonomik merangkumi kemampuan pekerja menggunakan sesuatu peralatan berkaitan tugasan untuk menghasilkan kualiti kerja yang optimum dalam persekitaran yang selamat dan berkesan.

Tahukah anda persekitaran yang kurang ergonomik boleh membawa kepada penyakit seperti muskuloskeletal (MSD) yang mengganggu fungsi sendi, ligamen, otot, saraf dan lebih parah tulang belakang.

Sebagai usahawan dan majikan, amat penting untuk mewujudkan persekitaran ergonomik ini. Mengapa? Berikut adalah beberapa kelebihannya:

a) Mengurangkan kos

Pelaburan dalam mewujudkan persekitaran yang ergonomik untuk pekerja dapat mengurangkan kos tambahan yang mungkin perlu ditanggung oleh majikan sekiranya berlaku sebarang kecederaan disebabkan oleh kurang mempraktikkan langkah ini.

b) Meningkatkan produktiviti

Tempat kerja yang ergonomik mempengaruhi semangat pekerja untuk menjadi lebih produktif dalam menjalankan tugasan memandangkan mereka berasa selesa dan selamat.

c) Mengekalkan kesetiaan

Pekerja akan berasa lebih dihargai apabila majikan sanggup membuat pelaburan bagi memastikan keselesaan dan kesihatan mereka dipelihara. Ini mendorong mereka berkhidmat lebih lama dan memberikan hasil serta kualiti kerja yang terbaik untuk perniagaan anda.

Jadi, sebagai usahawan dan majikan, tidak rugi untuk anda menitikberatkan hal ini kerana ia dapat memberi ‘pulangan’ yang baik untuk perniagaan anda.

Jika belum mempraktikkan langkah ergonomik ini, anda boleh mulakan dengan stesen kerja bagi setiap pekerja. Minta pandangan mereka serta gabungkan dengan idea ergonomik yang anda miliki agar dapat mewujudkan persekitaran tempat kerja yang lebih sihat.

Selamat mencuba!

Keperluan modal sebenarnya bergantung kepada jenis dan skala perniagaan yang ingin dijalankan. Jika besar perniagaan, maka besarlah modal yang diperlukan dan sebaliknya. Mendapatkan modal yang diperlukan merupakan salah satu cabaran besar bagi individu yang baru berjinak dalam dunia perniagaan.

Berikut adalah perbandingan antara penggunaan modal sendiri dan pembiayaan kewangan untuk perniagaan anda.

Modal Sendiri
Apabila menggunakan modal sendiri, anda boleh mengurangkan risiko kerugian atau hutang yang tinggi kerana anda tidak perlu membayar sebarang bentuk pembiayaan dan caj-caj lain sekiranya perniagaan diusahakan tidak atau lambat mencapai sasaran keuntungan ditetapkan. Modal sendiri ini boleh diperolehi melalui simpanan kewangan sendiri atau penjualan aset dan barangan berharga.

Apabila menggunakan modal sendiri, anda mengetahui kedudukan kewangan dan dapat mengawal sejauh mana perniagaan boleh dilaksanakan. Ini secara tidak langsung anda boleh merancang dengan lebih teliti sasaran dan strategi perniagaan secara berperingkat bergantung kepada hasil keuntungan dan modal pusingan yang ada.

Modal sendiri juga dapat mendisiplinkan diri untuk berbelanja mengikut keperluan sahaja kerana anda perlu berjimat untuk memastikan perniagaan mampu berkembang selain tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan modal tambahan berbanding membuat pembiayaan bagi kelangsungan perniagaan.

Walau bagaimanapun, modal sendiri juga besar kemungkinan anda perlu melakukan banyak perkara sendiri sekiranya modal yang ada tidak cukup untuk mengupah atau menggaji pekerja. Seeloknya, anda perlu dapatkan sokongan dari penasihat kewangan bertauliah agar dapat memastikan kewangan anda berada pada tahap yang baik dan stabil.

Modal Pembiayaan Perniagaan
Memohon pembiayaan dari institusi kewangan merupakan langkah yang sering diambil oleh usahawan yang ingin memulakan perniagaan. Hasil bantuan kewangan ini dapat membina perniagaan dengan lebih cepat kerana usahawan mampu untuk menyediakan segala keperluan dalam perniagaan.

Apabila membuat pembiayaan, secara tidak langsung anda telah mewujudkan sebuah skor kredit bagi memudahkan perniagaan untuk membuat pembiayaan tambahan pada masa hadapan dengan syarat anda merupakan pembayar balik pinjaman yang baik.

Modal pembiayaan juga memberi peluang kepada usahawan untuk meningkatkan produktiviti dan pengeluaran produk kerana mempunyai sokongan kewangan yang kukuh dan ini dapat melipat ganda keuntungan untuk membayar semula pembiayaan yang diterima. Apatah lagi, terdapat banyak agensi keusahawanan seperti PUNB yang bukan sahaja memberi pembiayaan tetapi juga khidmat nasihat, pemantauan, kursus dan latihan perniagaan yang sememangnya membantu perniagaan untuk berada di landasan yang betul.

Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan kelulusan pembiayaan memakan masa dan tenaga selain juga berpotensi untuk tidak mendapat jumlah keseluruhan yang diinginkan. Mulakan dengan membuat pembiayaan dalam skala yang kecil bagi mengelakkan bebanan komitmen bulanan yang tinggi. Jika perniagaan semakin berjaya, barulah anda boleh memikirkan untuk modal tambahan.

Apa-apa pun, dengan membuat pembiayaan dapat memotivasikan diri usahawan untuk berusaha dengan lebih gigih dalam mengembangkan perniagaaan kerana mereka sedar terdapat pembiayaan yang perlu dibayar.

Apa jua bentuk modal yang dipilih, yang penting anda perlu berusaha dengan bersungguh-sugguh dan jangan pernah mengalah. Ingatlah bahawa perniagaan merupakan suatu taruhan dan memerlukan banyak pengorbanan sebelum dapat menikmati imbuhan dari usaha yang telah dicurahkan.

Usahawan wanita berkongsi idea dan tip perniagaan untuk dijadikan inspirasi bersama.

Dapatkan idea daripada #RakanUsahawanPUNB, Glowsy Empire dan Anggun Aesthetic Sdn Bhd mengenai cara mereka menjalankan perniagaan mereka.

Read Policy

Kami Menghargai Maklum Balas Anda!

    Soalan 1

    Pengalaman Keseluruhan:

    Bagaimanakah anda menilai pengalaman keseluruhan anda di portal rasmi kami?

    Soalan 2

    Pencarian Maklumat:

    Adakah mudah untuk mencari maklumat yang anda cari?

    Soalan 3

    Bahagian Bantuan:

    Bahagian mana pada portal rasmi kami yang paling membantu anda?

    Soalan 4

    Jangkaan Laman Sesawang:

    Adakah portal rasmi kami memenuhi jangkaan anda?

    Soalan 5

    Kebarangkalian untuk Kembali:

    Adakah anda akan kembali ke portal rasmi kami pada masa hadapan?