perniagaan

PUNB telah turut serta dalam program Seminar Tahunan Penjaja anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertemakan “E-Dagang: Menerobos Batasan, Mencipta Peluang” pada 1 & 2 Oktober 2025 di Lobi Menara DBKL 1.
Penyertaan ini membuka ruang untuk memperkenalkan pelbagai program pembiayaan dan bimbingan keusahawanan yang ditawarkan oleh PUNB kepada peserta dalam kalangan penjaja berlesen di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi meningkatkan daya saing dalam dunia digital.
Terima kasih kepada semua pengunjung yang singgah ke reruai PUNB dan menunjukkan minat terhadap peluang pembiayaan yang ditawarkan.
Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) telah menganjurkan Program Pengurusan Efektif Aliran Tunai Bisnes pada 29 dan 30 September 2025 bertempat di Bayou Lagoon Park Resort, Melaka, dengan bimbingan fasilitator Encik Saharudin serta penyertaan seramai 31 orang peserta.
Program ini bertujuan membantu peserta menguasai pemahaman asas kitaran aliran tunai bisnes untuk dimanfaatkan dalam pengurusan operasi masing-masing. Peserta turut didedahkan dengan kefahaman mengenai pergerakan aliran tunai dalam tiga kumpulan aktiviti utama iaitu Aktiviti Operasi, Aktiviti Pembiayaan dan Aktiviti Pelaburan.
Selain itu, peserta dibimbing untuk merancang strategi mengurangkan kebocoran tunai, memahami ideologi penyimpanan tunai (‘Cash Reserve’) termasuk kebaikan, kelebihan dan salah faham yang sering berlaku, serta memanfaatkan penggunaan templat asas Microsoft Excel bagi memantau aliran tunai, merancang dan membuat unjuran kewangan yang lebih berkesan.

Dalam dunia perniagaan yang penuh cabaran, kejayaan tidak hadir dalam sekelip mata. Ia menuntut ketekunan, kreativiti, semangat juang yang tinggi serta komitmen berterusan untuk terus maju walau diuji. Tidak hairanlah dunia keusahawanan kini semakin menarik minat ramai, khususnya golongan muda yang ingin mencipta masa depan dengan usaha sendiri.

Bagi tiga usahawan yang kami temui, perjalanan mereka bukan sahaja dipenuhi jatuh bangun, malah turut sarat dengan pelajaran berharga — daripada kegagalan pertama, hinggalah berjaya membina jenama sendiri. Dalam artikel ini, mereka berkongsi tip berguna untuk anda yang sedang mempertimbangkan langkah pertama dalam perniagaan. Apa kata mereka?

“Menjadi seorang usahawan bukan hanya bergantung kepada idea perniagaan semata-mata, tetapi lebih kepada siapa kita sebagai individu. Antara kriteria paling penting yang perlu ada dalam diri setiap usahawan ialah disiplin. Disiplin yang tinggi akan membentuk satu struktur kerja yang teratur, membina budaya organisasi yang positif dan menjadikan seseorang itu konsisten dalam melaksanakan tanggungjawab harian. Tanpa disiplin, sukar untuk mencapai matlamat jangka panjang kerana setiap kejayaan memerlukan usaha yang berterusan.

Selain itu, kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dengan cepat juga merupakan satu kelebihan penting dalam dunia keusahawanan. Realitinya, dunia perniagaan penuh dengan ketidaktentuan dan cabaran tidak dijangka. Oleh itu, keupayaan untuk berfikir secara kritikal, tenang di bawah tekanan serta bertindak dengan bijak dalam masa singkat adalah ciri yang membezakan usahawan biasa dengan usahawan luar biasa.

Seseorang usahawan juga perlu mempunyai semangat keusahawanan yang tulen – iaitu keazaman yang tinggi, minat yang mendalam terhadap bidang yang diceburi serta kesediaan untuk terus belajar dan berkembang. Kegagalan adalah sebahagian daripada perjalanan. Namun begitu, usahawan sejati tidak melihat kegagalan sebagai penamat, tetapi sebagai pelajaran berharga. Seperti kata pepatah, “Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya.” Apa yang penting ialah bagaimana kita bangkit selepas jatuh.”

Siti Noramay bt Ayob, Pengurus SB Ramlah Food Enterprise

 

Keusahawanan bukan sekadar menjual produk atau menjalankan perniagaan semata-mata — ia adalah satu perjalanan membina impian dengan usaha dan semangat yang tidak pernah luntur. Bagi belia yang berminat menjadi usahawan, ingatlah bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah. Ia memerlukan komitmen tinggi, konsistensi dalam tindakan dan kesanggupan untuk terus belajar walaupun berdepan kegagalan.

Dalam dunia perniagaan, perancangan kewangan yang baik sangat penting sebagai persediaan menghadapi masa-masa mencabar. Jangan mudah putus asa apabila berdepan cabaran — setiap ujian adalah peluang untuk menjadi lebih kuat dan lebih bijak dalam membuat keputusan.

Mengapa saya memilih keusahawanan sebagai kerjaya? Kerana ia memberi saya kebebasan untuk bekerja mengikut masa sendiri, serta ruang untuk mengembangkan potensi dan kreativiti tanpa batas. Namun, untuk berjaya dalam bidang ini, seseorang usahawan perlu memiliki pandangan jauh ke hadapan, disiplin diri yang tinggi, serta semangat dan minat yang mendalam terhadap produk atau perkhidmatan yang ingin ditawarkan.

Percayalah, dengan tekad yang kuat dan langkah yang konsisten, setiap orang mampu mencipta kejayaan mereka sendiri dalam dunia keusahawanan.”

Hamimi Hilmi bin Abdul Manan, Pengurus Jualan H&I Home Trading

“Bagi belia yang bercita-cita untuk bergelar usahawan, terdapat beberapa aspek penting yang perlu diberi perhatian agar perjalanan keusahawanan lebih terarah dan berkesan. Pertama sekali, bekerja keras dan terus menuntut ilmu adalah asas utama dalam membina perniagaan yang berjaya. Dunia perniagaan sentiasa berubah dan berkembang, oleh itu pengetahuan yang luas dan kemahiran yang terkini amat diperlukan untuk menghadapi cabaran serta memanfaatkan peluang yang ada.

Selain itu, mencari mentor dan rakan strategik yang berpengaruh adalah langkah bijak untuk memperkukuh jaringan sokongan dan mendapatkan panduan berharga. Seorang mentor yang berpengalaman mampu membantu mengelakkan kesilapan yang tidak perlu dan memberikan perspektif yang lebih luas mengenai selok-belok dunia perniagaan. Rakan strategik pula boleh membuka peluang kolaborasi dan memperluas jangkauan pasaran anda.

Di samping itu, pemanfaatan teknologi maklumat sebagai penggerak utama dalam perniagaan adalah suatu keperluan mutlak pada era digital kini. Teknologi bukan sahaja memudahkan urusan operasi, tetapi juga mempercepatkan proses pemasaran dan meningkatkan capaian kepada pelanggan yang lebih luas. Usahawan yang bijak memanfaatkan teknologi akan memiliki kelebihan daya saing yang signifikan.

Kesimpulannya, perjalanan keusahawanan bukanlah sesuatu yang mudah, namun dengan ketekunan, semangat belajar dan sokongan yang tepat, setiap cabaran mampu diatasi. Seperti kata pepatah, “Keberanian untuk bermula adalah kunci kejayaan.” Jadi, mulakan langkah anda hari ini dengan penuh yakin dan komitmen.”

Puan Mazura Abdul Aziz, Pengarah Zumail Global Sdn Bhd

 

 

“Jika Bukan Kita yang Meneruskan Legasi Keluarga, Siapa Lagi?”

“Itulah kata-kata yang menjadi semangat utama di sebalik kejayaan seorang usahawan yang kini menerajui perniagaan dodol warisan keluarganya.”

“Segalanya bermula secara tidak rasmi. Saya hanya membantu secara sambilan kerana ketika itu masih menetap di Negeri Sembilan. Tugas saya hanyalah di belakang tabir – menguruskan gaji pekerja dan membantu dari segi pentadbiran. Namun, pada 2018, segalanya berubah apabila ibu saya, Puan Ramiah, meminta saya untuk terlibat sepenuhnya dalam perniagaan keluarga bersama abang saya,” jelas Puan Siti Noramay ketika memulakan bicara.

Dari Terpaksa Menjadi Cinta

Pada mulanya, beliau mengakui seolah-olah dipaksa untuk terlibat dalam bidang perniagaan. Namun, semakin lama beliau bergiat secara serius, timbul kesedaran bahawa jika bukan dirinya yang meneruskan perniagaan ini, siapa lagi? Dari situlah hadir semangat untuk membawa legasi keluarga ini ke tahap yang lebih tinggi.

Bagi Puan Siti Noramay, kejayaan dalam bidang keusahawanan banyak bergantung kepada disiplin. Disiplin yang kuat mampu membentuk organisasi yang tersusun serta mencipta budaya kerja yang positif. Seorang usahawan juga perlu cekap menyelesaikan masalah, berani membuat keputusan pantas, dan tidak mudah berputus asa walaupun berdepan pelbagai ujian. Kegagalan sekali tidak bermakna gagal selamanya.

Selain itu, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang diceburi amat penting. Tidak cukup dengan semangat sahaja – seseorang usahawan perlu sentiasa belajar dan memperbaiki diri.

Cabaran dan Keunikan Produk

Antara cabaran terbesar dalam menjalankan perniagaan ialah isu modal dan ketidaktentuan struktur harga pasaran. Hal ini lebih mencabar dalam industri makanan tradisional seperti dodol, khususnya di Melaka – negeri yang memang sinonim dengan makanan warisan tersebut.

“Apa yang membezakan kami daripada pengusaha dodol lain ialah rasa dan kualiti. Kami amat menitikberatkan penggunaan bahan-bahan berkualiti serta proses pembuatan yang teliti. Walaupun harga kami sedikit tinggi, kami percaya pelanggan masa kini lebih bijak menilai – mereka mencari nilai dan rasa yang berbaloi,” ujar beliau.

Meluaskan Sayap ke Pasaran Antarabangsa

Kini, SB Ramlah Food Enterprise sedang merancang untuk membawa jenama ini ke pasaran antarabangsa. Sebelum ini, produk mereka telah menembusi pasaran luar negara melalui ejen OEM yang menggunakan jenama ejen tersebut.

“Impian kami kini adalah untuk membawa jenama SB Ramlah Food Enterprise sendiri ke peringkat global, agar dikenali sebagai jenama dodol berkualiti dari Malaysia,” tutur Noramay lagi.

Harapan dan Nasihat kepada Generasi Muda

Harapan Noramay ialah agar perniagaan ini terus berkembang dan kekal sebagai legasi keluarga hingga ke generasi seterusnya. Beliau juga berharap SB Ramlah Food Enterprise dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya kepada penduduk kampung dan suri rumah, agar mereka dapat menambah pendapatan keluarga.

“Kepada para belia dan bakal usahawan, jangan takut untuk mencuba. Keusahawanan bukan jalan mudah – akan ada jatuh dan bangun. Namun, setiap kegagalan adalah pelajaran, dan setiap cubaan ialah langkah menuju kejayaan. Jadikan cabaran sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi,” akhiri Noramay dengan penuh semangat.

Pada hari Rabu, 24 September 2025, Pejabat Wilayah Utara telah menganjurkan Sesi Jaringan Usahawan PUNB Pulau Pinang bertempat di Dewan Pejabat Wilayah Utara Pulau Pinang. Sesi Jaringan Usahawan yang dianjurkan buat kali ke 3 ini disertai oleh 28 Rakan Usahawan Pulau Pinang, wargakerja PUNB Pejabat Wilayah Utara dan wakil daripada PERKESO Negeri Pulau Pinang yang dijemput khas untuk memberikan taklimat berkenaan fungsi dan peranan PERKESO kepada Rakan Usahawan PUNB.
Sesi taklimat ini memberikan peluang kepada Rakan Usahawan sebagai majikan untuk menerima maklumat secara terus daripada pihak PERKESO berkenaan keperluan dan manfaat mecarum kepada majikan dan juga pekerja. Di samping itu, para Rakan Usahawan juga dapat merapatkan ukhuwah dan meluaskan jaringan kerjasama antara Rakan Usahawan PUNB Pulau Pinang dan warga kerja Pejabat Wilayah Utara.
Majlis Perasmian Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2025 telah berlangsung hari ini dengan jayanya di MITEC, Kuala Lumpur. Majlis ini telah disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, yang menekankan kepentingan industri halal sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Encik Izwan Zainuddin, turut hadir sebagai tanda sokongan kepada inisiatif yang memperkukuh ekosistem halal dan keusahawanan negara.
Sebagai agensi pembangunan usahawan, PUNB mengambil bahagian dalam pameran berprestij ini bagi memperkenalkan produk serta jenama usahawan bimbingan PUNB kepada pasaran global.
Esok hari terakhir! Jom kunjungi reruai PUNB bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai peluang pembiayaan, bimbingan, serta rangkaian sokongan yang ditawarkan oleh PUNB kepada para usahawan.

Keusahawanan merupakan antara pemangkin utama dalam pembangunan ekonomi negara. Melalui usaha gigih usahawan, pelbagai peluang pekerjaan dapat diwujudkan, sumber ekonomi dapat diperkaya, dan identiti budaya dapat dikekalkan. Di Malaysia, bidang keusahawanan tidak terhad kepada satu jenis produk sahaja, malah meliputi pelbagai sektor sama ada berasaskan bahan tempatan mahupun import. Artikel ini akan membincangkan perbandingan antara dua jenis usahawan, iaitu usahawan dodol di Melaka yang menggunakan keluaran tempatan dan usahawan karpet di Negeri Sembilan yang bergantung kepada barang import.

Usahawan Dodol di Melaka

Dodol merupakan makanan tradisional masyarakat Melayu yang terkenal, khususnya di negeri Melaka. Usahawan dodol biasanya menggunakan bahan-bahan tempatan seperti santan kelapa, gula melaka, dan tepung pulut.

Kelebihan utama usahawan dodol ialah penggunaan bahan tempatan yang secara langsung menggalakkan pertanian dalam negara. Produk ini juga mempunyai nilai budaya yang tinggi kerana ia melambangkan identiti warisan masyarakat Melayu dan berpotensi menjadi tarikan pelancongan. Dari sudut kos, usahawan dodol tidak terlalu terjejas oleh faktor luaran seperti kadar pertukaran mata wang kerana bahan mentah diperoleh dari dalam negara.

Namun begitu, terdapat juga beberapa cabaran yang perlu dihadapi. Antaranya ialah persaingan dengan makanan moden yang lebih cepat dan mudah disediakan, pasaran yang agak terhad jika produk tidak dipelbagaikan, serta cabaran dalam mengekalkan kualiti agar tahan lama untuk dipasarkan secara lebih meluas termasuk ke peringkat antarabangsa.

Usahawan Karpet di Negeri Sembilan

Berbeza dengan dodol, perniagaan karpet di Negeri Sembilan banyak bergantung pada produk import dari negara-negara seperti Turki, Pakistan, dan Iran. Karpet dari luar negara sering mendapat sambutan kerana corak yang unik, kualiti tinggi, dan nilai eksklusif.

Antara kelebihan utama usahawan karpet ialah kemampuan untuk menawarkan produk premium yang mampu menarik golongan pelanggan berpendapatan sederhana hingga tinggi. Selain itu, karpet import juga mempunyai pelbagai pilihan reka bentuk dan bahan, sekali gus menjadikan perniagaan ini lebih menarik dari segi kepelbagaian produk.

Namun, kebergantungan pada import menjadikan usahawan karpet terdedah kepada pelbagai risiko. Antaranya ialah kenaikan harga akibat kadar tukaran mata wang asing, kos penghantaran yang tinggi, serta persaingan sengit daripada peniaga lain yang mengimport dari negara sama.

Kedua-dua usahawan dodol di Melaka dan usahawan karpet di Negeri Sembilan mempunyai kelebihan dan kekangan masing-masing. Dari segi asal produk, dodol berasaskan sumber tempatan manakala karpet bergantung pada import. Dari segi sumbangan ekonomi, dodol lebih menyokong industri pertanian dan pembangunan desa, manakala karpet pula menyumbang kepada pasaran global serta membuka peluang perniagaan berorientasikan eksklusif.

Selain itu, dodol membawa identiti budaya Melayu yang kuat dan menjadi simbol warisan negara, manakala karpet pula menonjolkan budaya antarabangsa yang bersifat mewah. Dari sudut pasaran, dodol lebih sesuai untuk pasaran tempatan dan pelancong, manakala karpet pula menarik minat pelanggan berstatus tinggi serta mereka yang mementingkan gaya hidup moden.

Secara keseluruhannya, kedua-dua jenis usahawan ini memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi negara. Usahawan dodol di Melaka membantu mengekalkan warisan budaya dan mengukuhkan sektor pertanian tempatan, manakala usahawan karpet di Negeri Sembilan pula membawa nilai global melalui produk import yang berkualiti tinggi. Kejayaan Malaysia dalam bidang keusahawanan dapat dicapai dengan adanya keseimbangan antara pengukuhan identiti tempatan dan penerimaan produk antarabangsa.

 

Kepimpinan dalam konteks perniagaan merujuk kepada proses atau kemahiran seseorang untuk mengarahkan, mempengaruhi dan memotivasi pasukan atau organisasi untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Kepimpinan memainkan peranan penting dalam kejayaan dan pertumbuhan perniagaan. Berikut adalah lima sebab mengapa kepimpinan penting dalam perniagaan:

Secara keseluruhan, kepimpinan yang kuat adalah asas yang penting dalam memastikan pertumbuhan, kestabilan dan kejayaan jangka panjang sebuah perniagaan.

Dalam dunia keusahawanan yang penuh cabaran dan persaingan, ramai usahawan tertanya-tanya: Adakah aku memerlukan seorang mentor untuk berjaya dalam perniagaan? Jawapannya—Ya, memiliki mentor boleh menjadi satu aset yang sangat berharga dalam perjalanan keusahawanan seseorang.

APA ITU MENTOR?

Mentor ialah seseorang yang mempunyai lebih banyak pengalaman dalam bidang tertentu dan sudi berkongsi ilmu, memberi panduan serta sokongan kepada individu lain yang sedang meniti jalan yang sama. Dalam konteks perniagaan, mentor mungkin seorang usahawan yang telah berjaya, seorang pakar industri atau seseorang yang berpengalaman luas dalam mengurus syarikat.

KELEBIHAN MEMPUNYAI MENTOR DALAM PERNIAGAAN

  • Panduan Berdasarkan Pengalaman
    Mentor boleh membantu anda mengelak kesilapan yang pernah mereka lakukan. Ini mempercepatkan proses pembelajaran dan mengurangkan risiko dalam membuat keputusan penting.
  • Rangkaian (Networking)
    Seorang mentor selalunya mempunyai rangkaian kenalan yang luas. Mereka boleh memperkenalkan anda kepada pelabur, rakan kongsi strategik atau pelanggan yang berpotensi.
  • Sokongan Moral dan Emosi
    Menjalankan perniagaan boleh menjadi satu perjalanan yang penuh tekanan. Mentor boleh menjadi tempat rujukan dan motivasi apabila anda berhadapan dengan cabaran.
  • Pandangan Luar yang Objektif
    Kadang-kadang, kita terlalu tenggelam dalam perniagaan sendiri sehingga sukar melihat kelemahan. Mentor mampu memberi pandangan luar yang jujur dan membina.
  • Membantu Dalam Strategi dan Perancangan
    Mentor boleh membantu menilai idea, membina pelan tindakan dan menetapkan strategi pertumbuhan jangka panjang.

ADAKAH SEMUA USAHAWAN MEMERLUKAN MENTOR?

Tidak semestinya, tetapi memiliki mentor memberikan kelebihan kompetitif yang besar. Ramai usahawan yang berjaya seperti Mark Zuckerberg dan Jack Ma mengakui bahawa mereka dibantu oleh mentor dalam membina empayar mereka.

BAGAIMANA MENDAPATKAN MENTOR?

  • Sertai komuniti keusahawanan atau program inkubator perniagaan
  • Hadiri seminar, bengkel atau acara networking
  • Gunakan platform profesional seperti LinkedIn
  • Bersikap terbuka dan aktif bertanya atau meminta nasihat

Mempunyai mentor bukan syarat mutlak untuk berjaya, tetapi ia boleh mempercepatkan proses pembelajaran, mengurangkan risiko dan memberikan sokongan yang sangat diperlukan dalam dunia perniagaan. Dalam erti kata lain, mentor bukan sekadar pembimbing—mereka adalah pencetus kepada kejayaan anda.

Keusahawanan korporat, atau lebih dikenali sebagai corporate entrepreneurship atau intrapreneurship, merujuk kepada proses di mana organisasi besar bertindak seperti usahawan — mencipta produk baharu, memasuki pasaran baharu atau memperkenalkan proses inovatif — di masa yang sama masih beroperasi dalam struktur korporat yang sedia ada. Ia adalah usaha strategik untuk mengekalkan daya saing dan kelangsungan dalam pasaran yang sentiasa berubah.

Ciri-ciri Keusahawanan Korporat

Antara ciri utama keusahawanan korporat termasuk:

  • Inovasi: Penciptaan produk, perkhidmatan atau model perniagaan baharu.
  • Pengambilan Risiko Terkawal: Percubaan kepada pendekatan baru dengan pengurusan risiko yang sistematik.
  • Kepimpinan Proaktif: Pegawai dan kakitangan digalakkan menjadi pelopor idea.
  • Sokongan Organisasi: Persekitaran syarikat yang membenarkan eksperimen dan pembelajaran daripada kegagalan.

Kepentingan Keusahawanan Korporat

  1. Meningkatkan Daya Saing
    Organisasi yang mengamalkan keusahawanan korporat lebih cepat menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.
  2. Menarik dan Mengekalkan Bakat
    Individu berinovasi cenderung kekal dalam syarikat yang menghargai idea baharu.
  3. Penjanaan Sumber Pendapatan Baharu
    Inisiatif baharu boleh membuka laluan kepada produk atau pasaran yang menguntungkan.
  4. Meningkatkan Nilai Syarikat
    Inovasi yang berjaya menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang syarikat.

Cabaran Pelaksanaan

Walaupun keusahawanan korporat membawa banyak manfaat, terdapat cabaran seperti:

  • Birokrasi organisasi yang melambatkan proses inovasi.
  • Kekangan budaya kerja yang tidak menggalakkan perubahan atau idea baharu.
  • Kekurangan sumber atau bajet untuk inisiatif yang belum terbukti.
  • Ketahanan terhadap perubahan oleh kakitangan atau pengurusan atasan.

Keusahawanan korporat adalah kunci kepada pertumbuhan mampan dan inovasi dalam sesebuah organisasi. Untuk berjaya, ia memerlukan budaya organisasi yang menyokong kreativiti, pengambilan risiko dan pembelajaran berterusan. Dalam era globalisasi dan teknologi yang pesat berubah, syarikat yang tidak mengamalkan keusahawanan korporat berisiko untuk ketinggalan.

Read Policy

We Value Your Feedback!

    Question 1

    Overall Experience:

    How would you rate your overall experience on our website?

    Question 2

    Finding Information:

    How easy was it to find the information you were looking for?

    Question 3

    Helpful Section:

    Which part of our website was the most helpful for you?

    Question 4

    Website Expectations:

    Did our website meet your expectations?

    Question 5

    Likelihood to Return:

    How likely are you to return to our website in the future?