Popular

KLINIK PERGIGIAN SHARLINDAH – Rakan Usahawan PUNB

Meskipun berdepan dengan pelbagai kesukaran, usahawan PUNB, Dr Sharlindah Md Kassim tidak mudah berputus asa dalam hidup.

Sebaliknya usahawan wanita yang menceburkan diri dalam bidang perkhidmatan kesihatan pergigian ini berazam untuk mengembangkan perniagaan klinik pergigiannya menerusi francais.

Pesakit comel yang berkunjung ke Klinik Sharlindah.

“Sudah lima tahun saya memulakan perniagaan Klinik Pergigian Sharlindah dan saban tahun persaingan dalam bidang ini semakin meningkat dengan pembukaan lebih banyak klinik-klinik swasta di Melaka.

“Keadaan bertambah buruk dengan kos bahan, ubatan serta penyelenggaraan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa akibat keadaan ekonomi masa kini, namun keadaan ini tidak menjadi batu penghalang.

“Selain menjadikan sistem francais sebagai pilihan, saya turut merancang untuk mengembangkan lagi cabang perkhidmatan perniagaan dengan membuka syarikat membekal peralatan dan bahan pergigian,” jelasnya.

Klinik Pergigian Sharlindah memulakan langkah pertamanya di Bukit Baru, Melaka pada tahun 2012 dan perniagaannya berkembang kepada pembukaan cawangan baharu di Bukit Beruang.

“Untuk perkembangan terbaharu, kami dalam proses membuka cawangan baharu di Kota Fesyen, MITC, Melaka.

“Buat masa ini, kami sedang menunggu lesen untuk memulakan operasi dan perkhidmatan,” katanya lagi.

Klinik Pergigian Sharlindah telah beroperasi hampir lima tahun dan mempunyai lapan pekerja tetap dengan pendapatan klinik pada 2015 sebanyak RM920 ribu.

Pendapatan perniagaan Dr Sharlindah dilaporkan mencatatkan peningkatan kepada RM1.1 juta pada 2016 dan RM1.2 juta pada penghujung 2017.

Perkembangan positif ini adalah satu momentum hasil daripada pembiayaan PUNB berjumlah RM150 ribu yang diterima pada 2014 untuk membeli mesin radiograf serta menaik taraf dan mengubah suai bilik rawatan.

SYARIKAT RAMAN & AIZA GROUP SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Jalan menuju kejayaan bukanlah titian yang mudah, namun berkat usaha Abdul Raman Jaafar yang sememangnya meminati bidang perniagaan sejak kecil, beliau kini berjaya membina empayar perniagaan bersama isterinya, Aiza Idrus.

Syarikat Raman & Aiza Group Sdn Bhd milik Abdul Raman dan Aiza ditubuhkan sejak 9 April 2002 dengan modal berbayar sebanyak RM70 ribu.

Menurut Abdul Raman, beliau dan isterinya mengusahakan sebuah butik pengantin iaitu Butik Cantik Bridal House.

“Pada peringkat awal, saya membuka butik pengantin secara kecil-kecilan di rumah di Taman Dimensi, Alor Gajah. Bagaimanapun saya akhirnya berjaya memperoleh pinjaman bank untuk membeli sebuah bangunan kedai di Masjid Tanah untuk dijadikan butik pengantin,” katanya.

Jelasnya, kejayaan yang diperoleh menerusi pembukaan butik pengantinnya membuatkan beliau dan isteri memutuskan untuk menyewa sebuah lagi kedai di bangunan sama untuk mengembangkan perniagaan ke bidang hiasan dalaman di atas jenama Amni Home Décor.

Emapayar Amni Home Decor.

“Sehingga kini, Amni Home Décor bertapak kukuh dengan bantuan tenaga kerja yang terdiri daripada lapan tukang jahit, enam tukang pasang dan tiga pegawai jualan dan pemasaran,” katanya lagi.

Abdul Raman kini berhasrat untuk menawarkan perniagaan francais kepada sesiapa sahaja yang mempunyai minat dalam bidang yang sama. Dalam masa sama, beliau turut berharap untuk membuka pusat sehenti pemborong kain terbesar di Melaka.

“Saya mahu berjaya dalam bidang ini, saya mahu menjadi usahawan yang boleh menjadi contoh kepada anak bangsa yang ingin berniaga,” ujarnya.

Ettijar Enterprise – Rakan Usahawan PUNB

Bayangkanlah jika anda menjadi pembekal lebih daripada satu jenis barangan. Pasti tak menang tangan memenuhi kehendak dan melayan kerenah pelanggan, kan? Inilah cabaran yang terpaksa dihadapi oleh usahawan serba boleh, Nur Diana binti Dzulkiply.

Pengasas Ettijar Enterprise, Nur Diana binti Dzulkiply.

Namun sebagai pengasas syarikat pembekal barangan, Ettijar Enterprise, Nur Diana mengakui sudah lali dengan kesibukan menguruskan proses pembekalan bermacam jenis barangan dalam pelbagai sektor.

Malah, katanya, beliau dan pekerjanya sentiasa memastikan pelanggan berpuas hati dengan layanan yang diberi.

“Antara perkhidmatan yang kami tawarkan termasuk membekal alat tulis, cenderahati, mesin kegunaan pejabat, pakaian dan peralatan sukan, alat bantuan mengajar, pakaian beruniform dan alat kelengkapan.

“Kami juga membekalkan peralatan perubatan serta ubat-ubatan selain berpengalaman membekalkan perkhidmatan ke jabatan-jabatan Kerajaan dan hospital-hospital seluruh negara,” katanya.

Takluki seluruh negara

Meskipun seharian bermandi keringat, Nur Diana dan kakitangannya tidak pernah kenal erti lelah, sebaliknya mereka sentiasa mencari inisiatif untuk mengembangkan perniagaan yang bertapak sejak 2009 ini.

Hasilnya, syarikat yang pada mulanya hanya berpangkalan di Shah Alam, Selangor kini mempunyai cawangan di Johor, Perak, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Selain menjadi pembekal kepada perniagaan sedia ada, usahawan wanita berusia 35 tahun ini turut membekal tekstil dan menawarkan perkhidmatan pembuatan pakaian dan tudung jururawat serta linen kelengkapan hospital dan klinik yang beroperasi di Shah Alam, Subang dan Damansara.

Beliau juga turut melibatkan diri dalam industri pembuatan kasut kesihatan, MEDSHOE dan NURZE by MEDSHOE di mana reka bentuk dan teknologi kasut ini dihasilkan di Amerika Syarikat dan United Kingdom, manakala proses pemasangan dilakukan di China dan Malaysia.

“Bagi operasi pembekalan peralatan perubatan pula, Ettijar Enterprise mendapat khidmat rundingan daripada doktor perubatan yang bertauliah.

“Kami juga turut memiliki firma guaman sendiri dikenali sebagai Dianadzul & Associates,” ujarnya lagi.

Koleksi kasut kesihatan keluaran Ettijar.

PUNB pembimbing utama

Menurut Diana lagi, beliau bersyukur apabila memperoleh bantuan pembiayaan sebanyak RM100 ribu daripada PUNB, yang sedikit sebanyak dapat membantu dalam kelangsungan perniagaannya.

“Menerusi pembiayaan yang ditawarkan, saya dapat mengembangkan perniagaan dan menambah baik produk serta perkhidmatan syarikat untuk menjadi lebih berdaya saing ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya akan terus memimpin Ettijar Enterprise mengorak langkah dengan visi untuk bersaing secara kompetitif dalam pasaran dan menawarkan produk-produk yang lebih berinovatif, berkualiti serta mesra pengguna setanding dengan pasaran antarabangsa,” tambahnya lagi.

Mahu berjaya seperti Nur Diana? Jom jadi usahawan PUNB!

Idea Niaga

Usahawan wanita berkongsi idea dan tip perniagaan untuk dijadikan inspirasi bersama.

Dapatkan idea daripada #RakanUsahawanPUNB, Glowsy Empire dan Anggun Aesthetic Sdn Bhd mengenai cara mereka menjalankan perniagaan mereka.

Pelanggan yang setia adalah mereka yang kembali membeli produk atau menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan dalam sesebuah perniagaan. Bukan sekali, malah berulang kali kerana berpuas hati dengan sesuatu produk dan perkhidmatan. Malah, golongan ini juga merupakan ‘bonus’ kepada peniaga melalui testimoni baik yang diberikan sama ada secara perbualan mulut ke mulut mahupun di platform media sosial.

Tidak dinafikan, bukan mudah untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan memandangkan kini mereka mempunyai banyak pilihan dalam pasaran pelbagai platform. Sebagai usahawan, anda perlu mempunyai strategi untuk membina dan memastikan kepercayaan serta hubungan baik dengan pelanggan secara berterusan.

Bagaimana untuk tawan hati dan kekalkan kesetiaan mereka? 4 cara ini boleh membantu:

Promosi
Anda boleh mengadakan jualan promosi sekurang-kurangnya sebulan sekali sebagai tarikan selain untuk mengingatkan pelanggan akan jenama perniagaan anda. Melalui kaedah ini, anda juga boleh menawarkan diskaun tambahan bagi memberi kepuasan membeli kepada pelanggan agar mereka merasakan perlu merebut peluang keemasan ditawarkan. Ini dapat menarik perhatian pelanggan untuk kekal setia bersama syarikat anda dalam masa jangka panjang.

Peraduan di media sosial

Mengadakan peraduan secara dalam talian merupakan salah satu cara terkini dalam mengekalkan kesetiaan kepada pelanggan anda kerana ianya lebih mudah dan interaktif. Apa yang penting, anda perlu tahu tentang kehendak pelanggan sebelum muat naik peraduan di media sosial. Sebagai contoh, peraduan tersebut haruslah berkaitan dengan perniagaan anda, peraduan terbuka untuk pelanggan tetap supaya mereka berasa lebih berkepentingan, penyertaan terhad agar pelanggan tidak membuang masa untuk sertai dan hadiah yang ditawarkan pula harus bernilai.

Panggilan telefon

Sebenarnya kuasa pemasaran melalui panggilan telefon telah lama digunakan dan ia masih relevan sehingga hari ini. Cara ini secara tidak langsung dapat membina hubungan lebih erat antara usahawan dan pelanggan. Sebagai contoh, anda membuat panggilan untuk bertanya pendapat tentang produk yang telah dibeli. Ini dapat membuat pelanggan berasa sangat dihargai apabila kepentingan dan maklum balas mereka diutamakan. Justeru, kepercayaan akan terus meningkat dan mereka akan terus menyokong produk dan perkhidmatan yang anda tawarkan.

Menjaga kualiti produk dan perkhidmatan

Untuk mengekalkan kesetiaan, anda perlu menjaga kualiti setiap produk dan perkhidmatan ditawarkan selain memberi pengalaman pelanggan terbaik kepada setiap individu yang berurusan dengan perniagaan anda. Faktor ini amat penting kerana naluri seorang pelanggan sentiasa mahukan kualiti yang terbaik walaupun mereka sekadar bertanya dan tidak membuat sebarang pembelian. Jika produk berkualiti, secara tidak langsung dapat membina keyakinan pelanggan seterusnya mewujudkan jaringan pelanggan yang setia.

Apakah yang dimaksudkan dengan keusahawanan? Keusahawanan adalah mengatur dan menjalankan perusahaan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan. Bagaimana pula dengan keusahawanan sosial? Secara amnya, keusahawanan sosial merupakan satu bidang penting yang berperanan sebagai pemberi dana atau penggubal dasar perniagaan untuk menangani cabaran sosial.

Selain itu, keusahawanan sosial juga turut menjadi platform untuk memacu transformasi sosial dan mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang bagi mencipta pelbagai peluang pekerjaan. Ini kerana keusahawanan sosial tidak mementingkan keuntungan tetapi ia merupakan keperluan masa kini dalam menangani masalah sosial.

Jika anda ingin melibatkan diri dalam keusahawanan sosial, anda perlu mempunyai matlamat yang jelas untuk dijadikan sebagai hala tuju bagi sesebuah perusahaan atau organisasi sosial yang anda jalankan. Oleh itu, anda perlu memiliki kriteria-kriteria berikut:

Idea
Sebagaimana yang kita tahu, fasa keusahawanan sosial merupakan satu pendekatan yang amat bersesuaian dengan keperluan perniagaan dunia masa kini. Oleh itu, kemampanan idea daripada usahawan adalah penting di mana idea perniagaan tersebut perlulah dikenal pasti terlebih dahulu sebelum ia direalisasikan berdasarkan keadaan sosial sekeliling.

Misi
Misi keusahawanan sosial adalah penting bagi menangani pengurusan institusi sektor sosial yang tidak bertanggungjawab dan tidak cekap. Oleh itu, usahawan harus memiliki minat yang tinggi dalam keusahawanan sosial agar sesuatu isu dapat diselesaikan sehingga misi tercapai.

Dana
Bagi melaksanakan matlamat sosial atau alam sekitar, kewangan yang kukuh adalah perkara penting dalam keusahawanan sosial. Ini kerana matlamat sosial alam sekitar yang dilaksanakan dapat menjana pendapatan dan dalam masa yang sama ia dapat meraih keuntungan.

Sebagai contoh, dengan adanya dana daripada organisasi bukan kerajaan (NGO), penglibatan dalam keusahawanan sosial boleh membantu mereka dengan cara tertentu dan mempertingkatkan taraf kehidupan bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Read Policy

We Value Your Feedback!

    Question 1

    Overall Experience:

    How would you rate your overall experience on our website?

    Question 2

    Finding Information:

    How easy was it to find the information you were looking for?

    Question 3

    Helpful Section:

    Which part of our website was the most helpful for you?

    Question 4

    Website Expectations:

    Did our website meet your expectations?

    Question 5

    Likelihood to Return:

    How likely are you to return to our website in the future?