Popular

Walaupun masih baru di pasaran, jenama kosmetik OLeS mempunyai keistimewaan tersendiri yang pasti meyakinkan orang ramai untuk mencubanya! Produk selamat dan diakui halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini mendapat akreditasi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Malah yang terkini, produk ini sedang menjalani proses ujian makmal untuk mendapatkan pengesahan status bebas bahan racun daripada Pusat Racun Negara.

Tidak banyak produk kosmetik tempatan yang mempunyai pensijilan akreditasi seperti ini kerana bukanlah suatu kerja yang mudah untuk mematuhi semua prosedur dan piawaian ketat yang dikehendaki setiap badan akreditasi yang terlibat. Apatah lagi, proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi merumuskan sesebuah produk kosmetik sahaja boleh memakan masa selama 4 tahun!

Ramai tidak menyangka, orang kuat di sebalik produk kecantikan yang sedang meningkat naik ini sebenarnya adalah 2 orang jejaka. Pihak kami berpeluang bertemu dengan salah seorang pengasas produk tersebut iaitu Fazli Baharom, yang mengusahakan produk ini bersama seorang lagi rakan kongsinya iaitu Shahrul Ezad Mohameddin. Menariknya tentang latar belakang mereka, kedua-duanya merupakan antara ‘orang lama’ dalam industri perfileman.

Penghasilan produk kecantikan ini merupakan satu lagi kejayaan dan perkembangan kerjaya secara peribadi buat mereka berdua. OLeS merupakan produk kecantikan wajah berasaskan manggis, akar manis, cendawan, papain, kolagen dan ramuan semula jadi lain yang dibangun dan dipasarkan oleh Radius Beauty Sdn Bhd. Hampir keseluruhan operasi jualan dan pemasaran dijalankan melalui medium dalam talian.

 

Cuba Sebuah Produk, Wajah Rosak

Kedua-dua bekas rakan kuliah berusia 40-an ini merupakan lulusan jurusan komunikasi massa dalam bidang penyiaran. Mula membina kerjaya dengan menubuhkan syarikat penerbitan sendiri iaitu Radius One Sdn Bhd, ia menjadikan dunia keusahawanan bukanlah sesuatu yang baharu buat mereka, malah Radius One adalah antara syarikat penerbitan yang sudah lama bertapak dan dikenali dalam industri perfileman dan penerbitan tanah air.

Ini terbukti apabila salah satu drama terbitan syarikat mereka iaitu Antara Garisan, pernah memenangi anugerah untuk Kategori Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2010. Mungkin anda tertanya-tanya, jika mereka telah berjaya menempa nama di dalam industri perfileman, mengapa pula beralih ke industri kosmetik sekarang?

Menurut Fazli, semuanya bermula apabila beliau mencuba sebuah produk penjagaan wajah. Sebagai seorang personaliti dalam dunia hiburan beliau berhasrat untuk menjaga penampilan agar kelihatan lebih yakin dan berketerampilan. Malangnya, perkara sebaliknya berlaku. Selepas mencuba produk tersebut, kulit wajahnya semakin teruk, malah lebih teruk berbanding sebelumnya.

“Saya rasa ditipu oleh syarikat yang mengeluarkan produk kecantikan tersebut,” ujar beliau, berkerut dahi mengenang episod hitam itu. “Saya mula mencari maklumat di Internet berkenaan produk yang digunakan itu.

“Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati bahawa ramai pengguna yang senasib. Bukan sahaja pengguna produk yang sama, malah pengguna produk-produk kecantikan yang lain juga pernah mengalami keadaan seperti saya,” tambah beliau.

 

Tiada Bahan Terlarang

Fazli begitu runsing apabila mula mendapat simptom-simptom awal yang dialami ketika menggunakan produk tersebut seperti kulit menjadi semakin nipis dan menggelupas, berjeragat serta dipenuhi jerawat. Pelbagai usaha dilakukan untuk mencari penyelesaian termasuklah membaca bahan-bahan rujukan. Beliau akhirnya mendapati bahawa terdapat sebilangan besar produk kecantikan yang dijual di pasaran mengandungi bahan-bahan terlarang.

Meskipun bahan-bahan itu mampu untuk memutihkan kulit wajah sesingkat dua hingga tiga hari, ia sangat berbahaya kerana mampu menyebabkan kanser, kegagalan ginjal dan keradangan. “Hal inilah yang membuatkan saya berhasrat untuk mengeluarkan produk sendiri. Sebuah produk yang selamat, halal dan bebas daripada bahan terlarang,” terang beliau akan perkara yang mendorongnya untuk menghasilkan produk tersebut.

Menceritakan masalah dan hasrat kepada rakan kongsinya, Shahrul, mereka akhirnya mencapai kata sepakat untuk mencipta OLeS, sebuah produk yang dirumus secara saintifik dan bebas daripada bahan terlarang seperti hidrokuinon, merkuri, paraben dan tretinon yang biasa ditemui dalam beberapa produk kecantikan yang terdapat di pasaran.

Walaupun OLeS memakan masa untuk menampakkan kesan kepada wajah, namun pada Fazli, biar lambat asal selamat kerana kesihatan sesuatu yang harus dipelihara.

 

Proses R&D Kosmetik

Projek penghasilan produk ini didaftarkan melalui sebuah syarikat baru iaitu Radius Beauty Sdn Bhd dengan berbekalkan modal berbayar berjumlah RM 100,000, hasil keuntungan daripada syarikat penerbitan mereka. Selama 4 tahun Fazli berulang-alik ke makmal farmaseutikal membuat kajian bersama seorang ahli kimia untuk memastikan produk keluarannya tidak mempunyai sebarang kesan sampingan yang memudaratkan.

Setelah selesai proses penghasilan produk, Fazli terus mendaftarkan cap dagangan bagi jenama produk untuk memudahkan pengguna mengenal dan membezakan produk keluaran mereka dengan produk barangan tiruan daripada pengeluar lain yang tidak bertanggungjawab.

“Kini, dua set produk kecantikan penjagaan kulit muka OLeS, masing-masing terdiri daripada pembersih wajah, krim pelembap dan serum Vitamin E khusus untuk mereka yang mengalami masalah seperti kulit yang normal atau kering dan kulit yang berminyak atau berjerawat boleh didapati di pasaran,” terang Fazli.

 

Melangkah Ke Hadapan

Fazli bercadang untuk mempelbagaikan lagi produk berasaskan kecantikan keluaran syarikatnya manakala dari segi aspek pemasaran pula, beliau merancang untuk menambah bilangan stokis dan agen selain membuka cawangan di setiap negeri dalam usaha menaikkan lagi jenama OLeS di mata masyarakat.

Beliau juga berhasrat untuk memiliki sebuah makmal farmaseutikal dan kilang pengeluaran produk sendiri selain meluaskan perniagaannya ke pasaran luar negara. Antara negara luar yang sedang diintai oleh kedua-dua pengasas OLeS ini termasuklah Indonesia, Brunei, Singapura dan negara-negara di Timur Tengah.

Beliau turut berhasrat untuk terus meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kewujudan lambakan produk yang mengandungi bahan terlarang di pasaran supaya tidak tersalah langkah dan ditipu oleh pihak yang hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata.

Kini, kedua-dua usahawan ini giat membuat penyelidikan berkenaan strategi pemasaran yang terbaik untuk mengembangkan lagi pasaran serta memberi kesedaran umum akan kepentingan produk yang selamat serta halal.

“Kami merancang untuk mengeluarkan barisan produk kecantikan lain seperti pencuci mekap, gincu, losyen badan dan bedak asas khusus untuk digunakan oleh orang ramai terutamanya jurumekap yang terlibat dalam industri perfileman,” jelas Fazli menyatakan impian peribadinya.

 

Nasihat Untuk Usahawan Muda

Menurut Fazli, perkara yang paling penting bagi golongan muda yang ingin menceburi bidang perniagaan ialah ilmu pengetahuan. Beliau menasihatkan kepada bakal usahawan untuk selalu menghadiri pelbagai kursus keusahawanan yang dikelolakan oleh mana-mana pihak, sama ada kerajaan atau swasta, tidak kira percuma atau berbayar.

Kursus berkenaan pemasaran dalam talian yang sememangnya menjadi trend terkini, pengurusan kewangan dan pengeluaran produk adalah antara kursus yang harus dihadiri oleh mana-mana usahawan. “Sudah lebih 20 tahun saya menceburi bidang perfileman namun saya tetap menghadiri kursus-kursus sedemikian untuk menambah ilmu yang kurang di dada,” akui beliau yang sudah lama berada dalam arena keusahawanan.

Fazli turut meluahkan rasa bangga terhadap perkembangan produk OLeS yang kini 95% daripada jualan produknya berlaku secara dalam talian dan permintaan yang sentiasa bertambah dengan konsisten setiap bulan. Baginya, pemasaran adalah kunci utama yang harus dititik beratkan sebagai seorang usahawan pengeluar sesuatu produk atau perkhidmatan.

Walaupun belum mampu menarik nafas lega sepenuhnya, beliau bersyukur kerana setiap pelaburan diberikan baik dari aspek wang ringgit, masa dan tenaga mula menampakkan hasil apabila terciptanya produk yang berkualiti seperti OLeS.

Idea Niaga

Memulakan perniagaan di usia lanjut adalah langkah yang menarik dan bermakna, walaupun mungkin melibatkan beberapa cabaran tambahan. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan jika anda berfikir untuk memulakan perniagaan pada usia yang lebih tua:

Pengalaman dan Kecekapan: Kelebihan memulakan perniagaan pada usia lanjut adalah anda mungkin mempunyai pengalaman yang luas dalam industri atau bidang tertentu. Kecekapan ini boleh membantu anda membuat keputusan bijak dan mengelakkan kesilapan yang biasa dialami oleh usahawan baharu.

Pengetahuan Industri: Pengetahuan mendalam mengenai industri atau bidang yang ingin anda ceburi adalah aset yang besar. Ia membolehkan anda mengenal pasti peluang dan trend serta membuat pelan perniagaan yang lebih berkesan.

Rangkaian Sosial dan Profesional: Jaringan yang telah anda bina sepanjang hidup boleh membantu anda mendapatkan sokongan, pelanggan atau rakan kongsi yang penting untuk perniagaan anda.

Pengurusan Kewangan: Pada peringkat ini anda mungkin mempunyai kestabilan kewangan yang lebih besar berbanding usahawan muda. Ini dapat membantu anda menghadapi cabaran kewangan di awal perniagaan.

Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira:

Tenaga Fizikal dan Mental: Memulakan sesuatu perniagaan mengambil masa dan usaha yang signifikan. Pastikan anda sihat secara fizikal dan mental untuk mengendalikan tuntutan perniagaan.

Komitmen Waktu: Memulakan perniagaan memerlukan komitmen waktu yang besar. Pastikan anda bersedia melabur masa yang diperlukan untuk membangunkan perniagaan.

Pelan Perniagaan yang Bersepadu: Penting untuk mempunyai pelan perniagaan yang bersepadu yang merangkumi strategi pemasaran, operasi, kewangan dan pertumbuhan.

Kecekapan dan Automasi: Penggunaan teknologi dan perisian yang sesuai boleh membantu mempercepatkan dan mengautomasikan banyak aspek operasi. Justeru, anda perlu cepat belajar mengadaptasi diri dengan teknologi semasa untuk perniagaan.

Sama ada usia lanjut atau muda, memulakan perniagaan memerlukan perancangan dan persediaan yang baik. Jangan ragu untuk merangka dan mengambil langkah-langkah mengikut keupayaan untuk mencapai matlamat perniagaan yang realistik.

Sedikit panduan untuk memulakan perniagaan anda:

Untuk mendaftarkan perniagaan di Malaysia, anda perlu mengikuti beberapa langkah yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk pendaftaran perniagaan. Berikut adalah langkah-langkah untuk mendaftarkan perniagaan di Malaysia:

  • Langkah 1: Pilih Jenis Perniagaan

Sebelum mendaftar perniagaan, anda perlu memutuskan jenis perniagaan yang ingin anda jalankan, seperti milikan tunggal, perkongsian, sendirian berhad atau perniagaan lain yang sesuai dengan keperluan anda.

  • Langkah 2: Pemeriksaan Nama Perniagaan

Sebelum mendaftarkan perniagaan, anda perlu membuat pemeriksaan nama perniagaan di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau melalui kaunter SSM. Pastikan nama perniagaan yang anda pilih masih tersedia.

  • Langkah 3: Daftar Nama Perniagaan

Jika nama perniagaan masih tersedia, anda perlu mendaftarkan nama perniagaan tersebut dengan mengisi borang pendaftaran yang sesuai. Borang ini boleh didapati di portal atau kaunter SSM.

  • Langkah 4: Serah Borang Pendaftaran

Serahkan borang pendaftaran yang lengkap beserta dokumen yang diperlukan ke SSM. Dokumen-dokumen yang mungkin diperlukan termasuk salinan pengenalan diri pemilik perniagaan, alamat perniagaan, dan maklumat berkaitan dengan pemilik perniagaan.

Bagi syarikat pula, adalah lebih mudah untuk mendapatkan perkhidmatan profesional seperti setiausaha syarikat atau perunding perniagaan untuk tujuan pendaftaran syarikat.

  • Langkah 5: Bayar Yuran Pendaftaran

Bayar yuran pendaftaran mengikut jenis perniagaan yang anda pilih. Yuran ini akan berbeza-beza bergantung kepada struktur perniagaan (contohnya: milikan tunggal, perkongsian atau sendirian berhad).

  • Langkah 6: Dapatkan Sijil Pendaftaran

Setelah pendaftaran disahkan dan yuran dibayar, anda akan menerima sijil pendaftaran perniagaan anda. Ini adalah dokumen yang menunjukkan bahawa perniagaan anda adalah sah dan berdaftar.

  • Langkah 7: Lakukan Pendaftaran Cukai

Selepas mendapatkan sijil pendaftaran, anda perlu mendaftarkan perniagaan anda dengan Jabatan Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) untuk tujuan cukai perniagaan.

  • Langkah 8: Mendapatkan Lesen atau Keizinan Tambahan

Sesetengah jenis perniagaan mungkin memerlukan lesen khas atau keizinan tambahan daripada pihak berkuasa tempatan atau agensi lain seperti lesen perniagaan makanan atau lesen perniagaan perkhidmatan kesihatan. Pastikan untuk memenuhi semua keperluan ini mengikut kesesuaian.

  • Langkah 9: Patuhi Peraturan dan Undang-Undang

Pastikan untuk mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan perniagaan anda, termasuk undang-undang buruh, cukai, dan undang-undang sekitar.

  • Langkah 10: Pantau dan Kemaskini Maklumat Perniagaan

Selalu pantau dan kemas kini maklumat perniagaan anda dengan SSM jika terdapat perubahan dalam maklumat perniagaan, seperti alamat perniagaan atau pemilik perniagaan.

Mendaftarkan perniagaan di Malaysia adalah proses relatif yang mudah jika anda mengikuti langkah-langkah di atas dengan teliti. Jika anda merasa ragu atau memerlukan bantuan, anda boleh mendapatkan nasihat dari agensi-agensi keusahawanan seperti PUNB untuk maklumat lanjut.

Memulakan sesebuah perniagaan merupakan langkah besar dalam hidup seseorang dan bukanlah sesuatu yang mudah. Anda perlu bersedia untuk berhadapan dengan cabaran dan risiko perniagaan. Terdapat pelbagai aspek yang harus dipertimbang sebelum membuat keputusan untuk memulakan perniagaan. Adakah anda benar-benar bersedia untuk mula berniaga? Jika ya, ini beberapa perkara penting anda perlu tahu!

Jadi bersediakah anda untuk mula berniaga?

Kami berharap artikel ini dapat memberi panduan dan inspirasi kepada anda yang berhasrat untuk memulakan perniagaan.

Mengendalikan perniagaan semasa bulan kemerdekaan adalah peluang yang baik untuk merayakan semangat patriotik dan melibatkan pelanggan dengan tawaran dan promosi yang berunsur merdeka. Berikut adalah beberapa cadangan untuk mengendalikan perniagaan semasa bulan kemerdekaan:

Promosi Khas Merdeka: Cipta promosi khas yang menghormati semangat kemerdekaan. Tawarkan diskaun atau tawaran istimewa yang berkaitan dengan angka 66 (tahun kemerdekaan Malaysia) atau elemen nasional lain.

Hiasan Merdeka: Hias kedai atau laman web anda dengan elemen- elemen kemerdekaan, seperti bendera Malaysia, warna merah, putih, dan biru, serta lambang kebangsaan.

Produk Berunsur Kemerdekaan: Cipta produk atau pakej yang berkaitan dengan semangat kemerdekaan. Ini boleh termasuk hadiah berunsur patriotik atau produk yang diperkemas dalam tema merdeka.

Pertandingan Merdeka: Anjurkan pertandingan atau cabaran dalam talian yang menggalakkan pelanggan untuk berkongsi kreativiti mereka berkaitan dengan kemerdekaan. Tawarkan hadiah menarik kepada pemenang.

Acara Merdeka: Anjurkan acara khas sempena bulan kemerdekaan, seperti ceramah, pameran seni, atau persembahan seni budaya tempatan. Ini tidak hanya dapat menyemarakkan semangat merdeka, tetapi juga menarik pengunjung ke perniagaan anda.

Pertunjukan Produk Tempatan: Galakkan produk dan jenama tempatan dengan menampilkan produk-produk tempatan di kedai anda. Ini dapat menyokong ekonomi tempatan dan menonjolkan semangat nasional.

Kerjasama dengan Perniagaan Tempatan: Bekerjasama dengan perniagaan tempatan untuk mengadakan promosi bersama atau acara merdeka. Ini dapat memperluas jangkauan dan peluang pemasaran.

Perhiasan Merdeka: Jika anda menjual perhiasan atau aksesori, cipta rekaan yang berinspirasikan kemerdekaan. Ini boleh merangkumi bentuk bendera, lambang negara, atau elemen patriotik lain.

Sumbangan Kepada Masyarakat: Manfaatkan bulan kemerdekaan untuk memberi kembali kepada masyarakat. Anjurkan inisiatif sukarela atau sumbangan amal untuk membantu mereka yang memerlukan.

Merdeka ‘Online’: Aktifkan kehadiran dalam talian anda dengan berkongsi kandungan berunsur merdeka, seperti cerita tentang tokoh nasional atau sejarah Malaysia.

Program Kesetiaan Merdeka: Cipta program kesetiaan khas sempena bulan kemerdekaan yang memberikan ganjaran dan faedah kepada pelanggan setia.

Hidangan Merdeka: Jika perniagaan anda berkaitan dengan makanan dan minuman, tawarkan hidangan khas merdeka dalam menu anda.

Secara keseluruhan, perniagaan yang mengambil inisiatif meraikan bulan kemerdekaan mendapat banyak manfaat terutama dari peningkatan jualan serta hubungan yang lebih kukuh dengan pelanggan dan komuniti tempatan. Langkah ini juga mampu mempertingkatkan imej positif perniagaan selain mengajak pelanggan untuk turut bersama-sama meraikan pencapaian dan kemerdekaan negara.

Read Policy

Kami Menghargai Maklum Balas Anda!

    Soalan 1

    Pengalaman Keseluruhan:

    Bagaimanakah anda menilai pengalaman keseluruhan anda di portal rasmi kami?

    Soalan 2

    Pencarian Maklumat:

    Adakah mudah untuk mencari maklumat yang anda cari?

    Soalan 3

    Bahagian Bantuan:

    Bahagian mana pada portal rasmi kami yang paling membantu anda?

    Soalan 4

    Jangkaan Laman Sesawang:

    Adakah portal rasmi kami memenuhi jangkaan anda?

    Soalan 5

    Kebarangkalian untuk Kembali:

    Adakah anda akan kembali ke portal rasmi kami pada masa hadapan?