Kategori: Malay

PUNB telah turut serta dalam program Seminar Tahunan Penjaja anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertemakan “E-Dagang: Menerobos Batasan, Mencipta Peluang” pada 1 & 2 Oktober 2025 di Lobi Menara DBKL 1.
Penyertaan ini membuka ruang untuk memperkenalkan pelbagai program pembiayaan dan bimbingan keusahawanan yang ditawarkan oleh PUNB kepada peserta dalam kalangan penjaja berlesen di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi meningkatkan daya saing dalam dunia digital.
Terima kasih kepada semua pengunjung yang singgah ke reruai PUNB dan menunjukkan minat terhadap peluang pembiayaan yang ditawarkan.
Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) telah menganjurkan Program Pengurusan Efektif Aliran Tunai Bisnes pada 29 dan 30 September 2025 bertempat di Bayou Lagoon Park Resort, Melaka, dengan bimbingan fasilitator Encik Saharudin serta penyertaan seramai 31 orang peserta.
Program ini bertujuan membantu peserta menguasai pemahaman asas kitaran aliran tunai bisnes untuk dimanfaatkan dalam pengurusan operasi masing-masing. Peserta turut didedahkan dengan kefahaman mengenai pergerakan aliran tunai dalam tiga kumpulan aktiviti utama iaitu Aktiviti Operasi, Aktiviti Pembiayaan dan Aktiviti Pelaburan.
Selain itu, peserta dibimbing untuk merancang strategi mengurangkan kebocoran tunai, memahami ideologi penyimpanan tunai (‘Cash Reserve’) termasuk kebaikan, kelebihan dan salah faham yang sering berlaku, serta memanfaatkan penggunaan templat asas Microsoft Excel bagi memantau aliran tunai, merancang dan membuat unjuran kewangan yang lebih berkesan.
Program Jerayawara Negeri Pahang 2025 telah diadakan pada 30 September 2025 di Pejabat PUNB Cawangan Pahang. Program ini bertujuan memberi penerangan komprehensif kepada usahawan mengenai kemudahan pembiayaan yang ditawarkan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), termasuk tatacara serta proses permohonan.
Di samping itu, program ini turut menjadi platform bimbingan kepada usahawan bagi memanfaatkan peluang sokongan kewangan yang tersedia, sekali gus membantu mereka memperkukuh perniagaan serta meningkatkan daya saing. Penganjuran ini diharapkan dapat memberi manfaat yang berterusan kepada usahawan tempatan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

Dalam dunia perniagaan yang penuh cabaran, kejayaan tidak hadir dalam sekelip mata. Ia menuntut ketekunan, kreativiti, semangat juang yang tinggi serta komitmen berterusan untuk terus maju walau diuji. Tidak hairanlah dunia keusahawanan kini semakin menarik minat ramai, khususnya golongan muda yang ingin mencipta masa depan dengan usaha sendiri.

Bagi tiga usahawan yang kami temui, perjalanan mereka bukan sahaja dipenuhi jatuh bangun, malah turut sarat dengan pelajaran berharga — daripada kegagalan pertama, hinggalah berjaya membina jenama sendiri. Dalam artikel ini, mereka berkongsi tip berguna untuk anda yang sedang mempertimbangkan langkah pertama dalam perniagaan. Apa kata mereka?

“Menjadi seorang usahawan bukan hanya bergantung kepada idea perniagaan semata-mata, tetapi lebih kepada siapa kita sebagai individu. Antara kriteria paling penting yang perlu ada dalam diri setiap usahawan ialah disiplin. Disiplin yang tinggi akan membentuk satu struktur kerja yang teratur, membina budaya organisasi yang positif dan menjadikan seseorang itu konsisten dalam melaksanakan tanggungjawab harian. Tanpa disiplin, sukar untuk mencapai matlamat jangka panjang kerana setiap kejayaan memerlukan usaha yang berterusan.

Selain itu, kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dengan cepat juga merupakan satu kelebihan penting dalam dunia keusahawanan. Realitinya, dunia perniagaan penuh dengan ketidaktentuan dan cabaran tidak dijangka. Oleh itu, keupayaan untuk berfikir secara kritikal, tenang di bawah tekanan serta bertindak dengan bijak dalam masa singkat adalah ciri yang membezakan usahawan biasa dengan usahawan luar biasa.

Seseorang usahawan juga perlu mempunyai semangat keusahawanan yang tulen – iaitu keazaman yang tinggi, minat yang mendalam terhadap bidang yang diceburi serta kesediaan untuk terus belajar dan berkembang. Kegagalan adalah sebahagian daripada perjalanan. Namun begitu, usahawan sejati tidak melihat kegagalan sebagai penamat, tetapi sebagai pelajaran berharga. Seperti kata pepatah, “Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya.” Apa yang penting ialah bagaimana kita bangkit selepas jatuh.”

Siti Noramay bt Ayob, Pengurus SB Ramlah Food Enterprise

 

Keusahawanan bukan sekadar menjual produk atau menjalankan perniagaan semata-mata — ia adalah satu perjalanan membina impian dengan usaha dan semangat yang tidak pernah luntur. Bagi belia yang berminat menjadi usahawan, ingatlah bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah. Ia memerlukan komitmen tinggi, konsistensi dalam tindakan dan kesanggupan untuk terus belajar walaupun berdepan kegagalan.

Dalam dunia perniagaan, perancangan kewangan yang baik sangat penting sebagai persediaan menghadapi masa-masa mencabar. Jangan mudah putus asa apabila berdepan cabaran — setiap ujian adalah peluang untuk menjadi lebih kuat dan lebih bijak dalam membuat keputusan.

Mengapa saya memilih keusahawanan sebagai kerjaya? Kerana ia memberi saya kebebasan untuk bekerja mengikut masa sendiri, serta ruang untuk mengembangkan potensi dan kreativiti tanpa batas. Namun, untuk berjaya dalam bidang ini, seseorang usahawan perlu memiliki pandangan jauh ke hadapan, disiplin diri yang tinggi, serta semangat dan minat yang mendalam terhadap produk atau perkhidmatan yang ingin ditawarkan.

Percayalah, dengan tekad yang kuat dan langkah yang konsisten, setiap orang mampu mencipta kejayaan mereka sendiri dalam dunia keusahawanan.”

Hamimi Hilmi bin Abdul Manan, Pengurus Jualan H&I Home Trading

“Bagi belia yang bercita-cita untuk bergelar usahawan, terdapat beberapa aspek penting yang perlu diberi perhatian agar perjalanan keusahawanan lebih terarah dan berkesan. Pertama sekali, bekerja keras dan terus menuntut ilmu adalah asas utama dalam membina perniagaan yang berjaya. Dunia perniagaan sentiasa berubah dan berkembang, oleh itu pengetahuan yang luas dan kemahiran yang terkini amat diperlukan untuk menghadapi cabaran serta memanfaatkan peluang yang ada.

Selain itu, mencari mentor dan rakan strategik yang berpengaruh adalah langkah bijak untuk memperkukuh jaringan sokongan dan mendapatkan panduan berharga. Seorang mentor yang berpengalaman mampu membantu mengelakkan kesilapan yang tidak perlu dan memberikan perspektif yang lebih luas mengenai selok-belok dunia perniagaan. Rakan strategik pula boleh membuka peluang kolaborasi dan memperluas jangkauan pasaran anda.

Di samping itu, pemanfaatan teknologi maklumat sebagai penggerak utama dalam perniagaan adalah suatu keperluan mutlak pada era digital kini. Teknologi bukan sahaja memudahkan urusan operasi, tetapi juga mempercepatkan proses pemasaran dan meningkatkan capaian kepada pelanggan yang lebih luas. Usahawan yang bijak memanfaatkan teknologi akan memiliki kelebihan daya saing yang signifikan.

Kesimpulannya, perjalanan keusahawanan bukanlah sesuatu yang mudah, namun dengan ketekunan, semangat belajar dan sokongan yang tepat, setiap cabaran mampu diatasi. Seperti kata pepatah, “Keberanian untuk bermula adalah kunci kejayaan.” Jadi, mulakan langkah anda hari ini dengan penuh yakin dan komitmen.”

Puan Mazura Abdul Aziz, Pengarah Zumail Global Sdn Bhd

 

 

“Jika Bukan Kita yang Meneruskan Legasi Keluarga, Siapa Lagi?”

“Itulah kata-kata yang menjadi semangat utama di sebalik kejayaan seorang usahawan yang kini menerajui perniagaan dodol warisan keluarganya.”

“Segalanya bermula secara tidak rasmi. Saya hanya membantu secara sambilan kerana ketika itu masih menetap di Negeri Sembilan. Tugas saya hanyalah di belakang tabir – menguruskan gaji pekerja dan membantu dari segi pentadbiran. Namun, pada 2018, segalanya berubah apabila ibu saya, Puan Ramiah, meminta saya untuk terlibat sepenuhnya dalam perniagaan keluarga bersama abang saya,” jelas Puan Siti Noramay ketika memulakan bicara.

Dari Terpaksa Menjadi Cinta

Pada mulanya, beliau mengakui seolah-olah dipaksa untuk terlibat dalam bidang perniagaan. Namun, semakin lama beliau bergiat secara serius, timbul kesedaran bahawa jika bukan dirinya yang meneruskan perniagaan ini, siapa lagi? Dari situlah hadir semangat untuk membawa legasi keluarga ini ke tahap yang lebih tinggi.

Bagi Puan Siti Noramay, kejayaan dalam bidang keusahawanan banyak bergantung kepada disiplin. Disiplin yang kuat mampu membentuk organisasi yang tersusun serta mencipta budaya kerja yang positif. Seorang usahawan juga perlu cekap menyelesaikan masalah, berani membuat keputusan pantas, dan tidak mudah berputus asa walaupun berdepan pelbagai ujian. Kegagalan sekali tidak bermakna gagal selamanya.

Selain itu, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang diceburi amat penting. Tidak cukup dengan semangat sahaja – seseorang usahawan perlu sentiasa belajar dan memperbaiki diri.

Cabaran dan Keunikan Produk

Antara cabaran terbesar dalam menjalankan perniagaan ialah isu modal dan ketidaktentuan struktur harga pasaran. Hal ini lebih mencabar dalam industri makanan tradisional seperti dodol, khususnya di Melaka – negeri yang memang sinonim dengan makanan warisan tersebut.

“Apa yang membezakan kami daripada pengusaha dodol lain ialah rasa dan kualiti. Kami amat menitikberatkan penggunaan bahan-bahan berkualiti serta proses pembuatan yang teliti. Walaupun harga kami sedikit tinggi, kami percaya pelanggan masa kini lebih bijak menilai – mereka mencari nilai dan rasa yang berbaloi,” ujar beliau.

Meluaskan Sayap ke Pasaran Antarabangsa

Kini, SB Ramlah Food Enterprise sedang merancang untuk membawa jenama ini ke pasaran antarabangsa. Sebelum ini, produk mereka telah menembusi pasaran luar negara melalui ejen OEM yang menggunakan jenama ejen tersebut.

“Impian kami kini adalah untuk membawa jenama SB Ramlah Food Enterprise sendiri ke peringkat global, agar dikenali sebagai jenama dodol berkualiti dari Malaysia,” tutur Noramay lagi.

Harapan dan Nasihat kepada Generasi Muda

Harapan Noramay ialah agar perniagaan ini terus berkembang dan kekal sebagai legasi keluarga hingga ke generasi seterusnya. Beliau juga berharap SB Ramlah Food Enterprise dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya kepada penduduk kampung dan suri rumah, agar mereka dapat menambah pendapatan keluarga.

“Kepada para belia dan bakal usahawan, jangan takut untuk mencuba. Keusahawanan bukan jalan mudah – akan ada jatuh dan bangun. Namun, setiap kegagalan adalah pelajaran, dan setiap cubaan ialah langkah menuju kejayaan. Jadikan cabaran sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi,” akhiri Noramay dengan penuh semangat.

Pada hari Rabu, 24 September 2025, Pejabat Wilayah Utara telah menganjurkan Sesi Jaringan Usahawan PUNB Pulau Pinang bertempat di Dewan Pejabat Wilayah Utara Pulau Pinang. Sesi Jaringan Usahawan yang dianjurkan buat kali ke 3 ini disertai oleh 28 Rakan Usahawan Pulau Pinang, wargakerja PUNB Pejabat Wilayah Utara dan wakil daripada PERKESO Negeri Pulau Pinang yang dijemput khas untuk memberikan taklimat berkenaan fungsi dan peranan PERKESO kepada Rakan Usahawan PUNB.
Sesi taklimat ini memberikan peluang kepada Rakan Usahawan sebagai majikan untuk menerima maklumat secara terus daripada pihak PERKESO berkenaan keperluan dan manfaat mecarum kepada majikan dan juga pekerja. Di samping itu, para Rakan Usahawan juga dapat merapatkan ukhuwah dan meluaskan jaringan kerjasama antara Rakan Usahawan PUNB Pulau Pinang dan warga kerja Pejabat Wilayah Utara.
Majlis Perasmian Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2025 telah berlangsung hari ini dengan jayanya di MITEC, Kuala Lumpur. Majlis ini telah disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, yang menekankan kepentingan industri halal sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Encik Izwan Zainuddin, turut hadir sebagai tanda sokongan kepada inisiatif yang memperkukuh ekosistem halal dan keusahawanan negara.
Sebagai agensi pembangunan usahawan, PUNB mengambil bahagian dalam pameran berprestij ini bagi memperkenalkan produk serta jenama usahawan bimbingan PUNB kepada pasaran global.
Esok hari terakhir! Jom kunjungi reruai PUNB bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai peluang pembiayaan, bimbingan, serta rangkaian sokongan yang ditawarkan oleh PUNB kepada para usahawan.
Hari terakhir, 12 September 2025, menyaksikan penutup Program Tanggungjawab Sosial Korporat “Let’s Give Back @ Kuala Tahan 2025” dengan lawatan ke Kampung Orang Asli Sungai Mai, yang juga merupakan Kampung Angkat PUNB sempena inisiatif Santuni MADANI.Turut hadir memeriahkan program; En. Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB serta Warga kerja PUNB.
Pada hari penutup ini, penyerahan bakul makanan dan sumbangan kasut kepada golongan memerlukan dan asnaf di Kampung Orang Asli Sungai Mai telah dilaksanakan, di samping lawatan ke gerai kayu lipat tajaan PUNB sebagai simbol sokongan kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.
Pada 11 September 2025, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif dengan kerjasama Pegawai Kelestarian meneruskan program di sekitar Taman Negara Kuala Tahan dengan menyantuni komuniti Orang Asli.
Majlis turut dihadiri oleh En. Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB serta wakil warga kerja PUNB.
Aktiviti hari ketiga melibatkan agihan bakul makanan kepada golongan memerlukan dan asnaf di Kampung Orang Asli Yong, Kampung Orang Asli Tersik, Kampung Orang Asli Dedari, Kampung Orang Asli Aur dan Kampung Orang Asli Tabong serta Kampung Orang Asli Sg Tiang yang memberi manfaat terus kepada penduduk setempat.
Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif dengan kerjasama Pegawai Kelestarian meneruskan Program Tanggungjawab Sosial Korporat “Let’s Give Back @ Kuala Tahan 2025” pada 10 September 2025 di Sekolah Kebangsaan Kampung Pagi, Jerantut. Turut hadir En. Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB; Wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut; Yang Dipertua PIBG; Guru-guru besar sekolah penerima sumbangan serta barisan guru SK Kampung Pagi.
Pada hari kedua, sumbangan PIBG diserahkan kepada tujuh buah sekolah iaitu SK Kampung Pagi, SK Kuala Tahan, SK Kampung Bantal, SK Kuala Sat, SK Mat Daling, SK Gusai dan SMK Jubli Perak. Selain itu, agihan bakul makanan kepada golongan memerlukan dan asnaf dilaksanakan di Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Orang Asli Kucing dan Kampung Orang Asli Bengoi.
Read Policy

Kami Menghargai Maklum Balas Anda!

    Soalan 1

    Pengalaman Keseluruhan:

    Bagaimanakah anda menilai pengalaman keseluruhan anda di portal rasmi kami?

    Soalan 2

    Pencarian Maklumat:

    Adakah mudah untuk mencari maklumat yang anda cari?

    Soalan 3

    Bahagian Bantuan:

    Bahagian mana pada portal rasmi kami yang paling membantu anda?

    Soalan 4

    Jangkaan Laman Sesawang:

    Adakah portal rasmi kami memenuhi jangkaan anda?

    Soalan 5

    Kebarangkalian untuk Kembali:

    Adakah anda akan kembali ke portal rasmi kami pada masa hadapan?