Popular

ESTETIKA MEDISPA – Rakan Usahawan PUNB

Wanita sememangnya sinonim dengan kecantikan. Malah, kini lelaki juga turut menjaga keterampilan agar kelihatan kemas dan menarik. Namun, adakah mencukupi dengan menjaga wajah saja? Adakah perlu juga menjalani rawatan terutama bagi yang ingin sentiasa kelihatan muda? Pelbagai servis rawatan kecantikan semakin banyak ditawarkan di pasaran dan pemilihan menggunakan perkhidmatan spa merupakan salah satu alternatif untuk menghilangkan tekanan melalui kaedah rawatan dan urutan kerana ia dapat meredakan ketegangan urat dan wajah juga akan kembali segar.

Bagi Abdul Haq bin Ab Wasa, pengasas Estetika Medispa, idea untuk menubuhkan spa ini timbul apabila melihat pasaran spa yang sangat meluas di sekitar tahun 2015. Hasil daripada itu, beliau telah membuka pusat rawatan dan kecantikan berstatus spa perubatan wajah yang mula beroperasi sejak 5 tahun lalu pada Ogos 2015.

Melihat kepada industri kecantikan yang berkembang pesat, beliau semakin fokus menceburi bidang ini demi membantu orang ramai yang mempunyai masalah kulit wajah seperti jerawat, jeragat, kulit kusam dan sebagainya. Tidak hanya menyediakan rawatan kulit, Estetika Medispa turut mengeluarkan produk jenama sendiri iaitu Mesoceutical yang membawa maksud perantaraan kulit selain memberi khidmat nasihat untuk pelangsingan badan pada mereka yang memerlukan.

Sudah pasti Estetika Medispa memiliki keistimewaan yang tersendiri di mana pihaknya optimis menawarkan konsultasi wajah yang dilakukan menggunakan Face Analyser khas secara percuma bagi mengenal pasti masalah pada kulit. Setelah itu, para pelanggan akan diberi rawatan khusus secara intensif. Spa ini turut menawarkan beberapa pakej berpatutan serendah RM50 hingga RM3,000 dan ia bergantung kepada masalah kulit yang dialami oleh pelanggan itu sendiri. Di antara rawatan yang disediakan ialah Dermo Expert, Diamond Glow, Estetika PDRN Skin, OMEGA Rejuvenation Light, K-Light Whitening Pro dan beberapa lagi rawatan terapi.

Apabila ditanya mengenai mobil spa atau spa bergerak yang kini semakin tular, Abdul Haq sama sekali tidak bersetuju dengan konsep sedemikian. Ini kerana baginya, walaupun mobil spa menawarkan perkhidmatan terus ke rumah atau di lokasi pilihan pelanggan dengan hanya perlu membuat temu janji, para pelanggan yang berkunjung ke spa sebenarnya mahukan pengalaman dan suasana ketika berada di spa yang tidak dapat dirasai jika menggunakan khidmat mobil spa. Beliau turut menjelaskan, sebenarnya, terapi di spa hanya sebahagian daripada proses pembaikan kulit wajah. Peranan yang lebih besar ialah penjagaan kulit wajah ketika berada di rumah. Oleh itu, pelanggan perlu memiliki set penjagaan kulit wajah dan kosmetik yang baik tanpa mengandungi bahan-bahan terlarang. Penghasilan penjagaan kulit wajah daripada Estetika Medispa adalah berasaskan bahan-bahan premium yang selamat dan berkesan untuk digunakan.

Selain itu, teknik pemasaran juga memainkan peranan penting. Spa kecantikan ini mengggunakan teknik pemasaran kos rendah namun mempunyai impak yang besar iaitu melalui media sosial seperti Facebook Ads. Pemilihan teknik ini sebagai medium pemasaran adalah kerana pasaran globalnya yang sangat luas, tertumpu berdasarkan demografik data, mudah viral dan kos pengiklanan yang lebih murah.

Abdul Haq yang memiliki latar belakang pendidikan perubatan dari Universiti Alexandria, Mesir ini mengakui setiap perniagaan tidak dapat lari daripada masalah. Pihak Estetika Medispa pernah berhadapan dengan masalah aliran tunai yang menyukarkan spa ini untuk terus berkembang. Walau bagaimanapun, dengan bantuan pembiayaan daripada PUNB, Abdul Haq telah berjaya melebarkan sayap perniagaannya. Baginya, perniagaan ini sentiasa mendapat tempat walaupun dalam ekonomi yang tidak menentu kerana masalah kulit wajah bukanlah masalah bermusim memandangkan ia telah wujud sejak dulu, apatah lagi dengan keadaan iklim negara Asia yang lembab dan panas sepanjang tahun.

“Ilmu dan pengalaman adalah senjata utama untuk berjaya,” Abdul Haq bin AB Wasa.

Tekad Abdul Haq, pihak Estetika Medispa akan sentiasa berinovasi dan memperbaharui teknologi serta rawatan seiring dengan peredaran zaman agar ia kekal relevan. Permintaan dalam pasaran akan sentiasa ada dan akan terus meningkat termasuklah persaingan dalam bidang ini. Justeru, penambahbaikan dari segi teknologi dan perkhidmatan amatlah penting agar Estetika Medispa akan terus kekal berdaya tahan dan berdaya saing.

YOUR DIY PROJECT SUPPLIES – Rakan Usahawan PUNB

Tidak pernah menyangka akan bergelar seorang usahawan, Raja Juliza Raja Soid menceritakan detik permulaan beliau terlibat dalam bidang perniagaan ini.  “Masih segar di ingatan saya pada 2012 di mana ketika itu saya ingin melangsungkan majlis pertunangan.  Disebabkan peruntukan kewangan yang amat terhad, saya mengambil keputusan untuk melakukan persiapan majlis menggunakan kreativiti sendiri dengan menyewa barangan perhiasan majlis.  Hasil kejayaan dan kemeriahan majlis tersebut, saya mula memuat naik beberapa gambar untuk tatapan umum di blog peribadi.  Siapa sangka melalui perkongsian tersebut, ia telah menarik minat beberapa rakan blog untuk turut menyewa barangan majlis yang dipaparkan,” jelas pengasas Your DIY Project Supplies (Your DIY) ini.

Your DIY menyewakan barangan untuk pelbagai majlis.

Melihat kepada minat orang ramai, tercetusnya idea dan kesedaran untuk mewujudkan sebuah perniagaan yang berkonsepkan sewaan barangan keperluan majlis seperti yang dikenali pada hari ini.  Tujuan asal penubuhan Your DIY adalah untuk membantu dan memberi alternatif kepada pasangan pengantin membuat persiapan untuk majlis perkahwinan.  Namun, disebabkan oleh sambutan yang memberangsangkan, Juliza memutuskan untuk menyewakan kelengkapan barangan dan perkakas perhiasan bagi majlis-majlis keraian lain seperti sambutan hari jadi, majlis makan malam, majlis cukur jambul atau berendoi dan apa jua jenis majlis sambutan yang berkaitan.  Kesemua barangan tersebut disewakan dengan kadar yang berpatutan selain tawaran barangan perhiasan yang sentiasa dikemas kini mengikut trend dan gaya majlis terkini.

“Hakikatnya, bukan mudah untuk menjalankan perniagaan sebegini lebih-lebih lagi apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah pelanggan.  Ada di antara pelanggan yang inginkan barang sewaan terbaik dengan kadar sewaan yang murah.  Malah, ada juga yang gagal mematuhi terma penyewaan terutama semasa memulangkan barangan dan perkakas sewaan dalam keadaan yang baik.

“Oleh kerana Your DIY tidak mengenakan caj pendahuluan kepada para pelanggan yang menyewa barangan kami, maka kami terpaksa memperbaiki atau mengganti barang yang telah dirosakkan.  Inilah antara cabaran utama Your DIY dalam menguruskan perniagaan kerana kami sentiasa komited dan mengambil sepenuh tanggungjawab bagi menyediakan barang sewaan seperti yang ditempah oleh pelanggan walaupun adakalanya terpaksa menanggung kos kerugian tambahan,” tambah Juliza.

Antara koleksi pelamin hasil sewaan Your DIY.

Dalam perniagaan pasti ada jatuh bangun dalam meniti setiap halangan yang mendatang. Walaubagaimanapun, buat usahawan wanita ini tiada kejayaan tanpa usaha dan kesungguhan.  Beliau juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama dari segi pasaran dan persaingan semasa.  “Your DIY terpaksa berhadapan dengan kemunculan pembekal-pembekal baharu yang menawarkan harga sewaan jauh lebih murah daripada harga pasaran.  Kesan ini sedikit sebanyak mengganggu perjalanan perniagaan kami dan juga peniaga lain yang sedia ada.  Bagi mengatasi masalah ini, kami sentiasa berusaha untuk menjadi lebih kreatif dalam menjana dan memperkenalkan idea serta konsep-konsep baharu sebagai pilihan kepada para pelanggan,” ulas beliau.

Your DIY juga turut mempunyai perancangan tersendiri untuk terus kekal relevan dalam industri. Bagi Juliza, apa yang penting dalam perniagaan adalah komunikasi.  Your DIY sentiasa menjaga hubungan baik dengan pelanggan seperti mendapatkan maklum balas atau cadangan penambahbaikan agar perkhidmatan yang diberikan sentiasa mendapat perhatian dan memenuhi keperluan serta kehendak pelanggan pada masa akan datang.

Bagi Juliza, tiada kejayaan yang datang bergolek, semua itu menagihkan pengorbanan dan usaha gigih yang jarang diketahui atau dilihat oleh orang lain.  “Ini kerana bidang perniagaan adalah suatu bidang yang berisiko tinggi. Jika anda bercita-cita untuk bergelar seorang usahawan, anda perlulah bersedia dari pelbagai aspek.  Anda harus memiliki tahap kesabaran yang tinggi, sifat daya tahan dan juga ‘always think one step ahead’ dalam merangka serta mencari penyelesaian bagi setiap halangan yang mendatang,” akhiri beliau.

5 Tips untuk bergelar usahawan daripada Raja Juliza:

  • Ketahui minat dan bakat yang ada dalam diri anda.
  • Elakkan diri menjalankan perniagaan berdasarkan trend semasa.
  • Perancangan teliti adalah perlu dalam setiap perniagaan.
  • Cuba kenalpasti identiti perniagaan yang menjadi signature atau trademark yang membezakan kita dengan orang lain.
  • Cabar diri untuk sentiasa jadi lebih baik dari sebelumnya.

ATF SPORT SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Siapa sangka graduan dari University of Canterbury, New Zealand ini merupakan seorang usahawan berjaya kepada sebuah perniagaan menjual pita kinesiologi olahraga, iaitu pelekat kesihatan yang memberi sokongan dan kestabilan pada bahagian otot dan sendi.

Kata Mohd Azmir bin Zainul Abidin, pemilik ATF Sport Taping, sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan, beliau pernah menyandang jawatan sebagai Jurutera Projek di Malakoff. Selain itu, beliau juga pernah mewakili Negara dalam sukan ragbi 7 sepasukan di Singapura pada 2015.

Bergelar usahawan
Azmir sudah lama menyimpan angan-angan untuk menceburi bidang perniagaan kerana suka melihat bapanya yang juga merupakan seorang usahawan. “Bapa menjadi inspirasi buat saya. Berpegang kepada semangat yang sama, saya mula menjalankan perniagaan secara sampingan dengan menjual kuih raya dan membuka Mini Bazar Ramadhan untuk mengisi masa cuti semester ketika masih menuntut di luar Negara,” jelasnya.

Azmir nekad mencari pengalaman sebanyak mungkin dengan memberi fokus pada bidang perniagaan sukan dan kecergasan pada 2015. Beliau mula berjinak-jinak memperkenalkan produk pita sukan yang mampu menyediakan sokongan & kestabilan bagi otot dan sendi tanpa mengehadkan pergerakan untuk mengelakkan kecederaan di kalangan pemain ragbi sebelum berjaya mempromosikannya ke sukan lain.

Pelbagai reka bentuk pita sokongan ATF Premium Kinesio.

Cabaran yang dihadapi
Cabaran yang paling sukar dihadapi oleh syarikatnya sepanjang menjalankan perniagaan ini adalah ketika awal penubuhan syarikat di mana beliau telah melaburkan kesemua wang simpanan. Tetapi hasilnya kurang memberangsangkan.

“Saya sentiasa bersikap positif dalam berhadapan dengan pelbagai masalah yang datang. Saya turut berhadapan dengan keadaan di mana pengedaran produk syarikat hampir terhenti kerana ia tidak memenuhi kehendak pasaran setempat,” jelasnya.

Tetapi Azmir mampu mengharunginya dan berjaya menguruskan perniagaan sehingga ke peringkat ini dengan bantuan isteri, Aida Munirah Azmi dan sahabat baiknya, Khairul.

Kejayaan
Setelah hampir 5 tahun berhempas-pulas mengukuhkan jenama, Azmir menegaskan, pada awal operasi perniagaan, agak sukar baginya untuk mendapatkan kepercayaan daripada pengguna. Namun, dengan perancangan strategik, syarikat berjaya memasarkan produk dengan baik.

“Sebagai pengasas, kita harus turun padang bagi mempromosikan produk, sekali gus dapat berinteraksi secara langsung dengan pelanggan. Ia penting untuk pelanggan mengenali siapa anda di sebalik produk yang dikeluarkan,” katanya.

Kini jenama ATF Sport Taping setanding dengan jenama antarabangsa apabila berjaya menembusi pasaran luar seperti di Indonesia, Sri Lanka, Hong Kong dan Brunei. Malah produknya turut menjadi pilihan kelab dan persatan sukan tempatan seperti Institut Sukan Negara, FA Selangor, Felda United FC, Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan dan banyak lagi.

Pita sukan kinesiologi menjadi pilihan.

Nasihat kepada usahawan
Menurut Azmir, untuk berjaya bukanlah perkara yang mudah. Walaupun perjalanan beliau dalam dunia keusahawanan masih jauh, Azmir percaya bahawa usahawan yang berjaya harus memiliki lima sikap ini iaitu merendah diri, konsisten dalam melakukan sesuatu, tidak malu mencuba sesuatu yang baharu, bekerja keras dan tidak mudah berputus asa.

“Tiada alasan untuk tidak berjaya. Kelebihan yang ada haruslah digunakan untuk membantu orang lain. Selalu letakkan diri kita sebagai pengguna agar lebih mudah untuk kita menjual produk kita,” bicara Azmir mengakhiri perbualan.

Simposium Peruncitan Kebangsaan atau SParK merupakan sebuah program yang bertindak sebagai suatu kaedah untuk memupuk dan mempertingkatkan pembudayaan keusahawanan dalam kalangan usahawan Bumiputera.

Ia memberi pendedahan dan kefahaman tentang revolusi semasa industri peruncitan dalam negara.

Idea Niaga

Dalam era industri moden yang semakin pesat berkembang, sistem pengudaraan bukan lagi dianggap sebagai elemen sampingan, tetapi merupakan komponen kritikal yang menyokong keselamatan, kesihatan dan kecekapan operasi sesebuah fasiliti. Penyelesaian pengudaraan industri berkualiti tinggi kini menjadi keperluan utama dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, logistik, makanan dan minuman, elektronik, automotif serta ruang komersial.

Dalam konteks ini, syarikat seperti Zabsi Industrial Ventilation memainkan peranan penting dalam menyediakan penyelesaian pengudaraan industri yang direka khas mengikut keperluan operasi setiap pelanggan.

Peranan Sistem Pengudaraan dalam Industri Moden

Sistem pengudaraan industri berfungsi untuk mengawal kualiti udara dalam ruang kerja dengan menyingkirkan haba berlebihan, asap, debu, gas kimia dan bahan pencemar lain. Persekitaran kerja yang tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik boleh memberi kesan langsung kepada kesihatan pekerja serta menjejaskan produktiviti operasi.

Oleh itu, penyelesaian yang ditawarkan oleh Zabsi Industrial Ventilation membantu industri memastikan aliran udara yang lebih stabil, bersih dan selamat untuk jangka masa panjang.

Keperluan Pengudaraan Mengikut Sektor

Setiap sektor industri mempunyai cabaran tersendiri, dan sistem pengudaraan perlu disesuaikan mengikut keperluan tersebut:

  • Industri pembuatan dan kilang
    Memerlukan sistem ekzos dan pengudaraan berkapasiti tinggi untuk mengawal haba, asap dan habuk pengeluaran.
  • Industri makanan dan minuman
    Memerlukan persekitaran udara bersih bagi memastikan standard kebersihan dan keselamatan produk.
  • Industri elektronik
    Memerlukan kawalan udara yang stabil untuk mengelakkan habuk dan kelembapan yang boleh menjejaskan komponen sensitif.
  • Gudang dan logistik
    Memerlukan sistem pengudaraan yang membantu mengawal suhu dan keselesaan pekerja.
  • Bengkel dan industri berat
    Memerlukan sistem penyingkiran asap, gas dan bahan kimia yang berkesan bagi memastikan keselamatan di tempat kerja.

Penyelesaian Sistem Pengudaraan oleh Zabsi Industrial Ventilation

Sebagai penyedia penyelesaian kejuruteraan pengudaraan, Zabsi Industrial Ventilation memberi tumpuan kepada reka bentuk sistem yang disesuaikan dengan keperluan sebenar industri. Ini termasuk penggunaan sistem seperti:

  • Sistem ekzos industri (industrial exhaust system)
  • Sistem saluran udara (ducting system)
  • Pengudaraan silang (cross ventilation)
  • Sistem penyejukan ruang industri
  • Kawalan aliran udara yang efisien
  • Sistem penapisan udara industri

Pendekatan ini memastikan setiap projek bukan sahaja memenuhi keperluan teknikal, tetapi juga meningkatkan kecekapan operasi pelanggan.

Kelebihan Pengudaraan Berkualiti Tinggi

Pelaksanaan sistem pengudaraan yang direka dengan baik memberi pelbagai manfaat, antaranya:

  • Meningkatkan kesihatan dan keselamatan pekerja
  • Mengurangkan risiko penyakit berkaitan persekitaran kerja
  • Meningkatkan produktiviti dan keselesaan
  • Menyokong pematuhan standard keselamatan industri
  • Memanjangkan jangka hayat mesin dan peralatan
  • Mengurangkan kos operasi jangka panjang

Dengan pendekatan profesional, Zabsi Industrial Ventilation membantu industri mencapai keseimbangan antara kecekapan operasi dan keselamatan tempat kerja.

Inovasi dalam Teknologi Pengudaraan

Seiring perkembangan teknologi, sistem pengudaraan industri kini semakin moden dengan penggunaan sensor kualiti udara, sistem automasi suhu serta reka bentuk yang lebih menjimatkan tenaga. Inovasi ini membolehkan industri mengawal persekitaran kerja dengan lebih tepat dan efisien.

Zabsi Industrial Ventilation turut memberi fokus kepada penyelesaian yang lebih lestari dan berkesan bagi menyokong keperluan industri masa kini.

Kesimpulan

Penyelesaian pengudaraan industri berkualiti tinggi adalah asas penting dalam memastikan kelancaran operasi pelbagai sektor. Dengan kepakaran dan pendekatan teknikal yang tersusun, Zabsi Industrial Ventilation berperanan membantu industri mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, bersih dan efisien.

Dalam dunia industri yang semakin mencabar, sistem pengudaraan bukan sekadar keperluan teknikal, tetapi satu pelaburan strategik untuk produktiviti, keselamatan dan kelestarian jangka panjang.

Dalam dunia perniagaan yang penuh cabaran, kejayaan tidak hadir dalam sekelip mata. Ia menuntut ketekunan, kreativiti, semangat juang yang tinggi serta komitmen berterusan untuk terus maju walau diuji. Tidak hairanlah dunia keusahawanan kini semakin menarik minat ramai, khususnya golongan muda yang ingin mencipta masa depan dengan usaha sendiri.

Bagi tiga usahawan yang kami temui, perjalanan mereka bukan sahaja dipenuhi jatuh bangun, malah turut sarat dengan pelajaran berharga — daripada kegagalan pertama, hinggalah berjaya membina jenama sendiri. Dalam artikel ini, mereka berkongsi tip berguna untuk anda yang sedang mempertimbangkan langkah pertama dalam perniagaan. Apa kata mereka?

“Menjadi seorang usahawan bukan hanya bergantung kepada idea perniagaan semata-mata, tetapi lebih kepada siapa kita sebagai individu. Antara kriteria paling penting yang perlu ada dalam diri setiap usahawan ialah disiplin. Disiplin yang tinggi akan membentuk satu struktur kerja yang teratur, membina budaya organisasi yang positif dan menjadikan seseorang itu konsisten dalam melaksanakan tanggungjawab harian. Tanpa disiplin, sukar untuk mencapai matlamat jangka panjang kerana setiap kejayaan memerlukan usaha yang berterusan.

Selain itu, kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dengan cepat juga merupakan satu kelebihan penting dalam dunia keusahawanan. Realitinya, dunia perniagaan penuh dengan ketidaktentuan dan cabaran tidak dijangka. Oleh itu, keupayaan untuk berfikir secara kritikal, tenang di bawah tekanan serta bertindak dengan bijak dalam masa singkat adalah ciri yang membezakan usahawan biasa dengan usahawan luar biasa.

Seseorang usahawan juga perlu mempunyai semangat keusahawanan yang tulen – iaitu keazaman yang tinggi, minat yang mendalam terhadap bidang yang diceburi serta kesediaan untuk terus belajar dan berkembang. Kegagalan adalah sebahagian daripada perjalanan. Namun begitu, usahawan sejati tidak melihat kegagalan sebagai penamat, tetapi sebagai pelajaran berharga. Seperti kata pepatah, “Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya.” Apa yang penting ialah bagaimana kita bangkit selepas jatuh.”

Siti Noramay bt Ayob, Pengurus SB Ramlah Food Enterprise

“Keusahawanan bukan sekadar menjual produk atau menjalankan perniagaan semata-mata — ia adalah satu perjalanan membina impian dengan usaha dan semangat yang tidak pernah luntur. Bagi belia yang berminat menjadi usahawan, ingatlah bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah. Ia memerlukan komitmen tinggi, konsistensi dalam tindakan dan kesanggupan untuk terus belajar walaupun berdepan kegagalan.

Dalam dunia perniagaan, perancangan kewangan yang baik sangat penting sebagai persediaan menghadapi masa-masa mencabar. Jangan mudah putus asa apabila berdepan cabaran — setiap ujian adalah peluang untuk menjadi lebih kuat dan lebih bijak dalam membuat keputusan.

Mengapa saya memilih keusahawanan sebagai kerjaya? Kerana ia memberi saya kebebasan untuk bekerja mengikut masa sendiri, serta ruang untuk mengembangkan potensi dan kreativiti tanpa batas. Namun, untuk berjaya dalam bidang ini, seseorang usahawan perlu memiliki pandangan jauh ke hadapan, disiplin diri yang tinggi, serta semangat dan minat yang mendalam terhadap produk atau perkhidmatan yang ingin ditawarkan.

Percayalah, dengan tekad yang kuat dan langkah yang konsisten, setiap orang mampu mencipta kejayaan mereka sendiri dalam dunia keusahawanan.”

Hamimi Hilmi bin Abdul Manan, Pengurus Jualan H&I Home Trading

“Bagi belia yang bercita-cita untuk bergelar usahawan, terdapat beberapa aspek penting yang perlu diberi perhatian agar perjalanan keusahawanan lebih terarah dan berkesan. Pertama sekali, bekerja keras dan terus menuntut ilmu adalah asas utama dalam membina perniagaan yang berjaya. Dunia perniagaan sentiasa berubah dan berkembang, oleh itu pengetahuan yang luas dan kemahiran yang terkini amat diperlukan untuk menghadapi cabaran serta memanfaatkan peluang yang ada.

Selain itu, mencari mentor dan rakan strategik yang berpengaruh adalah langkah bijak untuk memperkukuh jaringan sokongan dan mendapatkan panduan berharga. Seorang mentor yang berpengalaman mampu membantu mengelakkan kesilapan yang tidak perlu dan memberikan perspektif yang lebih luas mengenai selok-belok dunia perniagaan. Rakan strategik pula boleh membuka peluang kolaborasi dan memperluas jangkauan pasaran anda.

Di samping itu, pemanfaatan teknologi maklumat sebagai penggerak utama dalam perniagaan adalah suatu keperluan mutlak pada era digital kini. Teknologi bukan sahaja memudahkan urusan operasi, tetapi juga mempercepatkan proses pemasaran dan meningkatkan capaian kepada pelanggan yang lebih luas. Usahawan yang bijak memanfaatkan teknologi akan memiliki kelebihan daya saing yang signifikan.

Kesimpulannya, perjalanan keusahawanan bukanlah sesuatu yang mudah, namun dengan ketekunan, semangat belajar dan sokongan yang tepat, setiap cabaran mampu diatasi. Seperti kata pepatah, “Keberanian untuk bermula adalah kunci kejayaan.” Jadi, mulakan langkah anda hari ini dengan penuh yakin dan komitmen.”

Puan Mazura Abdul Aziz, Pengarah Zumail Global Sdn Bhd

 

 

What Is Ecosystem Mapping?

Ecosystem mapping is a strategic tool that helps organisations visualise the relationships and interdependencies among various stakeholders in their business environment. It provides a holistic view of how value is created, exchanged and sustained within a network of actors.

Rather than focusing only on direct supply chains or internal structures, ecosystem mapping highlights external connections and cross-industry interactions that influence a business’s performance and opportunities.

Ecosystem mapping empowers businesses to see the bigger picture, uncover hidden opportunities and design more adaptive strategies. In a world where collaboration is often more powerful than competition, understanding your ecosystem is no longer optional — it’s essential.

Read Policy

We Value Your Feedback!

    Question 1

    Overall Experience:

    How would you rate your overall experience on our website?

    Question 2

    Finding Information:

    How easy was it to find the information you were looking for?

    Question 3

    Helpful Section:

    Which part of our website was the most helpful for you?

    Question 4

    Website Expectations:

    Did our website meet your expectations?

    Question 5

    Likelihood to Return:

    How likely are you to return to our website in the future?