keusahawanan

Dengan kos sara hidup pada masa kini yang kian meningkat terutama bagi mereka yang menetap di bandar besar, bukanlah sesuatu perkara yang baru jika ada individu yang melakukan dua hingga tiga pekerjaan sampingan pada satu masa seperti pemandu GrabCar dan menjalankan perniagaan dalam talian selain pekerjaan utama mereka di pejabat.

Di samping dapat menambah pendapatan bulanan, kesungguhan ini juga bertujuan menyahut saranan Kerajaan untuk mempunyai lebih daripada satu sumber pendapatan bagi meringankan bebanan kewangan.

Ramai mengharapkan keuntungan yang besar namun tidak ramai yang mampu mengeluarkan modal yang banyak bagi memulakan sesuatu perniagaan. Jadi, apakah antara jenis pekerjaan dan perniagaan yang memerlukan modal rendah namun masih memberikan pulangan yang lumayan? Mari kita lihat:

Pembeli-belah Peribadi

Anda gemar mencuci mata? Tidak penat menghabiskan masa berjam-jam di pusat beli-belah fizikal atau maya? Sudah tentu ini perniagaan yang terbaik untuk orang seperti anda. Pembeli-belah peribadi ialah seseorang yang akan menguruskan segalanya, daripada proses pembelian dan pembungkusan, hinggalah proses penghantaran barang.

Pelanggan hanya perlu memberikan pautan laman sesawang atau spesifikasi beserta gambar yang menjual barangan dikehendaki kepada anda dan tunggu barangan idaman mereka sampai ke pintu rumah dalam masa tiga atau empat hari (Andalah yang membantu mereka mendapatkan barangan tersebut!).

Perkhidmatan ini sangat diperlukan pada masa kini dek kesibukan warga kota bekerja dan menguruskan rumah tangga terutama golongan ibu yang bekerjaya. Sememangnya mereka kesempitan masa untuk keluar membeli-belah.

Masa lapang pula kebiasaannya diperuntukkan untuk dihabiskan di rumah bersama insan tersayang berbanding bersesak di pusat beli-belah atau mengharungi kesesakan lalu lintas, lebih-lebih lagi pada waktu cuti hujung minggu.

Nota: Profesion ini mempunyai golongan klien yang sangat spesifik. Oleh itu, anda perlu membuat kajian pasaran dengan teliti terlebih dahulu untuk menentukan kewujudan permintaan yang mampan.

Guru Peribadi

Sekiranya anda mempunyai minat, bakat dan kelayakan untuk mengajar, inilah perniagaan yang paling sesuai untuk anda. Selain dapat dijalankan pada waktu senggang (malam atau hujung minggu), kos yang diperlukan sangat minimum, yakni, hanya untuk pengangkutan dan keperluan alat tulis. Kos lain seperti buku latihan dan buku rujukan adalah di bawah tanggungan pelanggan.

Bayaran bagi seorang guru peribadi juga agak lumayan iaitu bermula daripada RM30 hingga RM200 sejam, namun harus diingat! Ia bergantung kepada pengalaman, subjek yang diajar, tempoh pembelajaran serta tahap pembelajaran (rendah, menengah atau universiti). Anda boleh mengenakan bayaran lebih jika boleh memberi jaminan anak didikan anda akan memperoleh keputusan yang cemerlang.

Jika anda kurang yakin untuk memulakan perniagaan ini, anda boleh menimba pengalaman sebagai guru tuisyen sementara di mana-mana pusat tuisyen berdekatan terlebih dahulu. Dengan cara ini, anda boleh membina keyakinan diri.

Ada guru peribadi yang dituduh ‘mencuri’ pelajar daripada pusat tuisyen selepas bekerja sementara sebagai guru tuisyen. Hah! Biar apa jua halnya, janganlah pula berbuat begitu. Nanti dilabel tidak beretika pula.

Penulis Kandungan Bebas

Penulisan kandungan secara bebas merupakan sebuah perkhidmatan yang mampu memberikan pulangan yang amat lumayan. Pendapatan daripada sebuah projek penulisan buku bebas boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit sebulan.

Selain penulis buku, penulis bebas dan penulis siluman (ghost writer) juga diperlukan untuk pelbagai projek, seperti penulisan ucapan, makalah atau rencana, artikel majalah dan akhbar serta kandungan laman sesawang.

Dengan bantuan teknologi masa kini, proses untuk mendapatkan pelanggan serta bahan-bahan rujukan untuk penulisan sangat mudah. Apakah pula modal yang diperlukan untuk memulakan perniagaan ini? Anda cuma perlu mempunyai ilmu dalam bidang penulisan dan minat yang mendalam. Mudah, bukan?

Bidang ini juga amat sesuai bagi mereka yang mempunyai ilmu dan pengalaman dalam bidang-bidang teknikal seperti kewangan, kejuruteraan, penyelidikan sains dan agama. Jika anda dapat mencipta kelas tersendiri, nescaya masa depan anda sebagai penulis kandungan cerah.

Penterjemah

Berbeza dengan penulis kandungan bebas yang perlu melakukan proses penyelidikan untuk menghasilkan kandungan sendiri, penterjemah hanya perlu menterjemah kandungan sedia ada daripada bahasa tulisan asal ke bahasa lain yang diperlukan.

Penterjemah boleh dibayar mengikut jumlah perkataan teks asal atau secara pukal, mengikut bilangan muka surat. Bayaran yang diterima oleh seseorang yang menceburi bidang ini juga tidak kurang hebatnya.

Seorang penterjemah profesional mampu membeli sebuah kenderaan serba guna (MPV) secara tunai selepas menerima bayaran projek penterjemahan hanya untuk sebuah buku! Selain ilmu berkaitan terjemahan, bidang ini juga memerlukan daya fokus yang sangat tinggi serta penguasaan menyeluruh bahasa asal dan bahasa terjemahan sasaran.

Ejen Takaful

Anda berminat untuk bertemu dengan orang ramai, bermulut manis dan mahukan pendapatan yang tidak terhad? Perniagaan ini sangat sesuai untuk anda. Walaupun kebiasaannya seorang ejen takaful tiada gaji pokok dan hanya bergantung pada komisen, pulangan yang diterima sangat lumayan, namun harus diingat! Ia haruslah berdasarkan jumlah peratusan jualan anda.

Ramai yang memilih bidang ini sebagai sumber pendapatan sampingan dan ada yang menjadikannya sebagai sumber rezeki utama untuk menyara kehidupan sebagai ejen takaful. Selain memiliki kebebasan waktu bekerja, mereka juga bebas bercuti pada bila-bila masa yang diinginkan. Geram pula mendengarnya!

Kesimpulan

Selain daripada pekerjaan dan perniagaan yang disenaraikan di atas, anda juga boleh mempertimbangkan pilihan lain seperti pembuat kek (satu pilihan yang sangat popular) dan pereka bentuk grafik jika mempunyai kemahiran dan keyakinan.

Oleh itu, eloklah sekiranya anda mula meneroka minat anda sekarang. Adakah terdapat pekerjaan di atas yang menarik serta bersesuaian dengan anda? Tepuk dada, tanyalah selera. Tidak kiralah apa jua minat anda, ia boleh mendatangkan pendapatan sampingan yang lumayan. Dengan modal yang minimum, tidak mustahil untuk anda menjana pendapatan bulanan yang selesa.

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menjalin kerjasama bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan bumiputera khususnya dalam bidang keusahawanan.

Dengan itu, PUNB menjangakan lebih ramai graduan dapat diberikan latihan kemahiran keusahawanan dan seterusnya meningkatkan bilangan mereka yang meneruskan kerjaya sebagai usahawan setelah tamat pengajian.

Pejam celik pejam celik, sudah empat bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Sepanjang PKP juga, ramai yang hilang pekerjaan akibat daripada ekonomi yang merudum.

Namun, disebalik  musibah menimpa, ada yang bijak mengambil peluang untuk menjana pendapatan walaupun dalam jangka masa pendek ini. Jika perniagaan mendapat sambutan, sudah semestinya ia dapat menjadi lubuk ‘emas’ kepada anda dalam memastikan kelangsungan pendapatan untuk diri dan keluarga.

Perniagaan digital (e-dagang) merancakkan lagi persaingan di kalangan peniaga.

Kini terdapat pelbagai jenis perniagaan yang mudah dan senang diuruskan walaupun hanya dari rumah. Antaranya adalah makanan dan minuman di mana penghantaran boleh dilakukan sendiri atau boleh juga menggunakan perkhidmatan penghantar makanan berdaftar.

Ditambah pula dengan perubahan landskap perniagaan secara tradisional  ke digital (e-dagang) merancakkan lagi persaingan dikalangan peniaga sedia ada mahupun baharu bagi memastikan  perniagaan terus ‘hidup’. Antara perniagaan yang menjadi pilihan orang ramai di musim PKP ini adalah:

  • Makanan dan minuman
  • Topeng muka (sebagai agen penjual)
  • Servis penghantaran
  • Bekalan barang basah
  • Perkhidmatan membaiki peralatan elektrik
  • Cecair pembasmi kuman tangan(sebagai agen penjual)
Permintaan terhadap servis penghantaran yang semakin meningkat.

Dengan perniagaan e-dagang, para peniaga boleh mempromosi perniagaan mereka dan juga kemahiran yang dimiliki. Dalam perspektif lain, ia mampu membuka peluang kepada masyarakat untuk menjana pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup. Gunakanlah peluang yang ada dengan bijak!

Musim PKPB ini, ramai peniaga telah mula beralih kepada perniagaan secara atas talian sebagai medium untuk promosi dan menjual produk serta perkhidmatan ditawarkan. Walau bagaimanapun, pernahkah anda kekurangan idea setiap kali memikirkan kandungan yang ingin dimuat naik di platform media sosial perniagaan anda?

Bagi peniaga yang mempunyai pekerja khusus mungkin tidak terlalu pening, akan tetapi bagaimana dengan usahawan yang bergerak secara sendirian? Pasti tidak menang tangan.

Ini mungkin boleh membantu anda!

Pertama

Tukar kandungan video anda kepada teks pendek dan infografik serta sebaliknya. Jika sebelum ini anda pernah muat naik video tentang produk dan perkhidmatan, anda boleh guna semula skrip video untuk dijadikan sebuah ‘posting’ baharu dalam bentuk yang lain serta vice versa. Ini secara tidak langsung, anda telah menghasilkan beberapa kandungan yang berbeza daripada satu idea atau topik untuk media sosial anda. Lakukan secara konsisten bagi idea dan topik yang lain.


Antara reka bentuk infografik yang dapat digunakan untuk rujukan aliran kerja, rajah, laporan tahunan dan reka bentuk web.

Kedua

Setelah memuat naik, anda harus mempunyai aplikasi atau sistem statistik seperti Google Analytic atau Shield sebagai panduan bagi mengetahui topik, jenis dan kandungan apa yang mendapat ‘viewers’ dan ‘hits’ paling banyak. Untuk data yang stabil, anda boleh mengumpul statistik terbaik bagi tempoh 30 sehingga 60 hari.

Ini secara tidak langsung menjadikan anda seorang ‘pendengar’ yang baik kepada para pengikut media sosial dan kemahuan pelanggan kerana anda tahu apa yang mereka harapkan daripada ‘posting’ anda. Lagipun, semua ini bertujuan untuk menjana keuntungan juga.

Antara contoh
Google Analytic atau Shield yang digunakan sebagai panduan.

Ketiga

Kandungan yang berkesan dan mendapat perhatian ini memudahkan anda sebagai penunjuk arah kepada idea pemasaran yang seterusnya. Anda tidak lagi perlu pecah kepala memikirkan idea-idea berlainan setiap kali ingin membuat promosi jualan di media sosial. Setiap kandungan yang berjaya boleh diekstrak untuk dijadikan 5 atau lebih kandungan baharu dan bersedia dimuat naik.

Salah satunya adalah idea bagi kandungan pemasaran.

Jadi, bayangkan daripada 1 idea ataupun topik,anda telah mereka cipta banyak kandungan yang berbeza.

Mudahkan?

Kenapa memilih menjadi seorang usahawan ATAU memulakan perniagaan sendiri ATAU menjadi bos sendiri?

Usahawan adalah sebuah gaya hidup di mana seseorang itu mengawal sendiri segala aspek kerjaya dan kehidupan peribadinya selain berani mengambil dan menanggung setiap risiko daripada keputusan yang dibuat.

Bergelar usahawan mempunyai cabaran dan ‘pengembaraan’ tersendiri berbanding mereka yang hanya bekerja dengan menerima gaji harian, mingguan mahupun bulanan. Perjalanan inilah yang menjadikan seseorang itu teruja untuk ceburi bidang perniagaan ini.

Cuba anda bayangkan, berada dalam sebuah kereta tetapi anda tidak dapat mengawal langsung kenderaan tersebut? Tidakkah pada suatu masa nanti anda akan mula berasa bosan dan stres apabila tidak mampu mengawalnya sendiri?

INILAH personaliti seorang USAHAWAN! Beliau ingin ‘take matters in their own hands’ dan menjadi pengemudi.

Seorang USAHAWAN adalah:

Pencipta

Pembangun; dan

Pereka cipta…

dalam kehidupannya, secara tidak langsung menjadi sumber keperluan kepada masyarakat dengan menyediakan penyelesaian kepada setiap masalah dihadapi selain mampu menjana peluang pekerjaan dan pendapatan serta mampu memberi motivasi bagi mereka yang turut ingin berjaya.

Tidak dinafikan, perjalanan seorang usahawan kadang kala ada naik dan turunnya. Itu adalah asam garam kehidupan bagi sesiapa sahaja.

Akan tetapi, situasi dan cabaran inilah yang menjadikan usahawan itu menjadi lebih kuat baik secara mental mahupun fizikal serta bersemangat untuk hadapi segala halangan dalam kerjaya dan kehidupan.

Tiada buku ataupun formula spesifik yang boleh dijadikan panduan dan petunjuk dalam bergelar usahawan. Bak kata pepatah, pengalaman adalah guru terbaik dalam kehidupan.

Aspek paling penting sebagai usahawan adalah belajar untuk tahu apa yang tiada, fikirkan penyelesaian sehabis mungkin setiap situasi dan mencipta atau mengeluarkan sesuatu produk atau perkhidmatan yang lebih baik dari sebelumnya.

#mindsetkeusahawanan

We Value Your Feedback!

    Question 1

    Overall Experience:

    How would you rate your overall experience on our website?

    Question 2

    Finding Information:

    How easy was it to find the information you were looking for?

    Question 3

    Helpful Section:

    Which part of our website was the most helpful for you?

    Question 4

    Website Expectations:

    Did our website meet your expectations?

    Question 5

    Likelihood to Return:

    How likely are you to return to our website in the future?