Popular

KAT TECHNOLOGIES SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

YBhg Datuk Ir. (Dr) Khairol Anuar bin Mohamad Tawi merupakan usahawan Bumiputera yang semakin dikenali dalam dunia perniagaan dan keusahawanan di Malaysia. Beliau dilahirkan di Melaka dan merupakan anak sulung kepada pasangan Allahyarham Mohamad Tawi, seorang pesara askar dan Hajjah Kamisah, seorang suri rumah.

Memiliki pendidikan yang cemerlang sejak di bangku sekolah, beliau seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Cranfield Institute of Technology dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari University College of Swansea, United Kingdom. Pada tanggal 25 Julai 2015, beliau telah mencipta sejarah di mana beliau merupakan warganegara Malaysia yang pertama menerima penganugerahan Doctorate in Science di universiti yang sama. Pengiktirafan yang diterima telah menjadikan beliau lebih bersemangat dalam mengatur langkah merangka strategi kerjaya dan seterusnya dapat menyumbangkan tenaga kepada komuniti masyarakat. Penglibatan beliau secara aktif di dalam kerja-kerja amal dan sukarela telah melayakkan beliau untuk dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang bergelar Datuk di hari Keputeraan Tuan Yang Pertama Yang Dipertua Negeri Melaka ke-72 pada Oktober 2020.

Beliau telah memulakan kerjaya di Telekom Malaysia pada tahun 1983 sebelum berkhidmat di Syarikat Kumpulan Sapura Holdings selama 14 tahun. Semasa berkhidmat di Sapura Holdings, beliau telah melancarkan perkhidmatan prabayar pertama di Malaysia di bawah jenama UNIPHONEKAD untuk telefon awam di mana dalam tempoh tersebut juga, beliau telah diiktiraf sebagai Jurutera Profesional oleh Institut Jurutera Malaysia.

YBhg Datuk Ir. (Dr) Khairol Anuar bin Mohamad Tawi pengasas KAT Technologies Sdn Bhd

Pada 1999, beliau telah menubuhkan syarikat KAT Technologies Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat pemborong dan pengedar kad prabayar telefon mudah alih di Malaysia. Di awal penubuhannya, seramai tiga orang kakitangan sahaja yang menjadi nadi penggerak operasi syarikat dengan nilai jualan tahunan sebanyak RM 600 ribu dan ia semakin pesat berkembang di bawah pengelolaan beliau dari tahun ke tahun sehinggalah mencacatkan nilai jualan tahunan tertinggi RM835 juta pada 2015.

Kredibiliti beliau sebagai pengasas serta disokong oleh barisan pentadbiran yang mantap telah menjadikan syarikat semakin kukuh dan meluaskan pasaran di seluruh Semenanjung Malaysia dengan jumlah kakitangan seramai 160 orang yang bertempat di 12 cawangan iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Terenganu.

Industri syarikat bukan sahaja tertumpu pada pemborongan dan pengedaran kad prabayar, tetapi syarikat juga mengeluarkan produk perisian penyelesaian dalam sistem pengedaran seperti KATsys, Destini, Mobipos dan Aplikasi P2U Wallet.

Bahkan, KAT Technologies Sdn Bhd kini semakin dikenali di pasaran dan diiktiraf sebagai syarikat Bumiputera yang berdaya saing oleh TERAJU iaitu sebuah agensi pelaksana di Jabatan Perdana Menteri dan sterusnya melayakkan syarikat diserap di dalam program TERAS.

Anugerah yang pernah diterima oleh KAT Technologies Sdn Bhd adalah:
2009 – 2011
Pengedar Terbaik oleh Celcom
2010 – 2011
Pengedar Terbaik oleh Telekom Malaysia
2010
Anugerah Gemilang Sedekad PROSPER (Skim Pemborong PROSPER oleh PUNB
2010 – 2011
Anugerah Prestasi Cemerlang oleh PUNB
2012 – 2013
Pemenang Enterprise 50 Award
2013
The Best in Malaysian Business Awards oleh SOBA
2014
~ Special Mention Entrepreneur of the Year oleh SOBA
~ Best Innovation Services oleh SME Corporation
2015
Anugerah Khas – Usahawan Unggul PUNB (SPARK)
2016
Best Retail & Supply Chain Management Solution oleh APICTA
2018
Anugerah Usahawan Teknologi Top 150 Award di Kongres GMB

Perkembangan dan kejayaan syarikat pada hari ini adalah hasil usaha beliau serta barisan pentadbiran yang kuat dan disokong oleh ahli keluarga. Liku-liku dan jatuh bangun dalam arena perniagaan menjadikan beliau lebih kuat serta bersikap optimis. Selain usaha, ikhtiar dan tawakal kepada Allah, beliau merasakan usaha beliau ini sebagai jihad ekonomi untuk menjenamakan produk Bumiputera di pasaran seiring dengan syarikat-syarikat yang lain.

Beliau percaya rahsia kejayaan KAT Technologies hari ini berpaksikan kepada disiplin dan komitmen yang tinggi serta fokus dalam bidang perniagaan ini. Beliau sendiri terpaksa bekerja dengan gigih dan sanggup mengorbankan masa bekerja 18 hingga 20 jam sehari. “Tiada laluan mudah untuk berjaya. Setiap kejayaan itu memerlukan pengorbanan,” akhiri beliau.

ROTI SEGAR MEKAR ENTERPRISE – Rakan Usahawan PUNB

Mendapat dorongan daripada ayahnya yang telah bergiat dalam bidang bakeri dan pastri selama 40 tahun sejak 1981 sehingga sekarang, Puan Nur Hanina binti Mior Ariffin telah menyimpan impian untuk mewarisi syarikat pembuatan makanan itu pada masa hadapan. Beliau kini merupakan rakan kongsi dalam syarikat tersebut menjelaskan, hal ini terjadi demikian kerana perniagaan yang dijalankan menepati minat dan kehendaknya memandangkan bidang ini semakin berkembang maju di Malaysia selain ingin menyahut saranan kerajaan dalam melahirkan usahawan Bumiputera yang berjaya.

Tambah Hanina, selain menghasilkan roti, kek dan produk pastri yang lain, Roti Segar Mekar Enterprise turut menghasilkan biskut raya setiap kali menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Beliau bersyukur kerana permintaan terhadap biskut raya keluaran syarikatnya mendapat sambutan yang amat menggalakkan setiap tahun. Malah, produk yang dihasilkan ini juga berjaya dipasarkan secara meluas dan mendapat permintaan yang tinggi terutamanya di kawasan negeri Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, dalam perniagaan, pasti ada persaingan.

Menurut Hanina, pesaing utama Roti Segar Mekar Enterprise terdiri daripada syarikat milik bukan Bumiputera. Namun begitu, beliau melihat persaingan ini sedikit sebanyak membantu pihak syarikat untuk memperbaiki kelemahan yang ada dalam pelbagai sudut seperti menitikberatkan lagi aspek kebersihan dan mutu keluaran produk agar terus mendapat kepercayaan pelanggan. Sebagai bukti, pihak syarikat telah menerima pengiktirafan sijil MeSTI daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta sijil Halal daripada Jabatan Kamajuan Islam Malaysia (JAKIM).   

Bercerita mengenai cabaran sepanjang mengendalikan perniagaan ini, beliau berkata, cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi adalah ketika berlakunya kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 2007 hingga 2010. Syarikat turut berhadapan krisis kewangan sehingga mengalami kemerosotan jualan.

Apabila keadaan ekonomi semakin stabil, Hanina tampil berani apabila membeli sebidang tanah untuk mendirikan bangunan baharu. Melalui bangunan baharu ini, syarikat terus berkembang dan kini mampu menyediakan tempat latihan praktikal/amali bagi pelajar-pelajar pusat institusi pendidikan seperti Kolej Vokasional, Kolej Komuniti, Pusat Latihan RISDA, Pusat Latihan FAMA, Pusat Latihan Pertanian, Politeknik dan banyak lagi. Latihan praktikal/amali yang dijalankan selama tiga bulan adalah bagi melengkapkan modul pembelajaran dalam bidang membuat roti, kek, biskut dan pastri.  

Bagi Hanina, pemilihan lokasi perniagaan yang strategik amat penting terutama perniagaan yang sama industri sepertinya dan cuba elakkan daripada berada dalam satu kawasan yang sama dengan pesaing perniagaan.

Sebagai kata-kata nasihat kepada yang bercita-cita untuk menjadi usahawan, pesan Hanina, “Seseorang itu harus melengkapkan diri dengan ilmu dan ketahanan diri bagi menghadapi setiap cabaran yang mendatang.”

MIWA MANUFACTURING SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Pengalaman membantu arwah ibu berniaga produk makanan kering, merupakan antara faktor yang memberi inspirasi dan kejayaan MIWA Manufacturing Sdn Bhd, pengeluar produk makanan dan minuman seperti smoothies, ice blended, pati buah sejuk beku dan minuman jeli yang beroperasi di sekitar Lembah Klang.

Antara produk keluaran MIWA Manufacturing Sdn Bhd.

Menurut Pengarah Urusannya, Fara-Jasseica binti Mohd Rashid, mereka perlu menyusun semula penghasilan produk untuk memastikan stok jualan sentiasa ada disebabkan permintaan yang meningkat secara berterusan.

“Ini kerana stok yang dihantar kepada pelanggan pada kebiasaannya akan habis terjual dalam masa yang singkat,” katanya.

Selain daripada permintaan yang tinggi terhadap produk dihasilkan, antara faktor utama lain yang menentukan kejayaan syarikat ini  adalah sokongan yang diterima khususnya dari segi kewangan dan  moral daripada keluarga dan pekerja. Tanpa sokongan, mustahil MIWA Manufacturing boleh berada di tahap sekarang.

MIWA Manufacturing telah menerima bantuan pembiayaan perniagaan daripada PUNB pada 2010 untuk membeli lebih banyak stok barangan mentah bagi meningkatkan hasil pengeluaran produk.

Proses yang dijalankan oleh salah seorang pekerja MIWA bagi menghasilkan produk makanan dan minuman.

Hasil usaha gigih yang ditunjukkan oleh Fara-Jasseica dengan kerjasama daripada pekerjanya telah memperkukuhkan perniagaan menjadi stabil sehingga melayakkan MIWA Manufacturing untuk mendapat pembiayaan tambahan daripada PUNB. Peluang ini membolehkan syarikat memantapkan operasi pengeluaran dan pengedaran bagi menampung permintaan pasaran yang semakin berkembang.

Fara-Jasseica berkata, “Bagi perancangan jangka masa pendek, MIWA telah menjalin usaha sama dengan pengusaha pasaraya besar seperti Mydin dan Giant bagi mendapatkan tempat untuk memasarkan produk keluaran syarikat.”

Walaupun cabaran syarikat adalah masalah kekurangan modal kerana terpaksa berdepan dengan kos tenaga buruh yang tinggi bagi menampung skala pengeluaran yang semakin besar,namun demikian, syarikat tetap menyusun perancangan masa depan. Ini kerana untuk jangka masa panjang, MIWA berazam menjadi salah satu pengeluar utama produk makanan dan minuman di Malaysia pada masa akan datang.

Perniagaan MIWA masih muda dan banyak lagi bantuan dari aspek kewangan, bimbingan dari segi teknologi diperlukan untuk meningkatkan produktiviti syarikat.

Barisan pihak pengurusan MIWA Manufacturing Sdn Bhd.

Pihak pengurusan juga tidak lupa untuk sentiasa bersiap sedia bagi mendalami ilmu berkaitan pengurusan perniagaan, selain memantapkan lagi pengurusan sumber manusia bagi memastikan kelangsungan perjalanan perniagaan.

IANA CORPORATION SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Setiap perniagaan pasti ada pasang surutnya bahkan cabaran dan halangan sudah menjadi sebati dalam mengharungi badai perniagaan. Jika tersalah langkah, akibatnya boleh menyebabkan kerugian yang akhirnya tersungkur di tengah jalan.

Namun bagi Mohamad Hafidz Rohani, pengusaha Kek Lapis Sarawak jenama Siti Payung, cabaran yang mendatang tidak menghalang usahanya mengembangkan perniagaan yang diusahakan oleh ibunya, Siti Jaharah Matassan sejak lebih 35 tahun yang lalu.

Perniagaan yang diwarisinya itu diusahakan persis tatacara ibunya yang sentiasa mengutamakan pemilihan dan penggunaan bahan-bahan berkualiti bagi menjamin keaslian rasa kek lapis yang dihasilkan. Malah Hafidz turut menyuntik pelbagai strategi pemasaran baharu dalam mengemudi dan mengembangkan syarikat sehingga berjaya seperti hari ini.

“Tipulah kalau saya kata berniaga itu mudah. Adakalanya semangat itu luntur juga, namun saya bingkas semula kerana saya tahu bahawa perniagaan yang diusahakan ini bukan sahaja menjana ekonomi untuk diri sendiri malahan mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk orang ramai.

“Cabaran dan kesilapan terbesar yang pernah kami hadapi apabila tersalah percaturan dengan menyewa sebuah kilang berskala besar bagi mengeluarkan produk yang lebih banyak. Kami sangkakan kewangan sudah cukup kukuh, namun disebabkan kos logistik, utiliti dan lain-lain yang semakin meningkat membuatkan kami terpaksa berpindah semula ke premis perniagaan asal,” katanya.

Menurut Hafidz lagi, perkembangan teknologi media sosial seperti Facebook dan Instagram sedikit sebanyak membantu memperkenal dan melariskan produk terkenal Sarawak itu secara meluas.

Selain itu, Hafidz juga turut mewujudkan sebuah laman sesawang ‘Siti Payung’ bagi memasarkan produk-produk keluaran syarikatnya. Para pelanggan yang berminat boleh terus membuat tempahan kek lapis pelbagai rasa secara atas talian. Cara ini lebih mudah, pantas dan selamat terutama kepada mereka yang mungkin sukar untuk mendapatkan kek lapis Siti Payung di kedai-kedai fizikal.

“Pelanggan kami juga boleh membeli kek lapis melalui laman e-dagang seperti Lazada dan Shopee. Jenama kek lapis Siti Payung telah dikategorikan sebagai ‘preferred seller’ di Shopee. Ini merupakan hasil daripada permintaan dan pembelian yang dilihat semakin meningkat saban tahun,” ujarnya.

Sebagai seorang usahawan yang masih berusaha menguasai arena keusahawanan, Hafidz sememangnya memerlukan bantuan dan sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan bagi membantu mengukuhkan perniagaan yang diusahakan.

“Saya melihat sokongan yang diberikan oleh PUNB bukan sekadar dari aspek pembiayaan sahaja, malah merangkumi khidmat nasihat dan pemantauan, kursus serta latihan agar usahawan terus berdaya tahan dan berdaya saing dalam perniagaan.

“Tambahan pula, kini PUNB juga sudah mula membuka jalan kepada para usahawan naungannya dengan menyediakan peluang-peluang untuk meneroka pasaran antarabangsa bagi memasarkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Ini merupakan inisatif yang baik selain membuka mata dan minda para usahawan tentang pasaran luar Negara, malah strategi ini juga dilihat dapat memperkenalkan identiti Malaysia melalui makanan seperti kek lapis Siti Payung,” akhiri beliau.

Read Policy

Kami Menghargai Maklum Balas Anda!

    Soalan 1

    Pengalaman Keseluruhan:

    Bagaimanakah anda menilai pengalaman keseluruhan anda di portal rasmi kami?

    Soalan 2

    Pencarian Maklumat:

    Adakah mudah untuk mencari maklumat yang anda cari?

    Soalan 3

    Bahagian Bantuan:

    Bahagian mana pada portal rasmi kami yang paling membantu anda?

    Soalan 4

    Jangkaan Laman Sesawang:

    Adakah portal rasmi kami memenuhi jangkaan anda?

    Soalan 5

    Kebarangkalian untuk Kembali:

    Adakah anda akan kembali ke portal rasmi kami pada masa hadapan?