Popular

Perniagaan farmasi bukanlah satu bidang yang mudah untuk diceburi kerana bidang perniagaan tersebut mempunyai persaingan pasaran yang tinggi. Usahawan perlu berdepan nama-nama besar seperti Guardian, Watson, Vitacare dan Caring Pharmacy yang merupakan kedai rantaian bagi pembekalan ubat-ubatan, produk kesihatan dan kecantikan terkemuka di Malaysia.

Masalah kelembapan pasaran merupakan kejutan besar yang dialami oleh Hendrawati Mohd Sapuan, pengusaha Farmasi Ideal di awal operasi perniagaannya. Terkesan dengan masalah dihadapi, beliau terpaksa mencari inisiatif lain bagi memastikan perniagaannya mampu untuk terus bertahan dan berkembang.

Pernah berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai ahli farmasi selama 5 tahun, beliau tidak menyangka perniagaan yang diusahakan lambat mendapat sambutan kerana penduduk setempat ketika itu sudah terlalu biasa membeli ubat-ubatan di kedai farmasi terkemuka lain di sekitar Bandar Klang dan Shah Alam.

Farmasi Ideal yang terletak di Desa Latania, Seksyen 36, Shah Alam mula beroperasi pada 2012, merupakan satu-satunya pusat farmasi yang ada ketika itu. Walau bagaimanapun, keuntungan yang diperoleh sehingga 2014 hanya ‘cukup-cukup makan’ sahaja bagi menampung keperluan perniagaan.

Ini ditambah pula dengan persaingan apabila satu demi satu pusat farmasi mula dibuka di kawasan sekitar. Menyedari situasi ini, Hendrawati mengambil langkah drastik mengubah strategi perniagaannya, melangkaui cara biasa diamalkan oleh farmasi tradisional dengan mengejar pelanggan berbanding menunggu mereka datang.

Hendrawati mula meninjau potensi di kawasan perairan sekitar Selat Melaka sehinggalah ke perairan Labuan demi meningkatkan aliran pendapatan perniagaannya.

Menggunakan kredibiliti dan pengalamannya sebagai ahli farmasi, telah membuka ruang kepada wanita ini untuk menawarkan perkhidmatan sebagai ahli farmasi maritim dan mendapatkan pelanggan-pelanggan besar yang memerlukan perkhidmatannya.

Peluang terbuka apabila banyak syarikat perkapalan ketika itu mencari ahli-ahli farmasi yang bertauliah untuk membuat pemeriksaan kotak ubat (Medicine Chest) bagi setiap kapal milik mereka.

“Dalam perniagaan, kita yang perlu mengetuk pintu pelanggan,” jelas ibu muda berusia 34 tahun ini.

Sebagai ahli farmasi maritim adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk pergi ke kawasan pelabuhan, naik ke atas kapal, malah ke tengah lautan untuk memeriksa stok ubatan dan kotak perubatan kapal bagi memastikan bekalan mencukupi dan dikemaskini.

“Sebahagian besar pelanggan terdiri daripada syarikat perkapalan. Jika kapal mereka berlabuh di Labuan, maka pihak kami akan ke sana untuk membuat pemeriksaan. Kadar caj yang dikenakan adalah antara RM3,000 hingga RM5,000 dan tidak termasuk harga pembekalan atau penambahan stok ubatan.”

“Jika bekalan tidak mencukupi, kami akan menasihatkan mereka untuk menambah stok dan pelanggan akan terus membeli stok ubatan daripada kami,” jelas Hendrawati tentang strategi perkhidmatan baharu yang ditawarkan.

Formula Perniagaan Lambat Berkesan

Perancangan awal usahawan wanita ini bersama suami, Muhammad Faris yang juga rakan kongsinya adalah untuk membuka pusat farmasi di Putrajaya dan Subang Jaya. Tetapi mereka kemudian memutuskan untuk membukanya di Shah Alam  kerana lokasinya cukup strategik, berdekatan kawasan perumahan dan tiada saingan oleh mana-mana pusat farmasi lain selain daripada 4 buah klinik yang telah bertapak ketika itu.

Dengan modal dari wang simpanan sendiri sebanyak RM80 ribu dan pembiayaan perniagaan daripada PUNB sebanyak RM175 ribu ( skim PROSPER Runcit), mereka membuka Farmasi Ideal Enterprise dengan jumlah modal keseluruhan sebanyak RM250 ribu.

Malangnya aturan strategi yang disangka terbaik kurang mendatangkan hasil apabila farmasi yang dibuka kurang mendapat sambutan.

“Kami sangat terkejut. Corak perniagaan sangat perlahan sehinggakan kami terpaksa menyuntik wang sendiri bagi memastikan terdapat sedikit pergerakan. Hanya selepas 3 bulan syarikat boleh ‘bernafas’ dengan sedikit keuntungan daripada hasil jualan,” terang Hendarawati tentang  keadaan di awal operasi perniagaan.

Usahawan lulusan farmasi Universiti Teknologi MARA(UiTM) ini mendapati bahawa masyarakat setempat lebih selesa memilih pusat-pusat farmasi yang sudah terkenal untuk membeli ubat-ubatan, produk kesihatan dan kecantikan berbanding pusat farmasi bebas seperti miliknya. Persaingan mereka bukan sahaja daripada pusat farmasi dari kawasan sekeliling malahan dengan pusat farmasi dari luar kawasan perniagaannya.

Bagi Hendrawati, keadaan ketika itu merupakan suatu pengalaman dan pengajaran kepadanya untuk sentiasa beringat kerana tidak semua yang dirancang akan menjadi kenyataan. Apa yang penting, kepercayaan pelanggan harus diraih terlebih dahulu supaya mereka yakin dengan perkhidmatan yang ditawarkan.

Buka Peluang, Rezeki Bertambah

Sepanjang tempoh 2 tahun di awal operasi, Hendrawati mengalami tekanan diri yang tinggi apabila terpaksa menguruskan segala hal ehwal perniagaannya sendiri sehingga mendapat penyakit psoriasis, sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh sistem imun yang terlalu aktif ekoran stres yang melampau.

“Untuk menjimatkan kos, segala urusan seperti pengiraan dan pembelian stok produk sehinggalah ke proses jualan dan pemasaran, saya lakukan sendiri. Akibatnya, saya  keletihan dan tertekan,” luah Hendrawati.

Menyedari hal ini, suaminya mencadangkan agar mereka mengambil pekerja bagi meringankan tanggungjawab harian . Pada awalnya, pasangan ini agak ragu-ragu dengan keputusan itu memandangkan keadaan kewangan mereka yang tidak mengizinkan, namun, mereka bertawakal dan mengharapkan yang terbaik.

“Apabila mengupah pekerja, kami menyangka kos perbelanjaan perniagaan akan meningkat,  tetapi ternyata jangkaan itu meleset. Malah, ia meluaskan lagi rezeki kami,” jelas beliau tentang cara pemikirannya yang salah itu.

Melalui bantuan pekerja, Hendrawati bersama suami dapat fokus kepada usaha mencari pelanggan bagi mewujudkan lebih banyak peluang dan keuntungan kepada perniagaan. Kini, Farmasi Ideal mempunyai 2 pekerja gudang, 6 pekerja di bahagian farmasi dan 4 pekerja di bahagian pentadbiran.

Tiada Sistem Kukuh

Usahawan muda ini akui bahawa ketiadaan sistem yang tetap dan teratur serta kekurangan ilmu pengetahuan tentang pengurusan perniagaan antara faktor utama yang menyebabkan dirinya mengalami tekanan yang tinggi.

Walaupun suami beliau mempunyai sedikit pengalaman menguruskan perniagaan fotostat sewaktu zaman pengajian, namun masing-masing tidak mempunyai asas pengurusan perniagaan secara praktikal yang kukuh.

Mereka tergerak hati untuk mengubah sistem pengurusan Farmasi Ideal apabila mengetahui tentang Business Network International (BNI), sebuah komuniti perniagaan yang menjadi rujukan kepada para ahli untuk saling bertukar pendapat dan pandangan.

Melalui persatuan yang berpusat di Taman Tun Dr. Ismail itu, mereka menyertai kursus-kursus asas teknikal perniagaan untuk mengumpul ilmu an pengetahuan yang diperlukan untuk memantapkan pengurusan perniagaan.

“Sejak menyertai BNI, kami mempelajari cara untuk mengurus perniagaan dan mencipta sistem pengurusan perniagaan sendiri. Sistem yang berkesan ini membolehkan kami meraih keuntungan dan membuka cawangan Farmasi Ideal yang kedua di Jalan Kebun, Klang,” terang Hendrawati.

Beliau akui telah tersilap langkah sewaktu mula berniaga kerana menghadiri dan mengutamakan kursus-kursus berkaitan motivasi keusahawanan diri berbanding kursus-kursus berkaitan pengurusan perniagaan yang ternyata amat penting .

Kini dengan sistem perniagaan yang sudah teratur dan sempurna, beliau boleh mengurus  segala aspek teknikal perniagaan, manakala suaminya menguruskan hal-hal berkaitan sumber manusia.

Langkah di Lautan Luas

Titik pusingan bagi perniagaan Hendrawati bermula apabila Petronas mengumumkan setiap syarikat kapal yang dilantik untuk bekerja dengan syarikat minyak dan gas itu haruslah membuat pemeriksaan kotak ubat (Medicine Chest) bagi mematuhi piawai kesihatan dan keselamatan di tempat kerja. Syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM) ini telah membuka cabang rezeki baru kepada ahli farmasi ini untuk meluaskan lagi prospek perkhidmatan yang ditawarkan.

Hendrawati tidak melepaskan peluang yang ada dan terus berdaftar di JLM sebagai ahli farmasi maritim yang bertauliah.

“Saya amat berbangga kerana merupakan satu-satunya Pemeriksa Kotak Ubat (Medicine Chest Inspector) wanita dan pemegang lesen pemeriksaan yang kedua di Malaysia,” jelas beliau.

Melihat kepada permintaan dan perkembangan yang baik telah mendorong Hendrawati untuk menubuhkan sebuah syarikat lain iaitu, Ideal Nauticare Sdn Bhd (INC) bagi mengendali segala urusan berkaitan perkhidmatan baharu tersebut.

Sudah menjadi lumrah kepada mana-mana perniagaan baharu, masalah untuk mendapatkan pelanggan merupakan cabaran terbesar memandangkan kewujudannya belum disedari. Beliau menjadikan formula mengurus Farmasi Ideal sebagai panduan untuk sekali lagi mengetuk pintu-pintu pelanggan yang berpotensi.

“Kami membuat sedikit kajian mencari syarikat-syarikat perkapalan gergasi di Malaysia seperti K Line Maritime (M) Sdn Bhd dan Icon Offshore Berhad sebelum berjumpa dan memperkenalkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh INC,” tambahnya.

Hendrawati berasa amat bersyukur kerana perjalanan INC tidaklah sesukar Farmasi Ideal apabila hanya perlu melakukan pembentangan kepada 5 buah syarikat pertama sahaja, selebihnya melalui promosi dari mulut ke mulut.

Kini setelah 5 tahun beroperasi, beliau mempunyai 2 buah pusat farmasi dan tawaran dari 300 hingga 400 syarikat perkapalan terkemuka di Malaysia untuk  pemeriksaan kotak-kotak  ubatan  mereka.

“Kalau kita berasa seperti mahu menyerah kalah tetapi tidak melakukan apa-apa, memang kita tidak akan ke mana-mana. Sebagai usahawan  kita perlu  bekerja keras dan bertindak dengan pantas untuk merebut peluang-peluang perniagaan yang ada,” nasihat Hendrawati mengakhiri perbualan.

Idea Niaga

Pelanggan yang setia adalah mereka yang kembali membeli produk atau menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan dalam sesebuah perniagaan. Bukan sekali, malah berulang kali kerana berpuas hati dengan sesuatu produk dan perkhidmatan. Malah, golongan ini juga merupakan ‘bonus’ kepada peniaga melalui testimoni baik yang diberikan sama ada secara perbualan mulut ke mulut mahupun di platform media sosial.

Tidak dinafikan, bukan mudah untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan memandangkan kini mereka mempunyai banyak pilihan dalam pasaran pelbagai platform. Sebagai usahawan, anda perlu mempunyai strategi untuk membina dan memastikan kepercayaan serta hubungan baik dengan pelanggan secara berterusan.

Bagaimana untuk tawan hati dan kekalkan kesetiaan mereka? 4 cara ini boleh membantu:

Promosi
Anda boleh mengadakan jualan promosi sekurang-kurangnya sebulan sekali sebagai tarikan selain untuk mengingatkan pelanggan akan jenama perniagaan anda. Melalui kaedah ini, anda juga boleh menawarkan diskaun tambahan bagi memberi kepuasan membeli kepada pelanggan agar mereka merasakan perlu merebut peluang keemasan ditawarkan. Ini dapat menarik perhatian pelanggan untuk kekal setia bersama syarikat anda dalam masa jangka panjang.

Peraduan di media sosial

Mengadakan peraduan secara dalam talian merupakan salah satu cara terkini dalam mengekalkan kesetiaan kepada pelanggan anda kerana ianya lebih mudah dan interaktif. Apa yang penting, anda perlu tahu tentang kehendak pelanggan sebelum muat naik peraduan di media sosial. Sebagai contoh, peraduan tersebut haruslah berkaitan dengan perniagaan anda, peraduan terbuka untuk pelanggan tetap supaya mereka berasa lebih berkepentingan, penyertaan terhad agar pelanggan tidak membuang masa untuk sertai dan hadiah yang ditawarkan pula harus bernilai.

Panggilan telefon

Sebenarnya kuasa pemasaran melalui panggilan telefon telah lama digunakan dan ia masih relevan sehingga hari ini. Cara ini secara tidak langsung dapat membina hubungan lebih erat antara usahawan dan pelanggan. Sebagai contoh, anda membuat panggilan untuk bertanya pendapat tentang produk yang telah dibeli. Ini dapat membuat pelanggan berasa sangat dihargai apabila kepentingan dan maklum balas mereka diutamakan. Justeru, kepercayaan akan terus meningkat dan mereka akan terus menyokong produk dan perkhidmatan yang anda tawarkan.

Menjaga kualiti produk dan perkhidmatan

Untuk mengekalkan kesetiaan, anda perlu menjaga kualiti setiap produk dan perkhidmatan ditawarkan selain memberi pengalaman pelanggan terbaik kepada setiap individu yang berurusan dengan perniagaan anda. Faktor ini amat penting kerana naluri seorang pelanggan sentiasa mahukan kualiti yang terbaik walaupun mereka sekadar bertanya dan tidak membuat sebarang pembelian. Jika produk berkualiti, secara tidak langsung dapat membina keyakinan pelanggan seterusnya mewujudkan jaringan pelanggan yang setia.

Apakah yang dimaksudkan dengan keusahawanan? Keusahawanan adalah mengatur dan menjalankan perusahaan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan. Bagaimana pula dengan keusahawanan sosial? Secara amnya, keusahawanan sosial merupakan satu bidang penting yang berperanan sebagai pemberi dana atau penggubal dasar perniagaan untuk menangani cabaran sosial.

Selain itu, keusahawanan sosial juga turut menjadi platform untuk memacu transformasi sosial dan mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang bagi mencipta pelbagai peluang pekerjaan. Ini kerana keusahawanan sosial tidak mementingkan keuntungan tetapi ia merupakan keperluan masa kini dalam menangani masalah sosial.

Jika anda ingin melibatkan diri dalam keusahawanan sosial, anda perlu mempunyai matlamat yang jelas untuk dijadikan sebagai hala tuju bagi sesebuah perusahaan atau organisasi sosial yang anda jalankan. Oleh itu, anda perlu memiliki kriteria-kriteria berikut:

Idea
Sebagaimana yang kita tahu, fasa keusahawanan sosial merupakan satu pendekatan yang amat bersesuaian dengan keperluan perniagaan dunia masa kini. Oleh itu, kemampanan idea daripada usahawan adalah penting di mana idea perniagaan tersebut perlulah dikenal pasti terlebih dahulu sebelum ia direalisasikan berdasarkan keadaan sosial sekeliling.

Misi
Misi keusahawanan sosial adalah penting bagi menangani pengurusan institusi sektor sosial yang tidak bertanggungjawab dan tidak cekap. Oleh itu, usahawan harus memiliki minat yang tinggi dalam keusahawanan sosial agar sesuatu isu dapat diselesaikan sehingga misi tercapai.

Dana
Bagi melaksanakan matlamat sosial atau alam sekitar, kewangan yang kukuh adalah perkara penting dalam keusahawanan sosial. Ini kerana matlamat sosial alam sekitar yang dilaksanakan dapat menjana pendapatan dan dalam masa yang sama ia dapat meraih keuntungan.

Sebagai contoh, dengan adanya dana daripada organisasi bukan kerajaan (NGO), penglibatan dalam keusahawanan sosial boleh membantu mereka dengan cara tertentu dan mempertingkatkan taraf kehidupan bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Tahukah anda ini merupakan perbuatan yang salah?

Adakah anda pernah dengar tentang gaya hidup mesra alam?

Begitu juga dalam perniagaan, kita juga boleh amalkan gaya mesra alam urus perniagaan.

Read Policy

Kami Menghargai Maklum Balas Anda!

    Soalan 1

    Pengalaman Keseluruhan:

    Bagaimanakah anda menilai pengalaman keseluruhan anda di portal rasmi kami?

    Soalan 2

    Pencarian Maklumat:

    Adakah mudah untuk mencari maklumat yang anda cari?

    Soalan 3

    Bahagian Bantuan:

    Bahagian mana pada portal rasmi kami yang paling membantu anda?

    Soalan 4

    Jangkaan Laman Sesawang:

    Adakah portal rasmi kami memenuhi jangkaan anda?

    Soalan 5

    Kebarangkalian untuk Kembali:

    Adakah anda akan kembali ke portal rasmi kami pada masa hadapan?