Pengarang: hazween

Pada hari Selasa, 28 Oktober 2025, Pejabat Wilayah Utara telah menganjurkan Sesi Jaringan Usahawan PUNB Perlis yang diadakan di Bilik Seminar Savana Hotel, Kuala Perlis.

Program ini disertai oleh 21 Rakan Usahawan Pulau Pinang, wargakerja Pejabat Wilayah Utara, serta wakil daripada PERKESO Negeri Perlis yang dijemput khas bagi menyampaikan taklimat mengenai fungsi dan peranan PERKESO.

Sesi ini memberi peluang kepada Rakan Usahawan yang juga majikan untuk mendapatkan maklumat secara langsung daripada pihak PERKESO berkaitan keperluan dan manfaat caruman bagi majikan serta pekerja. Selain itu, program ini turut menjadi platform untuk memperkukuh ukhuwah dan memperluas jaringan kerjasama antara Rakan Usahawan PUNB Perlis dengan wargakerja Pejabat Wilayah Utara.

PUNB telah menyertai Johor Business Summit & Expo 2025 yang telah diadakan pada 25 hingga 26 Oktober 2025 di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru, Johor. Penyertaan ini menjadi platform strategik bagi PUNB untuk memperkenalkan peranan serta inisiatifnya dalam memperkasakan usahawan Bumiputera melalui pelbagai kemudahan pembiayaan dan bimbingan perniagaan yang ditawarkan.

Selain itu, penyertaan ini juga bertujuan memperkukuh kehadiran PUNB di negeri Johor serta memperluas jangkauan kepada golongan usahawan Bumiputera. Melalui penganjuran ini, PUNB berusaha meningkatkan kesedaran tentang peranannya sebagai agensi pembangunan usahawan Bumiputera, mendekati usahawan tempatan, memperkukuh jaringan strategik dengan pelbagai pihak, serta menggalakkan lebih ramai usahawan memanfaatkan peluang, kemudahan dan sokongan yang disediakan.

Program Karnival Komuniti Siri 1/2025 anjuran PUNB dengan kerjasama PPZ-MAIWP telah diadakan pada 25 Oktober 2025 di PPR Wangsa Sari, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Turut hadir ialah wakil PPZ-MAIWP, Pengerusi Persatuan Penduduk, Pengurusan Masjid Abu Ubaidah Wangsa Maju serta Pengurus Besar Bahagian Operasi PUNB, Encik Fauzi Zakaria bersama pegawai PUNB.

Program ini bertujuan menyantuni komuniti asnaf melalui penyaluran sumbangan zakat sebanyak RM10,000 bagi pembekalan dan pengagihan 100 bakul makanan kepada keluarga yang layak. PUNB bertindak sebagai penyalur dana zakat (Wakalah) manakala PPZ-MAIWP menguruskan pelaksanaan program.

Selain pengagihan bakul makanan, turut diadakan ziarah asnaf terlantar sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat yang memerlukan. Program ini memperkukuh kerjasama strategik PUNB dan PPZ-MAIWP, di samping mencerminkan komitmen PUNB terhadap kesejahteraan komuniti dan pembangunan ummah.

Port of Tanjung Pelepas (PTP) Vendor Day 2025 diadakan di PTP Arena, Gelang Patah, Johor pada 16 Oktober 2025 sebagai platform strategik untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi, syarikat dan vendor tempatan. Penyertaan PUNB dalam program ini bertujuan memperkenalkan peranan serta fungsi PUNB sebagai agensi utama dalam pembangunan usahawan Bumiputera, di samping mempromosikan pelbagai program pembiayaan dan khidmat sokongan keusahawanan yang ditawarkan.

Melalui penyertaan ini, PUNB berpeluang mendekati vendor-vendor Bumiputera dengan lebih meluas, memperkukuh hubungan strategik serta memperluas capaian kepada kumpulan sasaran baharu. Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen berterusan PUNB dalam memperkasa daya saing, keupayaan dan kelestarian vendor Bumiputera agar mampu berkembang ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PUNB “Ray of Happiness” telah dilaksanakan selama lima hari bermula 7 hingga 11 Oktober 2025 di daerah Lawas, Sarawak, memberi manfaat kepada lebih 520 pelajar daripada tiga buah sekolah iaitu SK Pusat Lawas, SMK Lawas dan SK Agama Lawas.


Program ini dianjurkan oleh Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif dengan kerjasama Pegawai Kelestarian (Sustainability Officer) PUNB, sebagai usaha berterusan membantu pelajar daripada keluarga asnaf dan anak yatim memperoleh penglihatan yang lebih baik bagi meningkatkan keupayaan pembelajaran mereka.

Inisiatif ini menampilkan aktiviti pemeriksaan mata percuma yang dijalankan oleh rakan usahawan PUNB, Encik Samsul Supardi dari Borneo Optometry Clinic, Tawau, Sabah. Hasil pemeriksaan tersebut, seramai 237 pelajar didapati memerlukan cermin mata yang diberikan secara percuma. Selain itu, PUNB turut menyumbangkan set alat tulis kepada semua pelajar sebagai galakan pembelajaran.

Turut hadir ialah Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB; Puan Shariza Sapuan, Ketua Pejabat Wilayah Sarawak; serta wakil warga kerja daripada Pejabat PUNB Miri, Kuching dan Ibu Pejabat.

Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan penganjurannya di Tawau dan Ranau, Sabah, dengan objektif menyantuni komuniti luar bandar serta menyokong agenda pendidikan inklusif melalui penjagaan kesihatan mata.

Program PuTERA35 @ UiTM Puncak Alam telah diadakan pada 11 dan 12 Oktober 2025 bertempat di UiTM Puncak Alam, Selangor. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai peluang keusahawanan yang ditawarkan oleh PUNB serta meningkatkan kefahaman pelajar terhadap ekosistem dan sokongan keusahawanan yang disediakan.

 

Sesi taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Unit Pemasaran & Pembangunan Usahawan PUNB, Encik Khairul Asyraf Yusof, diikuti dengan sesi lawatan dan pameran booth PUNB. Melalui program ini, para pelajar digalakkan untuk memupuk semangat keusahawanan serta mengenali inisiatif PuTERA35 sebagai platform memperkasakan usahawan muda Bumiputera ke arah melahirkan usahawan yang berdaya saing, berpengetahuan dan berwawasan.

Program Annual Little Caliphs® Operators Meeting (ALCOM) 2025 telah diadakan di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 11 Oktober 2025. Penganjuran program ini bertujuan memberikan pendedahan komprehensif kepada usahawan mengenai pelbagai kemudahan pembiayaan yang ditawarkan oleh PUNB, di samping memperincikan tatacara serta proses permohonan bagi memastikan pemahaman yang lebih mendalam.

Selain berperanan sebagai medium penerangan, program ini turut berfungsi sebagai platform bimbingan bagi membantu peserta memanfaatkan sepenuhnya peluang sokongan kewangan dalam usaha memperkukuh dan memperluas potensi perniagaan masing-masing.

Perhimpunan tahunan ini menghimpunkan lebih daripada 260 pemegang lesen dan francais Little Caliphs® dari seluruh negara, menjadikannya wadah strategik bagi PUNB memperkenalkan inisiatif terbaharu serta memperkukuh jaringan kerjasama dengan komuniti usahawan dalam ekosistem Little Caliphs®.

Program Jerayawara PUNB Negeri Pulau Pinang 2025 telah diadakan dengan jayanya pada 9 Oktober 2025 bertempat di Hotel Ixora, Pulau Pinang. Program ini telah menarik penyertaan hampir 90 orang peserta yang terdiri daripada usahawan serta individu yang berminat untuk menerokai peluang pembiayaan dan inisiatif yang disediakan oleh PUNB.

Penganjuran program ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan strategik antara PUNB dan komuniti usahawan tempatan, di samping meningkatkan kesedaran terhadap pelbagai kemudahan, bimbingan serta sokongan yang disediakan bagi memperkasa pertumbuhan dan daya saing usahawan di negeri Pulau Pinang.

PUNB telah turut serta dalam program “Franchise Ignition Workshop Kickoff: Introduction to Franchising Day” anjuran MADCash Sdn. Bhd., sebuah syarikat fintech tempatan, pada 8 Oktober 2025 di Asia School of Business, Kuala Lumpur.

Program ini memberi peluang kepada PUNB menyampaikan Taklimat Pembiayaan Perniagaan PUNB serta membuka reruai pameran sebagai platform interaktif bagi mendekati para usahawan yang hadir.

Terima kasih kepada semua pengunjung yang singgah ke reruai PUNB dan menunjukkan minat terhadap peluang pembiayaan yang ditawarkan.

PUNB telah turut serta dalam program Seminar Tahunan Penjaja anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertemakan “E-Dagang: Menerobos Batasan, Mencipta Peluang” pada 1 & 2 Oktober 2025 di Lobi Menara DBKL 1.
Penyertaan ini membuka ruang untuk memperkenalkan pelbagai program pembiayaan dan bimbingan keusahawanan yang ditawarkan oleh PUNB kepada peserta dalam kalangan penjaja berlesen di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi meningkatkan daya saing dalam dunia digital.
Terima kasih kepada semua pengunjung yang singgah ke reruai PUNB dan menunjukkan minat terhadap peluang pembiayaan yang ditawarkan.
Read Policy

Kami Menghargai Maklum Balas Anda!

    Soalan 1

    Pengalaman Keseluruhan:

    Bagaimanakah anda menilai pengalaman keseluruhan anda di portal rasmi kami?

    Soalan 2

    Pencarian Maklumat:

    Adakah mudah untuk mencari maklumat yang anda cari?

    Soalan 3

    Bahagian Bantuan:

    Bahagian mana pada portal rasmi kami yang paling membantu anda?

    Soalan 4

    Jangkaan Laman Sesawang:

    Adakah portal rasmi kami memenuhi jangkaan anda?

    Soalan 5

    Kebarangkalian untuk Kembali:

    Adakah anda akan kembali ke portal rasmi kami pada masa hadapan?