Di sebalik kejayaan yang dikecapi kini, tersirat seribu satu cabaran yang dilalui oleh pasangan suami isteri, Hazizi Halena dan Norasikin Rambli dalam mengusahakan produk serbuk minuman pelbagai perisa dengan menggunakan formula khas yang direka sendiri. Dengan hanya berbekalkan modal sebanyak RM300 untuk berniaga air secara kecil-kecilan di hadapan rumah, Norasikin tekad memasang impian untuk menubuhkan syarikat sendiri dan kini hasratnya tercapai dengan tertubuhnya syarikat HN Varitas.
12 tahun bukanlah jangka waktu yang singkat untuk menempa nama dalam dunia perniagaan. Siapa sangka kesukaran yang dihadapi dalam mendapatkan bekalan serbuk minuman menjadi asbab kepada penghasilan serbuk minuman jenama ‘Oh Aromah!’ yang kini bukan lagi asing dan mendapat permintaan yang menggalakkan di Bumi Kenyalang.
Jerit perih berulang-alik ke Sibu untuk mendapatkan bekalan daripada stokis dari Semenanjung ternyata tidak sia-sia. Menurut pemegang Ijazah Sarjana dalam jurusan Sains Pembelajaran, Universiti Malaysia Sarawak ini, kini HN Varitas telah menghasilkan lebih 40 perisa, jus dan pati minuman yang boleh digunakan untuk membuat minuman ice blended dan jualan air balang. “Perisa coklat dan kopi adalah antara produk yang mendapat permintaan tertinggi setakat ini. Alhamdulillah, dalam sehari jualan boleh mencecah 50 hingga 100 kilo dengan anggaran RM30,000 sebulan,” jelasnya.
Tambah Norasikin, HN Varitas turut menggunakan platform pemasaran aplikasi Shopee dan ia mendapat sambutan yang amat memberangsangkan. Pemilihan jualan menggunakan aplikasi ini adalah bertujuan untuk menawarkan pengalaman pembelian yang lebih mudah kepada para pelanggan. Berbekalkan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki, HN Varitas tidak lokek untuk membantu para usahawan lain khususnya Bumiputera dengan menawarkan perkhidmatan penghasilan produk serbuk minuman mengikut cita rasa mana-mana usahawan yang ingin berniaga menggunakan jenama sendiri.
Selain itu, Norasikin juga telah membuka peluang perniagaan terutama kepada golongan belia yang berminat untuk mempelajari dan menceburi dunia keusahawanan melalui program berniaga ‘Air Balang Nang Kaw’ yang terdiri daripada perisa coklat dan kopi khasnya. Inisiatif ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada golongan belia untuk menjadikan dunia keusahawanan sebagai kerjaya pilihan selain mampu membantu meraih pendapatan sampingan.
Sejajar dengan usaha tersebut, HN Varitas merancang untuk memiliki kilang sendiri dan menyediakan lebih banyak perisa dan produk minuman selain ingin meluaskan pasaran ke seluruh Malaysia serta menembusi pasaran Brunei.
Pasangan suami isteri ini percaya, rahsia kejayaan sesebuah perniagaan adalah sentiasa konsisten walaupun kemajuan dikecapi itu sedikit. Teruskan momentum perniagaan dan harus bijak mengatur strategi agar kekal kompetitif dan berdaya tahan.
GENIUS AULAD INTERNATIONAL GROUP SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB
Pengasas kepada Genius Aulad International Group Sdn Bhd, Puan Zaliza Alias sungguh tidak menyangka langkah berani beliau untuk meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah sepenuh masa dan membuka sebuah pusat pendidikan awal kanak-kanak membuahkan hasil yang membanggakan. Melalui jenama Genius Aulad, pusat pendidikan ini telah berkembang sehingga mampu menjadi antara pilihan utama jenama pendidikan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia sehingga hari ini.
“Ini adalah perjuangan saya sebagai seorang pendidik. Saya mahukan sebuah pusat pendidikan yang mampu memberi impak kepada perkembangan diri kanak-kanak selain menyediakan keperluan pendidikan berkualiti yang berterusan untuk mereka,” kata Zaliza. Matlamat Genius Aulad adalah kemenjadian diri seseorang itu pada masa hadapan selain ingin membentuk sebuah generasi yang bukan sahaja celik intelek, malah juga memiliki sifat peribadi cemerlang setelah tamat pembelajaran.
Setiap kanak-kanak di pusat pendidikan Genius Aulad bukan sahaja dididik dengan pendidikan ilmiah tetapi turut didedahkan dengan kemahiran berkomunikasi dengan rakan sebaya selain turut diajar tentang kebaikan dan keburukan bagi setiap tindakan yang diambil. Ini secara tidak langsung merangsang minda mereka dan dapat membina keyakinan diri agar tidak kekok berhadapan dengan masyarakat apabila meningkat dewasa.
Selain modul pembelajaran sedia ada, Genius Aulad turut memastikan setiap pusat pendidikannya merupakan sebuah tempat yang selesa dan selamat untuk setiap individu. “Ciri-ciri keselamatan dan kesihatan amat dititik beratkan memandangkan berurusan dengan kanak-kanak memerlukan perhatian yang lebih bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” tambah Zaliza.
Dalam usaha untuk membentuk keperibadian yang baik, Genius Aulad turut mengadakan beberapa program yang melibatkan masyarakat setempat termasuklah ibu bapa pelajar itu sendiri. Melalui program seperti ‘First We Need Love’, setiap cawangan pusat pendidikan mengadakan aktiviti bersama komuniti setempat seperti kerja pembersihan dan program bercerita agar pelajar terdedah dengan aktiviti kemasyarakatan selain mengeratkan lagi hubungan antara komuniti dengan pusat Genius Aulad.
Selain itu juga, Genius Aulad turut mengadakan program ‘Student Parent Activities’ (SPA) di mana ibu bapa para pelajar akan hadir ke sekolah dan merasai pengalaman selama satu hari sebagai seorang guru. Melalui aktiviti seperti ini, ibu bapa dapat memahami proses pembelajaran yang diterapkan dan matlamat pendidikan yang cuba disampaikan kepada anak-anak selain kepentingan memiliki keputusan pelajaran yang bagus, tetapi juga menyemai kemahiran-kemahiran lain yang bermanfaat untuk diterapkan dalam kehidupan seharian. “Antara aktiviti SPA yang kami jalankan adalah seperti cara perapian diri bagi anak-anak, nampak mudah namun ramai dalam kalangan ibu bapa yang kurang mengambil perhatian perkara ini dan Alhamdulillah, sambutan dari mereka amat menggalakkan,” jelas Zaliza.
Sepanjang penutupan sekolah akibat penularan COVID-19 tidak menghalang Zaliza dan pasukannya meneruskan aktiviti kemasyarakatan. Bersama dengan ibu bapa para pelajar, beliau telah mengadakan sebuah program melukis yang menggambarkan aktiviti para pelajarnya sepanjang berada di rumah selain mengikuti pembelajaran secara dalam talian. Setiap lukisan yang terhasil dilelongkan dan hasil kutipan yang diperolehi dijadikan sumbangan untuk membeli peralatan perubatan di Hospital Sungai Buloh. Kesemua aktiviti yang dijalankan sudah pastinya dapat memupuk sifat positif kepada para pelajar dan diharap menjadikan mereka insan yang berguna bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga kepada masyarakat.
Tidak dinafikan kerjaya dalam bidang pendidikan terutama pendidikan awal kanak-kanak lebih cenderung kepada wanita. Justeru, sebagai seorang usahawan dan wanita, Zaliza ingin menguatkan lagi penguasaan wanita dalam bidang berkaitan agar lebih ramai golongan ini dapat menjadi penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi masyarakat. Selain itu, misi Zaliza juga kini sedang bergerak ke arah global dengan memperluaskan lagi khidmat modul pendidikan ke negara seperti Qatar disamping ingin meningkatkan lagi strategi dan modul pembelajaran serta struktur kerja sedia ada agar dapat menawarkan perkhidmatan yang lebih mantap.
“Pendidikan adalah keutamaan, perniagaan hanyalah kenderaan yang menggerakkan pendidikan. Jangan kita jadikan pendidikan untuk mengejar keuntungan perniagaan kerana pendidikan adalah untuk selamanya,” nasihat Zaliza mengakhiri temubual.
Bermula hanya sebagai kontraktor elektrik dan perunding pengurusan tenaga, Gading Kencana kini merupakan salah satu penyedia perkhidmatan untuk tenaga boleh diperbaharui utama di Malaysia. Mula ditubuhkan pada 1993 oleh pengasasnya, Dato’ Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng, kini Gading Kencana telah memiliki dua ladang solar sendiri yang terletak di Ayer Keroh, Melaka dan Bidor, Perak.
Pada awal pembabitannya dalam bidang ini, Malaysia masih kurang pengetahuan tentang tenaga solar ini. Melihat kepada keperluan untuk memperkenalkan lagi penggunaan tenaga boleh diperbaharui ini, Gading Kencana mula menjalankan program-program makluman dan kesedaran kepada masyarakat terutama pihak berkaitan untuk membuka ‘jalan’ kepada penghasilan tenaga melalui sumber ini.
Malaysia bertuah kerana kedudukan geografinya di garisan Khatulistiwa, memberi kelebihan pendedahan kepada sinaran matahari dan kawasan sesuai untuk tadahan air. Tenaga matahari boleh digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik melalui enjin pemanasan dan panel solar fotovoltaik. Panel solar digunakan untuk menukar sinaran haba matahari kepada tenaga elektrik. Kaedah ini mampu menghasilkan voltan arus secara terus. Penggunaan sumber ini secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan penghasilan tenaga elektrik daripada sumber tidak boleh diperbaharui seperti arang batu. Malah, tenaga solar dan tenaga angin tidak membebaskan karbon dioksida (CO2) dan gas rumah hijau lain yang menyumbang kepada perubahan iklim.
Transformasi perkhidmatan Gading Kencana bermula dari sistem solar lampu taman, jalanan, off-grid, hibrid sehinggalah kini kepada ladang solar apabila semakin ramai yang mula menunjukkan minat dalam penggunaan tenaga ini termasuklah syarikat-syarikat swasta yang ingin mengurangkan perbelanjaan harian mereka terutama melibatkan penggunaan tenaga elektrik. “Kebanyakkan projek di bawah Gading Kencana memerlukan lesen dan pendaftaran yang sah daripada pihak berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia atau CIDB sebelum kami boleh meneruskan apa-apa projek. Walau bagaimanapun, ada juga projek lain yang tidak memerlukan perkara tersebut. Hal ini telah mendorong pihak kami untuk menubuhkan Gading Solar Sdn Bhd bagi memudahkan segala urusan dan perkhidmatan kami dijalankan secara terus kepada syarikat-syarikat swasta yang lain,” kata Dato’ Guntor.
Bagi perniagaan yang berteraskan alam semulajadi sebagai sumber utama, aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar amat dititik beratkan sebelum ingin membina dua ladang solar seperti yang ada di lokasi pada hari ini. Pelbagai kajian serta rujukan telah dilakukan dan dicapai sebelum sesebuah ladang solar itu boleh dibina. “Mana-mana pembangunan tanah melebihi 20 hektar haruslah membuat Environmental Impact Assessment atau EIA mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar, jadi Gading Kencana mematuhi peraturan ini,” jelas Dato’ Guntor. Malah, kompleks yang dikenali sebagai Kompleks Solar Hijau ini juga menghasilkan net zero carbon memandangkan keseluruhan tenaga operasi menggunakan sumber tenaga dari matahari.
Selain itu juga, Gading Kencana turut membuat kajian sosial di mana pihak syarikat bertemu dengan penduduk tempatan untuk mendapatkan maklum balas dan kesan sekiranya terdapat sebuah ladang solar dibina di kawasan mereka terutama terhadap kelangsungan hidup, tanaman dan ternakan sekiranya ada. Ini adalah bagi memastikan matlamat Gading Kencana dalam usaha untuk mempergiatkan tenaga solar ini tidak memudaratkan sebaliknya mampu membantu masyarakat dalam meningkatkan lagi taraf hidup mereka.
Kini, ladang solar itu telah menjadi antara sumber tarikan bagi industri pelancongan pendidikan terutama di Melaka apabila banyak pihak menjadikannya sebagai sumber kajian dan rujukan selain sebagai pusat latihan bagi institusi pendidikan yang berkaitan. “Kompleks ini telah mewujudkan impak berganda kerana ia bukan sahaja sebagai pusat penghasilan tenaga solar sahaja, tetapi juga boleh dimanfaatkan bagi pembangunan intelek komuniti,” tambah Dato’ Guntor.
Aspek keselamatan memainkan peranan amat penting kepada mana-mana individu yang melangkah masuk ke kawasan ladang solar. “Peraturan keselamatan amat ketat terutama kepada pekerja, jadi dengan kerjasama dari pihak Jabatan Penyelamat dan Bomba Malaysia, kami menyediakan latihan berkala agar keselamatan dan kesihatan terpelihara,” ujar beliau.
Malah, Gading Kencana juga turut memberi keutamaan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan terutama lepasan graduan agar golongan ini memperoleh pengalaman bekerja dan mampu meningkatkan kemahiran diri agar mampu menyumbang kepada pembangunan industri pada masa hadapan.
Dalam mendekati masyarakat untuk memperkenalkan perkhidmatan tenaga solar ini pasti ada cabaran tersendiri. Stigma pemikiran masyarakat berkenaan penggunaan tenaga solar ini selalunya hanyalah untuk mereka yang berkemampuan sahaja. “Masyarakat sukar untuk menerima maklumat baharu sekiranya perkara itu bukan kebiasaan dan kefahaman mereka. Jadi, kami di Gading Kencana menggunakan langkah pendekatan ‘masyarakat mendekati masyarakat’ di mana kami mengadakan program SuriaKU,” ujar Dato’ Guntor. SuriaKU merupakan sebuah projek kerjasama antara Gading Kencana bersama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan.
Dalam mendekati masyarakat untuk memperkenalkan perkhidmatan tenaga solar ini pasti ada cabaran tersendiri. Stigma pemikiran masyarakat berkenaan penggunaan tenaga solar ini selalunya hanyalah untuk mereka yang berkemampuan sahaja. “Masyarakat sukar untuk menerima maklumat baharu sekiranya perkara itu bukan kebiasaan dan kefahaman mereka. Jadi, kami di Gading Kencana menggunakan langkah pendekatan ‘masyarakat mendekati masyarakat’ di mana kami mengadakan program SuriaKU,” ujar Dato’ Guntor. SuriaKU merupakan sebuah projek kerjasama antara Gading Kencana bersama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan.
Melalui SuriaKU, setiap rumah terpilih akan dipasang dengan sistem panel solar dan penghasilan tenaga ini akan dijual kepada syarikat elektrik berkaitan. Separuh daripada pendapatan diperolehi akan diberikan kepada pemilik rumah manakala selebihnya adalah kepada pengurusan sistem panel solar itu. Ini secara tidak langsung, dapat memberi pendedahan tentang penggunaan tenaga solar kepada masyarakat setempat yang lain apabila melihatkan kepada manfaat yang diterima oleh pemilik rumah yang memiliki sistem ini. Kini, lebih dari 400 buah rumah telah mengguna pakai sistem ini sejak ia mula dilaksanakan pada 2015.
Inisiatif ini tidak hanya terhad dipasang di kawasan perumahan sahaja, malah sebaliknya diperluaskan hingga ke pusat ibadat seperti masjid secara wakaf. Masjid-masjid di daerah Johor merupakan negeri pertama yang menerima manfaat ini. “Banyak masjid sudah dipasang dengan sistem solar ini antaranya Masjid Bandar Baru UDA, Masjid Kampung Dato’ Sulaiman Menteri dan Surau Taman Sri Tebrau. Masyarakat akan lebih cenderung untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang sesuatu perkara sekiranya mereka dengar sendiri dari pihak yang mereka percaya. Justeru, ini memudahkan kami untuk memberi lebih pendedahan tentang kebaikan penggunaan sistem solar,” tambah Dato’ Guntor.
Tidak terhenti setakat itu, Gading Kencana turut merancang untuk merakyatkan penggunaan sistem solar ini untuk membebaskan golongan seperti asnaf daripada kemiskinan. Ini kerana matlamat Gading Kencana bukan sahaja untuk meraih keuntungan dan meningkatkan kuantiti penggunaan tenaga ini semata-mata tetapi juga untuk membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat sekeliling dengan memperkenalkan strategi yang sama seperti SuriaKU selain menawarkan pekerjaan bersesuaian agar golongan ini dapat meraih pendapatan dan mampu mengubah corak kehidupan mereka.
Dengan pelbagai barisan penghargaan dan anugerah yang telah diterima atas perkhidmatan cemerlang, Gading Kencana terus maju ke hadapan dengan membekalkan tenaga ke rantau Asia seperti Indonesia, Kemboja dan Jepun.
Setiap usahawan dan perniagaan ada rahsia tersendiri untuk kekal relevan dan bertahan, begitu juga Dato’ Guntor. “Dalam apa jua perniagaan, usahawan itu perlulah mempunyai sifat ingin berubah dan harus ikut peredaran masa serta teknologi. Ia sukar dilaksanakan namun perlu dilakukan agar perniagaan juga mampu berkembang,” akhiri beliau.
Ikuti perkongsian kisah kejayaan seorang Rakan Usahawan PUNB yang berjaya di Sarawak. Kejayaannya boleh dijadikan contoh buat anda yang sedang bertatih dalam bidang perniagaan. Don’s Burger menawarkan pelbagai pilihan menu burger yang menyelerakan!
“Jangan lokek berkongsi ilmu dengan rangkaian perniagaan anda. Rajinlah hadirkan diri ke majlis keramaian. Semakin ramai yang anda jumpa, semakin banyak peluang rangkaian perniagaan untuk anda. Berikan bantuan kepada rakan perniagaan meskipun mereka dalam bidang yang berbeza. Hasilnya, anda dapat membina hubungan perniagaan yang berkekalan,” petikan daripada IrfanKhairi.com oleh Dr. Noor Irfan Khairi Noor Azmi, Tokoh Jutawan Internet.
Rangkaian perniagaan sangat penting dalam menjalin hubungan kerjasama dengan pihak lain. Rangkaian perniagaan yang kukuh mampu mewujudkan banyak peluang baharu selain sokongan moral mahupun kewangan daripada rakan usahawan lain. Berikut adalah beberapa panduan yang boleh membantu anda membina rangkaian perniagaan sendiri:
• Pilih kumpulan sasaran
Pilih kumpulan sasaran yang tepat. Berikan kad atau risalah perniagaan kepada mereka yang berminat dengan idea dan perniagaan serta berpotensi menjadi rakan niaga anda.
• Bina hubungan baik Tujuan membina rangkaian perniagaan adalah untuk mewujudkan hubungan yang mendatangkan manfaat bagi perniagaan. Pelbagai cara dapat dilakukan bagi mengukuhkan hubungan baik dalam perniagaan antaranya meraikan atau memberi penghargaan kepada pihak yang berurusan dengan kita. Hal ini penting kerana kebanyakan pelanggan mahupun peniaga lebih selesa berurusan dengan mereka yang dikenali dan dipercayai. Apabila kepercayaan dapat dibina, pasti urusan perniagaan akan menjadi lebih mudah.
• Cari Peluang
Rebut peluang berkenalan setiap kali berjumpa dengan individu atau kumpulan perniagaan baharu. Tidak perlu memberi penerangan penuh tentang perniagaan anda jika pertama kali bertemu, sebaliknya lebih banyak bertanya tentang diri dan perniagaan yang dijalankan oleh pihak tersebut. Akan tetapi, jangan lupa untuk mengenal pasti topik yang boleh dijadikan sebagai cetusan perbualan. Cara ini boleh memanjangkan komunikasi seterusnya memudahkan anda untuk memperkenalkan perniagaan. Dengan menghadiri sesebuah majlis, anda juga berpeluang menambah kenalan. Cuba dekati dan berkenalan di kalangan tetamu yang ada. Cara ini dapat meluaskan lagi rangkaian perniagaan anda.
• Beri bantuan
Mahu membina hubungan yang berkekalan dalam dunia perniagaan? Salurkan bantuan sewajarnya atau berikan sokongan moral kepada rakan usahawan yang berada dalam kesusahan. Sikap ini akan membuatkan anda diingati, mudah didekati dan secara tidak langsung dapat menimbulkan rasa percaya orang lain terhadap anda.
• Jangan lost contact!
Teruskan berhubung dan aturkan pertemuan seterusnya dengan kenalan baharu. Kenalan baharu pasti tidak akan melupakan anda sekiranya perhubungan dikekalkan dan anda akan sentiasa menjadi pilihan rakan perniagaan lain.
Musim
PKPB ini, ramai peniaga telah mula beralih kepada perniagaan secara atas talian
sebagai medium untuk promosi dan menjual produk serta perkhidmatan ditawarkan.
Walau bagaimanapun, pernahkah anda kekurangan idea setiap kali memikirkan
kandungan yang ingin dimuat naik di platform media sosial perniagaan anda?
Bagi
peniaga yang mempunyai pekerja khusus mungkin tidak terlalu pening, akan tetapi
bagaimana dengan usahawan yang bergerak secara sendirian? Pasti tidak menang
tangan.
Ini mungkin boleh membantu anda!
Pertama
Tukar kandungan video anda kepada teks pendek dan infografik serta sebaliknya. Jika sebelum ini anda pernah muat naik video tentang produk dan perkhidmatan, anda boleh guna semula skrip video untuk dijadikan sebuah ‘posting’ baharu dalam bentuk yang lain serta vice versa. Ini secara tidak langsung, anda telah menghasilkan beberapa kandungan yang berbeza daripada satu idea atau topik untuk media sosial anda. Lakukan secara konsisten bagi idea dan topik yang lain.
Antara reka bentuk infografik yang dapat digunakan untuk rujukan aliran kerja, rajah, laporan tahunan dan reka bentuk web.
Kedua
Setelah
memuat naik, anda harus mempunyai aplikasi atau sistem statistik seperti Google Analytic atau Shield sebagai panduan bagi mengetahui
topik, jenis dan kandungan apa yang mendapat ‘viewers’ dan ‘hits’ paling
banyak. Untuk data yang stabil, anda boleh mengumpul statistik terbaik bagi
tempoh 30 sehingga 60 hari.
Ini secara tidak langsung menjadikan anda seorang ‘pendengar’ yang baik kepada para pengikut media sosial dan kemahuan pelanggan kerana anda tahu apa yang mereka harapkan daripada ‘posting’ anda. Lagipun, semua ini bertujuan untuk menjana keuntungan juga.
Antara contoh Google Analytic atau Shield yang digunakan sebagai panduan.
Ketiga
Kandungan yang berkesan dan mendapat perhatian ini memudahkan anda sebagai penunjuk arah kepada idea pemasaran yang seterusnya. Anda tidak lagi perlu pecah kepala memikirkan idea-idea berlainan setiap kali ingin membuat promosi jualan di media sosial. Setiap kandungan yang berjaya boleh diekstrak untuk dijadikan 5 atau lebih kandungan baharu dan bersedia dimuat naik.
Salah satunya adalah idea bagi kandungan pemasaran.
Jadi,
bayangkan daripada 1 idea ataupun topik,anda telah mereka cipta banyak
kandungan yang berbeza.
Generasi muda kini lebih cenderung untuk bekerja sendiri berbanding makan gaji. Masalah modal atau tiada premis untuk berniaga bukan lagi penghalang bagi sesiapa yang ingin memulakan perniagaan.
Persoalannya, bagaimana hendak mula berniaga? Ini beberapa langkah yang mungkin boleh membantu:
Sertai Kursus & Latihan Keusahawanan Sebelum bermula, anda perlu mempunyai pengetahuan tentang dunia perniagaan. Tanya pada diri,”‘Sudah bersedia ke untuk menjadi seorang usahawan? Asas berniaga sudah ada?” Jika tidak, langkah pertama adalah sertai kursus & latihan keusahawanan samada yang ditawarkan oleh agensi Kerajaan mahupun swasta.
Antara kursus-kursus awal yang penting meliputi penyediaan Rancangan Perniagaan (RP) – nampak mudah tapi ramai ‘sangkut’ (PUNB ada sediakan Bengkel RP bagi yang berminat), operasi perniagaan, pengurusan kewangan, jualan dan pemasaran.
Jangan sesekali cuba nasib untuk berniaga tanpa ilmu di dada. Takut anda sendiri yang pening nanti.
Rancang Perniagaan Dah bersedia? Nanti dulu. Sebelum memulakan perniagaan, kita harus kaji selidik perkara berikut:
1) Diri sendiri Ketahui potensi, kemampuan & kebolehan serta kemahiran yang ada pada diri sendiri.
2) Kewangan Mulakan perniagaan dengan modal yang ada terlebih dahulu. Orang kata, ukur baju di badan sendiri.
3) Idea & Pasaran Idea untuk berniaga haruslah berpaksikan perkara yang anda minat dan yakin boleh dibangun dan dipasarkan. Bukannya kerana mengikut trend terkini. Ingat, perniagaan bukan suatu hobi. Buat kajian mengenai kebolehpasaran produk atau perkhidmatan yang ingin ditawarkan terlebih dahulu supaya anda tahu siapa, ke mana dan di mana hendak dipasarkan.
4) Nama, Daftar & Lokasi
a. Pemilihan nama/jenama untuk perniagaan amat penting. Ini kerana nama adalah ‘wakil’ pertama selain logo bagi sesebuah syarikat. Pilih nama/jenama yang mudah diingati, ‘catchy’ dan dikenali. Pemilihan nama perniagaan boleh disemak secara atas talian ataupun boleh merujuk kepada Garis Panduan Pendaftaran Nama Perniagaan yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
b. Sudah pilih nama, cepat-cepatlah daftarkan ke SSM ye. Pastikan juga anda telah memiliki lesen dan permit yang sepatutnya untuk perniagaan.
c. Bagi lokasi perniagaan, pilih lokasi bersesuaian dengan perniagaan tawarkan. Ini kerana, jika salah pilih lokasi boleh memberi kesan kepada perniagaan (walaupun lokasi tumpuan orang ramai, ia belum lagi jaminan). Lokasi perlulah mudah diakses oleh orang ramai bagi memudahkan perkembangan perniagaan.
Jika tidak berkemampuan untuk menyewa, mulakan perniagaan secara atas talian dahulu. Konsep perniagaan ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja.
Pembiayaan Perniagaan Ramai yang beranggapan untuk berniaga memerlukan modal yang besar. Betul ke? Ternyata ia kurang tepat.
Bagi anda yang baru hendak berjinak-jinak dalam perniagaan, sebaiknya mulakan secara kecil-kecilan. Cara paling mudah dan rendah risiko adalah melalui medium atas talian. Ambil masa anda untuk membina perniagaan. Slow but grow.
Mulakan perniagaan berbekalkan modal sebanyak 80%-90% daripada poket sendiri. Jika 100% lebih baik. Ini bagi mengelakkan anda daripada berhutang sebelum dapat merasa hasil keuntungan sepanjang memulakan perniagaan.
Jika modal masih tidak mencukupi, satu cara lain adalah mendapatkan rakan kongsi, baik yang mempunyai modal ataupun kemudahan perniagaan yang diperlukan. Rakan kongsi anda haruslah seseorang yang mempunyai reputasi baik secara keseluruhan. Ya, anda perlu berkongsi saham pemilikan syarikat namun cara ini lebih baik daripada anda berhutang keliling pinggang.
Hanya selepas perniagaan anda sudah berkembang dan mampu ‘berjalan’ sendiri, bolehlah memohon pembiayaan perniagaan daripada mana-mana institusi kewangan atau agensi pembangunan usahawan yang diiktiraf seperti PUNB.
Yang paling penting, jika anda baru hendak mula berniaga, jangan usik modal dan keuntungan perniagaan untuk kegunaan peribadi.