usahawan wanita

BABYMAMA TRADING SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Jenama Tateh tidak lagi asing di kalangan pasangan suami isteri yang ingin mencari keperluan barangan penjagaan ibu dan bayi. Selain barangan kelengkapan bayi, Butik Tateh yang diuruskan oleh Babymama Trading Sdn Bhd ini turut mementingkan penjagaan kesihatan ibu sepanjang proses berpantang.  

Jom ikuti soal jawab bersama pengasasnya, Siti Shafurah Abas tentang pengalaman beliau menguruskan jenama pilihan ibu bapa ini.

S: Apakah perbezaan Tateh berbanding jenama-jenama lain?

J: Tateh menawarkan produk-produk barangan keperluan penjagaan bayi dan juga bagi ibu yang sedang berpantang. Apabila para pelanggan berkunjung ke butik Tateh, mereka bukan sahaja boleh mendapatkan barangan, malah turut dibekalkan dengan ilmu tentang penjagaan bayi, cara penyusuan  serta kaedah berpantang yang betul daripada kakitangan kami yang terlatih dan berpengalaman terutama bagi pasangan yang sedang membuat persiapan terakhir.

Inilah keistimewaan Tateh.

Setsuri – set berpantang yang boleh didapati di butik Tateh

S: Bagaimana Tateh menjaga hubungan dengan pelanggan?
J:
Matlamat utama Tateh adalah memastikan pelanggan mendapat barangan yang diperlukan dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Ini kerana Tateh tidak hanya mahu menjadi penjual barangan keperluan bayi sahaja sebaliknya menjadi tempat rujukan bagi pasangan ibu bapa yang menyambut kelahiran cahaya mata. Disebabkan ini, setiap tenaga kerja kami mendapat latihan dan pemantauan berterusan supaya pelanggan kekal setia dan percaya dengan Tateh.

S: Apakah motivasi yang mendorong anda dalam memimpin Tateh?
J:
Sebagai seorang usahawan dan juga ibu kepada empat orang anak, saya berasa amat berpuas hati apabila dapat memberi jalan penyelesaian kepada mereka yang mempunyai sebarang kemusykilan terutama dalam penjagaan bayi dan sepanjang proses berpantang. Ini kerana, seperti para ibu lain, saya juga mahukan yang terbaik khususnya perkara melibatkan penjagaan diri dan anak.

Jika dahulu, tidak banyak pusat atau tempat rujukan penjagaan bayi selain daripada hospital dan klinik. Oleh sebab itu, saya mengambil inisiatif ini untuk mewujudkan Tateh. Pengalaman ini menjadi pemangkin inspirasi dalam terus membawa jenama Tateh ke tahap yang lebih tinggi.

S: Menjejak 2020 ini, apakah pendekatan baharu yang telah dirancang untuk Tateh?

J: Dalam usaha bagi memastikan Tateh kekal sebagai pilihan utama, kami akan sentiasa mempertingkatkan promosi dan strategi pemasaran agar Tateh akan lebih dikenali. Salah satu caranya adalah dengan menghasil dan menjual produk-produk berdasarkan permintaan dan keperluan pelanggan. Disinilah pentingnya mengekalkan hubungan yang baik dengan pelanggan kerana mereka merupakan faktor utama kejayaan sesebuah perniagaan.

Selain itu, kami juga sentiasa membuat persediaan dalam memperkemaskan lagi ilmu-ilmu berkaitan penjagaan bayi dan berpantang agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik untuk para pelanggan kami.

Tateh juga akan mempergiatkan lagi kempen-kempen kesedaran dan maklumat keselamatan penjagaan anak, contohnya kepentingan penggunaan Child Restraint System (CRS) atau kerusi keselamatan kanak-kanak seperti yang diwajibkan oleh pihak Kerajaan.

S: Di mana anda melihat Tateh untuk 5 tahun yang akan datang?
J:
 Kami merancang untuk memperkembangkan lagi sayap perniagaan Tateh daripada 18 cawangan kepada 25 cawangan dalam jangka masa 5 tahun akan datang. Pada masa yang sama, kami memastikan setiap cawangan Tateh dapat mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan melebihi daripada sasaran yang telah ditetapkan. 

Selain itu, kami juga merancang untuk menambah baik program pembangunan warga kerja Tateh melalui pemahaman dan peningkatan ilmu khususnya tentang produk dan servis perkhidmatan ditawarkan bagi memastikan para pelanggan Tateh berpuas hati.

Antara produk lain yang ditawarkan oleh butik Tateh

S: Apakah nasihat anda kepada mereka yang ingin dan telah menjadi usahawan?

J: Secara peribadi, seorang usahawan itu tidak boleh mempunyai sikap suka bertangguh dalam melakukan sesuatu perkara, baik dalam perniagaan mahupun kehidupan peribadi. Sikap ini bakal merugikan bukan sahaja masa malah wang dan tenaga. Harus mempunyai semangat mahu maju ke hadapan dan sentiasa berfikir serta bertindak satu langkah ke hadapan daripada orang lain dan jangan pernah putus asa. Tetapkan matlamat dan sasaran yang boleh diukur dan ada garis masa yang jelas. Sekiranya matlamat ini tercapai lebih awal, jangan terlalu selesa dan tetapkan matlamat baru yang lebih besar. 

Semakin ramai wanita di Malaysia telah mula menceburi bidang perniagaan, namun jumlahnya masih lagi kecil jika dibandingkan dengan nisbah perusahaan dan perniagaan yang dimiliki oleh usahawan lelaki. Menurut statistik, hanya satu daripada lima perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dimiliki oleh wanita. Meskipun telah banyak bantuan dan program ditawarkan bagi menggalakkan wanita melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, golongan ini masih berdepan dengan kesulitan dalam memulakan perniagaan.

Sebelum membina atau mengembangkan perniagaan, seseorang itu perlu mempelajari ilmu tentang perniagaan. Tanpa ilmu dan teknik perniagaan yang betul, tidak mungkin anda akan berjaya mencapai sasaran yang diharapkan. Berikut adalah 10 perkara yang perlu anda tahu sebelum memulakan perniagaan:

Rancangan perniagaan

Tak sabar untuk mulakan perniagaan? Nanti dulu. Sebelum memulakan apa-apa, anda perlu mempunyai rangka pelan perniagaan untuk jangka masa panjang. Ia sangat penting bagi mengelakkan anda tersasar daripada matlamat. Antara perkara penting dalam pelan perniagaan anda termasuklah butiran produk, perancangan kewangan, teknik pemasaran dan pengiklanan. Anda harus komited dengan apa yang telah anda rancang. Kebanyakan perniagaan tidak berjaya kerana terlalu cepat mengubah rancangan atau tidak membuat perancangan rapi. Ingat, gagal merancang bermaksud merancang untuk gagal!

Idea dan produk

Seterusnya, anda perlu menjalankan kajian terhadap produk. Anda harus mempelajari selok-belok industri diceburi dan pesaing di pasaran serta teknik atau kaedah yang digunakan dalam sesebuah perniagaan. Namun, sekiranya anda mempunyai idea perniagaan tersendiri, pastikan anda berpegang teguh kepada idea tersebut dan jangan terlalu mudah mengubah matlamat hanya kerana kritikan atau tidak mahu ketinggalan dalam mengikuti trend semasa. Ingat, jangan bertindak semberono dalam membuat sebarang keputusan, ya.

Kumpulan Sasaran

Sudah merangka idea dan pelan perniagaan? Anda juga perlu mengenal pasti kumpulan sasaran bagi produk anda. Ciri-ciri demografik seperti jantina, umur dan pendapatan bulanan memainkan peranan penting dalam menentukan kumpulan sasaran anda. Di samping itu, anda perlu mengambil kira bahawa keperluan dan citarasa penduduk bandar yang kadangkala berbeza dengan penduduk di luar bandar. Perbezaan ini dipengaruhi oleh faktor tertentu termasuklah pendapatan mereka.

Bantuan Kewangan

Sudah sedia mulakan bisnes, tapi anda kekurangan dana? Jangan risau, kerajaan sangat komited untuk membantu usahawan wanita mendapatkan bantuan kewangan. Terdapat pelbagai saluran yang boleh digunakan untuk memohon pembiayaan perniagaan seperti PUNB, Tekun Nasional, SME Bank, MARA,Teraju dan banyak lagi. Pasti setiap saluran ini mempunyai program atau skim pembiayaan khusus untuk usahawan wanita.

Latihan dan Seminar

Anda belum yakin untuk mulakan perniagaan? Memerlukan perkongsian ilmu dan pengalaman daripada seseorang yang lebih pakar dalam dunia perniagaan? Jangan risau, kini, banyak program dan bengkel keusahawanan telah dianjurkan oleh pelbagai pihak. Anda juga boleh sertai latihan dan seminar usahawan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan yang menawarkan bantuan pembiayaan kepada usahawan tempatan. Jadi, jom sertai kami di PUNB sekarang!

Pemasaran

Kaedah pemasaran merupakan perkara terpenting dalam menjalankan perniagaan. Kaedah atau platform pemasaran yang tepat dapat menjana keuntungan dan menstabilkan perniagaan anda. Penjualan produk dalam talian, misalnya, membuka peluang kepada anda untuk memasuki pasaran global. Beberapa perkara yang harus diambil kira termasuklah: 

  • Harga – Kenal pasti harga yang pelanggan rasakan berbaloi bagi produk anda.
  • Promosi – Kenal pasti platform pemasaran yang paling sesuai.
  • Tempat – Pilih lokasi terbaik bagi menempatkan produk anda.
  • Fizikal – Kenal pasti penampilan premis perniagaan yang sesuai untuk menarik pelanggan.
  • Pekerja/Duta/Jurucakap – Dapatkan individu yang sesuai untuk berurusan dengan pelanggan.

Rakan Kongsi Perniagaan

Untuk memulakan perniagaan, anda memerlukan sekurang-kurangnya seorang rakan kongsi perniagaan kerana anda mungkin tidak dapat menguruskan semua perkara dalam satu masa. Pemilihan rakan kongsi yang tepat dapat membantu kelangsungan perniagaan anda. Tidak mengapa jika rakan kongsi anda belum ada kemahiran yang mencukupi. Anda dan rakan kongsi boleh bersama-sama menambah ilmu perniagaan dari semasa ke semasa. Ia lebih baik daripada mengambil rakan kongsi yang mahir tetapi mementingkan diri atau tidak amanah, kerana sifat seperti itu akan mengancam perniagaan anda.

Fokus

Kejayaan hanya dapat dicapai sekiranya anda fokus dan serius dengan perniagaan diusahakan. Fokus tidak bermaksud anda harus mengabaikan tanggungjawab yang lain sebaliknya, memberikan fokus bermakna tidak menjalankan terlalu banyak perniagaan yang pelbagai pada satu masa. Janganlah sampai yang dikendong berciciran, yang dikejar tak dapat.

Pengurusan Masa

Sebagai wanita, kita harus bijak menguruskan masa. Anda perlu bijak membahagikan masa dalam menguruskan perniagaan, keluarga dan rumah tangga. Binalah rancangan jadual yang terbaik bagi memastikan masa yang anda peruntukkan dapat mengimbangi kehidupan peribadi dan kerjaya anda.

Sokongan Moral

Jaga hubungan baik dengan ahli keluarga dan sahabat anda kerana merekalah sokongan moral yang utama kepada anda untuk terus melangkah ke hadapan.

Peluang sudah ada.. Tunggu apa lagi Jom jadi usahawan! Kami di PUNB sedia membantu anda.

Credit image: Freepik

We Value Your Feedback!

    Question 1

    Overall Experience:

    How would you rate your overall experience on our website?

    Question 2

    Finding Information:

    How easy was it to find the information you were looking for?

    Question 3

    Helpful Section:

    Which part of our website was the most helpful for you?

    Question 4

    Website Expectations:

    Did our website meet your expectations?

    Question 5

    Likelihood to Return:

    How likely are you to return to our website in the future?