Berbekalkan pengalaman berniaga jus mangga di pasar malam secara sambilan dengan modal permulaan sebanyak RM500, Siti Aisyah Kamaruddin berjaya membuktikan bahawa dengan usaha yang gigih, beliau mampu mengecapi kejayaan apabila kini bergelar Pengarah Urusan Kumpulan Ayaq World, sebuah jenama pengeluar minuman buah-buahan yang menjadi pilihan ramai.
Aisyah mula menceburi bidang perniagaan pada 2011 dengan berniaga jus mangga di tapaktapak bazar jualan sekitar Kuala Lumpur. Jelas wanita lulusan bidang perakaunan ini, beliau bersyukur apabila jualan jus mangganya saban hari mendapat sambutan menggalakkan dan dari situ tercetus idea untuk menghasilkan jus mangga botol berbanding sebelum ini yang hanya dibungkus dalam plastik. Idea dan inovasi yang dipraktikkan ini dan ditambah pula sokongan dari suami dan ahli keluarga, ia menaikkan lagi semangat beliau untuk terus mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi. Akhirnya, pada 2014, Siti Aisyah telah menubuhkan syarikat Ayaq Mangga yang menjual produk jus mangga segar dan asli.
Dalam kejayaan, pasti ada cabaran dan Siti Aisyah tidak terkecuali. Masih segar diingatannya apabila jus mangga yang dihasilkan telah rosak disebabkan masalah peti sejuk penyimpanan jus tidak dapat berfungsi dengan baik. Sungguhpun begitu, beliau tidak putus harapan dan menjadikan ia sebagai suatu pengajaran dan pengalaman untuk memastikan produk dihasil dapat dijaga dengan baik sehinggalah sampai ke tangan pelanggan.
“Bahkan, hari demi hari saya sentiasa bersemangat. Untuk mengekalkan kualiti produk perniagaan, saya perlu memastikan bekalan mangga yang diperoleh dari seluruh Malaysia dan Thailand segar serta berkualiti agar keenakan jus mangga tersebut dapat dikekalkan,” ujarnya.
Dengan permintaan yang kian meningkat daripada pelanggan, ia sekali gus telah menyuntik semangat Siti Aisyah untuk melangkah lebih jauh dalam mengembangkan jenama Ayaq Mangga. Pada 2017, beliau telah mengambil keputusan untuk menukar nama Ayaq Mangga kepada Ayaq World Sdn Bhd (AWSB). Ini kerana beliau tidak mahu perniagaannya hanya tertumpu kepada penjualan jus mangga semata-mata sebaliknya ingin dikenali sebagai pengeluar minuman jus dalam botol yang berasaskan buah-buahan sebenar. Kini, AWSB menawarkan 8 perisa jus berbeza selain mangga iaitu katira, mata kucing, jagung, durian belanda, teh hijau, nanas, limau nipis dan kedondong.
Penerima anugerah NONA Best Young Entrepreneur Award 2018 ini tidak pernah mendabik dada dengan kejayaan yang dimilikinya sekarang, malah beliau berusaha mencipta peluang perniagaan kepada mereka yang berminat untuk menjadi agen jualan secara dalam dan luar talian bagi menambah pendapatan. Langkah ini secara tidak langsung dapat memperluaskan lagi pasaran minuman jus Ayaq World di seluruh Malaysia. “AWSB kini dalam perancangan memasuki pasaran luar negara seperti Brunei, Singapura dan China,” akhiri beliau.
Siapa sangka idea untuk menceburi bidang perniagaan berasaskan susu tercetus apabila pemiliknya, Sofian bin Tajuddin mendapati ada dalam kalangan keluarga dan rakan-rakannya menyuarakan kesukaran untuk mendapatkan susu keluaran Muslim yang bersesuaian bagi golongan kanak-kanak. Bermula dari situ, bekas jurutera ini telah berusaha mencari kaedah dan formula susu terbaik untuk kanak-kanak. Ikuti temu bual bersama saudagar susu ini!
S: Ceritakan bagaimana
permulaan anda menceburi bidang perniagaan?
J: Sebelum saya menceburi bidang perniagaan, saya merupakan seorang jurutera
dalam
sektor perkilangan. Selepas lebih 18 tahun dalam bidang
kejuruteraan, pada 2009 saya bersikap
realistik dengan membuat keputusan nekad berhenti kerja atas
tiket Volutery Surrender Scheme (VSS) untuk menceburi bidang perniagaan.
Saya mencabar diri sendiri untuk mencuba
sesuatu yang baru iaitu perniagaan tenusu, yang mana saya telah dapati sukarnya
untuk mendapatkan susu kanak-kanak keluaran Muslim. Ini kerana saya percaya
bahawa perniagaan tenusu ini mampu
berkembang maju dan mendapat permintaan tinggi. Akan tetapi, nasib tidak menyebelahi
saya apabila perniagaan yang saya
telah jalankan berakhir dengan kegagalan selepas tiga tahun beroperasi.
Oleh yang demikian, pada 2012, saya telah memutuskan untuk bekerja ‘makan gaji’ semula sebagai seorang pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta. Di sinilah bermulanya langkah saya mempelajari tentang selok belok pemasaran, pembukaan pasaran baru dan teknik perniagaan. Segala ilmu yang diperolehi saya praktikkan sehinggalah tertubuhnya Suffy Dairy Group Sdn Bhd sehingga ke hari ini.
S: Kongsikan produk atau perkhidmatan yang SUFFY
tawarkan?
J: Di
Suffy Dairy Group, kami
mengeluarkan produk susu formula berasaskan susu kambing dan lembu untuk
kanak-kanak dan kini telah menambah produk tenusu, minuman tenaga dan coklat
malt untuk golongan dewasa dan warga emas juga. Semua produk keluaran muslim
Bumiputera di bawah jenama SUFFY dan mempunyai sijil HACPP dan halal Malaysia.
Antara produk yang ditawarkan oleh SUFFY adalah
BGenius (susu lembu untuk 1-3 tahun), Annis Nutritious (susu lembu untuk 1-3
tahun), Suffy Goat (susu kambing untuk 1-3 tahun), Pure Goat (susu kambing
untuk 1-3+ tahun), Suffy Activated (minuman protein yang diperkaya dengan
vitamin, mineral dan taurine untuk aktif bersukan) dan Fitt Up (serbuk minuman
berperisa coklat yang sesuai untuk semua lapisan umur).
Produk-produk ini boleh didapati secara dalam
talian di portal dan akaun rasmi Shopee SUFFY atau melalui ejen pengedar dan
pemborong di seluruh Malaysia.
S: Apakah keunikan produk
keluaran SUFFY?
J: Keunikan produk SUFFY adalah penggunaan formula tertentu bagi setiap produk keluarannya. Bagi susu BGenius (susu lembu untuk 1-3 tahun), ia diformulasi dengan B3 iaitu Brilliant (mengandungi DHA yang merupakan antara kompenen utama dalam otak untuk membantu perkembangan otak kanak-kanak), Boost (dirumus istimewa dengan Prebiotik dari FOS dan Manna untuk membantu meningkatkan sistem penghadaman si manja) dan Balance (membantu memenuhi keperluan nutrisi seimbang yang membantu si manja membesar dengan lebih baik). Susu ini juga mempunyai khasiat tambahan sebenar daripada buah kurma dan juga madu.
Manakala bagi SUFFY Goat yang merupakan susu kambing asli tanpa gula tambahan (sukrosa), ia diformulasikan dengan tambahan makanan-makanan sunnah dan berkhasiat seperti delima, madu, kurma dan kolagen rumpai laut. Ia mempunyai khasiat yang tinggi untuk membantu tumbesaran dan memperbaiki pelbagai masalah kesihatan.
Bagi SUFFY Annis Nutritious pula, ia mempunyai formulasi Tri-Guide yang mengandungi campuran bahan-bahan istimewa seperti DHA, Prebiotik dari FOS, L-Lysine dan rantaian sederhana Triglyceride@MCT untuk menyokong meningkatkan perkembangan kanak-kanak terutamanya yang mempunyai perut sensitif dan kurang selera makan.
S: Bagaimana SUFFY melihat
persaingan perniagaan pada hari ini?
J: Meskipun
terdapat persaingan yang sengit
dalam pasaran susu di Malaysia, saya melihat itu adalah sesuatu perkara yang
sihat. Kunci utama adalah SUFFY sentiasa mencipta inovasi untuk mempelbagaikan
lagi produk, mengekalkan kualiti yang terbaik untuk kepuasan pelanggan dan
penggunaan teknik pemasaran yang kreatif untuk menarik perhatian pelanggan.
Selain itu, SUFFY juga dalam usaha
melakukan penambahbaikan
promosi dan pemasaran di platform media sosial bagi meningkatkan keupayaan
penjualan yang lebih maksimum kerana kini boleh dikatakan semua orang mempunyai
akaun media sosial dan penggunanya adalah dari pelbagai peringkat umur serta
tanpa batas sempadan dan masa.
S: Apakah cabaran dan pencapaian terbesar
SUFFY?
J: Meskipun pelbagai cabaran perlu dilalui sebelum
mengecapi kejayaan, saya tidak pernah menyesal meneroka bidang yang dipilih. Antara cabaran terbesar dalam industri ini adalah pengawalan sumber dan harga bahan
mentah utama iaitu susu. Adakalanya pengimport susu kambing SUFFY dari Belanda dan susu lembu dari New Zealand tidak mempunyai bekalan
bahan mentah yang mencukupi dan kadar kenaikan harga yang tidak menentu.
Manakala cabaran lain adalah SUFFY terpaksa
berhenti mengeksport produk ke pasaran antarabangsa sejak penularan wabak
COVID-19. Mendalami proses mengeksport produk ke luar negara juga merupakan sebuah cabaran yang besar.
Sepanjang proses tersebut, banyak perkara yang perlu dipelajari dan difahami
sebelum produk dieksport ke sesebuah negara. Sebagai contoh, syarat kemasukan
produk, harga serta kajian pasaran dan citarasa penduduk di negara berkenaan.
Sememangnya bukan mudah untuk mengharungi
cabaran yang mendatang, namun kejayaan tidak datang bergolek. Semuanya
memerlukan usaha dan semangat yang jitu. Berkat kegigihan tersebut, SUFFY
pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Anugerah Digital Free Trade Zone (DFTZ)
sebagai pengeksport kali pertama dan tersenarai dalam buku Future of Asean,
50 Success stories of Digitalisation of Asean MSMEs pada 2018, Anugerah “Asean Business Award” (Digitalized MSME) 2019 di Bangkok yang merupakan satu-satunya wakil tunggal dari
Malaysia dan Anugerah LANG
INTERNATIONAL – Corporate Titan Awards 2020.
S: Nasihat atau kata-kata
semangat kepada orang ramai yang ingin memulakan perniagaan yang sama?
J: Untuk
memulakan perniagaan yang sama, pastikan anda benar-benar minat dengan apa yang
anda lakukan. Anda hendaklah melakukan kajian terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menceburi
bidang ini. Saya juga terbuka jika ada yang ingin
mendapatkan tunjuk ajar dan
nasihat bagi perniagaan seperti ini. Insha Allah.
HNH CONSTRUCTION & SERVICES SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB
Kecekalan dan ketabahan, kesabaran serta
keyakinan adalah antara kunci kejayaan HNH Construction
& Services Sdn Bhd, yang merupakan pengeluar dan pengedar alat
pemadam kebakaran.
Syarikat yang terletak di Ayer Keroh, Melaka itu ditubuhkan pada 2014 oleh pengasasnya iaitu Mohd Nor bin Azmi. Seperti perniagaan yang lain, HNH Construction & Services turut mengalami pelbagai dugaan dan cabaran sejak penubuhannya.
Pengasas HNH Construction & Services Sdn Bhd, Mohd Nor bin Azmi.
“Persaingan yang sengit dan modal pusingan terhad adalah antara cabaran yang dihadapi pada awalnya. Namun, dengan usaha, di samping sokongan dan bantuan pembiayaan daripada pihak seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Alhamdulillah, syarikat berjalan dengan baik,” kata Mohd Nor.
Jelas Mohd Nor, sebelum produk dipasarkan, syarikat perlu mendapatkan kelulusan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia(SIRIM) dan menjalani beberapa siri ujian bagi memenuhi piawaian yang telah ditetapkan. Setelah enam tahun ditubuhkan, HNH telah berjaya mencapai peningkatan dari aspek kegiatan dan perkembangan perniagaannya.
Pada masa yang sama, syarikat juga berusaha
memasarkan alat pemadam kebakaran kepada hampir 1,500 kontraktor bomba yang
berdaftar dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh Negara.
Walaupun sudah maju jika dibandingkan sewaktu
HNH Construction & Services mula ditubuhkan, syarikat masih perlu bersedia
dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa seperti perubahan harga dan persaingan
yang semakin mencabar.
Selain sibuk dengan urusan perniagaan, Mohd
Nor tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu pengetahuan berkaitan isu
keselamatan bagi mereka yang memerlukan perhidmatannya.
“Kami cuba membantu sebaik mungkin melalui taklimat-taklimat yang diberikan selain bimbingan dan dorongan tentang kepentingan memiliki alat pemadam kebakaran bagi setiap kediaman sebagai langkah awal pencegahan sekiranya berlaku kebakaran di tempat masing-masing. Di samping itu, secara tidak langsung, ia memberi laluan kepada saya untuk mempromosi produk keluaran syarikat di pasaran tempatan,” katanya.
Antara salah satu alat pemadam api mudah alih – 9KG ABC Dry Powder
Untuk masa depan, HNH dalam proses mengeluarkan produk
baharu iaitu pintu rintangan api yang dijangka akan dilancarkan pada penghujung
tahun ini. Selain itu mereka berharap dapat meluaskan pasaran perniagaan ke peringkat
antarabangsa memandangkan pembangunan industri komersial yang kian pesat
membangun kini telah mewujudkan permintaan yang besar untuk alat dan fasiliti pemadam kebakaran.
Oleh itu, HNH sangat optimis untuk menjadi antara
tiga pengeluar alat pemadam kebakaran utama di Negara ini dalam tempoh lima
tahun akan datang, sejajar dengan peningkatan kesedaran mengenai tahap keselamatan
kebakaran.
PRIMELUBE PETROCHEMICALS SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB
Minat terhadap bidang perniagaan telah mendorong Mohd Fu’ad bin Mohamed menubuhkan Primelube Petrochemicals (M) Sdn Bhd (Primelube) pada 5 Februari 2008. Anak jati kelahiran Batu Pahat, Johor ini mempunyai pengalaman bekerja lebih 10 tahun dalam bidang penjualan minyak pelincir kenderaan di Chevron Malaysia Limited. Bermula hanya menjadi pengedar pek minyak pelincir dan gris jenama CALTEX di Johor dan Melaka, beliau telah mengembangkan perniagaan dengan menambah produk minyak pelincir jenama REPSOL dan PENZOIL keluaran UMW Lubricant International Sdn Bhd dan UMW Pennzoil Distributor Sdn Bhd pada Disember 2011. Perkembangan membanggakan ini telah meningkatkan prestasi syarikat apabila mampu mencatat jualan sebanyak RM1.4 juta pada awal penubuhan kepada RM3.95 juta pada 2016.
Dalam usaha melebarkan empayar syarikat, Fu’ad telah memohon pembiayaan daripada PUNB pada 2009 yang digunakan untuk mengembangkan operasi perniagaan. Melihat kepada peningkatan prestasi dan kejayaan Primelube, PUNB telah meluluskan pembiayaan untuk kali kedua pada 2013 dan menawarkan khidmat nasihat, kursus dan latihan dalam usaha membantu memajukan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.
Produk minyak pelincir jenama REPSOL dan PENZOIL keluaran UMW Lubricant International Sdn Bhd dan UMW Pennzoil Distributor Sdn Bhd.
Antara kejayaan yang diraih oleh Primelube adalah penganugerahan dari REPSOL dan PENNZOIL di atas penjualan produk tertinggi bagi kedua-dua jenama minyak dan gas dari 2012 hingga 2016. Primelube merupakan satu-satunya syarikat Bumiputera yang masih berada dalam senarai UMW Million Dollar Club sehingga kini.
Kejayaan terus diraih apabila pada 2016, Primelube telah diberi kepercayaan oleh PETROMIN Corporation Saudi Arabia yang berpusat di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai pengimport dan pengedar minyak pelincir jenama PETROMIN bagi Asia Tenggara. Kepakaran Fu’ad terbukti melalui kejayaannya menjual produk PETROMIN di lebih 100 syarikat tempatan hanya dalam tempoh kurang daripada satu tahun.
Di atas prestasi syarikat yang menakjubkan saban tahun juga, Primelube telah menerima pengiktirafan seperti 2017 SME Corp Certificate Of Achievement 3 Star – SME Competitiveness Rating For Enhancement (Retail & Distributive Trade) dan 2018 Muslim World Entrepreneur Development Award – Outstanding SME 2018.
Primelube menerima pengiktirafan 2018 Muslim World Entrepreneur Development Award – Outstanding SME 2018.
Momentum kejayaan terus dilakar apabila pada 2018, Fu’ad dan Primelube telah menjadi pemegang saham dalam penubuhan DD Auto Parts Sdn Bhd (DDAP), sebuah syarikat membekal alat ganti dan servis kenderaan. Langkah ke hadapan, Primelube dan DDAP merancang untuk membuka lebih banyak cawangan, secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang kerjaya khususnya kepada Bumiputera dalam industri alat ganti dan pusat servis kenderaan di Malaysia.
DD Auto Parts Sdn Bhd (DDAP), sebuah syarikat membekal alat ganti dan servis kenderaan.
Kini, Primelube sedang mengembangkan sayapnya di Negara-negara Asia Tenggara yang lain bermula dengan Indonesia melalui pemeteraian perkongsian bersama Allied Petroleum Indonesia yang berpusat di Jakarta. Selain itu, Primelube turut menjadi pembekal minyak pelincir kepada badan berkanun dan separa Kerajaan seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), POS Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Darat Malaysia.
Seperti usahawan lain, Fu’ad turut mempunyai cabaran tersendiri dalam mengusahakan perniagaan, terutama dalam bidang yang kebanyakkannya lebih didominasi oleh bangsa asing dan syarikat ternama. Menurut beliau, industri ini memerlukan modal yang besar khususnya dari segi aspek promosi dan pengiklanan kerana perniagaan seperti ini melibatkan urusan pemberian kredit kepada pelanggan. Manakala bagi produk yang diimport pula, pertukaran mata wang asing mampu mempengaruhi harga produk yang dipasarkan dengan tawaran harga yang berpatutan. Malah, lambakan produk jenama tempatan yang lebih murah turut memberi kesan kepada hasil jualan kerana kebanyakan produk tersebut menggunakan minyak pelincir yang telah digunakan dan dikitar semula.
“Saya berharap dapat memasarkan minyak pelincir jenama PETROMIN di seluruh Asia Tenggara dan menjadikan jenama yang telah bertapak di Asia Barat lebih daripada 50 tahun ini sebagai produk No.1 di Malaysia pada masa hadapan,” akhiri beliau.
Jenama Tateh tidak lagi asing di kalangan pasangan suami
isteri yang ingin mencari keperluan barangan penjagaan ibu dan bayi. Selain
barangan kelengkapan bayi, Butik Tateh yang diuruskan oleh Babymama Trading Sdn
Bhd ini turut mementingkan penjagaan kesihatan ibu sepanjang proses
berpantang.
Jom ikuti soal jawab bersama pengasasnya, Siti Shafurah
Abas tentang pengalaman beliau menguruskan jenama pilihan ibu bapa ini.
S:
Apakah perbezaan Tateh berbanding jenama-jenama lain?
J:
Tateh menawarkan produk-produk barangan keperluan penjagaan bayi dan juga bagi
ibu yang sedang berpantang. Apabila para pelanggan berkunjung ke butik Tateh,
mereka bukan sahaja boleh mendapatkan barangan, malah turut dibekalkan dengan
ilmu tentang penjagaan bayi, cara penyusuan serta kaedah berpantang yang betul daripada
kakitangan kami yang terlatih dan berpengalaman terutama bagi pasangan yang
sedang membuat persiapan terakhir.
Inilah keistimewaan Tateh.
Setsuri – set berpantang yang boleh didapati di butik Tateh
S:
Bagaimana Tateh menjaga hubungan dengan pelanggan?
J: Matlamat utama Tateh adalah memastikan pelanggan mendapat
barangan yang diperlukan dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan.
Ini kerana Tateh tidak hanya mahu menjadi penjual barangan keperluan bayi
sahaja sebaliknya menjadi tempat rujukan bagi pasangan ibu bapa yang menyambut
kelahiran cahaya mata. Disebabkan ini, setiap tenaga kerja kami mendapat
latihan dan pemantauan berterusan supaya pelanggan kekal setia dan percaya
dengan Tateh.
S:
Apakah motivasi yang mendorong anda dalam memimpin Tateh?
J: Sebagai seorang usahawan dan juga ibu kepada empat orang
anak, saya berasa amat berpuas hati apabila dapat memberi jalan penyelesaian
kepada mereka yang mempunyai sebarang kemusykilan terutama dalam penjagaan bayi
dan sepanjang proses berpantang. Ini kerana, seperti para ibu lain, saya juga
mahukan yang terbaik khususnya perkara melibatkan penjagaan diri dan anak.
Jika dahulu, tidak banyak pusat atau tempat rujukan
penjagaan bayi selain daripada hospital dan klinik. Oleh sebab itu, saya
mengambil inisiatif ini untuk mewujudkan Tateh. Pengalaman ini menjadi
pemangkin inspirasi dalam terus membawa jenama Tateh ke tahap yang lebih
tinggi.
S:
Menjejak 2020 ini, apakah pendekatan baharu yang telah dirancang untuk Tateh?
J:
Dalam usaha bagi memastikan Tateh kekal sebagai pilihan utama, kami akan
sentiasa mempertingkatkan promosi dan strategi pemasaran agar Tateh akan lebih
dikenali. Salah satu caranya adalah dengan menghasil dan menjual produk-produk
berdasarkan permintaan dan keperluan pelanggan. Disinilah pentingnya mengekalkan
hubungan yang baik dengan pelanggan kerana mereka merupakan faktor utama
kejayaan sesebuah perniagaan.
Selain itu, kami juga sentiasa membuat persediaan dalam
memperkemaskan lagi ilmu-ilmu berkaitan penjagaan bayi dan berpantang agar
dapat memberikan perkhidmatan terbaik untuk para pelanggan kami.
Tateh juga akan mempergiatkan lagi kempen-kempen kesedaran
dan maklumat keselamatan penjagaan anak, contohnya kepentingan penggunaan Child Restraint System (CRS) atau kerusi
keselamatan kanak-kanak seperti yang diwajibkan oleh pihak Kerajaan.
S:
Di mana anda melihat Tateh untuk 5 tahun yang akan datang?
J: Kami merancang untuk
memperkembangkan lagi sayap perniagaan Tateh daripada 18 cawangan kepada 25
cawangan dalam jangka masa 5 tahun akan datang. Pada masa yang sama, kami
memastikan setiap cawangan Tateh dapat mencatatkan keuntungan yang
memberangsangkan melebihi daripada sasaran yang telah ditetapkan.
Selain itu, kami juga merancang untuk menambah baik program pembangunan warga kerja Tateh melalui pemahaman dan peningkatan ilmu khususnya tentang produk dan servis perkhidmatan ditawarkan bagi memastikan para pelanggan Tateh berpuas hati.
Antara produk lain yang ditawarkan oleh butik Tateh
S:
Apakah nasihat anda kepada mereka yang ingin dan telah menjadi usahawan?
J:
Secara peribadi, seorang usahawan itu tidak boleh mempunyai
sikap suka bertangguh dalam melakukan sesuatu perkara, baik dalam perniagaan
mahupun kehidupan peribadi. Sikap ini bakal merugikan bukan sahaja masa malah
wang dan tenaga. Harus mempunyai semangat mahu maju ke hadapan dan sentiasa
berfikir serta bertindak satu langkah ke hadapan daripada orang lain dan jangan
pernah putus asa.
Tetapkan matlamat dan sasaran yang boleh diukur
dan ada garis masa yang jelas. Sekiranya matlamat ini tercapai lebih awal,
jangan terlalu selesa dan tetapkan matlamat baru yang lebih besar.
Fast Bikes bukan lagi nama asing dalam dunia pengedaran motosikal berkuasa tinggi jenama Triumph di Malaysia. Sebagai pengedar tunggal produk keluaran United Kingdom itu, Fast Bikes telah mengembangkan perniagaan di dua negeri iaitu Sabah dan Pulau Pinang.
Keupayaan Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn Bhd, Dato’ Razak Al Malique bin Hussain membawa masuk jenama antarabangsa ini ke Malaysia telah memecah tradisi perniagaan motosikal berkuasa tinggi yang selama ini dimonopoli oleh golongan bukan Bumiputera.
Menurut beliau, sambutan menggalakkan yang diterima daripada para penunggang motosikal tegar di Negara ini menjadi satu suntikan semangat kepada dirinya untuk terus berusaha meluaskan lagi pengedaran motosikal Triumph yang bercirikan reka bentuk klasik dan moden di pasaran Malaysia.
Di awal penglibatannya pada 2010, Dato’ Razak merupakan seorang penjual motosikal jenama Triumph yang menjalankan operasi perniagaan di sebuah lot rumah kedai yang terletak di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Pada ketika itu, sasaran jualan untuk sebulan hanyalah sebanyak dua hingga tiga buah motosikal sahaja.
Namun, setelah tiga tahun beroperasi, syarikatnya berjaya meraih peningkatan jualan yang memberangsangkan. Menyedari akan kehebatan dan potensi jenama motosikal ini di pasaran, beliau mula memasang cita-cita untuk mengembangkan perniagaan dengan menjadi francaisor utama Triumph di Malaysia.
“Sehingga kini, Fast Bikes telah berjaya meluaskan perniagaannya dengan membuka peluang kepada tiga pengedar motosikal di Pulau Pinang, Johor dan Sarawak,” katanya.
Untuk perkembangan terkini, Fast Bikes telah memperkenalkan rangkaian klasik moden Triumph 2019 apabila melancarkan lima model baharu untuk pasaran tempatan. Model baharu itu terdiri daripada Street Twin, Street Scrambler, Scrambler XC, Scrambler XE dan Speed Twin.
Mengulas tentang cerita disebalik kejayaan syarikat, pelbagai cabaran yang telah ditempuhi oleh Dato’ Razak antaranya apabila beliau terpaksa melalui proses yang agak rumit dalam permohonan perjanjian francais bersama syarikat induk Triumph di UK untuk memberi peluang kepada beliau membuka francais motosikal Triumph di Malaysia.
Namun begitu, kerumitan tersebut langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha. Dengan bantuan daripada seorang rakan, beliau akhirnya berjaya menghubungi pihak pengurusan tertinggi Triumph bagi membentangkan rancangan perniagaan beliau.
Walaupun proses perjanjian mengambil masa hampir dua tahun, namun, Alhamdulillah, berkat usaha gigihnya, Triumph akhirnya meluluskan permohonan tersebut dan memberikan kepercayaan kepada Dato’ Razak untuk membuka francais jenama motosikal itu di Malaysia.
Bantuan pembiayaan daripada PUNB juga tiba pada masa yang sangat tepat. Suntikan modal yang diterima pada 2013 itu telah digunakan untuk memulakan operasi perniagaan francais tersebut.
Dato’ Razak menitip nasihat kepada para usahawan muda yang ingin mengorak langkah dalam dunia perniagaan supaya tidak menjadikan faktor wang ringgit sebagai pendorong utama untuk maju ke hadapan. Sebaliknya, beliau menekankan sifat keikhlasan dalam perniagaan dan usaha yang berterusan adalah tunjang utama kejayaan sesebuah perniagaan agar lebih diberkati oleh Allah S.W.T.
Wira Food Trading Sdn Bhd adalah pemborong & pembekal produk sejuk beku halal di Lembah Klang. Semua produk keluarannya disahkan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
YBhg Datuk Ir. (Dr) Khairol Anuar bin Mohamad Tawi merupakan usahawan Bumiputera yang semakin dikenali dalam dunia perniagaan dan keusahawanan di Malaysia. Beliau dilahirkan di Melaka dan merupakan anak sulung kepada pasangan Allahyarham Mohamad Tawi, seorang pesara askar dan Hajjah Kamisah, seorang suri rumah.
Memiliki pendidikan yang cemerlang sejak di bangku sekolah, beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Cranfield Institute of Technology dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari University College of Swansea, United Kingdom. Pada tanggal 25 Julai 2015, beliau telah mencipta sejarah di mana beliau merupakan warganegara Malaysia yang pertama menerima penganugerahan Doctorate in Science di universiti yang sama. Pengiktirafan yang diterima telah menjadikan beliau lebih bersemangat dalam mengatur langkah merangka strategi kerjaya dan seterusnya dapat menyumbangkan tenaga kepada komuniti masyarakat. Penglibatan beliau secara aktif di dalam kerja-kerja amal dan sukarela telah melayakkan beliau untuk dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang bergelar Datuk di hari Keputeraan Tuan Yang Pertama Yang Dipertua Negeri Melaka ke-72 pada Oktober 2020.
Beliau telah memulakan kerjaya di Telekom Malaysia pada tahun 1983 sebelum berkhidmat di Syarikat Kumpulan Sapura Holdings selama 14 tahun. Semasa berkhidmat di Sapura Holdings, beliau telah melancarkan perkhidmatan prabayar pertama di Malaysia di bawah jenama UNIPHONEKAD untuk telefon awam di mana dalam tempoh tersebut juga, beliau telah diiktiraf sebagai Jurutera Profesional oleh Institut Jurutera Malaysia.
YBhg Datuk Ir. (Dr) Khairol Anuar bin Mohamad Tawi pengasas KAT Technologies Sdn Bhd
Pada 1999, beliau telah menubuhkan syarikat KAT Technologies Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat pemborong dan pengedar kad prabayar telefon mudah alih di Malaysia. Di awal penubuhannya, seramai tiga orang kakitangan sahaja yang menjadi nadi penggerak operasi syarikat dengan nilai jualan tahunan sebanyak RM 600 ribu dan ia semakin pesat berkembang di bawah pengelolaan beliau dari tahun ke tahun sehinggalah mencacatkan nilai jualan tahunan tertinggi RM835 juta pada 2015.
Kredibiliti beliau sebagai pengasas serta disokong oleh barisan pentadbiran yang mantap telah menjadikan syarikat semakin kukuh dan meluaskan pasaran di seluruh Semenanjung Malaysia dengan jumlah kakitangan seramai 160 orang yang bertempat di 12 cawangan iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Terenganu.
Industri syarikat bukan sahaja tertumpu pada pemborongan dan pengedaran kad prabayar, tetapi syarikat juga mengeluarkan produk perisian penyelesaian dalam sistem pengedaran seperti KATsys, Destini, Mobipos dan Aplikasi P2U Wallet.
Bahkan, KAT Technologies Sdn Bhd kini semakin dikenali di pasaran dan diiktiraf sebagai syarikat Bumiputera yang berdaya saing oleh TERAJU iaitu sebuah agensi pelaksana di Jabatan Perdana Menteri dan sterusnya melayakkan syarikat diserap di dalam program TERAS.
Anugerah yang pernah diterima oleh KAT Technologies Sdn Bhd adalah: 2009 – 2011 Pengedar Terbaik oleh Celcom 2010 – 2011 Pengedar Terbaik oleh Telekom Malaysia 2010 Anugerah Gemilang Sedekad PROSPER (Skim Pemborong PROSPER oleh PUNB 2010 – 2011 Anugerah Prestasi Cemerlang oleh PUNB 2012 – 2013 Pemenang Enterprise 50 Award 2013 The Best in Malaysian Business Awards oleh SOBA 2014 ~ Special Mention Entrepreneur of the Year oleh SOBA ~ Best Innovation Services oleh SME Corporation 2015 Anugerah Khas – Usahawan Unggul PUNB (SPARK) 2016 Best Retail & Supply Chain Management Solution oleh APICTA 2018 Anugerah Usahawan Teknologi Top 150 Award di Kongres GMB
Perkembangan dan kejayaan syarikat pada hari ini adalah hasil usaha beliau serta barisan pentadbiran yang kuat dan disokong oleh ahli keluarga. Liku-liku dan jatuh bangun dalam arena perniagaan menjadikan beliau lebih kuat serta bersikap optimis. Selain usaha, ikhtiar dan tawakal kepada Allah, beliau merasakan usaha beliau ini sebagai jihad ekonomi untuk menjenamakan produk Bumiputera di pasaran seiring dengan syarikat-syarikat yang lain.
Beliau percaya rahsia kejayaan KAT Technologies hari ini berpaksikan kepada disiplin dan komitmen yang tinggi serta fokus dalam bidang perniagaan ini. Beliau sendiri terpaksa bekerja dengan gigih dan sanggup mengorbankan masa bekerja 18 hingga 20 jam sehari. “Tiada laluan mudah untuk berjaya. Setiap kejayaan itu memerlukan pengorbanan,” akhiri beliau.
Mendapat dorongan daripada ayahnya yang telah bergiat dalam bidang bakeri dan pastri selama 40 tahun sejak 1981 sehingga sekarang, Puan Nur Hanina binti Mior Ariffin telah menyimpan impian untuk mewarisi syarikat pembuatan makanan itu pada masa hadapan. Beliau kini merupakan rakan kongsi dalam syarikat tersebut menjelaskan, hal ini terjadi demikian kerana perniagaan yang dijalankan menepati minat dan kehendaknya memandangkan bidang ini semakin berkembang maju di Malaysia selain ingin menyahut saranan kerajaan dalam melahirkan usahawan Bumiputera yang berjaya.
Tambah Hanina, selain menghasilkan roti, kek dan produk pastri yang lain, Roti Segar Mekar Enterprise turut menghasilkan biskut raya setiap kali menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Beliau bersyukur kerana permintaan terhadap biskut raya keluaran syarikatnya mendapat sambutan yang amat menggalakkan setiap tahun. Malah, produk yang dihasilkan ini juga berjaya dipasarkan secara meluas dan mendapat permintaan yang tinggi terutamanya di kawasan negeri Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, dalam perniagaan, pasti ada persaingan.
Menurut Hanina, pesaing utama Roti Segar Mekar Enterprise
terdiri daripada syarikat milik bukan Bumiputera. Namun begitu, beliau melihat
persaingan ini sedikit sebanyak membantu pihak syarikat untuk memperbaiki
kelemahan yang ada dalam pelbagai sudut seperti menitikberatkan lagi aspek kebersihan
dan mutu keluaran produk agar terus mendapat kepercayaan pelanggan. Sebagai
bukti, pihak syarikat telah menerima pengiktirafan sijil MeSTI daripada
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
serta sijil Halal daripada Jabatan Kamajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Bercerita mengenai cabaran sepanjang mengendalikan
perniagaan ini, beliau berkata, cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi adalah
ketika berlakunya kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 2007 hingga 2010.
Syarikat turut berhadapan krisis kewangan sehingga mengalami kemerosotan
jualan.
Apabila keadaan ekonomi semakin stabil, Hanina tampil berani apabila membeli sebidang tanah untuk mendirikan bangunan baharu. Melalui bangunan baharu ini, syarikat terus berkembang dan kini mampu menyediakan tempat latihan praktikal/amali bagi pelajar-pelajar pusat institusi pendidikan seperti Kolej Vokasional, Kolej Komuniti, Pusat Latihan RISDA, Pusat Latihan FAMA, Pusat Latihan Pertanian, Politeknik dan banyak lagi. Latihan praktikal/amali yang dijalankan selama tiga bulan adalah bagi melengkapkan modul pembelajaran dalam bidang membuat roti, kek, biskut dan pastri.
Bagi Hanina, pemilihan lokasi perniagaan yang strategik
amat penting terutama perniagaan yang sama industri sepertinya dan cuba elakkan
daripada berada dalam satu kawasan yang sama dengan pesaing perniagaan.
Sebagai kata-kata nasihat kepada yang bercita-cita untuk
menjadi usahawan, pesan Hanina, “Seseorang itu harus melengkapkan diri dengan
ilmu dan ketahanan diri bagi menghadapi setiap cabaran yang mendatang.”
Pengalaman membantu arwah ibu berniaga produk makanan kering, merupakan antara faktor yang memberi inspirasi dan kejayaan MIWA Manufacturing Sdn Bhd, pengeluar produk makanan dan minuman seperti smoothies, ice blended, pati buah sejuk beku dan minuman jeli yang beroperasi di sekitar Lembah Klang.
Antara produk keluaran MIWA Manufacturing Sdn Bhd.
Menurut Pengarah Urusannya, Fara-Jasseica binti Mohd Rashid, mereka perlu menyusun semula penghasilan produk untuk memastikan stok jualan sentiasa ada disebabkan permintaan yang meningkat secara berterusan.
“Ini kerana stok yang dihantar kepada pelanggan pada kebiasaannya akan habis terjual dalam masa yang singkat,” katanya.
Selain daripada permintaan yang tinggi terhadap produk dihasilkan, antara faktor utama lain yang menentukan kejayaan syarikat ini adalah sokongan yang diterima khususnya dari segi kewangan dan moral daripada keluarga dan pekerja. Tanpa sokongan, mustahil MIWA Manufacturing boleh berada di tahap sekarang.
MIWA Manufacturing telah menerima bantuan pembiayaan perniagaan daripada PUNB pada 2010 untuk membeli lebih banyak stok barangan mentah bagi meningkatkan hasil pengeluaran produk.
Proses yang dijalankan oleh salah seorang pekerja MIWA bagi menghasilkan produk makanan dan minuman.
Hasil usaha gigih yang ditunjukkan oleh Fara-Jasseica dengan kerjasama daripada pekerjanya telah memperkukuhkan perniagaan menjadi stabil sehingga melayakkan MIWA Manufacturing untuk mendapat pembiayaan tambahan daripada PUNB. Peluang ini membolehkan syarikat memantapkan operasi pengeluaran dan pengedaran bagi menampung permintaan pasaran yang semakin berkembang.
Fara-Jasseica berkata, “Bagi perancangan jangka masa pendek, MIWA telah menjalin usaha sama dengan pengusaha pasaraya besar seperti Mydin dan Giant bagi mendapatkan tempat untuk memasarkan produk keluaran syarikat.”
Walaupun cabaran syarikat adalah masalah kekurangan modal kerana terpaksa berdepan dengan kos tenaga buruh yang tinggi bagi menampung skala pengeluaran yang semakin besar,namun demikian, syarikat tetap menyusun perancangan masa depan. Ini kerana untuk jangka masa panjang, MIWA berazam menjadi salah satu pengeluar utama produk makanan dan minuman di Malaysia pada masa akan datang.
Perniagaan MIWA masih muda dan banyak lagi bantuan dari aspek kewangan, bimbingan dari segi teknologi diperlukan untuk meningkatkan produktiviti syarikat.
Barisan pihak pengurusan MIWA Manufacturing Sdn Bhd.
Pihak pengurusan juga tidak lupa untuk sentiasa bersiap sedia bagi mendalami ilmu berkaitan pengurusan perniagaan, selain memantapkan lagi pengurusan sumber manusia bagi memastikan kelangsungan perjalanan perniagaan.