Popular

Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian, itulah peribahasa yang sesuai untuk menceritakan kisah perjalanan Nor Zachy Fernandez bin Zahari Fernandez sebagai seorang usahawan.

Siapa sangka pengasas Xair Communication Sdn Bhd ini pernah menghidap penyakit hipertiroid akibat pengeluaran berlebihan hormon tiroksina oleh kelenjar tiroid di leher ketika berumur 25 tahun. Ekoran daripada itu, bentuk fizikal pemilik syarikat ini berubah daripada gempal menjadi kurus akibat kesusutan berat badan sebanyak 24 kg dalam tempoh 2 bulan.

Perubahan ini membuatkan beliau hilang keyakinan diri kerana sentiasa keletihan dan lemah otot. Simptom lain termasuklah getaran tangan, perubahan emosi mendadak, degupan jantung yang tidak teratur dan masalah tidur.

Keadaan ini amat menyukarkan beliau untuk melakukan rutin harian dan kerja sebagai seorang jurutera di salah sebuah syarikat telekomunikasi tempatan yang bertapak di Bangkok, Thailand.

Hampir setahun setengah menerima rawatan dan setelah beransur pulih, beliau nekad untuk menubuhkan syarikatnya sendiri bersama seorang rakan kongsi pada April 2003.

“Saya menjadi usahawan kerana peluang, bukan secara kebetulan”, ujar Zachy. Beliau menegaskan asas perniagaannya bermula kerana wujud peluang dan bukan disebabkan ujian yang menimpa diri  menjadikan ia sebagai semangat untuk mengubah nasibnya.

Pengalaman bekerja selama beberapa tahun dalam industri ini dimanfaatkan untuk bergiat aktif dalam industri telekomunikasi.

Di awal penubuhan syarikat, Xair mendapat pelanggan baharu melalui rujukan dari kenalan dan pelanggan. Syarikat menyediakan perkhidmatan kerja-kerja rencam seperti menjual dan memasang komputer  serta sistem Wi-Fi di pejabat-pejabat pelanggan.

Rakan Kongsi Tidak ‘Sefrekuensi’

Mungkin ramai usahawan hari ini yang berani memulakan perniagaan secara solo demi mencapai wawasan peribadi mereka, namun, tidak bagi Zachy. Sebagai usahawan baharu di awal penubuhan syarikatnya, beliau memerlukan sokongan dan bantuan rakan kongsi untuk menguruskan bidang yang beliau belum begitu mahir. “Dalam perniagaan, penting untuk mencari rakan kongsi yang baik dan sehaluan. Malangnya, saya tersalah langkah,” kata Zachy dengan  kesal.

Usahawan yang kini berumur 40 tahun ini mengakui setelah memulakan perniagaan, beliau dan rakan kongsinya tidak mempunyai hala tuju yang sama untuk syarikat. Keadaan itu menyukarkan mereka untuk meneruskan perniagaan bersama dan akhirnya terpaksa bergerak secara berasingan. Beliau bernasib baik apabila bertemu rakan universitinya, Mohd Azrul Ahmad yang menawarkan diri untuk menjadi rakan kongsi beliau. Walaupun hubungan mereka tidaklah rapat semasa di universiti, namun Azrul dilihat mempunyai wawasan yang sama dan boleh dipercayai.

Xair mula bertapak di sebuah ruang kosong di rumah keluarga Zachy sebelum berpindah ke rumah Azrul pula. Azrul mengurus bahagian kewangan, manakala Zachy mengurus bahagian pembangunan perniagaan. Sedikit demi sedikit, Xair mula berkembang dengan mengambil pekerja bermula dengan hanya dua orang pelajar praktikal dan dua orang jurutera. Dengan tenaga kerja yang meningkat, syarikat ini mula mempelbagaikan perkhidmatan yang ditawarkan seperti mengendali rundingan selular dan wayarles. Senarai pelanggan juga telah bertambah merangkumi syarikat telekomunikasi tempatan seperti Maxis, Digi, Celcom, U Mobile & P1 dan syarikat antarabangsa terkemuka  seperti Ericsson, Alcatel–Lucent, Nokia Siemens Network, Huawei, dan Motorola.

Bagi siswazah jurusan kejuruteraan elektrik dan elektronik ini, kejayaan yang diperolehinya merupakan gabungan usaha bersama para pekerja dan rakan kongsi yang amat komited dan mempunyai wawasan yang sama. Kini Xair sudah genap 14 tahun beroperasi dan hari ini mempunyai beberapa buah pejabat di luar negara dengan menawarkan perkhidmatan telekomunikasi di beberapa negara ASEAN, termasuklah Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja dan Dubai.

Antara pengiktirafan yang diterima oleh Xair Communication daripada PUNB

 

Interferens: Usia dan Kekurangan Modal

“Cabaran terbesar kami ialah umur, keduanya ialah modal,” rumus beliau pendek apabila kemampuan mereka sering dipandang rendah dan berdepan dengan kekurangan modal sewaktu di awal perniagaan. Tatkala banyak pihak yang meragui keupayaan dan kredibiliti anak muda sepertinya mengendalikan sebuah syarikat telekomunikasi ketika itu, namun Zachy tidak pernah berputus asa untuk memajukan Xair.

Baginya, cabaran tersebut adalah lumrah dan ia diibarat sebagai satu gangguan sistem gelombang selular atau Wi-Fi yang perlu di atasi untuk mematangkan diri sebagai seorang usahawan. Zachy telah cuba untuk mendapatkan pembiayaan daripada pelbagai institusi kewangan, namun gagal sehinggalah beliau menemui PUNB dan berjaya mendapat pembiayaan sebanyak RM800 ribu. Dedikasi dan kemampuan yang ditunjukkan oleh Xair menarik minat PUNB untuk menawarkan pembiayaan kali kedua sebanyak RM4 juta dibawah Skim PKS apabila mereka berjaya melunaskan pembiayaan pertama dalam jangka masa 2 tahun sahaja!

Dengan pembiayaan yang lebih besar, Xair berjaya mengembangkan rangkaian perniagaannya di dalam dan luar negara dengan  membuka lebih banyak cawangan.

Nor Zachy turut menyertai konvensyen bagi mengukuhkan jaringan perniagaannya

 

Takut Hadapi Ralat Kewangan

Sebagai usahawan, Zachy tidak terlepas dari merasai kegagalan sehingga pernah hilang akal dan demam teruk dek masalah kewangan. Beliau kesal dengan dirinya yang cepat melatah, takut dan langsung tidak bersiap sedia untuk berdepan dengan kegagalan tersebut. Beliau mengambil masa yang agak lama untuk bangkit semula daripada situasi itu. Walau bagaimanapun, baginya semua itu adalah suatu pengalaman dan pengajaran yang bermakna kerana kegagalan tersebut menjadikan beliau seorang yang lebih tabah untuk berdepan situasi yang sama.

“Sifat yang diperlukan untuk menjadi seorang usahawan ialah sentiasa bersedia untuk gagal dan memandang kegagalan secara positif,” jelas beliau.

Nasihat Zachy kepada jurutera muda yang baru memulakan kerjaya dan mahu mengikut jejak langkahnya dalam bidang keusahawanan supaya menjadi pekerja yang proaktif sebelum mencuba perkara baharu. Selain itu, sentiasa sediakan rancangan sandaran dan sistem sokongan dari segala sudut perniagaan agar tidak terganggu dengan mana-mana halangan dan ujian yang menimpa.

Mari sama-sama mendalami kisah usahawan PUNB, Mohd Farik Abdul Rahman, seorang ahli farmasi dan usahawan menceritakan kebaikan Omega 3 kepada kesihatan jantung dan bagaimana ia dapat membantu mengurangkan kadar kolestrol dalam badan.

Keratan Akhbar daripada Utusan Malaysia – Sabtu, 29 Julai 2017

Mari sama-sama mendalami kisah usahawan PUNB, Dr. Leny Marlina, seorang doktor dan usahawan wanita mendidik dan memberi kesedaran tentang bahayanya penyakit ‘3 serangkai’ dan langkah pencegahan seawal di usia muda.

Keratan Akhbar daripada Utusan Malaysia – Sabtu, 29 Julai 2017

https://www.youtube.com/watch?v=bzh_mIpFs6U

#hallousahawan

#usahawanPUNB

 

Idea Niaga

Apakah produk yang paling sesuai untuk dipasarkan secara global? Kita sering beranggapan hanya produk yang unik dan mempunyai faktor pelaris tersendiri sahaja yang boleh dijual di luar negara. Sebenarnya pelbagai produk berpotensi boleh dipasarkan termasuklah makanan, pakaian, mahupun kraftangan tempatan. Contohnya, produk sos cili Life keluaran Syarikat KFC Holdings Malaysia Berhad yang kini telah berada di pasaran Jepun dan roti canai sejuk beku jenama Kawan yang boleh didapati di pasar raya-pasar raya Indonesia. Yang penting, produk anda berkualiti dan mampu bersaing.

Ini antara perkara yang perlu anda pertimbangkan sebelum ke pasaran global.

Sasaran Pasaran

Mulakan dengan membuat kajian mengenai negara dan kumpulan sasaran. Cari maklumat untuk mengenal pasti negara yang mempunyai permintaan terhadap produk anda. Fokus kajian anda haruslah berdasarkan saiz pertumbuhan pasaran, minat dan pola perbelanjaan pengguna di negara sasaran.

Selain itu, cuba kenali pantang larang dan budaya setempat kerana hal ini dapat mempengaruhi sambutan terhadap produk anda. Anda juga perlu mengkaji sama ada nama produk anda sesuai untuk digunakan di negara sasaran. Ada sesetengah negara, anda perlu menukar jenama atau label produk mengikut ejaan dan bahasa serta makna yang bersesuaian supaya serasi dengan kehendak masyarakat tempatan.

Peraturan dan Undang-undang

Setiap negara mempunyai peraturan dan undang-undang import eksport tersendiri yang mungkin berbeza dengan negara kita. Sebagai usahawan, perkara ini harus dititik beratkan jika anda mahu memasarkan produk ke sesebuah negara. Antaranya undang-undang pelesenan dan pensijilan perniagaan, percukaian, urusan pengambilan pekerja dan tetapan piawaian bagi produk yang ingin dipasarkan. Contohnya, seperti di Amerika Syarikat, setiap produk makanan, ubatan dan kosmetik luar yang ingin dibawa masuk ke negara Uncle Sam itu harus mendapatkan kelulusan daripada agensi Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA).

Pengetahuan tentang peraturan dan undang-undang ini amat berguna kerana ia dapat memberi informasi dan boleh dijadikan sebagai petunjuk kepada anda sama ada ingin tembusi atau tidak pasaran di negara sasaran.

Kemampuan dan Status Kewangan Perniagaan

Dalam usaha menembusi pasaran global, anda perlu memastikan perniagaan bersiap sedia khususnya dalam pengeluaran produk yang lebih banyak dan produktif bagi memenuhi permintaan pasaran luar. Pastikan juga bekalan bahan-bahan mentah yang diperlukan mencukupi agar tidak menjejaskan kualiti dan rekod perniagaan. Kesukaran untuk membekal produk eksport secara konsisten akan mewujudkan imej negatif kepada syarikat selain berpotensi hilang kepercayaan daripada pengimport luar negara.

Tidak lupa, kedudukan kewangan perniagaan juga haruslah kukuh jika pengeluaran telah bertambah. Sekiranya perlukan bantuan, gunakan peluang-peluang yang ditawarkan oleh mana-mana agensi keusahawanan dan institusi kewangan berkaitan bagi memastikan kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan anda.

Pelbagai kaedah atau cara yang anda boleh gunakan untuk menembusi pasaran global. Pilihlah cara yang paling sesuai dengan perniagaan anda dengan mengambil kira kos dan matlamat perniagaan.

Jadi, bersediakah perniagaan anda?

Dalam menghadapi industri 4.0, semakin banyak industri yang menggunakan sumber tenaga manusia mula beralih kepada tenaga kerja automasi.

Apakah yang membezakan kedua-dua sumber tenaga ini?

Bagi dunia pekerjaan, tahap kecemerlangan dalam bidang pengajian memberi kelebihan dan daya saing kepada calon pekerja. Malah, kebanyakan pekerjaan dalam sektor profesional dan korporat menuntut seseorang individu untuk memiliki latar belakang pendidikan sekurang-kurangnya di peringkat Sarjana Muda.

Jom semak lima bidang pengajian yang menjanjikan peluang kerjaya yang lebih terbuka pada masa akan datang.

Manalah tahu, anda mungkin boleh mulakan perniagaan atau menjadi rakan kongsi  syarikat yang berkaitan dengan bidang pengajian di bawah!

Sains Komputer & Teknologi Maklumat

Dalam arus modenisasi masa kini, kita tidak dapat menafikan bidang pengajian ini semakin mendapat tempat di negara kita. Secara asasnya, bidang ini memberi pendedahan tentang manipulasi data, reka bentuk, pemprosesan maklumat, penghasilan keputusan yang cepat, cekap dan tepat serta sistematik.

Sebagai masyarakat yang maju, kebergantungan kita terhadap penggunaan teknologi sangat tinggi di mana kebanyakan urusan seharian, baik perniagaan mahupun persendirian sedikit sebanyak melibatkan sistem teknologi yang sentiasa di hujung jari. Jadi, masalah gangguan pada sistem berteknologi adalah suatu yang sukar diterima oleh masyarakat.

Di sinilah kemahiran dalam bidang ini amat diperlukan; di mana kita memerlukan lebih banyak  kepakaran untuk membangun dan menyokong penggunaan sistem baharu serta menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Antara peluang kerjaya yang sering ditawarkan termasuk  Pembangun Perisian (Software Developer), Penganalisis Sistem Komputer (Computer Systems Analyst) dan Pentadbir Sistem Rangkaian (Network Systems Administrator).

Perakaunan

Seramai 60 ribu akauntan profesional akan diperlukan menjelang 2020. Menurut laporan akhbar Utusan bertajuk ’60,0000 akauntan, tercapaikah?’ bertarikh 20 Januari 2018, keperluan ini perlu direalisasikan sekiranya negara ingin mencapai status negara berpendapatan tinggi menerusi Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia ke-11.

Malah, menurut laporan sama, kerajaan juga meletakkan sasaran untuk melahirkan 60,000 akauntan bertauliah dengan nisbah seorang akauntan dengan 500 penduduk menjelang 2020 sebagai menyokong usaha transformasi negara!

Di negara ini, kerjaya sebagai akauntan menjanjikan pendapatan tinggi, sama seperti peguam, doktor, jurutera dan juruukur. Apa yang lebih menarik, kerjaya ini juga dikatakan tidak terkesan dengan naik turun prestasi ekonomi kerana peranan mereka sentiasa diperlukan oleh organisasi perniagaan sepanjang masa.
Pekerjaan yang sering menjadi rebutan dalam bidang perakaunan termasuklah juruaudit, perunding cukai, pegawai eksekutif akaun, akauntan pengurusan dan pengawal kewangan.

Berdasarkan Laporan Tahunan Institut Akauntan Malaysia (MIA) 2017/2018, sehingga 30 Jun 2018, keahlian akauntan berdaftar adalah sebanyak 34,655 ahli. Angka itu mencatatkan peningkatan sebanyak empat peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 33,294 ahli.

Apa tunggu lagi? Jom jadi akauntan!

 

Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan

Ramai yang masih tak tahu bahawa sebenarnya, Pegawai Keselamatan dan Kesihatan memainkan peranan penting dalam memastikan keperluan, keselamatan serta kesihatan pekerja sentiasa dilindungi. Tugas mereka meliputi pemeriksaan persekitaran tempat kerja serta memastikan pekerja mengikut piawaian keselamatan yang telah ditetapkan.

Menerusi laporan Critical Occupations List (COL) 2018, permintaan terhadap tenaga pakar dalam bidang ini semakin bertambah dan dijangka akan terus meningkat seiring dengan perkembangan negara.

Pemegang Ijazah dalam bidang pengajian berkaitan kesihatan dan keselamatan pekerjaan sesuai untuk menjawat jawatan sebagai Pegawai Keselamatan Industri, Pegawai Keselamatan Teknikal dan Pegawai Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan.

Kimia

Berdasarkan laporan Critical Occupational List (COL) 2018, negara kita dilaporkan mengalami kekurangan pakar dalam bidang kimia.

Ramai antara kita yang terlepas pandang bahawa sebenarnya, bidang ini amat diperlukan terutamanya dalam industri pembuatan dan farmaseutikal. Antara kerjaya yang mendapat permintaan tinggi termasuklah penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan produk, kawalan dan pakar pencelupan. Namun, bilangan calon yang berkelayakan tidak mencukupi untuk mengisi jawatan kosong yang ditawarkan.

Kekurangan ahli kimia sedikit sebanyak turut menjejaskan ujian kes jenayah di Malaysia yang menyebabkan kelewatan keputusan ujian makmal memandangkan ia hanya boleh dikendalikan oleh ahli kimia sahaja.

Berminat nak jadi seorang ahli kimia? Anda perlu memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana dalam bidang kimia tau! Bagaimanapun, kebanyakan pekerjaan penyelidikan memerlukan kelayakan sehingga ke peringkat PhD.

Kejuruteraan

Malaysia memerlukan seramai 200 ribu jurutera pelbagai bidang menjelang 2020 sedangkan menurut Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM), jumlah jurutera profesional dan bertauliah di seluruh negara yang berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) setakat ini baru mencecah 130,000 orang.

Ini peluang baik bagi graduan kejuruteraan!

Bidang kejuruteraan semakin mendapat tempat di hampir ke semua institusi pengajian tinggi selain turut diberi pendedahan di peringkat menengah lagi.

Antara kepakaran yang mendapat permintaan tinggi termasuk jurutera awam, jurutera mekanikal, jurutera kimia, jurutera elektrik/elektronik, jurutera mekatronik dan jurutera perlombongan selain keperluan bagi juruteknik kejuruteraan elektrik, juruteknik kejuruteraan mekanikal dan juruteknik kejuruteraan jaminan kualiti.

Masih kurang pasti dengan pilihan anda? Ingin tahu dengan lebih lanjut? Pastikan anda rujuk laporan Critical Occupations List (COL) yang dikeluarkan oleh TalentCorp Malaysia!

Image credit: Freepik

Artikel berkaitan:

http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/60-000-akauntan-diperlukan-1.585391#ixzz5kqpPJRX0

https://www.mia.org.my/v2/downloads/resources/publications/integrated_annual_report/2018/IAM_Laporan_Tahunan_Bersepadu_2018.pdf

http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kelantan/dorong-seramai-mungkin-pelajar-ambil-bidang-kejuruteraan-1.867843

https://www.talentcorp.com.my/clients/TalentCorp_2016_7A6571AE-D9D0-4175-B35D-99EC514F2D24/contentms/img/publication/TalentCorp_CriticalOccupationsList_TechReport_2017-2018.pdf

Read Policy

Kami Menghargai Maklum Balas Anda!

    Soalan 1

    Pengalaman Keseluruhan:

    Bagaimanakah anda menilai pengalaman keseluruhan anda di portal rasmi kami?

    Soalan 2

    Pencarian Maklumat:

    Adakah mudah untuk mencari maklumat yang anda cari?

    Soalan 3

    Bahagian Bantuan:

    Bahagian mana pada portal rasmi kami yang paling membantu anda?

    Soalan 4

    Jangkaan Laman Sesawang:

    Adakah portal rasmi kami memenuhi jangkaan anda?

    Soalan 5

    Kebarangkalian untuk Kembali:

    Adakah anda akan kembali ke portal rasmi kami pada masa hadapan?