Unit Shariah dan Jawatankuasa Zakat PUNB telah menyempurnakan Majlis Serahan Replika Kunci Rumah Asnaf kepada penerima, Puan Norafizah Ibrahim, seorang ibu tunggal, melalui Program Santuni Kelantan 2026 yang dilaksanakan pada 9 Mac 2026 di Bachok, Kelantan.
Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Rastam bin Mohd Isa, Pengerusi PUNB, bersama Encik Badrulnizam Bahaman dan Puan Adleen Abdullah, Ahli Lembaga Pengarah PUNB. Turut serta adalah Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB dan Encik Fauzi Zakaria, Pengurus Besar Bahagian Operasi, bersama barisan pengurusan kanan serta pegawai-pegawai PUNB dari Ibu Pejabat dan Cawangan Kelantan.

Rumah tersebut merupakan salah satu inisiatif kebajikan di bawah Program Santuni Kelantan 2026 yang dilaksanakan menggunakan dana zakat wakalah PUNB bagi membantu golongan asnaf fakir yang memerlukan tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat.

Dalam majlis yang sama, PUNB turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penerima sebagai tanda keprihatinan dalam meringankan beban kehidupan harian.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen PUNB dalam menyalurkan dana zakat secara berimpak bagi membantu golongan asnaf yang memerlukan, sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup penerima dan keluarganya.