Seiring kita melangkah ke tahun 2024, dinamik perniagaan berubah dengan cepat. Bagi mereka yang merancang untuk meneruskan warisan perniagaan, perancangan strategik bukan sahaja penting tetapi kritikal. Kepelbagaian strategi yang berjaya untuk meneruskan dan mengekalkan perniagaan melibatkan interaksi antara jangkaan, adaptabiliti dan pengurusan yang kukuh. Mari kita teroka beberapa strategi utama untuk memastikan peralihan yang lancar bagi perniagaan dalam landskap dinamik ini.
Sebagaimana kita sedia maklum, bencana alam seperti tanah runtuh, banjir kilat, taufan dan banjir berlaku di luar jangkaan kita. Sebagai contoh, saban tahun apabila tibanya musim tengkujuh, sebahagian kawasan di negara kita seringkali dilanda banjir, lebih-lebih lagi bagi penduduk di Pantai Timur yang terpaksa menghadapi bencana banjir ini ekoran Monsun Timur Laut. Dalam situasi ini, para usahawan juga tidak terkecuali berdepan bencana banjir di mana ia memberi kesan buruk kepada perkembangan perniagaan.
Daripada bencana alam yang sering berlaku ini, maka benarlah seperti kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Kesiapsiagaan dalam menghadapi musim bencana ini harus sentiasa ditingkatkan oleh para usahawan agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini seperti menghadapi jumlah kerugian yang besar. Jom, ikuti perkongsian para usahawan dalam persediaan perniagaan menghadapi musim bencana!
“Sejak dari awal penubuhan, pihak syarikat memandang serius mengenai penyediaan dana khas khusus untuk pengurusan bencana dengan melakukan pelbagai inisiatif termasuk pemberian bantuan secara langsung. Selain daripada itu, dana tersebut juga boleh digunakan sebagai kegunaan kecemasan untuk membayar gaji pekerja jika perniagaan tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh bencana.
Malah kami juga menyeru para usahawan untuk lebih fokus dalam meningkatkan pemasaran dengan menjual stok-stok lama yang masih boleh digunakan sebagai ganti rugi kos yang digunakan semasa bencana berlaku. Selain itu, para usahawan juga perlu memiliki sikap saling membantu dalam diri setiap pekerja dengan mewujudkan dana kecemasan.
Dana kecemasan ini adalah wang tunai yang digunakan sebagai persediaan untuk para usahawan menghulurkan bantuan kepada para pekerja lain selain menawarkan sokongan motivasi dengan berkongsi matlamat simpanan dana tersebut.”
NURUL IRMAZIEHAN BINTI ZULKUFLI ALIA OPTOMETRIS
“Syukur, alhamdulillah apabila tahun lepas kesemua cawangan FS Optical yang terletak di Pantai Timur tidak terlibat dalam bencana banjir. Cuma ada beberapa cawangan yang perlu ditutup disebabkan terdapat beberapa rumah pekerja yang dimasuki air. Sebagai majikan, pihak syarikat amat prihatin mengenai perkara ini dan sering menasihati para pekerja yang tinggal di kawasan rendah untuk berpindah lebih awal agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.
Bagi situasi sebegini, pihak syarikat bersepakat mengadakan promosi istimewa cermin mata bagi meringankan beban mangsa banjir yang mengalami masalah penglihatan. Selain itu, pihak syarikat juga turut merangka pelan komunikasi dengan para pekerja untuk memastikan kesemua pekerja yang terlibat dengan bencana dapat mengemas kini keadaan terkini mereka. Ini kerana pihak syarikat bertanggungjawab untuk melindungi pekerja!” FAZRIL AKMAL BIN AZALI FS OPTICAL SHOP
Oleh yang demikian, apakah langkah terbaik yang perlu diambil bagi mengelakkan masalah bencana banjir ini? Sebagai contoh, masalah bencana banjir ini boleh dielakkan dengan meningkatkan usaha pemuliharaan atau penanaman semula hutan di kawasan yang terjejas.
Jika tiada sebarang usaha atau tindakan yang diambil, tidak mustahil bencana banjir yang lebih serius serta luar jangkaan akan melanda negara di masa akan datang sepertimana banjir besar yang berlaku pada beberapa negeri pada tahun sebelumnya. Selain itu, pihak tertentu harus memiliki pelan pemulihan bagi menganalisis bencana yang bakal dihadapi dan cara untuk melindungi sebarang aset yang tidak boleh dipulihkan.
Sebut sahaja mengenai perniagaan, pasti pelbagai perkara bermain di kotak fikiran seseorang yang ingin bergelar usahawan. Untuk menceburi bidang keusahawanan, seseorang itu perlu memiliki ilmu pengetahuan dan mengikuti latihan berkaitan keusahawanan. Ini kerana latihan keusahawanan dapat membantu seseorang untuk mempelajari dan memahami cara untuk mengendalikan sesebuah perniagaan dengan lebih efektif. Malah latihan keusahawanan juga dapat membangun ciri-ciri kepimpinan, kreativiti dan kemahiran inovasi yang diperlukan dalam dunia perniagaan.
Jom ikuti pandangan dua usahawan muda ini berkaitan latihan keusahawanan dalam menceburi bidang perniagaan!
Kesimpulannya, latihan keusahawanan adalah sangat penting dalam perniagaan kerana ia memberi peluang kepada seseorang usahawan dalam mempelajari pelbagai kemahiran keusahawanan yang diperlukan untuk mempertingkatkan perniagaan. Selari dengan ini, PUNB turut menyediakan latihan keusahawanan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan usahawan dalam bidang pengurusan kewangan, pemasaran, tadbir urus korporat dan pengurusan am. Sekali gus dapat membantu usahawan mencapai kejayaan dalam perniagaan dengan lebih efektif dan efisien. Anda boleh dapatkan perkongsian mengenai senarai latihan keusahawanan di sini: https://tinyurl.com/5bu6red9
COVID-19 mula memberi impak kepada semua lapisan masyarakat khususnya para peniaga. Ada peniaga yang terpaksa menutup perniagaan dan ada juga yang cuba mengekalkan perniagaan walaupun lebih banyak mengalami kerugian berbanding keuntungan. Antara yang terkesan adalah dua usahawan muda wanita iaitu Nik Ili Khairunnisa binti Nik Razali, pemilik Bulan Madu Boutique dan Noraidila binti Misrun, pemilik Dila Catering & Canopy yang boleh dijadikan sebagai inspirasi. Jom ikuti pengalaman mereka ‘berperang’ untuk meneruskan kelangsungan perniagaan sepanjang COVID-19.
S : Ceritakan bagaimana anda boleh menceburkan diri dalam bidang perniagaan?
Ili : Ia bermula pada 2012 apabila saya mengambil keputusan untukberhenti kerja dan mengikut suami pulang ke kampung halaman. Pada saat itu, tercetus idea untuk memulakan perniagaan secara dalam talian. Minat yang mendalam terhadap fesyen telah mendorong saya untuk menghasilkan tudung shawl custome made dengan jahitan tangan. Saya mula menjual pada rakan-rakan di media sosial. Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat memberangsangkan di mana jualan syarikat mencecah ribuan ringgit dalam masa yang singkat bagi tahun pertama beroperasi.
Kemudian, saya membuat percubaan dengan memasarkan pakaian ready to wear untuk mempelbagaikan koleksi sedia ada di mana harga yang ditawarkan adalah bermula daripada RM59 sehingga RM129. Pada 2013 pula, saya tampil lebih berani untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan menyewa sebuah premis untuk membuka home boutique.
Ekoran sambutan yang menggalakkan, dua tahun kemudian, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke butik dengan ruangan lebih besar di lokasi yang lebih strategik.
Pemilik Bulan Madu Boutique, Nik Ili Khairunnisa binti Nik Razali.
Aidila : Saya menceburi bidang ini sejak 2018 apabila mula bekerjasama dengan syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan majlis perkahwinan. Sejak itu, saya mula merangka perancangan untuk memperluaskan skop pemasaran dengan menyediakan tempat khas bagi menjalankan majlis perkahwinan dengan menawarkan pakej lengkap berkonsepkan ‘Wedding Ballroom’. Dengan Pakej Cuci Tangan Perkahwinan ini, para pelanggan mempunyai dua pilihan harga iaitu RM17,500 (300 tetamu) dan RM18,000 (500 tetamu).
Bukan mudah untuk berada di mana kami berada sekarang kerana kami mengambil masa hampir setahun untuk mengatur strategi bagi melaksanakan pakej eksklusif ini. Akhirnya, De Daisy Wedding Grand Ballroom berjaya dirasmikan pada Oktober 2019 berlokasi di Hotel Summit Signature, Menara Up, Taman OUG, Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur.
Bukti penat lelah Noraidila binti Misrun, pemilik Dila Catering & Canopy adalah dengan kewujudan De Daisy Wedding Grand Ballroom.
S : Kongsikan pandangan/perancangan perniagaan ketika berdepan situasi getir seperti ancaman pandemik COVID-19 ini?
Ili : Pada pandangan saya, perancangan untuk menghadapi situasi COVID-19 bagi perniagaan seperti ini adalah saya lebih memberi fokus kepada strategi pemasaran secara berterusan dan juga konsisten. Selain itu, setiap majikan perlu meningkatkan kemahiran kepimpinan untuk memastikan pasukan bergerak seiring kerana setiap kerja akan dilakukan di rumah.
Aidila : Dalam situasi kekangan pandemik COVID-19 ini, tidak dapat dinafikan kami juga terkesan dengan pergerakan yang sangat terhad. Demi kelangsungan perniagaan, kami memikirkan jalan penyelesaian terbaik iaitu dengan menawarkan studio photoshoot dengan pakej termurah bagi bakal pengantin yang telah menjalani proses pernikahan di pejabat agama.
S:Dengan keadaan ekonomi semasa dan COVID-19 sekarang, bagaimana anda memastikan pendapatan dapat terus dijana?
Ili : Ingin saya kongsikan tip bagi semua peniaga khususnya yang menjalankan perniagaan seperti saya, anda harus mempunyai perniagaan sandaran yang dilakukan secara kecil-kecilan dan bukan hanya tertumpu kepada satu perniagaan sahaja. Selain itu, anda harus memantapkan perniagaan sedia ada dengan idea-idea yang lebih bernas sebagai persediaan jika berlaku sesuatu perkara di luar jangkaan.
Antara koleksi yang terdapat di Bulan Madu Boutique.
Aidila : Bagi saya, saya berpegang kepada peribahasa Melayu iaitu di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tidak kira sekecil mana pakej itu, kami tetap akan tawarkan di mana ia secara tidak langsung boleh menjana pendapatan untuk mengekalkan perniagaan yang sedia ada. Ini kerana saya beranggapan pandemik ini bukanlah halangan untuk mematahkan semangat kami.
Antara hiasan pelamin yang dihasilkan di De Daisy Wedding Grand Ballroom.
S : Apakah tindakan yang dapat anda lakukan untuk terus berdaya saing dalam senario masa depan yang berbeza?
Ili : Saya akan lebih fokus untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh Malaysia secara dalam talian selain mempertingkatkan sentuhan peribadi dalam setiap pakaian yang dikeluarkan dalam memastikan kesetiaan dan kepercayaan pelanggan kekal serta berterusan.
Malah, saya juga akan berusaha untuk menimba lebih banyak ilmu bagi menambah baik kualiti perniagaan dan pada masa yang sama saya akan memastikan perniagaan yang dijalankan mempunyai nilai dan tarikan tersendiri.
Aidila : Dengan norma baharu ini, saya berpegang kepada peribahasa Melayu iaitu di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Saya kinimemikirkan pelbagai idea untuk menyediakan pakej lengkap dengan harga berpatutan yang meliputi semua aspek.
Penglibatan wanita dalam dunia keusahawanan bukanlah perkara asing lagi. Kerajaan serta pelbagai pihak termasuklah PUNB telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha memartabatkan usahawan wanita selain membantu mereka menghadapi cabaran menguruskan perniagaan. Tetapi, benarkah wanita menghadapi cabaran yang lebih tinggi apabila menceburi bidang ini? Jom ikuti pengalaman 2 usahawan wanita dalam menempuh cabaran dunia perniagaan!
Nadhlia Nina binti Junus, Ainnor Marketing Sdn Bhd – Spa, Produk Kecantikan dan Penjagaan Ibu Selepas Bersalin EMBAH
“Kewujudan jenama EMBAH adalah hasil pemerhatian serta pengalaman saya dan rakan kongsi, Rosliza Rahman sepanjang menjalankan perkhidmatan spa kecantikan dan penjagaan ibu selepas bersalin. Kami akui kejayaan dan kegagalan merupakan lumrah dalam perniagaan.
Selain perkhidmatan spa dan penjagaan selepas bersalin, EMBAH turut menawarkan penjualan produk posnatum yang sejujurnya tidak terlepas daripada berhadapan dengan cabaran, lebih-lebih lagi apabila pelanggan inginkan produk yang dibeli, sampai dengan kadar segera. Menangani masalah ini, EMBAH mengambil inisiatif mewujudkan sebuah modul perniagaan yang diberi nama #embahheritage, iaitu mengadakan stokis, agen dan pesan hantar (dropship) di setiap daerah serta kawasan. Secara tidak langsung modul ini membantu memberi maklum balas segera kepada pelanggan di samping menaik taraf pendapatan isi rumah kepada mereka yang berminat menjadi ejen/stokis produk Embah.
EMBAH menawarkan perkhidmatan spa dan penjagaan selepas bersalin.
EMBAH juga turut menghadapi cabaran
dalam pemasaran dan persaingan semasa seperti persamaan produk jualan dan juga
tawaran harga pesaing yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, EMBAH percaya, dengan
melalui proses teliti dalam menghasilkan kesemua produk yang dijamin berkualiti,
mampu menarik dan mengekalkan kesetiaan pelanggan, sesuai dengan harga yang
ditawarkan.
Dalam bidang perniagaan, kita harus sentiasa bersedia dengan apa jua kemungkinan. Apa yang penting adalah menerapkan sikap professionalisme yang tinggi untuk terus berdaya tahan dan berdaya saing dalam dunia perniagaan. Tambahan pula, persaingan dikalangan usahawan khususnya wanita amat sengit memandangkan bidang kecantikan dan kesihatan ini amat sinonim dengan naluri mereka. Ini menunjukkan suatu perkembangan yang baik sekaligus membuktikan bahawa wanita kini lebih agresif, bermotivasi dan mampu berdikari demi memajukan diri.”
Muzdalifah Mohamad Mustapha, Iffah DW Enterprise – Daging Hitam Palembang
“Walaupun baru setahun jagung menceburkan diri dalam bidang
perniagaan, tidak dinafikan ia satu kejutan budaya buat saya. Namun, berkat sokongan dan tunjuk ajar suami
untuk berhadapan dengan pelbagai situasi perniagaan, kini saya lebih cekap
menghadapi setiap cabaran.
Daging Hitam Palembang juga tidak lari daripada berhadapan dengan cabaran dari segi pasaran dan persaingan semasa. Di Malaysia, bukan hanya kami yang menjual produk daging hitam. Apa yang membezakan produk kami dengan produk yang terdapat di pasaran selain daripada jenamanya adalah resepi rahsia daging hitam yang digunakan adalah mengikut citarasa asal dari daerah tersebut yang dijamin mampu menarik perhatian para pelanggan yang menikmatinya. Inilah keistimewaan Daging Hitam Palembang.
Iffah DW Enterprise perkenal produk Daging Hitam Palembang.
Saya sentiasa
berusaha dalam menaik taraf jenama produk kami agar lebih dikenali dan menjadi
pilihan orang ramai sekaligus mampu mengurangkan persaingan jualan daging hitam
yang sedia ada di pasaran. Tidak
dinafikan, ilmu dan kemahiran harus senantiasa ditingkatkan agar saya dapat
menjadi seorang usahawan yang lebih baik. Sasaran Iffah DW Enterprise adalah supaya
produk Daging Hitam Palembang ini dapat dipasarkan bukan sahaja di Malaysia
malah juga seluruh dunia. Insha Allah.”
Ish, malulah kalau keluar rumah dengan badan berbau! Apatah lagi dengan cuaca yang tidak menentu sekarang, badan asyik berpeluh saja. Nasib baik ada De’Xandra Eau De Parfum.
Hanya dengan satu semburan, hilang terus bau kurang menyenangkan. De’Xandra Eau De Parfum adalah minyak wangi mesra solat yang berjaya menempa nama sebagai antara jenama minyak wangi pilihan di Negara kita.
Beroperasi dibawah pentadbiran Oshien2U Sdn Bhd, syarikat ini semakin maju sejak penubuhannya pada 2015. Pada tahun pertama pelancaran minyak wanginya sahaja, mereka berjaya memperoleh hasil jualan sehingga RM7 juta. Kejayaan De’Xandra terbukti apabila menerima pelbagai anugerah, antaranya The Brandlaureate World Halal Awards 2018 dan Top 10 Malaysia’s Inspiring Entrepreneur Awards 2017.
Walau bagaimanapun, tidak ramai yang mengetahui figura di sebalik syarikat minyak wangi ini. De’Xandra dimiliki sepenuhnya anak melayu Bumiputera yang diasaskan oleh Ernayanee Nur Julaimi.
Pengasas De’Xandra, Ernayanee Nur Julaimi.
Ernayanee Nur atau lebih mesra dipanggil Erna merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. Bapanya merupakan seorang anggota bomba manakala ibunya bekerja sebagai jururawat. Setelah tamat pendidikan menengah, Erna melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Matematik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Walau bagaimanapun, beliau meninggalkan pengajiannya bagi mengejar cita-cita untuk menceburi bidang perniagaan.
Fokus Pada Wangian
Erna memulakan langkah pertamanya sebagai seorang usahawan dengan sebuah perniagaan berkonsepkan Multilevel Marketing atau MLM. Hampir 3 tahun beliau bertungkus-lumus mengusahakan perniagaannya itu, namun nasib tidak menyebelahinya apabila beliau akhirnya dibebani dengan hutang dan hampir diisytiharkan muflis akibat tersalah percaturan. Natijah daripada ini, beliau terpaksa menjadi seorang pemandu bas kilang dengan kadar caj hanya RM1 seorang dan mengambil upah menyanyi di majlis-majlis perkahwinan Melayu dengan bayaran RM50 sahaja. “Itulah masa yang paling sukar bagi saya, namun, demi meneruskan kehidupan, saya harus melakukannya,” ujar Erna penuh kesal.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, Erna sedikit pun tidak terjejas dengan apa yang telah dihadapinya. Pada 2010 merupakan titik perubahan dalam kehidupannya. Daripada gaya hidup sehinggalah pemilihan rakan-rakan sokongan, semuanya berubah sedikit demi sedikit. “Saya percaya bahawa jika ingin berjaya, haruslah bergaul dengan orang yang berjaya juga, barulah kita akan belajar untuk berjaya seperti mereka,” jelasnya.
Pada 2012, Erna telah membuka buku barunya dalam perniagaan dengan menjadi stokis minyak wangi secara dalam talian. Erna memilih untuk menumpukan perhatian kepada industri wangian setelah melakukan kajian asas tentang keperluan dan kepentingan minyak wangi dalam kehidupan seharian.
Berbekalkan pengalaman yang ada dan sokongan daripada suami yang juga merupakan seorang peniaga serta rakan-rakan usahawannya, Erna kemudiannya mengambil langkah berani memasarkan produk jenamanya sendiri yang dikenali sebagai De’Xandra.
“Sewaktu saya melakukan kajian mengenai industri ini, saya dapati permintaan terhadap minyak wangi amat tinggi.
“Saya memilih nama Alexander sempena Alexander The Great dan mengubahnya menjadi entiti yang lebih feminin untuk perniagaan saya, lalu menghasilkan nama Xandra, yang kemudian menjadi De’Xandra,” jelas Erna.
Bauan Memikat, Menambat Hati
Minyak wangi De’Xandra dikeluarkan untuk lelaki dan wanita, dengan lima siri wangian iaitu Classic, Elegant, Intense, Luscious dan Dynamic. Setiap aroma yang dihasilkan adalah eksklusif dan melambangkan kemewahan bagi menyerlahkan lagi gaya si pemakai.
De’Xandra Eau De Parfum kini mempunyai lebih daripada 19,000 penjual berdaftar di seluruh Malaysia. Malah, jenama ini juga telah menjalinkan kerjasama dengan Air Asia pada November 2017 dalam mempromosikan jenama De’Xandra dengan mempamerkan rekabentuk minyak wangi ini di dalam dan luar badan pesawat Air Asia A320.
“Visi kami adalah untuk menjadi tonggak utama dalam industri wangian di pasaran Asia dan saya merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk yang berasaskan wangian dalam tempoh 10 tahun akan datang,” ujar ibu kepada 5 orang anak ini.
Bagi mencapai hasrat itu, De’Xandra kini sudah merancang untuk mempelbagaikan produk wangiannya dengan mengeluarkan koleksi haruman losyen badan dan pewangi kenderaan pada 2019.
Ramuan Rahsia Kejayaan De’Xandra
Meskipun diulit dengan kejayaan, wanita berusia 33 tahun ini mengakui dirinya masih mempunyai kelemahan dan memerlukan masa untuk memperbaiki diri terutama sebagai seorang usahawan wanita.
“Saya sentiasa mencari ilmu perniagaan dengan menyertai pelbagai seminar, kelas dan bengkel. Namun, apa yang paling penting dalam perniagaan adalah fokus. Jika kata kunci ini sentiasa bermain di fikiran, apa jua perkara yang anda lakukan pasti berjaya.
“Selain itu, kita juga harus lebih bijak mengurus masa dan perlu belajar mempercayai individu lain untuk mengendalikan perkara yang diluar kemampuan diri sendiri. Pergantungan kita hanya kepada Allah, dan yakinlah anda sebenarnya mampu melakukan lebih banyak perkara jika anda mahukannya,” akhiri Erna.
Perubahan globalisasi ekonomi telah membuka banyak peluang perniagaan terutama bagi usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka ke luar Negara. Memetik penulisan bertajuk “Dunia tanpa sempadan… potensi untuk perniagaan” menerusi laporan Utusan Online pada 2014, Negara kita melalui proses liberalisasi di mana perjanjian pembukaan pasaran dimeterai antara negara bagi membolehkan barang-barang dagangan, perkhidmatan, modal dan pelaburan bebas keluar masuk.
Secara tidak langsung, hal ini membuka mata ramai pihak untuk mengambil peluang menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Bukan sahaja masyarakat, malah selebriti tempatan juga tidak ketinggalan mencipta nama dalam bidang ini.
Jom kenal tiga selebriti ini yang berjaya melebarkan empayar perniagaan mereka ke persada dunia, wow sangat!
Naelofar Hijab
Naelofar Hijab adalah jenama tudung bertaraf antarabangsa yang telah mengeluarkan lebih 80 koleksi hijab sejak 2014. Bernaung di bawah syarikat NH Prima International, Naelofar Hijab yang diasaskan oleh Neelofa, atau Noor Neelofa Mohd Noor ini memiliki lebih 700 pengedar di 38 buah negara termasuklah Eropah, Afrika dan negara Timur Tengah. Selain Naelofar Hijab, NH Prima International memasarkan pelbagai produk lain yang mensasarkan kepada golongan muslimah, seperti telekung, sejadah dan pakaian. Syarikat ini juga turut mengeluarkan produk kanta lekap di bawah jenama Lofalens, di samping suplemen kesihatan dan kecantikan di bawah jenama BellaVita.
Hanya selepas setahun ditubuhkan, Naelofar Hijab telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM50 juta, iaitu melebihi dua kali ganda sasaran yang ditetapkan. Selaku pengasas syarikat, Neelofa bijak menggunakan platform media sosial peribadi seperti Instagram untuk mempromosikan jenama hijabnya. Dengan jumlah pengikut yang mencecah 6.7 juta, pelakon, pengacara dan usahawan jelita ini sering bereksperimen dengan gaya pemakaian tudung yang elegan dan ‘chic’ dan ini secara tidak langsung membantu mempromosi serta melariskan jualan hijab secara dalam talian.
Neelofa menjadi selebriti fesyen muslimah Malaysia pertama yang melangkah ke pentas antarabangsa setelah dilantik menjadi duta syarikat Swarovski selain menjalinkan hubungan kerjasama dengan Naelofar Hijab. Jenama Naelofar Hijab terus mengorak langkah ke persada dunia apabila menandatangani perjanjian kontrak bersama agensi pengurusan bakat di United Kingdom dan Perancis.
FashionValet dan dUck
Idea untuk mewujudkan gedung fesyen dalam talian, FashionValet tercetus apabila trend beli-belah secara dalam talian bermula di Eropah. Berhasrat untuk mengetengahkan budaya sama di Malaysia, penulis blog serta ikon fesyen muslimah, Datin Vivy Yusof bersama suami kemudiannya menubuhkan FashionValet yang memasarkan pelbagai produk antaranya pakaian, aksesori, kasut serta produk kecantikan.
FashionValet telah membuka butik di Singapura, Brunei dan Malaysia serta turut mempunyai pelanggan dalam talian di 15 buah negara termasuklah United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia. Bermula dengan hanya 10 jenama ditawarkan, FashionValet kini memasarkan lebih 500 jenama pereka fesyen di Asia Tenggara kepada pelanggan di seluruh dunia.
Jenama dUck pula merupakan salah satu jenama yang dijual oleh FashionValet. Pada awalnya, dUck hanya memberi tumpuan kepada koleksi hijab, namun kini dUck turut menampilkan pelbagai produk lain termasuk koleksi alat tulis, beg tangan, kosmetik serta aksesori rumah. Butik dUck boleh dikunjungi di pusat-pusat membeli-belah utama seperti Pavilion Kuala Lumpur dan Suria KLCC.
SimplySiti
Jenama produk kosmetik dan kecantikan, SimplySiti diasaskan oleh penyanyi tersohor nombor satu Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin pada Mac 2010. Pada awal kemunculan, SimplySiti menampilkan dua rangkaian produk, iaitu produk solekan dan produk penjagaan kulit yang terus mendapat sambutan memberangsangkan selepas dilancarkan.
Jenama SimplySiti kini menawarkan 10 rangkaian produk termasuklah penjagaan kulit, kosmetik serta minyak wangi. Penghasilan produk-produk ini istimewa kerana kandungan, formula, warna dan tekstur ditentukan oleh pelantun lagu ‘Biarlah Rahsia’ itu sendiri. Rangkaian produk SimplySiti boleh didapati di Watson’s, Guardian dan Aeon Wellness. Produk ini juga turut dijual di butik milik penyanyi ini iaitu Creación & SimplySiti. Di samping itu, laman sesawang simplysiti.com.my dibangunkan untuk memudahkan pembeli mendapatkan produk ini.
Pada 2016, SimplySiti mula melangkah ke pasaran global apabila menjalinkan kerjasama dengan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, menerusi pengenalan dua produk eksklusif edisi khas iaitu Simply Elegant 2 Way Cake dan Simply Elegant Lip Gloss Duo edisi AirAsia yang dijual dalam semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X.
SimplySiti juga sudah menembusi pasaran Brunei dan dijangka akan meneroka pasaran Indonesia pada tahun ini. Produk ini juga akan dieksport ke negara-negara lain seperti Singapura dan negara Timur Tengah.
Menjelang 2020, syarikat produk kecantikan dan kosmetik ini mensasarkan sebanyak 60% jualan produk dari pasaran luar Negara.
Bukan senang nak menjadi usahawan yang senang tau! Segala-galanya memerlukan perancangan, usaha dan kebijaksanaan mengatur strategi dalam mengharungi dunia perniagaan yang mencabar. Pada masa kini, bukan hanya orang biasa, bahkan selebriti turut tidak ketinggalan untuk mencuba nasib dengan berniaga. Jom baca tentang empat selebriti tempatan ini yang berjaya melakar kejayaan dalam bidang perniagaan.
Mila Jirin
Kerjaya Mila Jirin sebagai anak seni bermula selepas beliau memenangi program realiti Akademi Fantasia musim kelima pada 2007. Meluaskan rezekinya bukan hanya dalam bidang seni, Mila bersama suami, Ahmad Ailis Mustapha, memutuskan untuk terjun ke dalam pelbagai cabang perniagaan seperti restoran, butik dalam talian, produk kecantikan dan kesihatan, serta khidmat katering dan pakej perkahwinan. 2010 merupakan titik perubahan bagi kehidupan pasangan ini apabila mereka mengambil alih perniagaan Restoran Embun Urai yang terletak di Puchong, Selangor. Usaha dan penat jerih Mila dan suami mengusahakan perniagaan ini akhirnya membuahkan hasil apabila Restoran Embun Urai kini berjaya.
Tidak mahu ‘duduk diam’, Mila dan Ailis menceburkan diri pula dalam industri katering dan perkahwinan menerusi Bizmilla Catering yang kini beroperasi di One City, Subang Jaya. Pakej Bizmilla Catering turut menyediakan perkhidmatan banquet dan perkakasan perkahwinan bagi pelanggan yang ingin melangsungkan majlis raja sehari mereka. Selain itu, Mila juga turut melancarkan Bizmilla NZ Beauty yang menawarkan produk kecantikan dan kesihatan iaitu InstaBeauT’White dan Fivebermax.
Fizo Omar
Pelakon popular, Fizo Omar atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, merupakan pemilik kepada Fizo Omar Channel, Fizo Omar Centre, Fizo Omar Catering dan Fizo Omar Consultancy. Fizo Omar Consultancy ditubuhkan bagi membimbing usahawan dan bakal usahawan tentang perniagaan skala kecil ataupun besar menerusi medium-medium seperti seminar dan ceramah keusahawanan. Fizo Omar Centre pula menyediakan perkhidmatan sewaan bilik dewan serbaguna yang lengkap dengan kemudahan dan peralatan diperlukan bagi menjalankan aktiviti seperti seminar, kelas keusahawanan dan sebagainya.
Dua lagi perniagaan yang diteraju oleh anak Kelantan ini termasuklah Fizo Omar Channel, yang tertumpu kepada bidang pengiklanan manakala Fizo Omar Catering bertanggungjawab menguruskan Fizo Mawar Kitchen dan Hot Burger. Hot Burger yang berslogan “Harga Kaki Lima, Rasa Bintang Lima” tidak hanya bertujuan untuk meraih keuntungan tetapi juga untuk membantu golongan muda dan ibu tunggal memulakan perniagaan melalui konsep francais tanpa mengeluarkan modal permulaan. Kini, sebanyak 350 gerai Hot Burger telah beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia.
Dato’ Fazley Yaakob
Dato’ Fazley atau Dato’ Ahmad Fadzli Yaakob merupakan seorang usahawan, pakar motivasi, serta seorang chef selebriti yang sering menjadi pilihan bagi kebanyakkan program dan bual bicara tentang makanan dan masakan di Malaysia. Beliau juga telah merakamkan lima buah album nyanyian sebelum mengorak langkah ke dalam bidang kulinari setelah menjuarai program realiti televisyen MasterChef Selebriti Malaysia pada 2012. Selepas kemenangan tersebut, beliau mendapat peluang untuk menyambung pengajian peringkat Diploma di Le Cordon Bleu Institute, Paris, sebuah institusi latihan kulinari terkenal dunia dan kini, Fazley menguruskan restoran miliknya iaitu SukaSucre Bistro di Cheras.
Selain SukaSucre Bistro, Fazley juga memiliki dua buah restoran lain, iaitu Mamanda dan Bunga Telang.
Datuk Rosyam Nor
Siapa tidak kenal dengan Datuk Rosyam Nor? Ketika rakan seperjuangan sibuk membina jenama perniagaan dalam industri fesyen dan kecantikan, Datuk Rosyam Nor, atau nama kelahirannya Mohamed Noor Shamsuddin memilih untuk menceburi bidang pertanian.
‘Hero Malaya’ ini mula melibatkan diri dalam sektor pertanian pada 2009 dan kini beliau memiliki ladang seluas 70 hektar (175 ekar) dengan 6,000 pokok nangka madu J33 (Terkam Yellow) dan tanaman durian belanda sebanyak 10,800 pokok. Selain pertanian, Rosyam Nor turut memiliki sebuah pasaraya seluas 13 buah lot kedai yang dikenali sebagai ST Rosyam Mart. ST Rosyam Mart yang beroperasi 24 jam sehari di Setiawangsa ini menawarkan pelbagai produk keperluan harian dengan harga yang berpatutan.
Sumber Gambar: Datuk Rosyam Nor – New Straits Times Mila Jirin – GEMPAK Fizo Omar – Fizoomar.com Dato’ Fazley Yaakob – Eat Drink KL