Tan Sri Acryl Sani bin Haji Abdullah Sani
Tan Sri Acryl Sani bin Haji Abdullah Sani dilantik sebagai Pengerusi PUNB berkuatkuasa 1 September 2023.
Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau telah memulakan kerjaya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis (ASP) pada 2 Februari 1986.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah menjadi Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (2018-2020), Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (2017-2018), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (2016-2017), Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Polis Komuniti (2014-2016), Ketua Polis Perak (2013), Pesuruhjaya Polis Sarawak (2011-2013), Timbalan Pengerusi (2010-2011) dan Bendahari Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (2005-2010), Timbalan Pengarah di Jabatan Siasatan Jenayah (2007), Ketua Polis Terengganu (2006), Ketua Forensik Polis (2005), Komandan Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu (2004) dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kampar (2002-2003).
Khidmat Tan Sri Acryl Sani turut diiktiraf apabila dikurniakan Pingat Kesatria Mangku Negara (K.M.N) pada 1995, Pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) pada 1997, Pingat Panglima Setia Pasukan Polis (P.S.P.P) pada 2011, Pingat Darjah Pahlawan Taming Sari (D.P.T.S) pada 2014, Pingat Panglima Gagah Pasukan Polis (P.G.P.P) pada 2016, Pingat Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P) pada 2017, Pingat Panglima Jasa Negara (P.J.N) pada 2019, Pingat Darjah Seri Panglima Taming Sari (S.P.T.S) pada 2020, Pingat Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N), Pingat Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) dan Pingat Darjah Kebesaran Panglima Mangku Negara (P.M.N) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ pada 2021.
Kini, beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah dan Timbalan Pengerusi bagi Dagang NeXchange Berhad (DNeX) sejak 1 Ogos 2023.
Datuk Mohammad bin Ismail
Datuk Mohammad bin Ismail dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PUNB berkuatkuasa 12 November 2019. Beliau merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Jabatan Perdana Menteri.
Datuk Mohammad memulakan kerjayanya sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Kewangan, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) pada 1986 selepas tamat pengajian dari Fakulti Ekonomi & Pentadbiran, Universiti Malaya pada 1985. Selepas berkhidmat di Bahagian Kewangan, MOF, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Pengurusan Pinjaman Kerajaan Persekutuan, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) atau kini dikenali sebagai Bahagian Pelaburan Strategik, MOF pada Jun 2001. Beliau kemudiannya sekali lagi dinaikkan pangkat pada 2013 sebagai Pegawai Kewangan Negeri Perlis.
Selepas hampir 3 tahun berkhidmat di bawah Kerajaan Negeri Perlis, beliau telah dipanggil semula untuk kembali berkhidmat bersama Kerajaan Persekutuan pada 2016 sebagai Setiausaha Bahagian Kanan Pengurusan di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sehingga Mac 2019. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah bagi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA). Kini, Datuk Mohammad merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) di JPM dan menjadi Ahli Lembaga Pengarah di Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), YaPEIM Gold Sdn Bhd dan PJ Perdana Management and Services Sdn Bhd.
Pengalaman luas beliau selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam telah melayakkan Datuk Mohammad untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah di beberapa buah syarikat dan agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 2008 sehingga 2010, Lembaga Pelabuhan Klang dari 2000 sehingga 2012, Forest Plantation Sdn Bhd dari 2010 sehingga 2013, Universiti Malaysia Kelantan dari 2012 sehingga 2013 dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) serta Putra Palace Sdn Bhd dari 2013 sehingga 2016. Selain itu, beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Pengerusi di beberapa buah syarikat milik Kerajaan Negeri Perlis seperti Perlis Communication Sdn Bhd.
Encik Azwan Nazri bin Baharuddin
Azwan Nazri Baharuddin dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PUNB berkuatkuasa 24 September 2018.
Azwan memiliki kelulusan pendidikan peringkat Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari University of Leicester, United Kingdom. Memiliki latar belakang dalam bidang ekonomi serta minat yang mendalam dalam teknologi selama lebih 20 tahun, pelbagai projek-projek IT yang telah dilaksana dan diuruskan di seluruh dunia selain memberi khidmat penyelesaian perniagaan kepada pelanggan di samping meningkatkan jualan.
Azwan pernah berkhidmat di United Kingdom selama hampir 4 tahun dalam industri perbankan sebelum berpindah semula ke Malaysia dan menyertai firma perakaunan, Ernst & Young selama lebih 10 tahun sebagai Partner, ASEAN Advisory Business Development, Head of Markets Malaysia dan Partner, Asia Pacific Advisory Business Development Leader dalam merangka inisiatif strategik untuk mengembangkan perniagaan di rantau ini.
Beliau juga merupakan Java J2EE Programmer Bertauliah dan bergiat aktif mengikuti perkembangan inovasi terbaharu selain sering berkongsi maklumat di beberapa platform media sosial.
Kini Azwan memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Malaysia di Accenture.
Encik Zarir bin Mohd Salleh
Zarir Mohd Salleh dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PUNB berkuatkuasa 24 September 2018.
Zarir memiliki kelayakan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Perakaunan) dari La Trobe University, Melbourne, Australia. Beliau memulakan kerjayanya pada tahun 1997 bersama BDO Binder Public Accountants dan PricewaterhouseCoopers, sebuah firma perakaunan antarabangsa.
Sebagai Akauntan Bertauliah bersama Chartered Accountants Australia dan New Zealand serta pengalamannya selama lebih 20 tahun dalam bidang kewangan yang melibatkan laporan kewangan, pengurusan hubungan pelanggan, pengurusan projek, penstrukturan semula hutang, perbankan korporat, transaksi serta pelaburan. Beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Kewangan Korporat CIMB Investment Bank Berhad (dahulunya dikenali sebagai Commerce International Merchant Bankers Berhad) pada 2002, Jabatan Perbankan Pelaburan CIMB pada 2004, Jabatan Perbankan Global HSBC Bank Malaysia Berhad pada 2011 dan sebagai Pengarah Perbankan Korporat Global di MUFG Bank (Malaysia) Berhad (dahulunya dikenali sebagai Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) Berhad) pada 2016.
Kini, beliau merupakan Pengarah Urusan Strategi Korporat di Affin Bank Berhad.
Puan Sharifah Wahaida Lailatul Syed Hassan Sagaff
Sharifah Wahaida Lailatul Syed Hassan Sagaff dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PUNB berkuatkuasa 10 Mac 2021.
Sharifah Wahaida memulakan kerjayanya sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Perancangan dan Penilaian di Kementerian Pembangunan Usahawan pada 1996 hingga 2002 sebelum memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah di Seksyen Tenaga dan Ketua Penolong Pengarah di Seksyen Bantuan Luar di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri pada 2004 hingga 2005.
Pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini kemudiannya berkhidmat di bawah Kementerian Penerangan sebelum berpindah ke Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) sebagai Timbalan Pengarah di Seksyen Kewangan dan Pentadbiran. Sharifah juga pernah berkhidmat di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai Timbalan Setiausaha Bahagian, Cawangan Latihan dan Kompetensi, Bahagian Sumber Manusia sebelum menyertai Kementerian Kewangan pada 2014 dengan memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Seksyen Dasar, Sektor Dasar Pelaburan di Bahagian Pelaburan Strategik. Kini, Sharifah merupakan Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Pengurusan dan Pemantauan Pelaburan di bahagian yang sama.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah menerima penghargaan sebagai Ahli Mangku Negara (AMN) pada 2015 selain pernah mewakili Kementerian Kewangan sebagai Jawatankuasa Pelaburan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) pada 2018, Jawatankuasa Kumpulan Wang Industri Elektrik (JKWIE), Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor dan Ahli Lembaga Pengarah Forest Plantation Development Sdn Bhd.
Sharifah juga merupakan Ahli Seumur Hidup Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) selain pernah dilantik sebagai Jawatankuasa Siasatan Khas Susulan Laporan Ketua Audit Negara tahun 2017.