Popular

Mari sama-sama mendalami kisah usahawan PUNB dari Sabah, Encik Haji Senawi yang bermula hanya sebagai pekerja kilang namun kini beliau seorang pengusaha makanan laut kering yang berjaya!

Keratan akhbar daripada UTUSAN BORNEO – Isnin, 19 Jun 2017

 

 

Mari sama-sama mendalami kisah usahawan PUNB, Faridah Jaapar yang bersaing dengan nama-nama besar dalam industri pakaian seragam sekolah. Selami bagaimana beliau mampu untuk terus bertahan dan maju dalam perniagaannya hamper 15 tahun!

Keratan Akhbar daripada UTUSAN MALAYSIA – Selasa, 18 Julai 2017

 

Tahukah anda: Di Malaysia, tidak lama dahulu, golongan profesional seperti doktor tidak dibenarkan untuk mengiklankan perkhidmatan yang ditawarkan secara dalam mahupun luar talian? Mana-mana doktor yang ingkar berkemungkinan diberi amaran dan akan dipanggil untuk membela diri. Malah, permit mereka boleh digantung atau ditarik semula jika didapati bersalah.

Walau bagaimanapun, undang-undang kini tidak lagi seketat dahulu. Dalam satu proses peliberalan sektor kesihatan pada 2010, Kerajaan telah menghapuskan sekatan pengiklanan itu untuk membenarkan hospital dan klinik swasta melakukan aktiviti promosi dan pemasaran bagi perniagaan dan perkhidmatan mereka.

Bagi profesion doktor haiwan pula, perubahan itu menyusul setelah Garis Panduan Kelakuan dan Etika Profesional untuk Doktor Veterinar yang ditetapkan oleh Majlis Veterinar Malaysia (MVC) dikemas kini pada 2013. Pun begitu, doktor haiwan hanya boleh beriklan untuk tujuan tertentu sahaja seperti mengumumkan pembukaan klinik, penghentian perkhidmatan, penukaran alamat dan sebagainya. Bagi tujuan lain seperti menarik pelanggan dan mempromosi harga perkhidmatan, ia tetap tidak dibenarkan.
Bayangkan betapa sukarnya untuk maju tanpa promosi dan pemasaran jangka masa panjang sedangkan kedua-duanya adalah antara nadi utama bagi sesebuah perniagaan. Kekangan inilah yang dialami oleh mana-mana golongan profesional yang bergelar usahawan seperti Dr. Nor Emeliawati Mohamed Napiah.

Sebagai seorang doktor haiwan yang sudah memiliki klinik veterinar sejak berusia 29 tahun, Emelia berkongsi pendapat berkenaan isu kekangan pemasaran, tahap kesedaran orang ramai berkenaan hal kesihatan haiwan peliharaan dan sedikit tip asas untuk memulakan perniagaan klinik veterinar sendiri.

 

 

Jadi Doktor Veterinar kerana Kucing Peliharaan

Membesar di Jelebu, Negeri Sembilan, impian usahawan bergelar doktor ini terdetik apabila kucing peliharaan yang dibelanya semasa kecil tiba-tiba jatuh sakit. Lebih menyedihkan, pada ketika itu, tiada klinik veterinar swasta yang berdekatan dengan kawasan rumahnya.
Buntu memikirkan cara untuk menyelamatkan haiwan kesayangannya itu, keluarganya membuat keputusan untuk membawa kucing itu ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan di Seremban. Malangnya, selepas dirawat oleh doktor haiwan di sana, hayat kucing peliharaannya tidak panjang.
Terkesan dengan kejadian tersebut, beliau sering tertanya, mengapa si comel kesayangannya mati, namun tidak menemui sebarang jawapan. “Sejak itu, saya mula menanam cita-cita untuk menjadi seorang doktor veterinar bagi mengelak perkara yang sama daripada berlaku,” ujarnya penuh beremosi.

Usaha kerana Anak

Graduan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) ini mula menyimpan hasrat untuk membuka klinik veterinarnya sendiri selepas menimba pengalaman bekerja selama 5 tahun sebagai doktor veterinar di beberapa jabatan dan klinik awam. Sebelum mengorak langkah sebagai seorang usahawan, Emelia sempat bertugas di sebuah klinik di Port Dickson. Walaupun tidak terlalu jauh dari kediamannya di Sendayan, beliau masih merasai kekurangan dengan kerja yang dimilikinya ketika itu.

“Setelah berkahwin dan disahkan mengandung, keinginan saya untuk membuka klinik sendiri semakin tinggi,” jelasnya yang mahukan kebebasan waktu bekerja. Kehadiran cahaya mata juga antara punca beliau tekad untuk membina kerjayanya sendiri. Emelia mengakui, impian yang ingin dikecapi tidaklah semudah yang disangka. Walaupun memiliki segala ilmu perubatan berkaitan dengan haiwan, bukanlah senang untuknya membuka sebuah klinik veterinar sendiri memandangkan beliau tidak mempunyai sebarang ilmu berkaitan perniagaan. Ini tidak mematahkan semangatnya, malah beliau tetap berusaha mencari dan menghadiri pelbagai jenis kursus yang boleh membantunya dalam melaksanakan hasrat itu.

Kekangan kewangan juga antara halangan terbesar yang terpaksa dihadapi oleh usahawan muda ini memandangkan perkhidmatan yang ditawarkan olehnya haruslah berada di lokasi yang strategik supaya dapat disedari kewujudannya dan mudah untuk dikunjungi oleh orang ramai. Malangnya, lokasi yang bagus memerlukan modal yang tinggi, terutamanya untuk perniagaan baharu. Beliau akhirnya membuat keputusan untuk memohon bantuan kewangan daripada institusi-institusi kewangan yang ada.

Selain PUNB, Emelia pernah mengintai peluang di SME Bank dan Tekun Nasional untuk mencari maklumat berkenaan skim pinjaman serta bantuan yang ditawarkan. Setelah meneliti setiap pilihan dan membuat perbandingan sewajarnya, beliau memilih untuk mendapatkan bantuan pembiayaan daripada PUNB. Gabungan hasil simpanan bulanan dan bantuan kewangan ini, maka tertubuhlah Emelia Veterinary Clinic di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan pada 2014.

Risalah dan Facebook: Gabungan Pemasaran Lama dan Baru

Masalah biasa yang sering dialami oleh mana-mana perniagaan baharu terutama perniagaan seperti ini adalah cara untuk menarik pelanggan mengunjungi premis. Beliau agak bimbang memandangkan ketika itu, populasi penduduk di Bandar Sri Sendayan agak sedikit jika dibandingkan dengan penduduk di Seremban 2 yang terletak bersebelahan dengan bandar itu.

Walaupun menyedari peraturan ketat yang ditetapkan oleh MVC, Emelia tetap mengambil risiko untuk menggunakan kaedah pemasaran dalam dan luar talian memandangkan julat pelanggan yang memerlukan perkhidmatan yang ditawarkannya agak terhad. Beliau mula mengedar risalah di taman-taman perumahan berdekatan dan membina laman sesawang dan Facebook untuk klinik veterinarnya bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

Kini, setelah 2 tahun beroperasi, bisnes yang dibina mula stabil. Kliniknya menerima secara purata sekitar 50–100 pelanggan baru setiap bulan dan 10–15 pelanggan setiap hari. Emelia percaya, laman Facebook kliniknya banyak membantu mengembangkan jaringan pelanggan selain menjadi wadah untuk berkongsi maklumat berkenaan haiwan peliharaan.

Undang-undang Harus Ikut Peredaran Zaman

Walau bagaimanapun, penggunaan laman Facebook dan media sosial lain untuk beriklan sememangnya mengundang bahaya kepada perniagaan dan diri usahawan itu sendiri. Seorang rakannya pernah digantung lesen selama beberapa bulan kerana didapati melanggar udang-undang yang dikuatkuasakan itu.

“Sudah tiba masanya untuk pihak Majlis Veterinar Malaysia mengkaji semula peraturan berkenaan isu sekatan pengiklanan dan promosi ini,” tegas beliau yang mahukan undang-undang kuno itu diubah.  “Kini, sudah ramai doktor yang membuka klinik dan firma sendiri. Bilangan doktor veterinar juga bertambah setiap tahun ekoran penubuhan Fakulti Perubatan Veterinar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 2009. Dahulu, hanya UPM sahaja yang menawarkan program itu,” terang Emelia tentang keadaan dan realiti industri yang diceburinya.

Jika dahulu, undang-undang itu mungkin relevan untuk mengawal para doktor yang berniaga supaya industri pada ketika itu tidak cenderung dimonopoli oleh mana-mana pihak yang bersifat kapitalis tetapi ia tidak lagi praktikal untuk zaman sekarang memandangkan ramai yang mula menceburi bidang perniagaan dalam pelbagai bidang selain menyahut saranan Kerajaan untuk berniaga.

Bagi usahawan muda berusia 32 tahun ini, persaingan tetap ada walaupun jenis perniagaan yang ditawarkan berbentuk perkhidmatan seperti ini. “Apabila kita bercakap tentang perniagaan, pemasaran menjadi perkara yang wajib dilakukan untuk menarik minat orang ramai. Melalui cara ini, kita dapat berkongsi maklumat dengan orang awam, mendidik dan mendapatkan kepercayaan mereka. Jika itu pun dikawal ketat, apa lagi yang boleh dilakukan oleh usahawan seperti saya?” keluh Emelia.

 

 

Perancangan Masa Hadapan

Membincangkan tentang masa hadapan, walaupun mempunyai kekangan undang-undang, ia tidak menghalangnya untuk terus mengembangkan perniagaan. “Saya ingin memiliki bangunan klinik kesihatan haiwan sendiri yang lengkap dengan pelbagai peralatan penting seperti mesin sinar-X,” kata beliau yang masih menggunakan khidmat sinar-X klinik lain. “Ruang premis yang disewa kini agak sempit dan tidak dapat memuatkan semua peralatan yang diperlukan untuk sebuah klinik yang lengkap,” jelas Emelia lagi.
Emelia Veterinary Clinic menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan untuk haiwan peliharaan, termasuklah pemeriksaan kesihatan, ujian darah, rawatan, pembedahan, pembersihan dan perapian (grooming) serta penginapan (boarding). Emelia turut berhasrat untuk menjenamakan kliniknya sebagai klinik pilihan bagi perkhidmatan mengasi haiwan peliharaan di kawasan Seremban.

Menangani Persepsi Masyarakat

Walaupun kerjaya sebagai seorang doktor merupakan pekerjaan yang mulia dan dihormati umum, Emelia tetap tidak terkecuali daripada persepsi negatif masyarakat yang menganggap doktor haiwan sepertinya mengambil kesempatan diatas penderitaan haiwan. “Tidak dinafikan, upah atau bayaran dikenakan untuk perkhidmatan yang diberi, namun kerjaya ini melibatkan nyawa dan masyarakat harus sedar bahawa setiap haiwan yang diterima pasti akan dirawat sebaik mungkin oleh mana-mana doktor veterinar.
“Doktor veterinar kerap dipersalahkan andai kata haiwan peliharaan kesayangan tidak berjaya diselamatkan. Walhal, pemilik haiwan lebih suka berikhtiar sendiri sebelum bergegas untuk berjumpa doktor dan itulah yang memburukkan lagi kesihatan haiwan mereka,” terang Emelia tentang cabaran yang dihadapinya.

Misi Meningkatkan Kesedaran

Untuk mengelakkan kejadian seperti itu berlaku berulang kali, doktor haiwan ini gigih berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat berkenaan kesihatan haiwan peliharaan. Walaupun kedengaran pelik, namun masih wujud sehingga kini pemilik haiwan peliharaan yang memberi Panadol (parasetamol) kepada haiwan peliharaan mereka yang sakit. Malah, ada yang merumus sendiri sukatan ubat!

Meskipun niat di sebalik perbuatan itu baik, namun ia hanya akan mendatangkan kesan yang buruk kepada haiwan itu sendiri. Sebagai penjaga, wajib untuk mereka memiliki sedikit ilmu tentang penjagaan haiwan seandainya haiwan yang dipelihara jatuh sakit.
Manakala, sebagai seorang doktor veterinar pula, sudah menjadi tanggungjawab untuk mendidik pemilik haiwan tentang cara terbaik bagi menjaga, mencegah dan merawat haiwan yang dipelihara dan bukan hanya sekadar mengaut keuntungan semata-mata.

Nasihat Doktor kepada Seorang Doktor

Emelia menasihatkan, terutama kepada doktor muda yang berminat untuk membuka perniagaan klinik veterinar supaya mempelajari pelbagai aspek pengurusan perniagaan, khususnya berkaitan dengan pemasaran dan kewangan.
“Jangan malu untuk menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan oleh pelbagai pihak untuk menambahkan ilmu di dada. Walaupun anda mempunyai modal yang besar, tanpa ilmu, perniagaan anda tidak akan bertahan lama,” akhiri beliau.

Video Terkini

Idea Niaga

Musim PKPB ini, ramai peniaga telah mula beralih kepada perniagaan secara atas talian sebagai medium untuk promosi dan menjual produk serta perkhidmatan ditawarkan. Walau bagaimanapun, pernahkah anda kekurangan idea setiap kali memikirkan kandungan yang ingin dimuat naik di platform media sosial perniagaan anda?

Bagi peniaga yang mempunyai pekerja khusus mungkin tidak terlalu pening, akan tetapi bagaimana dengan usahawan yang bergerak secara sendirian? Pasti tidak menang tangan.

Ini mungkin boleh membantu anda!

Pertama

Tukar kandungan video anda kepada teks pendek dan infografik serta sebaliknya. Jika sebelum ini anda pernah muat naik video tentang produk dan perkhidmatan, anda boleh guna semula skrip video untuk dijadikan sebuah ‘posting’ baharu dalam bentuk yang lain serta vice versa. Ini secara tidak langsung, anda telah menghasilkan beberapa kandungan yang berbeza daripada satu idea atau topik untuk media sosial anda. Lakukan secara konsisten bagi idea dan topik yang lain.


Antara reka bentuk infografik yang dapat digunakan untuk rujukan aliran kerja, rajah, laporan tahunan dan reka bentuk web.

Kedua

Setelah memuat naik, anda harus mempunyai aplikasi atau sistem statistik seperti Google Analytic atau Shield sebagai panduan bagi mengetahui topik, jenis dan kandungan apa yang mendapat ‘viewers’ dan ‘hits’ paling banyak. Untuk data yang stabil, anda boleh mengumpul statistik terbaik bagi tempoh 30 sehingga 60 hari.

Ini secara tidak langsung menjadikan anda seorang ‘pendengar’ yang baik kepada para pengikut media sosial dan kemahuan pelanggan kerana anda tahu apa yang mereka harapkan daripada ‘posting’ anda. Lagipun, semua ini bertujuan untuk menjana keuntungan juga.

Antara contoh
Google Analytic atau Shield yang digunakan sebagai panduan.

Ketiga

Kandungan yang berkesan dan mendapat perhatian ini memudahkan anda sebagai penunjuk arah kepada idea pemasaran yang seterusnya. Anda tidak lagi perlu pecah kepala memikirkan idea-idea berlainan setiap kali ingin membuat promosi jualan di media sosial. Setiap kandungan yang berjaya boleh diekstrak untuk dijadikan 5 atau lebih kandungan baharu dan bersedia dimuat naik.

Salah satunya adalah idea bagi kandungan pemasaran.

Jadi, bayangkan daripada 1 idea ataupun topik,anda telah mereka cipta banyak kandungan yang berbeza.

Mudahkan?

Generasi muda kini lebih cenderung untuk bekerja sendiri berbanding makan gaji. Masalah modal atau tiada premis untuk berniaga bukan lagi penghalang bagi sesiapa yang ingin memulakan perniagaan.

Persoalannya, bagaimana hendak mula berniaga? Ini beberapa langkah yang mungkin boleh membantu:

Sertai Kursus & Latihan Keusahawanan
 Sebelum bermula, anda perlu mempunyai pengetahuan tentang dunia perniagaan. Tanya pada diri,”‘Sudah bersedia ke untuk menjadi seorang usahawan? Asas berniaga sudah ada?” Jika tidak, langkah pertama adalah sertai kursus & latihan keusahawanan samada yang ditawarkan oleh agensi Kerajaan mahupun swasta.

Antara kursus-kursus awal yang penting meliputi penyediaan Rancangan Perniagaan (RP) – nampak mudah tapi ramai ‘sangkut’ (PUNB ada sediakan Bengkel RP bagi yang berminat), operasi perniagaan, pengurusan kewangan, jualan dan pemasaran.

Jangan sesekali cuba nasib untuk berniaga tanpa ilmu di dada. Takut anda sendiri yang pening nanti.

Rancang Perniagaan
Dah bersedia? Nanti dulu. Sebelum memulakan perniagaan, kita harus kaji selidik perkara berikut:

1) Diri sendiri Ketahui potensi, kemampuan & kebolehan serta kemahiran yang ada pada diri sendiri.

2) Kewangan Mulakan perniagaan dengan modal yang ada terlebih dahulu. Orang kata, ukur baju di badan sendiri.

3) Idea & Pasaran Idea untuk berniaga haruslah berpaksikan perkara yang anda minat dan yakin boleh dibangun dan dipasarkan. Bukannya kerana mengikut trend terkini. Ingat, perniagaan bukan suatu hobi. Buat kajian mengenai kebolehpasaran produk atau perkhidmatan yang ingin ditawarkan terlebih dahulu supaya anda tahu siapa, ke mana dan di mana hendak dipasarkan.

4) Nama, Daftar & Lokasi

a. Pemilihan nama/jenama untuk perniagaan amat penting. Ini kerana nama adalah ‘wakil’ pertama selain logo bagi sesebuah syarikat. Pilih nama/jenama yang mudah diingati, ‘catchy’ dan dikenali. Pemilihan nama perniagaan boleh disemak secara atas talian ataupun boleh merujuk kepada Garis Panduan Pendaftaran Nama Perniagaan yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

b. Sudah pilih nama, cepat-cepatlah daftarkan ke SSM ye. Pastikan juga anda telah memiliki lesen dan permit yang sepatutnya untuk perniagaan.

c. Bagi lokasi perniagaan, pilih lokasi bersesuaian dengan perniagaan tawarkan. Ini kerana, jika salah pilih lokasi boleh memberi kesan kepada perniagaan (walaupun lokasi tumpuan orang ramai, ia belum lagi jaminan). Lokasi perlulah mudah diakses oleh orang ramai bagi memudahkan perkembangan perniagaan.

Jika tidak berkemampuan untuk menyewa, mulakan perniagaan secara atas talian dahulu. Konsep perniagaan ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

Pembiayaan Perniagaan
Ramai yang beranggapan untuk berniaga memerlukan modal yang besar. Betul ke? Ternyata ia kurang tepat.

Bagi anda yang baru hendak berjinak-jinak dalam perniagaan, sebaiknya mulakan secara kecil-kecilan. Cara paling mudah dan rendah risiko adalah melalui medium atas talian. Ambil masa anda untuk membina perniagaan. Slow but grow.

Mulakan perniagaan berbekalkan modal sebanyak 80%-90% daripada poket sendiri. Jika 100% lebih baik. Ini bagi mengelakkan anda daripada berhutang sebelum dapat merasa hasil keuntungan sepanjang memulakan perniagaan.

Jika modal masih tidak mencukupi, satu cara lain adalah mendapatkan rakan kongsi, baik yang mempunyai modal ataupun kemudahan perniagaan yang diperlukan. Rakan kongsi anda haruslah seseorang yang mempunyai reputasi baik secara keseluruhan. Ya, anda perlu berkongsi saham pemilikan syarikat namun cara ini lebih baik daripada anda berhutang keliling pinggang. 

Hanya selepas perniagaan anda sudah berkembang dan mampu ‘berjalan’ sendiri, bolehlah memohon pembiayaan perniagaan daripada mana-mana institusi kewangan atau agensi pembangunan usahawan yang diiktiraf seperti PUNB.

Yang paling penting, jika anda baru hendak mula berniaga, jangan usik modal dan keuntungan perniagaan untuk kegunaan peribadi.

Menjengah 2020, pasti anda mempunyai perancangan tersendiri, baik kehidupan mahupun kerjaya. Jika anda berhasrat untuk menceburi bidang perniagaan, 5 perkara ini harus difikirkan sebelum masuk ke ‘gelanggang’:

Read Policy

Kami Menghargai Maklum Balas Anda!

    Soalan 1

    Pengalaman Keseluruhan:

    Bagaimanakah anda menilai pengalaman keseluruhan anda di portal rasmi kami?

    Soalan 2

    Pencarian Maklumat:

    Adakah mudah untuk mencari maklumat yang anda cari?

    Soalan 3

    Bahagian Bantuan:

    Bahagian mana pada portal rasmi kami yang paling membantu anda?

    Soalan 4

    Jangkaan Laman Sesawang:

    Adakah portal rasmi kami memenuhi jangkaan anda?

    Soalan 5

    Kebarangkalian untuk Kembali:

    Adakah anda akan kembali ke portal rasmi kami pada masa hadapan?